Lebih 600 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mengadakan demonstrasi mendakwa Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden, Azmin Ali tidak telus dalam pemilihan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti.
Mereka yang tidak berpuas hati dengan tindakan kedua-dua pemimpin itu berhimpun di hadapan ibu pejabat PKR di sini mulai pukul 4.30 petang.
Salah seorang daripada mereka iaitu bekas Bendahari PKR Selangor, S. Kottapan turut menggesa Anwar dan Azmin supaya meletakkan jawatan kerana tidak mampu lagi memimpin parti.
Malah, mereka turut mengumumkan akan keluar parti sekiranya tiada sebarang tindakan dilakukan untuk menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku di dalam parti ketika ini.
Menurut Kottapan, kesemua ahli PKR yang menyertai perhimpunan itu sudah hilang kepercayaan terhadap kewibawaan Anwar sebagai pemimpin dan mendesak agar beliau membubarkan parti.
Katanya, ramai ahli menyuarakan rasa tidak puas hati mengenai kepimpinan beliau dan menyifatkan pemilihan parti sebagai proses yang tidak telus namun luahan hati mereka langsung tidak dipedulikan.
"Kita sudah hantar surat bantahan berkali-kali meminta agar proses pemilihan pimpinan parti dibatalkan dan dijalankan dengan telus serta saksama, bagaimanapun tiada langsung reaksi positif dari mereka.
"Dia (Anwar) sepatutnya bertindak bijak menyelesaikan segala kekusutan yang berlaku dalam parti namun sebaliknya, hanya berdiam diri," katanya ketika ditemui pemberita selepas perhimpunan selama hampir dua jam itu.
Turut menyertai demonstrasi itu ialah bekas Timbalan Setiausaha Agung PKR, P.S Jenapala.
Sepanjang perhimpunan itu, kelihatan beberapa kain rentang bertulis Urus 400,000 ahli dahulu sebelum urus 26 juta rakyat Malaysia, Selesaikan dulu kes liwat sebelum bicara soal ketelusan pemilihan parti serta Keadilan yang tidak adil dibawa oleh ahli yang rata-rata datang dari seluruh Selangor.
Selain itu, terdapat juga kain rentang yang bertulis, Anwar dan Azmin pemimpin yang paling kotor, cakap tak serupa bikin, pilihan parti yang paling kotor, penipu pembohong dan pengkhianat.
Tambah Kottapan, Anwar sekadar menjaga kepentingan kroninya semata-mata sehingga lupa untuk melihat kebajikan ahli yang lain.
"Jika betul Anwar seorang pemimpin yang adil, dia sepatutnya mengambil tindakan terhadap Azmin berhubung penyelewengan yang berlaku.
"Sudah jelas wujud penipuan dalam proses pengundian tetapi mengapa perlu pemilihan pimpinan itu diteruskan," katanya.
Beliau juga menyifatkan pengerusi PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai boneka yang hanya akan terus membisu dan terus membisu.
Jenapala ketika ditemui pula berkata, semua pemimpin dalam PKR hanya mementingkan diri sendiri dan menganggap ahli sebagai alat untuk pancing undi.
"Masing-masing mengejar nama dan jawatan tetapi tidak seorang pun yang turun padang untuk melihat dan membela nasib rakyat.
"Rakyat dibiarkan begitu sahaja tanpa diberi bantuan malah kebajikan mereka tidak langsung diberi perhatian," katanya lagi.
Beliau juga mengulangi pendiriannya untuk mengemukakan bukti di mahkamah sekiranya diminta berhubung penipuan dalam pemilihan MPP yang sedang berlangsung ketika ini.
Menurutnya, pemilihan itu seolah-olah sudah dirancang kerana daripada 60 ahli yang hadir untuk memilih ahli MPP, tetapi dikatakan 100 pungutan undi sudah diperolehi.
Wasabi Oyabun..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan