Kredibiliti pihak polis akan terus terjejas jika masih teragak-agak untuk mendedahkan identiti pelaku dalam rakaman video seks sedangkan seseorang telah dikaitkan dengan skandal itu.
Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim berkata, polis akan dituduh mempunyai kepentingan politik jika terus bermain 'tarik tali' memandangkan video seks itu sudah menjadi isu nasional.
"Apa lagi polis nak tunggu? Siasatan sudah lengkap dan disahkan tulen oleh pakar antarabangsa, dedahkanlah siapa pelakunya. Rakyat bukan sekadar hendak tahu ketulenan video tapi lebih penting siapa pelakunya.
"Jangan sampai masyarakat melihat polis pun mengikut rentak tarian orang politik. Kalau bukan polis yang dedahkan pelaku, pihak mana lagi yang hendak diharapkan. Ini bukan lagi soal ada keperluan perundangan atau tidak.
"Seseorang sudah dikaitkan dan saya yang menonton juga yakin tetapi pemimpin tersebut menafikan. Jadi penting polis sahkan siapa pelaku agar kekeliruan ini ditamatkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas keengganan polis mendedahkan identiti pelaku dalam video seks meskipun pakar dari Korea Selatan serta Amerika Syarikat mengesahkan bahawa video tersebut tulen dan bukan menggunakan teknik pertindihan.
Dalam pada itu, Zaid yang juga pengamal undang-undang berkata, Anwar Ibrahim boleh didakwa kerana membuat laporan palsu jika terbukti pelaku dalam video seks tersebut adalah dirinya.
"Sudah tentu Anwar boleh didakwa, tiada sebarang keraguan mengenai peruntukan undang-undang untuk pendakwaan tersebut jika terbukti dia membuat laporan palsu. Sebab itulah pentingnya identiti pelaku didedahkan.
"Jika benar lelaki dalam video seks tersebut Anwar, dia harus didakwa atas kesalahan membuat laporan palsu. Semua pihak tidak boleh dwi standard dalam hal ini kerana jika kita menghormati nilai perundangan, pendakwaan perlu dibuat," katanya.
Timbalan Ketua Polis Negara sendiri sudahpun memberi perakuan akan ketulenan video seks tersebut dan menyerah kepada orang ramai untuk membuat penilaian sendiri tentang siapa pelaku sebenar dalam video tersebut. Persoalannya disini adalah sampai bila " teka-teki " ini harus berlarutan?
Wasabi Oyabun..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan