Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Rabu, 10 Februari 2010

Tindakan tegas ke atas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu - Anwar!


Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin bakal menerima padah ekoran kenyataannya yang mendakwa pakatan pembangkang tidak memerlukan DAP.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan tegas akan dikenakan ke atas Zulkifli termasuk kemungkinan untuk sekali lagi mengheretnya ke Lembaga Disiplin PKR.

"Itu pandangan peribadi dia yang bertentangan dengan pendirian pimpinan dan dasar pakatan pembangkang serta PKR," katanya selepas menghadiri prosiding berkaitan kes perbicaraan kes liwatnya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini

Mengulas dakwaan itu dan tindakan yang boleh diambil ke atas Zulkifli, Anwar berkata: "Ia dalam proses mesyuarat jawatankuasa disiplin dan kita akan tegas.

"Kita tidak mahu lagi orang cari alasan apa-apa. Kita kena ikut dasar dipersetujui dan kalau tidak setuju, kita tiada pilihan."

Anwar menambah, dalam Konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam baru-baru ini, ketiga-tiga parti gabungan itu telah memutuskan untuk saling menerima di antara satu sama lain.

"Kita juga terima beberapa prinsip asas Perlembagaan seperti bahasa, hak keistimewaan Melayu, agama Islam dan kedudukan raja-raja tetapi semuanya telah dipermainkan oleh media UMNO untuk memecahbelahkan Melayu dan Cina.

"Kini, ia masih diteruskan. Media UMNO masih memperbesarkannya seolah-olah DAP menentang hak keistimewaan Melayu yang sepatutnya tidak berbangkit kerana pimpinan DAP, PKR dan Pas telah menandatangani permuafakatan bersama," ujarnya.

Ditanya pandangannya berhubung keinginan Pas untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO, Ketua Pembangkang itu menganggap ia bukan satu masalah kepada pakatan berkenaan.

"Tidak ada masalah, kita tidak pernah larang perbincangan dengan sesiapa pun dan pimpinan Pas turut memaklumkan kepada kita mengenai perkembangan semasa.

"Kita yakin kalau soal prinsip, Pas masih bersama pakatan pembangkang menentang kezaliman, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan (perkara) itu tidak akan berganjak sedikit pun," tegasnya.

Sebelum itu : DAP tidak mahu layan Zulkifli!

DAP tidak akan melayan kecaman Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin terhadap parti itu. Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw berkata, kecaman Zulkifli juga bukannya sesuatu yang penting untuk diambil kira oleh pihaknya.

Manusia memang banyak mulut, kita pun tak boleh nak tutup mulut orang yang mengata kita. "Bagi saya ini (kecaman Zulkifli) tidak penting sama sekali," katanya sewaktu dihubungi, di sini hari ini.

Malam kelmarin sewaktu ditemu bual dalam program Soal Jawab yang disiarkan secara langsung oleh TV3, Zulkifli menegaskan, DAP tidak diperlukan dalam pakatan pembangkang kerana parti itu menjadi punca utama kepada semua masalah dalaman pakatan tersebut.

Beliau yang merupakan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, kes pusat penyembelihan babi di Kedah dan peletakan jawatan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Fairus Khairuddin sebahagian contoh tindak-tanduk DAP sebagai "duri dalam daging" bagi pakatan pembangkang.

Mengulas lanjut, Seng Giaw turut menafikan parti-parti yang menganggotai pakatan pembangkang kini sudah tidak lagi serasi. Katanya, bukti keserasian di kalangan pimpinan tertinggi pakatan pembangkang adalah jelas malah ia turut merangkumi kerjasama di luar isu politik.

"Bila Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim naik mahkamah, DAP jugalah yang membela, bukankah Karpal itu Pengerusi DAP? "Sesiapa yang masih cakap kita tidak 'ngam' saya tak tahulah, saya tak nampak dari sudut mana kita tidak 'ngam','' tegasnya.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar juga senada dengan Seng Giaw dan menyifatkan kenyataan itu tidak perlu dilayan. Kata beliau, Pas, PKR dan DAP akan mengukuhkan kerjasama bagi menentang musuh politik yang sama iaitu UMNO.

Wasabi Oyabun

Tiada ulasan:

Catat Ulasan