Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Rabu, 21 Julai 2010

Mufti Perak : Saya tidak berbohong !

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan beliau tidak berbohong mahupun mengkhianati sesiapa berhubung kenyataannya sebelum ini bahawa ada pemimpin UMNO dan Pas menemuinya berbincang mencari jalan untuk menyatupadukan orang Melayu. :

“Mereka (Pas) hendak kata saya tipu, biarkanlah... memang kerja mereka...Saya kata memang ada pemimpin Pas yang datang menemui saya, pemimpin UMNO pun ada jumpa saya.

“Dia bukan minta jadi orang tengah antara Pas dan UMNO, dia minta pandangan untuk mencari jalan macam mana untuk menyatupadukan orang Melayu. Sudah memang jelas UMNO dan Pas sekarang bergaduh, jadi semua orang faham saya sebagai orang tengah kedua-dua parti itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ditanya siapakah pemimpin UMNO dan Pas yang menemuinya, Harussani enggan mendedahkan individu terbabit demi menjaga nama baik dan amanah yang diberikan terhadapnya.

“Saya seorang mufti, takkanlah saya nak membohong. Cuma saya tak nak sebut nama orang yang bertemu dengan saya itu... Jadi saya tidak membohong. Dia nak tuduh saya membohong itu dia punya pasal.

“Yang penting dia seorang Islam atau tidak... berjuang atas nama Islam atau tidak, kenapa nak bersekongkol dengan yang lainnya,” katanya.

Menurutnya, bukan setakat pemimpin UMNO dan Pas, beliau sedia bertemu dengan mana-mana pihak yang ingin mendapatkan pandangan dan pertolongan mengenai perkara itu kerana sebagai seorang Islam, beliau bertanggungjawab mempertahankan perpaduan dan memberi perhatian terhadap isu-isu berkaitan agama Islam.

“Islam menyuruh kita bersatu padu. Haram bagi kita berkelahi... kerana perselisihan begini akan memecahbelahkan bukan sahaja Melayu malah Islam itu sendiri.

“Biarlah orang lain ambil kesempatan atas apa yang saya nyatakan...saya tidak fikirkan siri sendiri atau anak-anak saya, tapi saya fikirkan nasib cucu-cucu serta generasi akan datang jika kita berpecah-belah,” katanya.

Harussani sebelum ini dilaporkan bersedia menjadi perantara bagi pertemuan kedua-dua pemimpin Pas dan UMNO demi perpaduan Islam walaupun ada pihak yang tidak menyenangi usaha murni itu.

Beliau yang menyatakan tidak mempunyai hak untuk menentukan perkara berkenaan bagi kedua-dua pihak mengakui terdapat pemimpin parti-parti itu menemuinya tetapi bukan bagi mewakili mana-mana parti secara rasmi.

“Mereka datang atas nama Islam dan Melayu, Allah menyuruh kita supaya bersatu padu seperti mana tertulis dalam al-Quran. Kalau kita mengaku Islam, kenapa kita perlu tolak perpaduan?” katanya.

Sebelum itu semalam : Dua Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub menafikan pertemuan itu dengan menyifatkan kenyataan Harussani sebagai satu fitnah dan pembohongan. Pas menafikan kenyataan Harrussani bahawa terdapat wakil daripada parti itu menemuinya untuk menjadi orang tengah dan menganggapnya sebagai satu pembohongan.

Mahfuz berkata , Pas tidak pernah memutuskan untuk meminta Harussani menguruskan pertemuan Pas dan UMNO bagi membincangkan penyatuan orang Melayu dan Islam.

“Kenyataan Harussani itu satu fitnah dan pembohongan. Tidak ada, beliau cuba memburukkan dan menimbulkan keraguan di kalangan rakyat seolah-olah ada pemimpin Pas yang hendak membelakangkan parti dalam isu ini,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang turut serta dalam sidang media tersebut mengulangi pendirian Pas tidak pernah membincangkan isu kerjasama dengan UMNO. “Kami sudah memutuskan sudah tutup bab perbincangan mengenai kerjasama politik dengan UMNO. Kalau Pas ada membincangkan soal ini, sudah pasti saya dan Datuk Mahfuz sudah tahu,” katanya.

Sabtu lalu, Harussani mendedahkan bahawa beliau mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak yang tidak menyenangi usaha murni beliau ini.

Harussani berkata, terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.

Komen : Nak Tanya kepada kedua-dua Naib Presiden PAS ini, siapa yang sebenarnya berbuat fitnah atau pembohongan! Nampak sangat kumpulan ‘ Erdogan ‘ di dalam PAS yang dinaungi oleh Anwar Ibrahim teramat fobia dan takut kepada perpaduan umat. Kenapa ya? Wallahuallam.

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan