Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Ahad, 31 Januari 2010

Selamatkan Malaysia dari siapa?

TIBA-TIBA suhu dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) naik mendadak menjelang perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim terhadap pembantunya, Saiful Bukhari Azlan pada 2 Januari ini.

Semua usaha digerakkan. Selain Anwar melancarkan siri jelajah atau road show untuk pertahankan dirinya, penerbitan akhbar dan laman web parti berkenaan menyeru agar rakyat bangkit. Laporan utama di muka hadapan penerbitan rasmi parti itu bertajuk, Selamatkan Malaysia selain tulisan peguam bela Anwar, S. Sivarasa (Ahli Parlimen PKR) yang kononnya membuktikan beliau tidak bersalah. Seperti yang sudah dijangka, strategi Anwar ialah membakar sentimen rakyat.

Kalau tidak silap tiada mana-mana personaliti dan tokoh dalam dunia yang mengadakan road show apabila mahu dihadapkan ke mahkamah. Tetapi Anwar unik. Beliau tetap mahu mengheret rakyat dalam kes moralnya dan mengaitkan segala-galanya sebagai konspirasi. Keghairahan Anwar mengadakan perbicaraan di luar mahkamah untuk memberikan perspektif keadilannya, adalah tidak wajar. Mengapa perlu gundah dan takut jika yakin di pihak yang benar?

Anwar adalah pemimpin sebuah parti menggunakan nama keadilan rakyat tetapi ternyata beliau hanya memikirkan keadilan untuk dirinya dan bukan untuk Saiful. Apakah kerana Saiful rakyat kecil, hak keadilan untuk beliau boleh dinafikan begitu sahaja. Berdasarkan maklum balas yang diterima, sambutan terhadap road show tersebut tidaklah seberapa.

Sentimen sudah berubah. Ramai penyokong Pas tidak lagi teruja dengan pemimpin PKR itu sebagaimana kes liwat pertamanya, sebelum ini. Sesi penjelasan Anwar bagi sebahagian yang hadir, kurang terkesan di hati mereka. Tetapi road show itu juga bertujuan membina momentum bagi menarik kehadiran ramai pada hari perbicaraan nanti, yang beliau sedia untuk melambaikan tangan kepada mereka.

Kita tidak kisah sama ada nanti Anwar menang atau kalah dalam perbicaraan, biarlah mahkamah menentukan. Yang penting ialah keberanian menghadapi kes itu dengan jiwa besar. Kalau Saiful boleh menampakkan ketenangannya, mengapa tidak Anwar. Lebih menimbulkan persoalan mengapa beliau mahu menangguh-nangguhkan kes tersebut atas pelbagai alasan sehingga tidak boleh diterima dek akal? Akibatnya ada golongan pada awalnya menyokong beliau, kini turut ragu-ragu.

Dalam perkembangan terbaru, Anwar sudahpun mengemukakan 13 saksi alibi termasuk isterinya, Dr. Wan Azizah Ismail. Berikutan itu, polis telah mengambil keterangan Wan Azizah bagi kali kedua, baru-baru ini yang mencetuskan rasa tidak puas hati di pihak Anwar kerana polis pernah berbuat demikian dua tahun lalu. (Tanpa disedari kes Anwar ini sudah memakan masa begitu lama sejak aduan polis dibuat tetapi belum dapat dibicarakan).

Polis dalam kenyataannya menjelaskan, keterangan kali kedua terpaksa diambil kerana Sivarasa dalam laporan media, tidak ingat sama ada Wan Azizah telah dikemukakan sebagai saksi oleh pihaknya atau tidak. Dengan adanya saksi alibi, kita tidak nampak mengapa Anwar perlu mencari jalan untuk menangguhkan lagi perbicaraan. Tiada alasan lagi. Memandangkan Anwar sentiasa mempolitikkan kes berkaitan isu moralnya ini, ia secara tidak langsung mengundang persepsi negatif terhadap beliau.

Bahkan, semakin ramai melihat Anwar telah mempertaruhkan agama dan bangsa bagi menjayakan percaturan politiknya, yang keuntungan dinikmati oleh bukan Islam. Pendirian beliau dalam banyak isu kritikal seperti membenarkan Chin Peng pulang, menyokong agenda DAP menuntut hak kesamarataan, menolak semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi gereja Katholik, ternyata bermotif politik. Bahkan, sudah ada gerakan secara senyap-senyap melakukan sembahyang hajat dan mendoakan agar Malaysia diselamatkan daripada orang bernama Anwar Ibrahim.

Wasabi Oyabun

2 ulasan:

  1. Waalaikumusalam Otai..apa khabar? Lama tak dengar berita. Semuga ceria-ceria sokmo ya..hehehe

    Salam perjuangan..

    BalasPadam