UMPAMA retak menanti belah. Peletakan jawatan bersiri pemimpin-pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengiyakan cakap-cakap tentang keretakan dalam parti itu.
Bukan saja PKR yang dilanda masalah. Rakannya Pas turut dijangkiti sindrom perpecahan. Semuanya itu kononnya berkaitan dengan agenda 'membersihkan' parti.PKR tidak mahu pemimpin yang tidak mendokong agenda parti itu. Lantas tugas wakil rakyat yang dipilih untuk berbakti kepada pengundi dialih kepada orang lain.
Tindakan itu terbukti dalam kes wakil rakyat PKR bagi Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang. Badrul Hisham Abdullah keluar daripada parti itu kerana hilang keyakinan terhadap barisan pemimpin PKR. Apakan tidak, ketika mencalonkan Badrul Hisham tidak berbangkit soal masalah kekuatan otak. Namun selepas membantu PKR mendapatkan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap beliau.
Adakah calon PKR semasa pilihan raya umum lalu hanya tangkap muat? Adakah mereka tidak perlu diberi mandat untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat? Sebab itu selepas menjadi wakil rakyat, pemimpin tertinggi tidak peduli. Malah mendapat khabar anak buahnya meninggalkan parti, tiada rasa kesal sebaliknya segala kelemahan yang 'dipadamkan' daripada rekod menjelang pilihan raya lalu diungkit semula.
Itu sebahagian daripada masalah di Pelabuhan Klang. Sebahagian lagi punca, kata Badrul Hisham kerana tidak gemar dengan sikap berdolak-dalik penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes tuduhan liwatnya. Itu sandiwara dalam PKR. Sandiwara yang bermula dengan keyakinan mahu membentuk kerajaan pada 16 September tahun lalu nampaknya bertukar plot.
Sandiwara mahu menawan wakil-wakil rakyat dari negeri di bawah bayu itu kini melalui jalan cerita berbeza. Di negeri itu, krisis keyakinan terhadap barisan pemimpin PKR terserlah. Siapa sangka Datuk Dr. Jeffrey Kitingan meletakkan semua jawatan dalam parti itu. Dan bukankah gerakan yang bermula secara perlahan dan kini tidak dapat diselindungkan lagi menunjukkan bahawa PKR sememangnya bermasalah.
Sebab itu alasan mahu membersihkan parti semacam tidak mendapat tempat di kalangan ahli-ahli PKR yang kini semakin berani menoktahkan perjuangan yang masih hijau. Keengganan mengakui kelemahan serta cubaan mahu menunjukkan bahawa parti itu kukuh dengan sokongan dua lagi rakan - Pas dan DAP, menyebabkan ada yang muak.
Apatah lagi dalam keadaan ada wakil rakyatnya mula mempersoalkan isu moral pemimpinnya, sedangkan sebelum ini istilah tersebut tidak lut dalam parti itu. Mana pernah ahli-ahli parti itu mencurigai moral pemimpin mereka, biar pun yang pernah dipenjarakan kerana kesalahan menyanggah moral. Sebaliknya pemimpin itulah yang disanjung, dijunjung dan dilambung umpama 'malaikat' yang bersih daripada dosa dan noda.
Tetapi trend itu mula terhakis. Kecurigaan mula mengatasi kesetiaan kepada parti dan pemimpin menyebabkan mereka mula berani bertindak; salah satu caranya dengan meninggalkan parti. Bukan soal kekeliruan dan kejutan berikutan perubahan yang disusun dalam kepimpinan PKR mendorong tindakan meninggalkan parti atau meletakkan jawatan. Tetapi hakikatnya soal ketidakpercayaan orang kuat parti terhadap pemimpin yang diberi mandat sebelum ini menyebabkan ada rajuk yang tidak mungkin dapat dipujuk.
Lantas perubahan yang dikatakan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail semalam kononnya dipersetujui sebulat suara amat diragui. Bukankah sepakat membawa berkat. Tetapi dalam kes perubahan dalam PKR, kesepakatan itu membawa kepada siri perpecahan. Pastinya ada punca tunggal kepada perkembangan terbaru itu dan mungkin juga membawa kepada berita seterusnya yang akan diledakkan tidak lama lagi.
Sepatutnya agenda mahu membersihkan parti daripada golongan 'bermasalah' dalam PKR dimulakan di peringkat nama-nama besar dalam parti itu. Ini kerana nama-nama besar itu semakin tidak mendapat tempat, hilang kepercayaan malah tidak lagi diyakini untuk menjadikan PKR terus relevan. Siapakah nama-nama itu, semua orang tahu jawapannya.- UM
Wasabi oyabun
Salam bro, betui sangat tu, bagai mereka yang sedar dan insaf akan segera meninggalkan PKR, cuma yang dah biasa kena jolok punggung macam Ketua Pemuda PKR sahaja yang syok sangat tadah punggung kat Anwar......kah......kah....kah....kah....(kawan tiru cara dari blog lembu tukar tiub)
BalasPadam