Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Rabu, 14 November 2012

Nurul angkat ideologi politik bapa?



Golongan muda di negara ini menyelar sekeras-kerasnya kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berhubung kebebasan beragama dengan menyifatkannya sebagai berbahaya kepada kedudukan agama Islam dan akidah ummah.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili generasi itu berkata, tindakan Ahli Parlimen Lembah Pantai tersebut membuktikan hakikat Nurul Izzah berjuang untuk kepentingan keluarganya semata-mata terutama dalam mengangkat ideologi politik bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukan demi kepentingan rakyat terutama umat Islam.

Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Mohd. Shahar Abdullah berkata, rata-rata golongan muda terkejut dengan kenyataan terbaru Nurul Izzah itu memandangkan selama ini beliau tampil dengan imej Islamik di khalayak ramai.

"Golongan muda tidak pernah leka dalam memastikan kedaulatan agama Islam di negara ini tidak tergadai meskipun dihidangkan dengan kepesatan informasi maklumat yang pelbagai.

"Sehubungan itu, kami melihat tindakan Nurul Izzah ini sebagai titik kejatuhan karier beliau. Sebagai seorang ibu, Nurul Izzah sepatutnya sedar kenyataannya itu turut memberi impak kepada masa depan anak-anaknya yang kian membesar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Baru-baru ini, Nurul Izzah seperti dipetik menerusi laporan portal propembangkang Malaysiakini berkata: "Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama... mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata."

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta forum Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab? iaitu sama ada orang Melayu perlu diberikan kebebasan beragama seperti orang bukan Melayu di Subang Jaya.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, Melayu di bawah Perkara 160 (2) ditakrifkan sebagai seorang yang beragama Islam, bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.

Dalam pada itu, Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Ezaruddin Abd. Rahman menganggap Nurul Izzah sebagai pemimpin dengan ego tinggi kerana enggan mengakui kesalahannya.

Menurutnya, sifat itu semakin terserlah apabila beliau menyalahkan laporan media demi menutup aib sendiri.

Sebagai pemimpin, Nurul Izzah harus bertanggungjawab dengan sebarang kenyataan yang dikeluarkannya. "Jangan menuding jari kepada pihak lain tetapi membersihkan diri dengan permohonan maaf dan menarik semula kenyataan berkenaan," katanya.

Menurut Ezaruddin, beliau bimbang keengganan Nurul Izzah memohon maaf akan memberi impak kepada penyokong pembangkang generasi muda yang merasakan kehidupan tanpa berpandukan agama Islam sebenar sebagai sesuatu yang wajar.

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan