Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Ahad, 29 Mei 2011

Skandal seks dan hipokrasi !

Selepas skandal seks melibatkan Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss Kahn, baru-baru ini, dunia digemparkan pula dengan skandal rakaman video seks beberapa pemimpin pembangkang Turki.

Apa yang berlaku di Turki itu lebih menggegar. Kesnya hampir sama dengan skandal terbaru Ketua Pembangkang Malaysia, Anwar Ibrahim. Menerusi pendedahan video tersebut, beberapa pemimpin Parti Pergerakan Nasionalis (MHP) dipaparkan sedang melakukan hubungan seks di sebuah rumah.

Ekoran pendedahan tersebut, enam pemimpin MHP meletakkan jawatan. Antara yang berbuat demikian ialah Timbalan Pengerusi MHP, Osman Cakir, Umit Safak dan Mehmet Ekici serta Setiausaha Agung, Cihan Pacaci dan timbalannya, Mehmet Taytak. Awal bulan ini, empat pemimpin parti itu, lebih awal telah mengumumkan pengunduran mereka.

Tahun lepas, Pengerusi MHP, Deniz Bolukbasi turut meletakkan jawatan selepas pendedahan satu rakaman video merakamkan beliau mengadakan hubungan intim dengan bekas setiausaha parti itu.

Walaupun MHP mendakwa pendedahan rakaman video itu didalangi oleh pihak tertentu termasuk parti pemerintah iaitu Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP), namun kesemua mereka yang berkenaan mengambil tanggungjawab melepaskan jawatan. ‘‘Saya meletakkan jawatan bagi mengelakkan isu ini menggugat MHP pada pilihan raya akan datang,” kata Bolukbasi. Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan menafikan tuduhan MHP bahawa AKP menjadi dalang dalam pendedahan skandal tersebut.

Iktibar

Ramai pemerhati melihat MHP cuba mengalihkan perhatian daripada persoalan pokok iaitu berlakunya hubungan seks sebagaimana rakaman video. Walaupun Turki dilabelkan negara Islam sekular namun majoriti rakyatnya mengutuk keras skandal seks tersebut yang dianggap paling memalukan dalam sejarah negara itu.

Pendedahan skandal seks di Turki itu disiarkan beberapa kali di muka depan Utusan Malaysia pada awal minggu ini. Banyak iktibar yang boleh diambil dan dijadikan renungan apatah lagi dalam konteks skandal Anwar. Sama ada dalam kes Strauss Kahn apatah lagi skandal di Turki, tanggungjawab moral mengatasi segala-galanya.

Anehnya, Anwar yang terang-terang wajahnya dalam aksi video seks bersama seorang pelacur, masih terus menegak benang basah. Pakar di Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan selain Malaysia, telah mengesahkan bahawa rakaman video itu adalah tulen. Seperti biasa, Anwar sebaliknya menuduh semuanya itu adalah konspirasi. Ini bukan kali pertama skandal seks melibatkan Anwar.

Homoseksual

Beliau pernah didakwa di mahkamah lebih sedekad lalu kerana meliwat pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar. Walaupun beliau dibebaskan dengan keputusan 2-1 oleh tiga hakim yang bersidang tetapi aktiviti homoseksual tidak ditolak oleh hakim. ‘‘Kami mendapati bukti untuk mengesahkan bahawa perayu (Anwar) terbabit dalam kegiatan homoseksual dan kami lebih terdorong untuk mempercayai bahawa kejadian yang didakwa berlaku di Tivolli Villa, benar terjadi,” kata Hakim, Abdul Hamid Mohamad ketika membacakan penghakiman pada 2004.

Kita percaya, ramai yang terlepas perhatian tentang fakta tersebut. Dengan kata lain, Anwar bernasib baik kerana terdapat kelemahan teknikal dalam pendakwaan, menyebabkan gagal memberikan bukti yang melampaui keraguan munasabah.

Dalam kes liwat kedua terhadap pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, Anwar diperintah membela diri kerana kes prima facie telah dibukti di mahkamah. Maknanya, banyak bukti yang memihak kepada Saiful.

Dalam kaitan kes tersebut, Anwar enggan melakukan sumpah laknat dan menolak menjalani ujian DNA secara sukarela sedangkan Saiful awal-awal lagi berbuat demikian.

Dalam kes rakaman video seks, sahabat beliau, Shazryl Eskay Abdullah yang mendedahkan perlakuan seks Anwar, tampil membuat sumpah laknat meskipun berdepan dengan ancaman serta kekecohan yang ditimbulkan oleh penyokong Anwar. Anehnya lagi, Anwar tetap enggan bersumpah laknat. Kaedah Islam enggan dilakukan sementara kaedah saintifik seperti DNA juga ditolak.

Ada beberapa lagi persoalan berlegar berkaitan video seks tersebut iaitu ‘kehilangan misteri’ jam Omega milik Anwar dan penjelasan awal beliau kononnya pada ketika kejadian sedang sibuk mengemaskini Twitter tetapi ternyata meragukan sampai saat ini.

Memalukan

Berdasarkan keterangan awal kepada polis yang menafikan dia adalah pelaku dalam video, Anwar boleh didakwa berbohong. Dengan semua yang berlaku itu, imej beliau bukan setakat tercalar malah amat kotor. Jika beliau tidak melepaskan jawatan sebagai Ketua Pembangkang dan juga penasihat PKR maka Pakatan Rakyat (PR) akan mencatatkan sejarah sebagai pembangkang paling buruk imejnya di dunia.

Setakat hari ini pun, skandal seks Anwar sama ada melibatkan dakwaan hubungan sejenis dan pelacur sudah dikategorikan paling dahsyat di kalangan ahli politik dunia. Itu belum menyentuh tentang skandal lain didakwa melibatkan beliau yang khabarnya belum terdedah.

Anwar telah memalukan rakyat Malaysia dan umat Islam seluruh dunia. Beliau menjadi pagar yang memakan padi kepada masyarakat Islam bertamadun yang selalu dilaung-laungkannya. Ternyata sejarah berulang lagi. Beberapa kisah pemimpin Islam zaman lampau yang menyalahgunakan imej Islam untuk kepentingan diri dan nafsu serakah, nampaknya terus menguji umat Islam hari ini melalui skandal Anwar.

Jika rakyat negara luar seperti Turki malu dengan perbuatan para pemimpin pembangkang dalam skandal video seks dan masyarakat antarabangsa mengutuk perbuatan Strauss Kahn, apakah rakyat Malaysia mahu merelakan skandal seks Anwar dan pembohongannya?

Penghinaan

Pada hari ini keengganan Anwar mengakui perbuatannya dan melepaskan jawatan sebagai mengambil tanggungjawab, adalah penghinaan kepada rakyat. Aneh, semua ini melakar sejarahnya di Malaysia.

Masyarakat mesti menangani perbuatan terkutuk pemimpin seperti itu dengan cara yang betul. Selagi hipokrasi berterusan, jangan dibiar dan didiamkan. Dunia Barat tidak pernah berhenti bersuara menentang hipokrasi pemimpin jenis itu.

Beberapa penulis Barat seperti Christ Bardeux (http://newledger.com) turut melemparkan kritikan keras terhadap Anwar dan Strauss kerana cuba menafikan perbuatan mereka termasuk keengganan untuk memberi DNA.

Dalam kaitan ini, tertarik kepada keluaran majalah Time terbitan 14 Mei, yang memaparkan skandal seks, pembohongan dan keangkuhan lelaki yang berkuasa. Persoalan di muka depan majalah itu ialah mengapa mereka bertindak seperti babi. Malah gambar binatang itu juga dimuatkan di muka depan. Renungkan mesejnya.-UM.

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan