Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Sabtu, 19 Jun 2010

Apabila Karpal Kapla Pusing : Tian Chua patut digugur sebagai Ahli Parlimen!

Satu persoalan telah timbul sama ada pemimpin pembangkang, Tian Chua perlu mengosongkan kerusi Parlimen Batu selepas Mahkamah Tinggi semalam mengurangkan dendanya kepada RM2,000 kerana menggigit seorang anggota polis pada Disember 2007.

Pengerusi DAP, Karpal Singh hari ini berkata, kerusi Parlimen itu perlu diisytiharkan kosong mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa seorang Ahli Parlimen hilang kelayakan jika beliau disabitkan oleh mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan dia tidak mendapat pengampunan.

Karpal berkata, mengikut Perkara 53 perlembagaan itu, seorang Ahli Parlimen akan hilang kelayakan serta-merta jika dia tidak merayu keputusan mahkamah dalam tempoh 14 hari.

Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, ialah Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Karpal yang juga seorang peguam memberitahu media di Kompleks Mahkamah Jalan Duta bahawa pada 1975, Ahli Parlimen DAP, Fan Yew Teng terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen Menglembu selepas dia dihukum penjara enam bulan dan didenda RM2,000 selepas disabitkan kesalahan mengikut Akta Hasutan.

Bagaimanapun, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Tian Chua bertegas bahawa anak guamnya masih kekal sebagai Ahli Parlimen dan hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf.

Hakim Datuk Ghazali Cha ketika mendengar rayuan Tian Chua, mengetepikan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM3,000 yang dijatuhkan Mahkamah Majistret pada Oktober tahun lepas dan menggantikannya dengan hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara.

Dalam penghakimannya, hakim itu berkata, Tian Chua mungkin hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika hukuman terdahulu dilaksanakan dan satu pilihan raya kecil perlu diadakan. Amer Hamzah berkata, dalam kes Leong Yin Ming pada 1993, Mahkamah Agung ketika itu memutuskan bahawa perkataan 'tidak kurang lima tahun' bermaksud lima tahun dan sehari, dan ini boleh diguna pakai dalam kes Tian Chua.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, keputusan sama ada kerusi Parlimen Batu kosong atau sebaliknya setelah penyandangnya disabitkan kesalahan dan denda oleh mahkamah, akan hanya diputuskan oleh pejabat Speaker Dewan Rakyat.

Beliau berkata, perkara itu termaktub dalam Perkara 53 Perlembagaan Persekutuan bahawa pejabat Speaker Dewan Rakyat yang mempunyai kuasa bagi menentukan status sesebuah kerusi Parlimen berkenaan.

Perkara 53 (1) menyebut: ''Jika berbangkit apa-apa persoalan sama ada seorang ahli Majlis Parlimen telah hilang kelayakan, soal itu hendaklah diputuskan oleh Majlis Parlimen dan keputusan itu adalah muktamad.''

''SPR hanya menunggu notifikasi atau pemakluman rasmi daripada Pejabat Speaker Dewan Rakyat sama ada kerusi Parlimen Batu kosong atau sebaliknya. Buat masa ini, SPR tidak mengambil apa-apa tindakan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. - BERNAMA

Wasabi Oyabun

Tiada ulasan:

Catat Komen