Bulan lalu, Kerajaan Negeri Selangor dilaporkan melarang artis sama ada tempatan mahu pun luar negara yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral mengadakan persembahan terbuka di negeri pentadbiran trio 3P - DAP-PKR-Pas.
Kenyataan berkaitan dikeluarkan oleh Exco Selangor, Dr. Hassan Mohd. Ali yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.
Beliau dilaporkan sebagai berkata: “Kita tidak akan memberi ruang (adakan sebarang persembahan) kepada artis sedemikian kerana perlakuan kurang bermoral yang dilakukan sebelum ini dilihat akan memberi kesan negatif kepada golongan muda terutamanya yang menjadikan artis sebagai idola mereka.
“Kita bimbang para remaja akan terikut-ikut perlakuan artis tersebut dan sekali gus menyebabkan perlakuan sumbang di kalangan remaja meningkat di Selangor.
“Oleh itu dengan cara seperti ini, ia sedikit sebanyak dapat membendung kegiatan sedemikian daripada terus merebak,”.
Beliau merujuk kepada perihal yang melibatkan penyanyi Indonesia, Kris Dayanti yang mengaku hamil empat bulan walaupun baru berkahwin empat minggu sebelumnya.
Kata Hassan lagi: “Apa yang dilakukannya (mengandung luar nikah) itu adalah berdosa dan haram di sisi agama dan ini bukan contoh yang patut dicontohi oleh mereka (masyarakat).
“Kita tidak mahu anak-anak muda kita terlalu mengagung-agungkan personaliti seperti itu,”.
Kenyataan itu mendapat reaksi yang pelbagai daripada golongan artis.
Siapakah yang dimaksudkan artis yang tidak bermoral itu? Apakah yang dimaksudkan aktiviti tidak bermoral? Moral sinonim dengan akhlak, budi pekerti, budi bahasa, kesopanan, kesantunan, sopan santun, ketertiban, adab dan baik perangai.
Maka apakah definisi moral yang mahu ditekankan oleh kerajaan Selangor dalam menjaga generasi muda? Sudah tentu moral tidak terbatas kepada hubungan luar nikah sahaja sebaliknya aktiviti lain seperti melakukan aksi lucah, rogol, ketagihan arak, dadah dan sebagainya.
Hasrat kerajaan negeri itu memang dialu-alukan bagi membendung anak-anak muda daripada terjebak ke dalam kancah yang tidak diingini. Tetapi adakah mengharamkan artis terlibat mengadakan persembahan akhirnya hasrat murni tersebut tercapai? Adakah dengan melarang mereka yang ‘tidak bermoral’ ini mengadakan persembahan dapat membantu kerajaan negeri melahirkan insan berakhlak mulia?
Hiburan hanyalah salah satu daripada bidang yang sedikit sebanyak boleh mendorong anak-anak kita tidak bermoral. Hakikatnya masih banyak saluran lain yang akan mendorong anak-anak muda terjebak dalam kegiatan yang tidak diingini. Jika artis tidak bermoral dilarang ‘masuk’ Selangor tetapi mereka mungkin muncul di televisyen, Internet, kelab malam, pusat hiburan dan pelbagai sumber lain di mana-mana saja.
Inilah hakikat yang harus diterima. Maka larangan seumpama itu tidak akan memberi kesan yang besar sebaliknya sekadar menjejaskan ‘periuk nasi’ artis.
Bagaimanapun persoalan yang lebih besar kenapa sekadar hiburan dan artis? Bagaimana pula bidang lain? Dalam politik juga ada individu yang tidak bermoral.
Bagaimana jika artis yang didakwa tidak bermoral akhirnya ‘insaf’ dan menyertai parti politik lebih-lebih lagi Pas atau PKR? Adakah ketika itu dosa mereka diampunkan, menjadi ‘bersih’ seperti kain putih dan boleh muncul di pentas tetapi kali ini di pentas politik?
Sama ada hiburan atau politik, usahlah ‘memilih bulu’. Janganlah apabila melibatkan orang politik, maka kita akan berkata, itu hak peribadi. Sama ada aktiviti tidak bermoral itu melibatkan nafsu peribadi, untuk simpanan atau koleksi peribadi tetapi apabila ia tersebar luas melalui Internet dan sebagainya maka ia secara tidak langsung boleh dianggap terlibat dalam aktiviti tidak bermoral. Begitu juga orang politik turut terlibat dalam rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya.
Adakah atas nama politik, perbuatan mereka ini boleh dimaafkan? Adakah kerana politik, mereka yang tidak bermoral ini akan terus diberi tempat - memegang jawatan dalam kerajaan, dibenarkan berceramah malahan menyampaikan khutbah Jumaat?
Artis dan ahli politik adalah manusia. Pengaruh bukan sekadar datang daripada orang seni tetapi juga orang politik. Orang muda juga berminat dalam politik. Adakah membiarkan orang politik yang tidak bermoral, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya muncul di pentas poltik, maka kesannya jauh berbeza berbanding melibatkan anak-anak seni yang didakwa tidak bermoral?
Kerajaan negeri perlu adil dan tidak bersikap double standard. Kenapa ahli politik yang tidak bermoral tidak dikenakan tindakan yang sama seperti dihadapi artis? Kenapa tidak diharamkan sahaja mereka daripada muncul di pentas politik?
Dalam politik, ramai penceramah yang tidak peduli soal adab sopan. Selak pernah menulis mengenai isu berkaitan di bawah tajuk Selak, dedah, londeh jadi mainan politik; Berbaloikah provokasi sesama insan hanya sekadar mencari undi?; Hilang adab sopan apabila ‘dibogel’ ‘dilondeh’ dalam blog; Apabila mulut mula berkata-kata, kemesraan pun hilang.
Seolah-olah sudah lumrah penceramah parti politik tertentu, banyak ceramah mereka mengaibkan orang, menghina, memaki hamun, mencarut dan macam-macam lagi. Adakah wajar penceramah seperti ini dibenarkan terus berceramah?
Di samping artis dan ahli politik tidak bermoral, niat murni kerajaan negeri tidak akan ke mana jika sumber lain yang menyumbang kepada gejala tidak sihat gagal dibendung. Kemunculan rumah urut haram, pusat hiburan yang berselindung di sebalik aktiviti tidak bermoral termasuk pelacuran dan macam-macam lagi juga mendorong anak-anak muda terlibat dalam kegiatan tidak diingini.
Maka Kerajaan Negeri Selangor perlu melihat semula pelbagai sumber yang mendorong kegiatan tidak bermoral ini. Jangan sekadar mencari silap orang lain.-UM.
Wasabi Oyabun..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan