Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Isnin, 29 November 2010

Anwar "anugerah tuhan" : Apakah Wan Azizah sudah kurang siuman!

Pihak yang menggelar dan mempertahankan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'anugerah Tuhan' layak digelar orang kurang siuman.

Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, orang Melayu ya...ng waras tidak akan sesekali menggadaikan maruah bangsa daripada dikorbankan semata-mata untuk meraih kepentingan politik.

Menurutnya, kenyataan yang diucapkan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail seperti sudah kehabisan modal hingga perlu memuji suami sendiri di depan khalayak ramai.

"Wan Azizah ini seperti pemimpin boneka yang tidak tahu apa yang dia cakap sehingga perlu memuji suami untuk mengembalikan keyakinan ahli PKR," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Muhammad Zahid mengulas kenyataan Dr. Wan Azizah ketika menyampaikan ucapan dasar bagi merasmikan Kongres Nasional Tahunan PKR Ketujuh yang menyifatkan Anwar sebagai 'anugerah Tuhan' bagi memimpin rakyat negara ini.

Menurut Dr. Wan Azizah, suaminya ialah seorang insan hebat yang bersifat amanah, tegas serta berani dan kewibawaannya terserlah sejak zaman remaja lagi.

Tambah Muhammad Zahid lagi, Anwar memang mengharapkan perwakilan memuji beliau untuk menunjukkan di mata ahli PKR bahawa beliau masih mempunyai sokongan teguh daripada akar umbi.

"Walaupun Wan Azizah tahu perangai buruk suaminya, dia tetap mahu menyokong kerana takut imej suaminya akan terus jatuh," ujarnya.

Wasabi Oyabun..

Jumaat, 26 November 2010

Akhirnya Cucu Mat Kilau keluar PKR!

Dahulu negara pernah digemparkan dengan tindakan ‘berani mati’ seorang ahli lelaki Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencium penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim di khalayak ramai yang pada masa itu memakai penyokong leher.

Sejarah individu itu sebagai penyokong tegar Anwar yang juga seorang penulis blog dengan nama komersialnya, Cucu Mat Kilau (CMK) atau nama sebenarnya, Mohd. Shukri Mohd. Ramli,kini tinggal sejarah apabila akhirnya beliau memutuskan untuk meninggalkan parti itu.

CMK yang pernah bertanding mewakili PKR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemayan, Pahang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 lalu, telah menghambakan dirinya lebih 11 tahun berjuang mempertahankan Anwar dan parti itu bersama-sama dengan bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Senator Mohamad Ezam Mohd. Nor.

CMK di dalam blognya, www.cucumatkilau.blogspot.com menegaskan bahawa tindakan keluar PKR bukanlah satu keputusan bijak, namun demi meneruskan perjuangan beliau rela membebaskan diri daripada parti itu.

“Akhirnya CMK tidak sanggup lagi untuk menipu diri sendiri. Selama ini apa saja yang berlaku kepada Anwar dan Keadilan pasti CMK akan pertahankan bermati-matian, sama seperti penyokong tegar PKR lain.

“Namun, sejak akhir-akhir ini CMK merasakan bagai satu kesalahan besar jika CMK gagal menegur dan mengembalikan semula maruah parti yang kini mula tercalar gara-gara pemilihan 2010,” katanya.

Dakwa beliau, budaya jahiliah kini menyelinap masuk secara meluas ke dalam parti dan ia menyebabkan hala tuju perjuangan PKR tersasar, walau dinafikan namun itulah hakikatnya.

“Semuanya gara-gara beberapa kerat pemimpin yang sanggup lakukan apa sahaja demi kuasa. Masing-masing mahu menjadi pemimpin parti untuk membuka laluan mudah dipilih sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang.

“Masing-masing kini bercita-cita serta berhasrat untuk menjadi ADUN dan Ahli Parlimen selepas melihat peluang PKR menawan Putrajaya pada PRU-13 ini semakin cerah.

“Kerana cita-cita itulah, mereka yang terbabit sanggup melanggar ‘pantang’ selama ini. Amalan yang mereka benci ketika dalam UMNO dahulu kini menjadi mainan dek kerana jawatan dan kuasa,” katanya.

Mengulas mengenai pemilihan pimpinan tertinggi PKR, CMK berkata, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang sepatutnya bertindak secara bebas, adil dan profesional bagi mengadili pemilihan itu tidak lagi menjadi telus.

Katanya, ia sekadar menjadi robot untuk memuaskan nafsu pihak-pihak tertentu dan amat tidak wajar dijadikan alat yang secara jelas mencabuli amalan demokrasi yang kononnya mahu dipertahankan oleh PKR.

“Pemimpin yang rosak akhlaknya tidak layak untuk disanjung oleh rakyat apatah lagi mereka yang jelas cuba menipu dan mempermainkan parti sendiri.

“Bukankah amalan seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah parti yang memperjuangkan agenda perubahan buat rakyat,” katanya.

Wasabi Oyabun..

Isnin, 22 November 2010

PKR Kian Rebah : 600 ahli PKR desak Anwar, Azmin undur!

Lebih 600 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mengadakan demonstrasi mendakwa Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden, Azmin Ali tidak telus dalam pemilihan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti.

Mereka yang tidak berpuas hati dengan tindakan kedua-dua pemimpin itu berhimpun di hadapan ibu pejabat PKR di sini mulai pukul 4.30 petang.

Salah seorang daripada mereka iaitu bekas Bendahari PKR Selangor, S. Kottapan turut menggesa Anwar dan Azmin supaya meletakkan jawatan kerana tidak mampu lagi memimpin parti.

Malah, mereka turut mengumumkan akan keluar parti sekiranya tiada sebarang tindakan dilakukan untuk menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku di dalam parti ketika ini.

Menurut Kottapan, kesemua ahli PKR yang menyertai perhimpunan itu sudah hilang kepercayaan terhadap kewibawaan Anwar sebagai pemimpin dan mendesak agar beliau membubarkan parti.

Katanya, ramai ahli menyuarakan rasa tidak puas hati mengenai kepimpinan beliau dan menyifatkan pemilihan parti sebagai proses yang tidak telus namun luahan hati mereka langsung tidak dipedulikan.

"Kita sudah hantar surat bantahan berkali-kali meminta agar proses pemilihan pimpinan parti dibatalkan dan dijalankan dengan telus serta saksama, bagaimanapun tiada langsung reaksi positif dari mereka.

"Dia (Anwar) sepatutnya bertindak bijak menyelesaikan segala kekusutan yang berlaku dalam parti namun sebaliknya, hanya berdiam diri," katanya ketika ditemui pemberita selepas perhimpunan selama hampir dua jam itu.

Turut menyertai demonstrasi itu ialah bekas Timbalan Setiausaha Agung PKR, P.S Jenapala.

Sepanjang perhimpunan itu, kelihatan beberapa kain rentang bertulis Urus 400,000 ahli dahulu sebelum urus 26 juta rakyat Malaysia, Selesaikan dulu kes liwat sebelum bicara soal ketelusan pemilihan parti serta Keadilan yang tidak adil dibawa oleh ahli yang rata-rata datang dari seluruh Selangor.

Selain itu, terdapat juga kain rentang yang bertulis, Anwar dan Azmin pemimpin yang paling kotor, cakap tak serupa bikin, pilihan parti yang paling kotor, penipu pembohong dan pengkhianat.

Tambah Kottapan, Anwar sekadar menjaga kepentingan kroninya semata-mata sehingga lupa untuk melihat kebajikan ahli yang lain.

"Jika betul Anwar seorang pemimpin yang adil, dia sepatutnya mengambil tindakan terhadap Azmin berhubung penyelewengan yang berlaku.

"Sudah jelas wujud penipuan dalam proses pengundian tetapi mengapa perlu pemilihan pimpinan itu diteruskan," katanya.

Beliau juga menyifatkan pengerusi PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai boneka yang hanya akan terus membisu dan terus membisu.

Jenapala ketika ditemui pula berkata, semua pemimpin dalam PKR hanya mementingkan diri sendiri dan menganggap ahli sebagai alat untuk pancing undi.

"Masing-masing mengejar nama dan jawatan tetapi tidak seorang pun yang turun padang untuk melihat dan membela nasib rakyat.

"Rakyat dibiarkan begitu sahaja tanpa diberi bantuan malah kebajikan mereka tidak langsung diberi perhatian," katanya lagi.

Beliau juga mengulangi pendiriannya untuk mengemukakan bukti di mahkamah sekiranya diminta berhubung penipuan dalam pemilihan MPP yang sedang berlangsung ketika ini.

Menurutnya, pemilihan itu seolah-olah sudah dirancang kerana daripada 60 ahli yang hadir untuk memilih ahli MPP, tetapi dikatakan 100 pungutan undi sudah diperolehi.

Wasabi Oyabun..

Jumaat, 19 November 2010

Ramai 'Angkat kaki' kerana Anwar Al-Juburi ( kata Mat Sabu )!

Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ditubuhkan pada tahun 1999 dengan hasrat kononnya untuk menegakkan keadilan dan memperjuangkan nasib rakyat kini menghadapi situasi politik yang tidak menentu.

Walaupun parti itu yang diketuai oleh Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan didampingi oleh isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail serta disokong oleh insan kesayangan Anwar, Azmin Ali dan anak Anwar, Nurul Izzah baru sahaja menyelesaikan pemilihan tetapi ia boleh dianggap sekadar pemilihan semata-mata.

Tiada apa-apa signifikannya kerana semua orang tahu bagaimana pemilihan berlangsung di peringkat cabang-cabang, yang pasti semua orang Anwar menang.

Bagi mereka yang ikhlas berjuang untuk memperkasakan PKR yang dilihat sudah lari daripada matlamat perjuangan asal, mereka terpaksa angkat kaki. Mereka tidak mahu hanya menjadi perkakas politik kepada Anwar bagi mencapai cita-citanya ke Putrajaya.

Kalau pun mereka berhasrat melakukan perubahan apatah lagi menentang orang kesayangan Anwar seperti Azmin maka mereka perlu bersedia menerima akibatnya. Demokrasi dan kebebasan yang dilaung-laungkan hanyalah hipokrit Anwar dan konco-konconya, berikutan itu maka seorang demi seorang meninggalkan parti tersebut.

Terbaru yang berbuat demikian atas nama prinsip ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim. Puncanya, beliau muak dengan masalah dalaman PKR. Langkah Zaid akan menambahkan lagi senarai panjang mereka yang meninggalkan parti itu atas nama kebenaran.

Malah lebih menarik Zaid bukanlah sebarangan pemimpin, ia terbukti apabila tidak sampai beberapa bulan menyertai PKR, beliau telah dipilih bertanding sebagai calon parti itu dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.

Hakikatnya, sejak tahun 2007, PKR tidak pernah sunyi daripada tindakan pemimpin-pemimpinnya meninggalkan parti itu. Antara yang paling awal berbuat demikian ialah Chandra Muzaffar yang memegang jawatan Timbalan Presiden. Kemudian ia diikuti pula dengan orang-orang yang dianggap rapat dan sanggup mati demi Anwar.

Ia termasuklah, kawan baik Anwar, Datuk S.Nallakaruppan, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ezam Mohd. Noor, Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari, Ketua PKR Negeri Sembilan, Ruslan Kassim, Setiausaha AMK, SD Mohamad Johari Yassin.

Pemimpin-pemimpin wanita juga tidak ketinggalan mengucapkan selamat tinggal kepada PKR dan Anwar, mereka yang agak terkenal ialah Nell On (Ketua Wanita PKR), Marina Yusuff (Naib Presiden Parti Keadilan), Roshanita Mohd.Basir (Timbalan Ketua Wanita PKR Bagan Serai), Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak ( Naib Presiden PKR), Aminah Abdullah (bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang) dan beberapa orang lagi di peringkat bahagian.

Gambar ( kanan ) kenangan pengasas parti Keadilan tahun 1999. Ramai pemimpin yang berjuang dalam PKR kini sudah meninggalkan parti itu.

PKR juga turut menerima tamparan hebat apabila mulai tahun lalu seorang demi seorang wakil rakyat 'angkat kaki'.

Bermula dengan peletakan jawatan V.Arumugan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, ia diikuti oleh Mohd Radzi Salleh (Lunas), Jamaluddin Mohd.Radzi (Behrang), Kapten (B) Mohd.Osman Jailu (Changkat Jering), Tan Wei Shu (Bakar Arang), Badrul Hisham Abdullah (Pelabuhan Klang).

Biarpun pelbagai tuduhan dilemparkan oleh PKR terhadap tindakan wakil-wakil rakyat berkenaan namun ia belum mampu menghentikan fenomena meninggalkan parti. Bagi mereka yang berprinsip dan melihat PKR penuh dengan kepincangan, kepalsuan serta pembohongan, mereka tidak mahu terus bersekongkol dengan Anwar dan konco-konconya.

Justeru wujudlah tindakan keluar parti oleh beberapa ahli Parlimen PKR. Mereka ialah Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd.Hashim, Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai).

Jika mahu disenaraikan satu persatu siapa yang sudah mengucapkan selamat tinggal kepada PKR ia sememangnya ramai. Tetapi apa yang jelas ia belum juga menginsafkan Anwar dan pemimpin-pemimpin PKR lain.

Sebaliknya, mereka dengan dibantu oleh pemimpin-pemimpin DAP dan Pas terus melemparkan pelbagai tuduhan kepada pemimpin yang meninggalkan PKR. Paling hebat apabila Anwar mengatakan ahli Parlimen yang keluar dibayar berjuta-juta ringgit tetapi sampai ke hari ini tiada satu pun bukti diketengahkan.

Pembohongan, memutar belit fakta dan memperalatkan siapa juga demi kepentingan politik yang menjadi agenda Anwar apabila beliau memimpin PKR selepas keluar dari penjara telah menimbulkan perasaan muak di kalangan pemimpin dan ahli parti itu.

Tetapi Anwar, Dr. Wan Azizah, Azmin dan Nurul Izzah tidak mahu mengakuinya. Malahan Anwar lebih suka meneruskan 'hobinya' memburuk-burukkan Malaysia di luar negara. Anwar tahu bahawa tiada sesiapa pun dalam PKR termasuklah Dr. Wan Azizah yang menjadi Presiden, tidak akan berani menegur cara berpolitik yang beliau amalkan.

Namun apa yang jelas perjuangan politik PKR kini semakin kelam-kabut dan tiada hala tuju, malahan PKR yang diterajui Anwar sekarang tidak lagi dilihat berjuang untuk rakyat, sebaliknya lebih kepada politik merebut kekuasaan semata-mata.

'' Sebagai sebuah parti, hala tuju PKR sudah jauh terpesong daripada asas-asas penubuhannya. Ia sudah menjadi parti anak beranak dan kroni Anwar sahaja,'' kata seorang penganalisis politik terkenal di sebuah universiti tempatan.

Menurut beliau, ramai rakan lama Anwar sudah mula tinggalkan Penasihat PKR itu kerana tidak sanggup bersubahat dengan penyelewengan dalam perjuangan yang Anwar bawa sekarang.

Kita tidak hairan jika selepas ini ramai lagi yang akan meninggalkan PKR kerana tidak semua di dalam parti itu yang rela diperbodoh atau menjadi 'pak turut' kepada cara berpolitik Anwar.

PKR hakikatnya semakin kehilangan pengaruh di kalangan rakyat. Selain daripada masalah dalaman yang semakin meruncing, tindakan parti itu terutamanya Anwar yang tidak menunaikan janji ketika pilihan raya umum lalu turut akan menghancurkan perjalanan politik PKR.

Mungkin Anwar dan pemimpin-pemimpin yang masih kekal di dalam PKR boleh berhujah apa sahaja mengenai situasi parti itu. Tetapi apa yang jelas segala keburukan PKR semakin terdedah dan ia bukannya dilakukan oleh mainan politik sesiapa tetapi oleh pemimpin-pemimpin PKR sendiri.

Dalam situasi ini juga, maka tidak keterlaluan jika kita bertanya kepada Pas, kapal siapakah sebenar yang hendak karam?

Ia kerana sebelum ini parti itu menolak kerjasama dengan UMNO dengan mengibaratkan UMNO seperti kapal yang mahu karam tetapi ketika parti terbesar Melayu itu semakin pulih daripada kejutan Pilihan Raya Umum 2008, PKR pula yang terumbang-ambing dan paling malang ia mungkin akan menyeret Pas bersama-sama.

Zulkiflee Bakar
Wasabi Oyabun..

Selasa, 16 November 2010

DAP RASIS : Adakah DAP Parti Pelbagai Kaum?

















Benarkah hipotesis bahawa Pilihan Raya Umum Ke-12 telah mengubah landskap politik Malaysia secara monumental dengan menjadikan parti-parti politik yang berasaskan kaum seperti UMNO, MCA dan MIC tidak lagi relevan?

Untuk mengesahkan kebenaran atau kepalsuan hipotesis itu, maka rakyat Malaysia perlu mengkaji sama ada parti-parti yang hari ini mendakwa mereka bersifat pelbagai kaum adalah tulen dakwaannya dan bukan semata-mata bersifat pelbagai kaum secara kosmetik.

Oleh itu mari kita meletakkan sebuah parti politik tempatan yang amat gah mendakwa bukan sahaja kepada rakyat Malaysia tetapi juga kepada masyarakat antarabangsa bahawa ia adalah parti politik untuk semua kaum di Malaysia di bawah mikroskop sebagai bahan kajian. Parti yang dimaksudkan adalah Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Slogan Malaysia untuk orang Malaysia atau Malaysian Malaysia adalah asas perjuangan DAP. Di bawah konsep ini DAP menentang hak istimewa yang berasaskan kaum dan memperjuangkan sistem meritokrasi di mana pembahagian sumber hendaklah kepada individu yang terbaik, paling berkebolehan, rajin dan yang tercekap.

Sekali pandang amat muluk matlamat perjuangan DAP, namun kita harus mengkaji sama ada kemulukan slogan memperjuangkan kepentingan semua kaum diikuti dengan pelaksanaanya. Pertama mari kita lihat sama ada dilihat dari segi keahliannya DAP memenuhi kriteria pelbagai kaum atau hanya beretorik.

Statistik menunjukkan bahawa pecahan penduduk Malaysia mengikut kaum adalah 65.1 peratus daripada etnik Melayu dan bumiputera, 26 peratus etnik Cina dan 7.7 peratus etnik India. Maka untuk sesebuah parti mengaku bersifat pelbagai kaum parti berkenaan haruslah tidak mempunyai keanggotaan satu kaum melebihi 50 peratus dari keseluruhan keahlian parti tersebut.

Oleh kerana tidak ada sebarang statistik pecahan keahlian DAP mengikut kaum, maka kita boleh membuat ujian terhadap sifat kepelbagaian DAP dengan meninjau barisan kepemimpinannya.

Kajian yang dibuat berdasarkan maklumat yang terkandung di laman web DAP menyaksikan dari 30 orang ahli jawatankuasa pusatnya, 22 (73 peratus) adalah terdiri daripada kaum Cina, 6 (20 peratus) adalah kaum India dan hanya 2 (7 peratus) adalah orang Melayu. Jelas barisan kepemimpinan DAP tidak membuktikan ia sebuah parti yang bersifat pelbagai kaum.

Untuk berlaku adil kepada DAP oleh kerana dari segi statistik kepemimpinannya DAP tidak membayangkan ia sebuah parti politik untuk semua kaum di Malaysia, maka marilah kita melihat pula kepada corak perjuangan parti berkenaan manalah tahu jikalau perjuangannya membuktikan ia sebuah parti untuk semua kaum sepertimana slogannya Malaysia untuk orang Malaysia. Sudah tentu semua rakyat Malaysia bermaksud untuk orang Melayu, kaum bumiputera, Cina, India dan kaum-kaum lain di Malaysia.

Persepsi

Tetapi apabila melihat isu-isu yang diperjuangkan parti DAP akan semakin terbukti bahawa bagi DAP slogan Malaysia untuk orang Malaysia tidak termasuk untuk orang Melayu. Persepsi ini timbul kerana apa yang dilihat sebagai penentangan DAP terhadap segala simbol kemelayuan yang terdapat kehidupan bernegara kita.

Contohnya keputusan memakai atau tidak memakai songkok telah dijadikan polemik oleh DAP. Perkara ini berlaku walaupun memakai songkok telah menjadi sebahagian pakaian formal bagi majlis yang melibatkan raja-raja Melayu sebagai tanda kesopanan. Persepsinya DAP melihat songkok sebagai tanda dominasi orang Melayu.

Walaupun setelah menjadi sebahagian daripada anggota pentadbiran di Selangor dan Perak ( negeri beraja ) di mana anggota DAP yang menjadi anggota pentadbiran terpaksa memakai songkok namun masih terdapat penentangan seperti yang berlaku di Johor.

Soalan cepu emas yang perlu ditanya oleh orang Melayu dan perlu dijawab secara jujur oleh DAP ialah adakah pernah pada sebarang masa badan pembuat dasar tertinggi DAP iaitu Jawatankuasa Pusatnya mengeluarkan arahan melarang pemakaian songkok, adakah larangan ini masih berkuat kuasa dan kenapa ia berlaku.

Begitu juga tindakan DAP yang lantang menentang sebarang usaha untuk mengkelaskan Malaysia sebagai negara Islam walaupun Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi bagi Malaysia.

Kenapa terdapat kedegilan di pihak DAP untuk terus mempertahankan status Malaysia sebagai negara sekular? Selain usaha untuk menyempitkan signifikan peruntukan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan DAP juga menentang peruntukan Perkara 121 (1A) yang tidak membenarkan campur tangan mahkamah sivil di dalam apa yang menjadi bidang kuasa mahkamah syariah. Kedua-dua peruntukan perlembagaan ini menjadi teras kepada status Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Walaupun bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara dan sekolah kebangsaan adalah sekolah untuk semua kaum DAP dikenali sebagai parti yang paling lantang memperjuangkan bahasa dan sekolah Cina. Begitu kerasnya pendirian DAP di dalam persoalan bahasa dan pendidikan ini sehingga mereka menentang pengajaran matapelajaran sains dan matematik di dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah jenis kebangsaan dan penubuhan sekolah wawasan yang pernah dicadangkan kerajaan satu ketika dahulu.

Bukan sahaja kepentingan agama, bahasa dan pendidikan orang Melayu tidak diperjuangkan oleh DAP malah ia ditentang hebat oleh parti berkenaan. Begitu juga hak-hak istimewa orang Melayu juga ditentang oleh DAP kerana hak istimewa orang Melayu ini disifatkan sebagai antimeritokrasi.

Penentangan ini berlaku walaupun hak-hak istimewa ini telah terbukti berjaya membantu orang Melayu dan bumiputera untuk memperoleh sedikit keadilan sosial. Begitu antiDAP kepada hak-hak istimewa orang Melayu sehinggakan walaupun hanya 30 peratus pemilikan ekuiti negara disasarkan untuk orang Melayu, telah diasak dengan begitu hebat oleh DAP.

Hakikatnya hari ini majoriti 65.1 peratus (orang Melayu) penduduk Malaysia hanya menguasai 19.4 peratus kekayaan negara berbanding minoriti 26 peratus rakyat Malaysia (kaum Cina) yang menguasai 42.4 peratus. Nampaknya kejayaan yang sedikit ini pun hendak dicemburui dan mahu dihapuskan. Bagi DAP sebarang kejayaan orang Melayu akan dikaitkan dengan faktor rasuah atau pilih kasih bukannya usaha kaum tersebut.

Terbukti dari semua segi sama ada statistik kepemimpinan mahukan corak perjuangannya DAP bukanlah parti untuk semua kaum apatah lagi untuk orang Melayu. DAP adalah sebenarnya sebuah parti untuk orang Cina. Tanggapan terhadap DAP juga sebagai parti yang secara agresif memperjuangkan kepentingan untuk semua ras sebenarnya hanyalah ilusi.

Menggunakan kriteria ujian yang sama terhadap parti-parti politik lain di Malaysia yang juga mendakwa mereka bersifat pelbagai kaum sepertimana ujian kriteria yang digunakan terhadap DAP maka kita boleh menyimpulkan bahawa dakwaan landskap politik berhubung peranan ras yang dikatakan berubah pasca-Pilihan Raya Umum Ke-12 adalah sebenarnya lebih bersifat indah khabar dari rupa.

Amat perlu bagi parti-parti politik Malaysia duduk semeja dan merangka satu tata etika agar mereka tidak terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung untuk menipu rakyat dalam konteks sifat kepelbagaian kaum.

Salah satu tataetika utama yang harus di persetujui semua adalah mana-mana parti politik yang ingin mendakwa bahawa mereka bersifat pelbagai kaum tidak boleh mempunyai dominasi keahlian sesuatu kaum melebihi 50 peratus sama ada dari segi ahli mahupun barisan kepemimpinannya, parti yang mendakwa bersifat pelbagai kaum juga perlu melambangkan komitmen berkenaan di dalam platform dasar mereka.

Jika tidak dapat memenuhi syarat-syarat ini maka sebarang parti politik hendaklah dilarang daripada menggunakan label pelbagai kaum.

Wasabi Oyabun..

Ahad, 14 November 2010

PKR: Siapa menang, siapa kalah?

Kalau Zaid lawan Anwar, siapa akan menang? Anwar dan Zaid belum tentu menang. Yang akan menang tanpa menggerakkan sepuntung jari pun adalah parti-parti dan pihak-pihak yang bersaing atau bermusuh dengan PKR.

Hakikatnya bukan soal kalau lagi. Perlawanan Zaid Ibrahim dengan Anwar Ibrahim sudah pun bermula.

Apa tidaknya, Zaid secara terbuka, termasuk melalui media massa arus perdana yang tidak diyakini oleh pembangkang, telah mencabar Anwar dan orang kanannya, Mohd Azmin Ali, supaya memberi laluan kepada kepemimpinan baru.

Dan Zaid tentu tidak berjenaka, sinis atau skeptis apabila dia berkata, dia layak memimpin PKR. Yang malang adalah Zaid telah menarik dari daripada pertandingan timbalan presiden dan meletakkan semua jawatan parti.

Jadi, peluangnya memimpin PKR atau mengambil bahagian dalam proses kepemimpinan telah berakhir melainkan dia cuba memimpin parti itu dari luar melalui kaedah perang gerila atau pemberontakan.

Kemungkinan Zaid merampas kuasa melalui pemberontakan pasti tidak dipandang ringan oleh Anwar dan penyokongnya kerana bukan semua elemen dalam kepemimpinan dan keahlian PKR setia kepada Anwar.

Inilah bahana hasrat dan taktik Anwar cuba memperbesar dan memperkuatkan PKR dengan membawa masuk atau membenarkan kemasukan sesiapa saja tanpa menilai latar belakang serta kesesuaian mereka dengan aspirasi dan perjuangannya. Akhirnya keasyikan dia menambah ahli menjadi senjata makan tuan.

Adakah mampu bagi Anwar dan para penyokong setianya mengatasi pemberontakan yang sedang dianjurkan oleh Zaid ini?

Jawapannya ya, kalau dia belajar sesuatu daripada bekas mentornya Dr. Mahathir Mohamad dalam menangani keadaan sebegini.

Anwar sudah pun menjadi orang kesayangan Dr. Mahathir apabila Musa Hitam meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1986 dan pada tahun berikutnya berpakat dengan musuh ketatnya, Tengku Razaleigh Hamzah, untuk menjatuhkan Dr. Mahathir dalam pemilihan parti.

Musa kalah dan Ku Li tidak menang. Ku Li bawa kes ke mahkamah dan Umno diisytiharkan pertubuhan tidak sah. Dalam perebutan mendaftarkan semula Umno, Ku Li kalah lagi dan akhirnya keluar untuk menubuhkan Parti Melayu Semangat 46.

Kalau Anwar belajar daripada pengalaman Dr. Mahathir dan mahu terus menerajui PKR, dia terpaksa bertindak tegas. Dia terpaksa menyeluk pekasam hingga ke pangkal lengan atau dia berkemungkinan tersingkir daripada menjadi ketua parti yang diilhamkannya sendiri.

Tetapi, Anwar nampaknya tidak belajar daripada peristiwa lalu. Kalau dia belajar, tentulah dia lebih berhati-hati sebelum menanam modal yang besar mengalu-alukan kemasukan Zaid serta pelarian Barisan Nasional (BN) lain ke dalam PKR.

Kesilapan Anwar kini dan dahulu berpunca daripada keyakinan yang melampau terhadap dirinya sendiri. Bukan Anwar tidak kenal Zaid dan pelarian-pelarian BN, tetapi dia begitu yakin dia boleh mengubah dan mengawal sesiapa saja yang berpayung di bawah naungannya.

Silap

Ternyata dia silap. Zaid berani mencabarnya kerana dia yakin dia mempunyai sokongan sebahagian elemen Melayu dan majoriti elemen Cina dan India dalam PKR. Anasir-anasir ini tidak terlalu setia atau taksub kepada Anwar, tetapi kepada matlamat menjatuhkan BN dan menakluki Putrajaya.

Kalau Anwar berasa dirinya Perdana Menteri dalam pembikinan, Zaid pula tidak menyembunyikan matlamat dan cita-citanya menyertai PKR. Dia mahu memimpin parti itu. Justeru, walaupun belum dua tahun melompat dari UMNO ke PKR, dia sudah bertanding jawatan kedua tertinggi dalam parti itu dan sekali gus mempersoalkan kedudukan Anwar sebagai ketua yang tidak dipilih.

Dia tahu masa dan keadaan tidak memihak kepadanya setelah dia gagal mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor bagi pihak PKR/Pakatan Rakyat (PR).

PKR/PR sangat menaruh harapan bahawa Zaid dengan namanya yang begitu tersohor dapat mempertahankan kerusi strategik itu.

Kegagalan itu bukan sahaja memberi tamparan hebat kepada Zaid, tetapi menghakis harapannya untuk mara dalam kepemimpinan PKR. Maka dia terpaksa bertindak pantas dan tegas untuk membina semula imej dan prestijnya, dan jalan terbaik, dalam perkiraannya, adalah bertanding jawatan timbalan presiden.

Dia tahu dengan mencabar Azmin, dia berdepan dengan Anwar, dan dia juga tahu kalau dia menyerang Azmin, dia tidak dapat lari daripada menyerang Anwar.

Maka dia memilih untuk sekaligus menyerang Mohd Azmin dan Anwar apabila dia secara terbuka berkata, Azmin dan Anwar adalah punca masalah PKR.

Strategi Mohd Zaid ini secara tidak langsung menyeret presiden parti, Dr. Wan Azizah Wan Ismail, ke dalam gelanggang pergaduhan dengan memberi gambaran bahawa walaupun Wan Azizah ketua parti yang dipilih (tidak dicabar), tetapi kuasanya tidak sehebat kuasa Anwar yang tidak dipilih.

Setelah gagal dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor, Zaid tidak mampu kalah dalam pemilihan parti. Harapan masa depannya dalam PKR dan arena politik negara serta prestijnya sebagai aktivis politik akan musnah kalau dia gagal memenangi kerusi timbalan presiden.

Tetapi trend pengundian tidak memihak kepadanya dan tercetuslah tuduhan dan dakwaan bahawa proses pengundian tidak telus serta meragukan lantas dia pun menarik diri dan meletakkan semua jawatan parti yang diberikan kepadanya.

Sejak itu, bukan saja pekasam yang di seluk, malah meminjam ungkapan Inggeris berlakulah washing dirty linen in public.

Kesimpulannya, apa agaknya kesudahan kepada tendang terajang politik PKR ini? Hal-hal berikut boleh difikirkan dan dianalisis dengan lebih terperinci:-

1. Buat permulaan, semua yang terbabit sudah calar-balar dan kalau gagal dibendung segera akan terlondeh baju dan seluar, PKR mungkin berakhir dalam lipatan sejarah dengan menerima nasib yang sama seperti parti-parti pelbagai kaum yang lain, antaranya Malayan Independent Party, Parti Negara, Pekemas dan Parti Sosialis Rakyat Malaysia.

2. PKR akan menjadi lebih kuat dengan peminggiran dan boleh jadi juga, penyingkiran watak-watak yang menyebabkan krisis yang berlaku sekarang.

3. PKR akan menjadi ibarat kerakap tumbuh di batu, hidup segan mati tak mahu.

4. Seandainya PKR kembali kuat, harapannya kekal sebagai pemangkin PR adalah cerah dan PR mungkin boleh mengekalkan cabaran yang kuat terhadap BN pada pilihan raya umum akan datang.

5. Pendaftaran PR sebagai pakatan politik yang sah mungkin tergendala atau menghadapi masalah kerana Zaid adalah pengerusi penaja yang mengepalai proses pendaftaran pakatan itu.

Oleh: A Kadir Jasin

Wasabi Oyabun

Jumaat, 12 November 2010

Pemerhati politik: PKR bergolak, jangan salahkan pihak lain!
















Sikap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menganggap dirinya terbaik dalam segala perkara akan memungkinkan parti itu lenyap dalam 'peta' pakatan pembangkang.

Oleh itu penganalisis politik, Ahmad Masrizal Muhammad berkata, jika ia terjadi Anwar tidak harus menyalahkan orang lain.

''Ia bukan kerana Datuk Zaid Ibrahim, N.Gobalakrishnan atau Mustafa Kamil Ayup tetapi disebabkan oleh Anwar,'' katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau mengulas kemelut di dalam PKR yang menyaksikan semakin ramai pemimpin parti itu menyokong pendirian Zaid yang mahukan Anwar dan sekutunya, Azmin Ali berundur.

Ahmad Masrizal berkata, apa yang terjadi di dalam PKR juga membuktikan bahawa perjuangan parti tersebut selama ini adalah bersandarkan kepada kapasiti kepentingan peribadi dan bukannya kerana rakyat.

''Pelantikan Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden PKR dibuat untuk mengabui mata rakyat daripada mengetahui agenda sebenar individu tertentu,'' katanya.

Beliau menegaskan, dalam melihat kemelut PKR, tumpuan tidak harus diberikan kepada kelakuan atau tindakan Zaid kerana bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu sememangnya mempunyai sikap yang sama ketika di dalam UMNO dahulu.

''Tetapi apabila Mustafa Kamil yang juga teman rapat seperjuangan Anwar dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengambil pendekatan berkonfrantasi secara terbuka maka ia suatu yang mengejutkan.

''Apa yang tersirat ialah kumpulan ABIM di dalam PKR tidak dilihat penting oleh Anwar dalam menentukan hala tuju parti sedangkan kelompok inilah yang begitu fanatik menyokong Anwar dalam era penubuhan PKR dan reformasi dahulu,'' katanya.

Beliau berkata, ia juga secara tidak langsung seolah-olah membuktikan kebenaran terhadap cerita-cerita ramai sebelum ini berhubung konspirasi Anwar-Azmin menguasai PKR secara total.

Mengenai Zaid yang dikatakan akan menubuhkan parti baru sekiranya beliau dipecat atau disingkirkan daripada PKR, Pemerhati Politik, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling berpendapat itu adalah cerita-cerita orang yang bercita-cita dalam politik.

Katanya, untuk melaksanakan perkara itu, ia tidak semudah yang disangkakan, ia memerlukan kerja keras.

''Paling utama ialah sokongan, adakah dia (Zaid) mempunyai sokongan yang begitu kuat, tetapi dalam pemerhatian saya dia belum mempunyai sokongan sekuat itu,'' katanya.

Menurut Zainal, beliau juga tidak nampak bayang-bayang parti baru Zaid itu akan berjaya kerana Zaid sendiri telah gagal dalam politik bersama UMNO dan mungkin akan menerima nasib yang sama dalam PKR.

''Zaid dah lama dalam politik, tetapi beliau belum pandai untuk membaca mood rakyat dan kehendak rakyat, jadi untuk wujudkan parti baru terutama parti Melayu ia mungkin akan kekal menjadi cita-cita sahaja,'' ujarnya.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, krisis PKR kali ini adalah serius dan bibit-bibit perpecahan parti itu juga bukan lagi omong-omong kosong.

Justeru, kata beliau, pemimpin PKR perlu melakukan sesuatu, kerana berkemungkinan parti tersebut akan kehilangan lebih ramai ahlinya iaitu kalangan mereka yang telah terguris ekoran pengunduran salah seorang pemimpin besar mereka.

''Jika itu berlaku, potensi untuk Zaid melakukan perubahan melalui penubuhan parti barunya itu ada kerana beliau telah mendapat sokongan yang tiada tolok bandingnya dengan penyokong PKR kini.

''Namun untuk mengatakan parti tersebut akan berjaya belum boleh lagi kerana mungkin parti tersebut sama seperti PKR sekarang iaitu berjuang atas dasar mencapai cita-cita seorang pemimpin,'' jelasnya.

Sementara itu : Chandra Muzaffar kata Anwar tidak demokratik!

Seorang bekas pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempersoalkan bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak dipilih secara terbuka boleh menjadi pemimpin tertinggi dalam parti itu.

Bekas Timbalan Presidennya, Dr. Chandra Muzaffar berkata, apa yang berlaku itu jelas membuktikan Anwar bukan seorang yang demokratik sebagaimana yang selalu disebutnya.

“Semua sedar bahawa orang yang paling berpengaruh dalam PKR ialah Anwar dengan jawatannya sebagai Ketua Umum.

“Tetapi jawatan ini adalah sesuatu yang luar biasa kerana dalam mana-mana parti, strukturnya adalah jelas dengan Presiden yang mempunyai kuasa,” katanya dalam kenyataan eksklusif kepada umno-online.com di sini hari ini.

Chandra yang juga Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (Just) ialah antara pengasas awal PKR bersama-sama dengan Presidennya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada 1999.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, setiap parti mesti mempunyai susun lapis sendiri yang terdiri daripada presiden di peringkat tertinggi diikuti oleh timbalan, setiausaha agung dan seterusnya ke jawatan-jawatan lain.

“Semasa saya berada dalam PKR, tidak wujud jawatan Ketua Umum sama ada dalam perlembagaan parti atau mana-mana struktur organisasinya.

“Apa yang menghairankan, bilakah wujudnya jawatan ini atau siapa yang melantik dia (Anwar). Bagaimana proses pelantikan dibuat dan bagaimana dia boleh menduduki jawatan ini dan berkuasa lebih daripada Presiden?” katanya.

Tambah beliau, jawatan Ketua Umum tidak sepatutnya wujud dalam mana-mana parti politik atau pentadbiran organisasi kerana biasanya pengurusan akan dilakukan secara terus oleh presiden.

“Presiden yang mempunyai kuasa penuh dengan dibantu oleh barisan kepimpinannya,” kata beliau yang pernah terlibat secara langsung dalam menggubal draf falsafah penubuhan PKR.

PKR Retak menanti rebah..!!!

Wasabi Oyabun

Isnin, 8 November 2010

TENTANG AIDC...& KEMPEN SAVE AIDC BLOG!



Berikut adalah petikan email dari E-group AIDC untuk penilaian anda. Di bawah ini adalah jawapan mengapa blog AIDC perlu terus wujud dan aktif..

http://www.anwaraidc.com/

Dengan melihat keadaan dan situasi ini, maka ada beberapa perkara yg harus kita renungi bersama:

1. Pada hakikatnya, AIDC adalah satu laman web pendedahan yang berfakta dan akademik yg tidak ada satu laman webpun yg mampu menyaingi kehebatannya. Ini satu fakta yg sukar ditentang dan dibantah oleh siapapun.

2.Sebelum wujudnya AIDC ini, watak Anwar Ibrahim begitu positif di dalam dan di luar negara. Namun dengan pendedahan yg begitu prolifik oleh AIDC, kebenaran satu persatu keluar di bumi Malaysia ini.

3.Anwar sebelum wujudnya AIDC adalah manusia yg dijangka menjadi Perdana Menteri Malaysia. Jikalau Anwar berjaya menawan putrajaya, kita telah merelakan dan memilih seorang Homoseksual memerintah negara Islam yg pastinya akan menghancurkan landskap dan institusi negara. Namun dengan pendedahan ini, AIDC berjaya menghalang agenda ini. Kita terpaksa berterima kasih kepada AIDC kerana pendedahan hari ini dapat menjaga Malaysia dari kuasa luar yg ingin menguasai negara.

4.laman web AIDC ini adalah teras kepada laman web pro kerajaan. Web AIDC ini adalah penggerak dan pencetus kepada jaringan blog pro kerajaan yg prolifik sehingga kini.Dengan peranan yg dimainkan AIDC telah menjadi rujukan yg paling utama kepada blog2 pro kerajaan kerana maklumat yg dibuat begitu efektif dan utuh kesahihannya.

Dengan memahami hakikat ini, kehilangan AIDC ini pasti akan menjadikan negara kita terus hancur dan dipermainkan oleh team-team Anwar yg dpt sumbangan dr pihak antarabangsa luar negara utk menjahanamkan Negara Islam.

Dengan matinya dan tenggelamnya AIDC, maka tulisan melalui pendedahan penulisan, pendedahan melalui video youtube, pendedahan melalui penulisan dari rangkaian club AIDC seperti puchong, pisau, emang, kumbang, anti-anwar, anwarReveal serta moderator seperti cikkiah, joyah, udin, dan sebagainya akan terus mati dlm membuka kebenaran.

Melalui Youtube sahaja, AIDC telah mengubah pandangan masyarakat dari membenci kerajaan kepada pro kerajaan...Dari pencinta Anwar peliwat kepada pembenci Anwar. Jikalau AIDC terus lenyap, pasti Anwar Ibrahim akan terus naik secara perlahan-lahan dr masa ke semasa. Hal ini pasti berlaku kerana gerakan Anwar Ibrahim begitu baik dan tersusun. Mereka pasti gembira dengan tenggelamnya AIDC ini, lantas menyusun langkah untuk menguasai pemikiran rakyat yg akan menjadikan rakyat trs mengundi pembangkang.

Tengok sahaja dengan gerakan Anwar Ibrahim, beliau berjaya menawan 5 negeri dan byk memenangi kerusi parlimen. Kemenangan yg terbesar sekali dlm sejarah Malaysia. Ini semua karisma Anwar. Inilah faktor terbesar :Faktor Anwar Ibrahim berjaya merosakkan PRU ke-10 dan PRU ke -12..kesemuanya kerana Anwar. Semua kemenangan pasal Anwar.Jadi apa akibatnya kalau tiada anti-Anwar (AIDC) ini? pasti Anwar akan berkuasa!!!

Kemenangan ini adalah disebabkan Anwar Ibrahim yg pakar dalam berpidato, berpolemik, berpolitik dan sebagainya. Namun dengan adanya AIDC ini telah menghancurkan karisma Anwar. AIDC adalah pejuang kepada negara berdaulat ini. Seharusnya ia ditempatkan di tempat yg tinggi kerana dengan pendedahan ini, negara Malaysia terus selamat dari cengkaman anasir penjajah imperialisme.Namun sedih jikalau AIDC ini trs terkubur!!!

Kalau AIDC terus lenyap, Maka :

1. Enjin google terus akan menjumpai nama anwar ibrahim yang baik-baik sahaja. kerana sudah tidak ada penulisan pendedahan tentang anwar yg jahat2...Laman web akan memaparkan tentang kisah anwar yg positif sahaja. Maka dengan ini karisma Anwar akan trs naik. Ketahuilah team2 anwar sekarang ini terus menerus menulis ttg hal-hal positif dan kebaikan anwar. kita takut nnti bacaan ini akan mengasai benak pemikiran rakyat malaysia.Lantas menyokong pembangkang..

2.Video-video Youtube seperti malaysiakini yg pro-pembangkang pasti akan bermaharajalela. Sejarah membuktikan bahawa video2 ini lah faktor2 kuat menjatuhkan imej kerajaan. kerana video ini begitu emosional utk menarik jutaan penonton malaysia. Tapi dgn pendedahan video AIDC ini telah menyekat segala fitnah ini. AIDC patut dapat tempat dengan prestasi yg AIDC telah lakukan. mahukah kita dan rela AIDC dikuburkan???

3.Dengan terkuburnya AIDC ini,sistem barat akan masuk secara perlahan-lahan masuk ke Malaysia kerana gerakan anti-pemerintah ini didokong dgn duit2 dari luar negara utk menjahanamkan negara. Relakah kita terus membiarkan AIDC ini mati begitu sahaja?? setelah pendedahan pendedahan dibuat???? Aku sedih!!!

Sebenarnya AIDC bukan hanya penulisan dlm laman web sahaja, tetapi juga melalui video-video yg berfakta di Youtube. Kematian team AIDC ini akan menyebabkan textual, audio, video, team-team penyokong pasti akan mati!! kematian team ini pasti akan memberi kesan kepada kemaslahatan negara.

Sebagai merujuk kepada Fakta :

1.Youtube AIDC adalah youtube pro-kerajaan yg paling ramai dikunjungi.

2.Sejak April 18, 2008 sehingga kini sebanyak 2,911,798 kali video AIDC diview oleh penonoton. Angka ini tidak dpt dicapai oleh video2 pro kerajaan melainkan AIDC sahaja.

3.Dengan subcribers seramai 570 orang ini telah mmbuatkan video ini terus sampai ke masyarakat kampung yg ada capaian internet. Ini telah membuatkan masyarakat terbuka pintu mata dan hati sehingga masyarakat mengetahui kebenaran yg sejelas2nya.

4.Dengan mencapai lebih kurang 654 video tentang pendedahan siapakah sebenarnya Anwar Ibrahim telah menyebabkan Malaysia terselamat kerana rakyat telah berubah undi utk tidak sokong PKR yg diterajui Anwar.

5.Melalui video ini, rakyat yang menganggap kes liwat Anwar sebagai FITNAH telah mengubah paradigma tersebut kepada Anwar HAKIKATNYA seorang Peliwat. Bahaya untuk negara Islam.

Melihat kepada fakta di atas, rela kah kita AIDC terus mati? terus terkubur? terus hancur? Ayuh semua rakyat Malaysia yg cintakan kebenaran mari sama2 kita bantu AIDC melalui pelbagai usaha !!!!

Emang Psychotic Killer

KEMPEN SAVE AIDC BLOG

Sempena KEMPEN SAVE AIDC BLOG, kami dengan rendah diri memohon bantuan seikhlas mungkin dari anda pembaca semua agar laluan blog AIDC untuk terus membongkar siapa ANWAR IBRAHIM akan berjalan dengan lancar semula...No akaun tertera seperti yang di atas. Jasa baik anda amatlah kami hargai. Semuga Allah swt sahaja yang dapat membalas budi baik tuan-tuan semua. InsyaAllah.

Ikhlas dari : Oreoyabun

Wasabi Oyabun

Jumaat, 5 November 2010

Perjanjian rahsia: Bukti Anwar dalang bakal didedah!

Jika sebelum ini beberapa bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendedahkan secara lisan tentang perjanjian rahsia antara parti itu dan DAP yang tidak diketahui oleh Pas, hari ini seorang lagi mengakui mempunyai bukti mengenainya.

Bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah berkata, terdapat rakaman percakapan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi telefon bimbit yang mengarahkan pemimpin-pemimpin parti itu supaya tidak memberi ruang kepada Pas dan DAP memegang jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Menurutnya, rakaman kira-kira lima minit itu dibuat semasa satu mesyuarat dalaman PKR kira-kira dua tahun lalu.

"Saya mendapat maklumat ada rakaman selama hampir lima minit tentang Anwar hentam Pas dan DAP melalui telefon. "Saya difahamkan rakaman ini akan didedahkan tidak lama lagi," katanya di sini hari ini.

Ketika membahaskan Bajet 2011 di Dewan Rakyat baru-baru ini, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin mendedahkan wujud perjanjian rahsia berhubung pegangan kuasa politik antara PKR dan DAP yang tidak diketahui oleh Pas.

Melalui perjanjian rahsia itu, DAP akan memiliki kuasa autonomi ke atas Pulau Pinang sekiranya pakatan pembangkang berjaya mengambil alih Kerajaan Persekutuan.

Perjanjian itu turut membenarkan wakil DAP dilantik sebagai menteri besar di negeri-negeri dimenangi parti itu.

Aminah memberitahu, dengan pendedahan rakaman itu, rakyat khususnya pemimpin dan ahli Pas dapat mengetahui sendiri siapa Anwar sebenarnya.

"Ketika itu, baru rakyat atau penyokong Pas akan tahu siapa Anwar. "Adakah Anwar seorang kawan, mempergunakan kawan atau musuh dalam selimut," ujarnya.-UM

Wasabi Oyabun..