Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Jumaat, 22 Januari 2010

Khalid Samad buat hal lagi!

Khalid Abdul Samad hari ini mencadangkan supaya 25 kalimah yang dilarang penggunaannya oleh bukan Islam termasuk Allah di negeri ini dikaji semula kerana ia sudah ketinggalan zaman.

Beliau berkata, larangan tersebut yang terkandung dalam Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 sepatutnya diubah suai dan dibahas secara ilmiah.

Menurut Yang Dipertua Pas Shah Alam itu, semasa enakmen tersebut diluluskan tahap kefahaman umat Islam terhadap agama mereka sendiri mungkin masih begitu lemah sehingga perlu dilindungi sedemikian rupa.

''Enakmen itu boleh dikaji semula dari semasa ke semasa dan sekiranya kefahaman umat Islam semakin mantap, tiada sebab ia tidak boleh dikaji semula atau diubah suai.
''Umat Islam kena ingat, kita bertanggungjawab dan berkewajipan untuk menjelaskan risalah Islam kepada semua dan menyeru manusia kepada Allah, bukan menghalang mereka daripada menyebut nama-Nya," kata beliau pada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya semua pihak di negeri ini berpegang teguh pada pendirian mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama selain Islam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa dilaporkan berkata, titah itu dinyatakan dalam pertemuan beliau dengan baginda pada 5 Januari lalu. Larangan itu seperti mana yang termaktub Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) yang diwartakan sejak tahun 1988.

Di bawah enakmen itu terdapat 25 kalimah yang dilarang pengunaannya oleh orang bukan Islam antaranya ialah Allah, ulama, hadis, ibadah, kiblat, haji, mufti, nabi, fatwa, khalifah, sheikh, imam, dakwah, wahyu dan mubaligh.

Selain kalimah tersebut, terdapat juga 10 perkataan yang turut dilarang digunakan oleh penganut bukan Islam seperti alhamdulillah, insya-Allah, Allahuakbar, Lailahaillallah, Masya-Allah, Astaghfirullah dan Subhanallah.

Sementara itu kata Khalid, enakmen itu juga merupakan undang-undang pentadbiran keagamaan dan bukan merupakan hukum yang bersifat 'qatii' atau mutlak yang tidak boleh diubah.

Dalam masa sama, beliau turut mengulangi cadangan supaya pentadbiran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan MAIS digantikan di kalangan mereka yang berpengetahuan agama, bebas dari kefahaman politik selain 'politik Islam'.

Jelas beliau, ramai ulama yang berpengalaman seperti Dr. Daeng Sanusi Daeng Mariok, Datuk Ismail Kamus dan Datuk Haron Din boleh diberi peluang untuk menerajui pentadbiran baru MAIS dan JAIS. ''Cadangan ini saya tujukan kepada sesiapa yang berkenaan dan jika berpeluang akan saya kemukakan kepada Sultan Sharafuddin ketika menghadap baginda kelak," katanya.

Khalid turut menafikan bahawa beliau tidak menghormati Sultan Sharafuddin apabila mengheret institusi di bawah naungan baginda ke kancah politik. Katanya, tuduhan yang dibuat dalam satu laporan polis oleh 16 badan bukan kerajaan (NGO) Shah Alam pada 18 Januari lalu adalah tidak benar.

Wasabi Oyabun

Tiada ulasan:

Catat Komen