Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Rabu, 10 Ogos 2011

Pengurusan Unisel perlu akur titah Sultan!

Pihak pengurusan Universiti Selangor (Unisel) perlu akur dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya tiada sebarang ceramah berbau politik diadakan di universiti milik kerajaan negeri itu.

Pengurusan Unisel seharusnya memahami mesej yang disampaikan oleh baginda yang dilihat benar-benar mahu memulihkan imej dan reputasi universiti itu yang semakin merosot sejak kebelakangan ini.

Tindakan menjemput pihak-pihak yang bermotifkan politik dalam apa jua program ceramah atau syarahan di universiti dilihat hanya mengundang keburukan kepada minda serta tumpuan para mahasiswa terhadap tujuan asal mereka berada di universiti itu.

Kita berasakan pengaruh politik yang dibawa masuk ke dalam Unisel secara melampau hanya memberi kesan negatif kepad imej, kredibiliti serta peranan sebenar universiti dalam membangunkan modal insan.

Maka, titah baginda yang melarang menjemput orang politik untuk adakan program politik di Unisel adalah tepat pada masanya. Baginda mahukan Unisel kembali sebagai sebuah pusat pengajian yang melahirkan modal insan yang cemerlang.

Titah Sultan Selangor semalam yang tidak memperkenankan pengurusan Unisel termasuk pentadbiran negeri pada hari ini menjemput orang politik untuk mengadakan ceramah atau syarahan politik di dalam kawasan kampus universiti itu.

Baginda mahu memastikan Unisel tidak dijadikan tempat berpolitik sehingga merosakkan peranan, imej serta reputasi universiti itu.

Wasabi Oyabun..

Isnin, 8 Ogos 2011

Pergolakan di Unisel : Baginda Sultan Selangor murka!



Hentikan politik kepartian di kampus, titah Sultan Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan supaya politik kepartian tidak dicampuradukkan dalam pengajaran di Universiti Selangor (Unisel) demi masa depan pelajar institusi itu.

Para profesor dan pensyarah perlu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada tugas-tugas mereka untuk mengajar dan berhenti daripada berpolitik di kampus kerana ia boleh menjejaskan masa depan pelajar, titah baginda ketika merasmikan Masjid Unisel Kampus Bestari Jaya di sini.

Baginda bertitah, adalah amat merugikan sekiranya seseorang pelajar itu membuang masa untuk berpolitik dan tidak menumpukan sepenuh perhatian terhadap akademik.

"Beta tidak berkenan orang-orang politik atau orang luar yang tidak ada kena-mengena dengan universiti ini dijemput memberi ceramah politik atau syarahan politik di dalam kawasan Universiti Selangor.

"Universiti ini adalah tempat untuk belajar, berbincang, dan mengembangkan idea mengenai ilmu serta membuat penyelidikan dan eksperimen tentang sesuatu projek atau penemuan yang boleh menaikkan lagi taraf industri di negeri ini,” titah Baginda.

Sultan Sharafuddin juga bertitah, baginda telah menerima pengaduan daripada ibu bapa yang prihatin mengenai isu berpolitik di Unisel dan jika ini berterusan, kemungkinan besar ada ibu bapa yang tidak akan menghantar anak-anak mereka untuk melanjutkan pelajaran mereka di universiti ini.

Daulat Tuanku.

Wasabi Oyabun..

Ahad, 7 Ogos 2011

Pelantikan Dr. Anuar pemangku NC mendapat bantahan dari Pelajar Unisel!

Mahasiswa Universiti Selangor (Unisel) membantah keputusan Lembaga Pengarah universiti itu melantik Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik, Prof. Dr. Anuar Ahmad sebagai pemangku Naib Canselor Unisel.

Ketua Umum Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi), Muhammeh Shahimi Ariffin menyifatkan pelantikan Dr. Anuar untuk memangku jawatan tersebut tidak akan menyelesaikan kemelut pentadbiran yang melanda Unisel ketika ini.

Beliau mendakwa pelantikan Dr. Anuar tidak akan membawa apa-apa perubahan terhadap hala tuju universiti berkenaan kerana TNC Akademik itu dikatakan antara salah satu nama yang terlibat dengan kemelut serta campur tangan politik dalam pengurusan Unisel.

Malah, katanya, pelantikan Dr. Anuar yang diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu dilihat tidak memenuhi salah satu tuntutan pihaknya yang mahukan rombakan dan pembersihan dalam Jawatankuasa Senat Unisel supaya bebas daripada unsur-unsur serta agenda kepentingan politik pihak tertentu.

"Kita tidak bersetuju dengan pelantikan ini kerana tidak akan memberi kesan kepada Unisel. Kita mahukan pembersihan universiti ini daripada pengaruh politik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Muhammed Shahimi bersama-sama 30 wakil pelajar Unisel mengadakan bantahan di hadapan pintu masuk Unisel, Bestari Jaya, Kuala Selangor bagi mendesak Abdul Khalid melakukan rombakan dan pembersihan semula kesemua ahli jawatankuasa senat bagi memastikan pengurusan tertinggi universiti itu bebas daripada pengaruh dan campur tangan politik.

Desakan itu dibuat ekoran kemelut pentadbiran yang melanda universiti itu yang mendapat tekanan politik sehingga membawa kepada perletakan jawatan Naib Canselornya, Datuk Dr. Rosti Saruwono pada 3 Ogos lalu.

Rombakan itu, menurut Muhammed Shahimi harus dilakukan Lembaga Pengarah Unisel termasuk Abdul Khalid selaku pengerusinya dengan tidak lagi melanjutkan kontrak empat ahli jawatan kuasa senat termasuk Dr. Anuar sendiri sebagai jalan penyelesaian kemelut perebutan kuasa pentadbiran universiti itu.

Kesemua empat ahli jawatankuasa senat itu, katanya, dituntut tidak dibenarkan memangku jawatan Naib Canselor atau terlibat secara langsung dalam isu kemelut berkenaan.

Wasabi Oyabun..

Jumaat, 5 Ogos 2011

Unisel jadi mangsa perebutan politik!

Desas-desus mengenai kedudukan Dr. Rosti Saruwono sebagai Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) yang kedengaran sejak hujung minggu lalu akhirnya benar-benar terjadi apabila beliau penuh nekad meletakkan jawatan itu berkuat kuasa Rabu lalu dengan notis 24 jam!

Seperti tindakan Kamikaze, keputusan yang dibuat oleh Rosti itu jarang berlaku. Tindakan itu benar-benar memaparkan sikap seorang ketua yang bertanggungjawab ke atas pegawai bawahannya. Beliau tidak sanggup melucutkan jawatan tiga pegawai kanan universiti milik Kerajaan Negeri Selangor itu tanpa mengikut prosedur.

Namun, oleh kerana arahan melucutkan jawatan pegawai tersebut datangnya daripada kuasa seorang Menteri Besar, maka jalan terbaik adalah beliau melepaskan jawatan Naib Canselor Unisel secara sukarela.

Ternyata kemelut yang melanda Unisel yang berjaya dihidu sejak kerajaan negeri mengambil langkah menjenamakan semula universiti daripada nama asal Universiti Industri Selangor. Peletakan jawatan Rosti menyaksikan kemelut itu ibarat 'bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru' lagi.

Apakah yang tidak kena dengan Rosti sebenarnya? Sedangkan pelantikannya dibuat sendiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Rosti yang berasal dari Klang itu dipelawa pulang ke Selangor untuk melakukan tugas 'khidmat negara' dan beliau bersetuju menyahut seruan murni itu.

Abdul Khalid melihat pengalaman Rosti yang pernah menjadi Rektor pertama Universiti Teknologi Petronas (UTP) sebagai aset penting untuk memajukan lagi Unisel.

Namun, apa yang menghairankan mengapa Menteri Besar tidak bersikap mempertahankan Rosti sebagaimana beliau begitu hebat mempertahankan Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki membabitkan masalah pengurusan kewangan yayasan itu.

Ihlam adalah orang pilihan Menteri Besar. Beliau dipanggil pulang ke tanah air untuk menerajui Yayasan Selangor meskipun panel pemilihan mencadangkan orang lain menerajui agensi pendidikan itu.

Berbeza dengan Rosti, Menteri Besar sedia maklum bahawa tekanan yang dihadapi bekas Naib Canselor Unisel itu adalah akibat politik dalaman yang ada unsur politik kepartian apabila terdapat usaha terancang peringkat tertinggi untuk menyingkirkan beliau sejak Januari lagi.

Faktor sentimen politik dan kem peringkat atasan kelihatan lebih dominan untuk membuatkan Rosti meletakkan jawatan meskipun dalam keadaan beliau dikatakan mendapat kepercayaan warga kampus termasuk lima daripada tujuh orang dekan di Unisel.

Abdul Khalid juga sedia maklum tentang kemelut itu lebih awal dan mungkin telah menyaksikan betapa serabutnya perbalahan di kalangan manusia akademik di Unisel itu.

Beliau telah menubuhkan pasukan petugas khas yang dianggotai oleh tiga ahli lembaga pengarah Unisel sendiri. Namun ia gagal diselesaikan, sebaliknya membiarkan kemelut itu berlarutan sekali gus memberikan tekanan kepada Rosti yang akhirnya terpaksa meletakkan jawatan Naib Canselor.

Difahamkan berlaku perebutan politik di Unisel apabila Pas dikatakan cuba memasukkan elemen pengaruhnya dalam pentadbiran universiti itu. Apatah lagi Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan dipegang oleh Dr. Halimah Ali dari Pas.

Menteri Besar dikatakan asyik ditekan agar mengambil tindakan ke atas Rosti. Pelbagai alasan dikeluarkan termasuk menimbulkan pelbagai kelemahan beliau. Namun apa yang ketara ialah soal politik dijadikan alasan utama mengapa Naib Canselor perlu diganti.

Sepatutnya masalah harus diselesaikan di peringkat dalaman seperti Lembaga Pengurusan Unisel dan bukannya bertindak sehingga peringkat membawa dakwaan-dakwaan tertentu membabitkan kontrak-kontrak telekomunikasi hingga ke peringkat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Gerakan terancang pengurusan atasan Unisel antaranya menimbulkan persoalan mendakwa Rosti lebih mengutamakan Putrajaya berbanding Selangor. Beliau dituduh tidak menghayati dan tidak menyokong perjuangan kerajaan pakatan pembangkang antaranya dikatakan tidak tunjuk muka semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Sedangkan apakah kaitan seorang Naib Canselor untuk turun berkempen pada pilihan raya kecil itu. Selama ini parti pembangkang sering mengkritik Barisan Nasional jika terdapat jentera kerajaan digunakan semasa kempen.

Kem parti pembangkang dalam Unisel juga tidak puas hati apabila Rosti tidak hadir ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim datang ke Unisel. Beliau juga dikritik apabila dikatakan tidak selesa dengan kehadiran Penasihat Ekonomi Selangor itu dalam wacana 'Pendita Za'aba' di universiti itu.

Ketika program itulah Anwar tanpa segan silu menyatakan Unisel adalah satu-satunya universiti yang membenarkan beliau masuk. Sesi wacana tersebut telah diambil kesempatan oleh Anwar untuk menggunakan pemikiran kritikal Za'aba bagi menghentam kerajaan.

Rosti juga dikritik kerana dikatakan tidak membenarkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan untuk berceramah di Unisel atas jemputan persatuan pelajar universiti tersebut.

Dan yang terbaru apabila Rosti tidak memberikan kerjasama program politik melibatkan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Difahamkan masalah pengaruh parti politik itu telah dibawa kepada pengetahuan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan baginda dikatakan murka dengan keadaan tersebut.

Menteri Besar sepatutnya mengingati kembali titah Sultan Selangor semasa majlis penyampaian watikah pelantikan Tan Sri Raja Arshad Tun Uda sebagai Canselor Unisel yang baru pada Mac lalu yang mengingatkan agar Unisel tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan politik kepartian.

Ini kerana ia akan menjejaskan kepercayaan pelbagai pihak terhadap universiti tersebut. Selain itu Abdul Khalid perlu ingat tindakan Dr. Halimah mengumumkan pelantikan Raja Arshad lebih awal mendahului Sultan Selangor telah mencalarkan imej pentadbiran kerajaan negeri.

Jadi jangan biarkan elemen politik terus merebak dan menghancurkan prestasi Unisel untuk menjadi insitusi premier di negara ini. Pengurusan tertinggi Unisel wajar dibersihkan daripada campur tangan individu-individu yang cuba menanam pengaruh politik masing-masing.

Antara usaha terpenting sekarang adalah menyelesaikan masalah penurunan kemasukan pelajar baru seperti Fakulti Perniagaan yang dikatakan mengalami penurunan mendadak dari 5,000 kepada 2,600 pelajar sedangkan fakulti lain menunjukkan pertambahan.

Pada masa sama, kepimpinan tertinggi Unisel perlu menjalankan fungsinya dengan baik untuk kemajuan pendidikan dan pelajaran anak bangsa, selain mematuhi setiap prosedur yang ditetapkan oleh pihak berwajib, khususnya Kementerian Pengajian Tinggi.

Wasabi Oyabun

Khamis, 4 Ogos 2011

Usaha singkir Dr. Rosti bermula sejak Januari?

Meskipun peletakan jawatan Datuk Dr. Rosti Saruwono sebagai Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) hanya berkuat kuasa semalam, namun, hakikatnya usaha untuk menyingkirkan beliau dari jawatan itu telah digerakkan secara terancang sejak Januari lalu.

Gerakan tersebut dipercayai bermula selepas beberapa pegawai kanan Unisel tidak berpuas hati kerana tidak dilantik untuk mengetuai pentadbiran universiti milik kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor itu.

Kesemua pegawai kanan universiti yang menggerakkan usaha menjatuhkan Dr. Rosti itu, dipercayai dipengaruhi oleh beberapa pemimpin pembangkang yang bimbang sekiranya ‘orang’ mereka tidak dilantik ke jawatan tertinggi itu, program untuk mempromosikan parti mereka akan terencat.

Menurut sumber dalaman Unisel, semuanya bermula apabila calon yang mendapat sokongan salah sebuah parti komponen pembangkang untuk menjadi proksi mereka di dalam universiti tersebut tidak diangkat ke jawatan tertinggi itu.

Pada Januari lalu, pegawai kanan tersebut, ada menyerahkan satu memorandum kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang memfitnah Dr. Rosti dengan pelbagai tuduhan termasuk kegagalan beliau terlibat aktif dalam aktiviti yang dianjurkan oleh pakatan pembangkang.

‘‘Antara perkara yang disebut dalam memorandum itu adalah kegagalan Dr. Rosti untuk hadir membantu jentera pembangkang pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor tahun lalu kerana beliau memberi alasan tidak mahu memihak kepada mana-mana parti.

‘‘Selain itu, Dr. Rosti juga diselar hanya kerana beliau tidak ‘tunjuk muka’ ketika Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim melakukan lawatan ke kampus Unisel di Bestari Jaya selepas beberapa bulan beliau dilantik ke jawatan itu,” kata sumber tersebut kepada di sini hari ini.

Memorandum itu juga menyelar tindakan Dr. Rosti yang tetap bertegas tidak mahu mempolitikkan institusi pendidikan selepas beliau menolak cadangan untuk menjemput Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am Pas berceramah di kampus Unisel.

Bagaimanapun, menurut sumber itu, Dr. Rosti berjaya mendapat sokongan lima daripada tujuh dekan di Unisel, walaupun beliau teruk difitnah dengan pelbagai tuduhan oleh pihak atasan di universiti tersebut.

‘‘Dengan bukti dan hujah yang disebutkan itu jelas menunjukkan bahawa Dr. Rosti menerima tekanan politik daripada pihak pembangkang sepanjang beliau menjawat jawatan tertinggi di universiti tersebut hanya kerana ketegasannya tidak mahu institusi pendidikan diperalatkan oleh mana-mana parti politik,” kata sumber itu.

Wasabi Oyabun..

Rosti bertindak kerana kebenaran!

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar mengucapkan tahniah kepada Datuk Dr. Rosti Saruwono kerana berani melepaskan jawatan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) demi menegakkan kebenaran.

Menurut beliau, apa yang berlaku sehingga Rosti meletakkan jawatan jelas menunjukkan pentadbiran kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mengurus negeri mengikut sesuka hati mereka.

''Mereka juga bukan tahu mematuhi undang-undang. Ini kerana PKR yang kini memerintah Selangor, satu ketika dahulu ditubuhkan atas demonstrasi jalanan.

''Bila memerintah pun, mereka tak tahu mematuhi undang-undang termasuk apabila berhadapan dengan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohammed Khusrin Munawi, awal tahun ini. Undang-undang kata boleh melantik Mohammed Khusrin tetapi dia kata tak boleh.

''Dalam isu Unisel begitu juga. Kerajaan negeri sebenarnya tidak memberi apa-apa sumbangan pun kepada pendidikan negeri. Apa yang jelas, mereka mencampur aduk pendidikan dengan politik,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas peletakan jawatan Rosti dengan notis 24 jam dipercayai akibat tekanan politik dalaman dan pentadbiran kerajaan PKR Selangor. Mengulas lanjut, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, campur tangan kerajaan PKR Selangor terhadap pendidikan negeri tidak terbatas kepada Unisel sahaja.

Sebelum ini, jelasnya, penubuhan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang hendak diusahakan Yayasan Basmi Kemiskinan di Serendah turut mendapat campur tangan pimpinan negeri.

''Mereka tidak sokong. Dan terbaru mengenai Asrama Yayasan Selangor di ibu negara yang diarah dikosongkan.

''Inilah bukti jelas bagaimana pentadbiran negeri boleh diumpamakan seperti 'kera dapat bunga'. Mereka banyak merosakkan apa yang telah dibangunkan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini,'' tambahnya.

Sementara itu : Tiga pegawai bertugas seperti biasa

Tiga pegawai Universiti Selangor (Unisel) yang dikatakan telah diarah dilucutkan jawatan mereka oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih bertugas seperti biasa di universiti itu.

Dekan Fakulti Perniagaan, Prof. Dr. Khalifah Othman; Pendaftar, Rokmaa Mat dan Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Korporat, Halid Hasbullah masih menjalankan tugas kerana tidak menerima surat arahan rasmi berhubung pelucutan jawatan mereka.

Menurut sumber, ketiga-tiga pegawai berkenaan akan bertugas seperti biasa sehingga surat pelucutan jawatan masing-masing diserahkan kepada mereka.

''Sebenarnya surat pelucutan jawatan mereka tidak diberikan kerana Naib Canselor, Datuk Dr. Rosti Saruwono enggan menandatangani surat tersebut.

''Jadi mereka ambil pendekatan tunggu dan lihat," kata sumber itu ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, Rosti meletak jawatan sebagai Naib Canselor Unisel dengan notis 24 jam berkuat kuasa hari ini dipercayai akibat tekanan politik dalaman dan pentadbiran Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.

Difahamkan, tindakan Rosti itu sebagai membantah keputusan pelucutan jawatan Khalifah, Rokmaa dan Halid yang dicadangkan dalam satu rumusan memorandum yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Siasatan Exco Kerajaan Negeri.

Memorandum itu disediakan dan ditandatangani oleh empat pegawai tertinggi lain di Unisel pada 16 Mei lalu terhadap tiga pegawai kanan Unisel berkenaan atas tuduhan tertentu yang dipercayai membabitkan salah tadbir urus universiti itu.

Tuduhan yang disertakan dalam memorandum berkenaan turut melibatkan Rosti yang dicadangkan meletak jawatan dan digantikan dengan serta-merta. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikatakan telah mengeluarkan arahan kepada Naib Canselor itu untuk memecat tiga pegawai berkenaan.

Wasabi Oyabun,..

Selasa, 2 Ogos 2011

Macam ada yang tak kena - Dr. Rosti letak jawatan NC Unisel dengan notis 24 jam!

Datuk Dr. Rosti Saruwono mengambil keputusan meletakkan jawatan selaku Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) dengan notis 24 jam berkuat kuasa esok. Beliau mengesahkan peletakan jawatannya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Ada keputusan yang saya tak sanggup laksanakan iaitu untuk melucutkan jawatan tiga pegawai Unisel tanpa proses sewajarnya,” katanya ketika menjelaskan antara punca beliau meletakkan jawatan.

Menurut sumber, Rosti telah diarahkan oleh kepimpinan Unisel untuk melucutkan jawatan tiga pegawai – Pendaftar Rokmaa Mat, Dekan Fakulti Perniagaan Prof Dr Khalifah Othman dan Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Korporat Halid Hasbullah.

Berasal dari Klang, Selangor Rosti pernah berkhidmat sebagai Timbalan Presiden Bahagian Pendidikan Petronas dan rektor pertama Universiti Teknologi Petronas (UTP) sebelum dilantik sebagai Naib Canselor Unisel pada 2 Mac, 2009.

Beliau menggantikan Prof Datuk Dr Mohd Razali Agus yang mengosongkan jawatan itu pada Julai 2008.

Macam ada sesuatu yang tak kena berlaku! Kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang. Adakah ini kerja-kerja kroni MB Khalid dan Anwar yang hendak menyingkirkan Dr. Rosti bersama-sama 3 orang pegawai yang lain. Adakah Dr Rosti dipaksa meletakkan jawatan Naib Canselor Unisel akibat tekanan politik!

Semasa baru dilantik, Rosti berkata beliau tidak akan menjadi “Pak Turut” kepada mana-mana pihak dan ingin memastikan institusi pengajian tinggi swasta milik kerajaan negeri itu tidak dijadikan medan berpolitik. Sama-samalah kita tunggu dan lihat nanti apa yang sebenarnya berlaku.

Wasabi Oyabun..