Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Selasa, 27 November 2012

MB Khalid cuba main silap mata lagi - Kertas putih air Selangor tanpa cadangan konkrit?



Baru-baru ini kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor telah membentangkan kertas putih bagi memperjelas isu status penstrukturan semula air di negeri itu.

Kertas putih 'Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya' yang disediakan oleh Unit Perancang Ekonomi Selangor diedarkan di Dewan Undangan Negeri Selangor.

Langkah untuk memperjelaskan isu itu nampaknya telah mencetuskan lebih banyak persoalan apabila ia tidak menjelaskan secara terperinci langkah-langkah yang akan diambil bagi membolehkan penstrukturan itu dilaksanakan walaupun tiga kali tawaran pengambilalihan kepada syarikat pemegang konsesi telah ditolak.

Keempat-empat syarikat konsesi itu ialah Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. (PNSB), Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (SPLASH), Konsortium ABASS Sdn. Bhd. (ABASS) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).

Di muka surat 12 kertas putih itu jelas tertera jadual yang menunjukkan rundingan-rundingan di antara kerajaan PKR Selangor dengan keempat-empat syarikat konsesi air itu.


Rundingan pertama telah berlangsung pada 13 Februari 2009 dengan penawaran harga sebanyak RM5.709 bilion bagi mengambil alih keempat-empat syarikat tersebut dan ia ditolak mentah-mentah oleh syarikat terbabit.

Rundingan kedua pula berlaku pada 25 Jun 2009, di mana sebanyak RM9.218 bilion telah ditawarkan kepada syarikat-syarikat itu.

Dalam penawaran itu, dua daripada syarikat tersebut iaitu ABASS dan SPLASH telah bersetuju menerima tawaran itu, manakala PNSB dan Syabas menolak.

Mengejutkan! Kesemua syarikat konsesi berkenaan menolak tawaran ketiga yang dibuat pada 31 Januari 2010 meskipun mereka ditawarkan dengan harga lebih tinggi bernilai RM9.227 bilion.

Persoalannya, mengapa ABASS dan SPLASH yang bersetuju dengan tawaran kali kedua mengubah fikiran mereka.

Sudah tentu ada yang tidak wajar dalam tawaran tersebut dan bukannya seperti didakwa kerajaan PKR Selangor dalam kertas putih itu iaitu syarikat konsesi menuntut nilai pampasan yang lebih tinggi daripada pulangan keuntungan 12 peratus yang ditawarkan.

Sebagai seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang 'tersohor'; Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak sepatutnya asyik menceritakan apa yang telah dibuat dan 'kesusahan' yang ditempuhinya, sebaliknya perlu menggunakan kepakaran dan kehebatannya bagi menjelaskan kepada rakyat, bagaimana beliau ingin menjayakan usaha mengambil alih syarikat konsesi terbabit yang melibatkan urus niaga berbilion ringgit.


Satu lagi yang dikesalkan, apabila kerajaan negeri dalam kertas putih berkenaan telah menyalahkan Kerajaan Pusat yang didakwa enggan turut serta dalam pengambilalihan syarikat konsesi itu.

Persoalannya, apakah benar Kerajaan Pusat enggan bekerjasama sedangkan di muka surat 18 kertas putih tertulis mengenai surat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyokong penuh penstrukturan semula tersebut.

Mengulas perkara itu, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran berkata, isu utama yang sepatutnya dijelaskan kerajaan Selangor - adakah penstrukturan itu akan membolehkan masalah kekurangan air di negeri itu selesai walaupun jika kerajaan negeri tetap menolak pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2.

Beliau berkata, loji baru itu adalah penting berikutan terdapat kes rizab simpanan air di Lembah Klang dilaporkan menurun kepada 2.4 peratus iaitu jauh lebih rendah daripada 20 peratus rizab simpanan air ideal.

Jelas beliau, rizab simpanan air merujuk kepada margin simpanan air terawat dan bukannya margin simpanan air mentah di negeri itu.

"Berdasarkan kenyataan Abdul Khalid sebelum ini, mungkin beliau tidak faham atau diberikan nasihat salah.

"Sekarang air mentah memang mencukupi tetapi jika Loji Rawatan Air Langat 2 tidak dibina, di mana kerajaan negeri nak cari rizab simpanan air baru jika permintaan air bersih tiba-tiba meningkat.

"Setiap loji ada kapasiti sendiri. Kalau empangan itu penuh pun, kita tak boleh ambil semua air dari kawasan itu bagi menampung peningkatan permintaan," katanya.


Abdul Khalid dilaporkan berkata rizab simpanan air yang tinggal 2.4 peratus tidak akan menjadi isu, jika air tidak berhasil (NRW) dapat dikurangkan sehingga 10 peratus.

Piarapakaran berkata, isu lain yang sepatutnya dijelaskan oleh kerajaan negeri adalah bagaimana ia hendak meningkatkan kecekapan pengurusan syarikat konsesi dan mengurangkan kehilangan NRW.

"Sebelum ini, kerajaan Selangor berkata rizab simpanan air tidak menjadi isu jika NRW dapat dikurangkan 10 peratus, tapi nak turun akan ambil masa lama. Tidak mungkin dalam masa setahun dua, sebab banyak paip perlu ditukar selain bergantung kepada sumber kewangan untuk tukar paip ini," ujarnya.

Setelah meneliti kertas putih 32 muka surat itu, apa yang dapat disimpulkan, ia adalah terlalu ringkas tanpa sebarang cadangan yang konkrit.

Ia juga tidak menjelaskan sekiranya penstrukturan semula air berjaya dilaksanakan, apakah krisis air yang bakal melanda rakyat Selangor dan kawasan sekitar Lembah Klang diselesaikan?

Jika Abdul Khalid beranggapan bahawa penstrukturan semula air itu penting bagi kerajaan negeri, beliau juga perlu tahu bahawa pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 lebih penting bagi setiap rakyat negeri itu dan kawasan sekitarnya bagi memastikan krisis air serius tidak berlaku pada 2014.

Janganlah disebabkan berlainan fahaman politik dan ingin mengambil kesempatan meraih undi menjelang pilihan raya, rakyat Selangor yang menjadi mangsa mainan politik.

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Komen