Berita Minggu, 31 Oktober 1999
SEREMBAN: Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Kementerian Kewangan mula menyiasat dakwaan bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid berhubung dakwaannya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki 20 akaun induk bank berjumlah RM3 bilion untuk mencapai cita-cita politiknya.
BPR sudah membuat laporan polis berhubung dakwaan itu bagi membolehkan siasatan dijalankan. Siasatan diketuai Pengarah Siasatan BPR, Abdul Razak Idris. Di SUNGAI PETANI, Menteri Kewangan Pertama, Tun Daim Zainuddin, berkata siasatan itu penting untuk memastikan siapa yang bersalah supaya tindakan terhadap mereka dapat diambil.
Menurutnya, siasatan itu juga dapat membuktikan sejauh mana kebenaran dakwaan Abdul Murad terhadap Anwar yang disertakan Akuan Berkanun dengan ikrar di hadapan Persuruhjaya Sumpah.
"Surat sumpah bukan boleh main-main, saya percaya seseorang tidak akan buat surat sumpah kalau tidak ada bukti," katanya. Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kewangan dan beras kepada 388 keluarga mangsa banjir di kawasan Parlimen Merbok dekat Sungai Petani semalam, Daim berkata, jika dakwaan berkenaan tidak benar, pihak terbabit boleh mengambil tindakan terhadap Abdul Murad. Beliau juga berkata, siasatan perlu bagi memastikan semua kakitangan Bank Negara bekerja cekap, amanah, bertanggungjawab dan tidak ada penyelewengan.
Sementara itu, Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Zaki Husin menyifatkan setiap perenggan dalam akuan bersumpah Abdul Murad adalah maklumat mengenai rasuah. BPR menganggap pengakuan Abdul Murad tidak seperti maklumat biasa kerana dakwaannya adalah maklumat akuan bersumpah. Esok, Ahmad Zaki akan mempengerusikan mesyuarat dengan pegawainya untuk menentukan bidang tugas pasukan penyiasatan itu.
"Tindakan pertama ialah memangggil Abdul Murad bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai kenyataannya dalam akuan bersumpah itu," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program sehari BPR bersama wargatua di Rumah Seri Kenangan di sini, semalam.Khamis lalu, Abdul Murad melalui akuan bersumpahnya mendedahkan salah laku bekas Timbalan Perdana Menteri, termasuk mempunyai akaun induk berjumlah RM3 bilion untuk mencapai cita-cita politiknya.
Selain individu, turut dikaitkan dengan Anwar dalam akuan bersumpah itu ialah beberapa pertubuhan bukan kerajaan.
Ahmad Zaki mengakui bahawa berdasarkan akuan bersumpah itu, kes itu rumit kerana membabitkan banyak bank dan pengendalian akaun, termasuk akaun induk seperti yang disebutkan dalam akuan bersumpah. Selain itu, katanya ada banyak dakwaan dan ramai orang terbabit menyebabkan BPR akan membuka lebih daripada satu fail dalam siasatan itu. Walaupun rumit, katanya BPR yakin dapat mengendalikan kes itu kerana mempunyai pengalaman mengendalikan kes rasuah yang rumit sebelum ini, malah membawa kes itu ke mahkamah.
Beliau berkata, BPR akan mendapatkan bantuan pakar, termasuk dari Bank Negara dan Kementerian Kewangan untuk memberi khidmat nasihat dalam aspek siasatan. Selain itu, kerjasama daripada nama mereka yang disebut dalam akuan bersumpah itu juga penting.
Menurutnya, penyiasatan ditumpukan terhadap aspek rasuah yang terkandung dalam akuan bersumpah. "Saya fikir hampir setiap perenggan dalam akuan bersumpah itu adalah maklumat mengenai rasuah. Jadi kami akan menyiasat setiap aspek itu," katanya.
Mengulas beberapa pihak yang dinyatakan dalam akuan bersumpah itu berada di luar negara, katanya, BPR akan mendapat kerjasama agensi terbabit di negara berkenaan.
Sebagai contoh jika di Amerika Syarikat, katanya BPR akan mendapatkan kerjasama Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan mungkin Polis Antarabangsa (Interpol). "Untuk tujuan bukti, BPR akan merujuk kepada Peguam Negara untuk mengaturkan bagaimana keterangan itu boleh dibawa ke mahkamah negara ini," katanya.
Sementara itu, beliau menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa BPR tidak bebas menjalankan siasatan itu. "Sejak tujuh bulan saya menjadi Ketua Pengarah, tidak ada sesiapa yang mencampuri siasatan BPR. Tidak ada masalah, tidak timbul isu menyatakan BPR tidak bebas dalam siasatan. "Saya tidak kata maklumat dalam akuan bersumpah itu maklumat betul atau palsu. Tidak tahulah betul atau tidak. BPR apabila menerima maklumat tidak mempunyai pilihan, kita akan menyiasat," katanya.
Beliau berkata, masalah sebenar yang dihadapi ialah orang ramai yang mempunyai maklumat penting tidak mahu membantu BPR menyebabkan agensi itu disangka tidak menjalankan kerja. Dalam kes Abdul Murad, katanya tidak ada siapa menyangka bekas Penolong Gabenor itu akan berbuat demikian."Mengapa tidak dulu lagi datang berjumpa kita. Kalau dari dulu pun, BPR siasat juga. Begitu juga dengan orang lain yang mempunyai maklumat, mengapa tidak datang," katanya.
Komen : Dimana hasil siasatan kes ini? Sudah hampir 10 tahun rakyat menunggu, tetapi mengapa diam membisu?
Wasabi oyabun
Suruhlah Nuar bersumpah syarie menafikannya kalau berani..... tapi kawan rasa jangan haraplah....... kes liwat dia dengan Saiful sampai sekarang tak berani sumpah......
BalasPadamPEMBANGKANG CARI JALAN TOLAK PENGAKUAN MURAD
BalasPadamPengakuan bersumpah bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid berhubung dakwaan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim mengawal 20 akaun induk berjumlah RM3 bilion, bukanlah mudah direka-reka. Dalam akuannya, Abdul Murad turut menyatakan nama beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan urusan dana berkenaan. Sebagaimana dinyatakan dalam akuan bersumpahnya, beliau menyelesaikan masalah individu tertentu setelah mendapat arahan Anwar menggunakan dana berkenaan.
Risiko pendedahan Abdul Murad adalah besar jika beliau mereka-reka dakwaan berkenaan.
Setakat ini pun penafian mengenai dakwaannya sudah pun dibuat oleh mereka yang terbabit. Beliau juga terdedah kepada tindakan mahkamah oleh individu yang dibabitkan dalam pengakuannya itu. Ini bermakna kebenaran dakwaan Abdul Murad memerlukan penyiasatan rapi.
Jika Badan Pencegah Rasuah (BPR) mula menjalankan siasatannya, BPR tidak boleh dianggap sebagai memihak. Setakat ini, dakwaan Abdul Murad mungkin boleh dianggap berasas manakala penafian individu terbabit pula tidak boleh diketepikan begitu saja. Hanya penyiasatan rapi saja yang dapat menentukan segala-galanya.
Begitu juga, disebabkan kedudukan Abdul Murad di Bank Negara Malaysia sebelum ini begitu penting dan beratnya dakwaan yang dibuatnya itu, BPR tidak boleh menunggu masa yang terlalu lama untuk menjalankan siasatan. Tambahan pula, maklumat yang diberikannya itu adalah dalam bentuk akuan bersumpah.
Sebagaimana dijelaskan oleh Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Zaki Husin, hampir setiap perenggan dalam akuan bersumpah itu adalah maklumat mengenai rasuah. Dalam sesuatu akuan bersumpah, setiap dakwaan perlu dibuat dengan rasa penuh tanggungjawab. Oleh itu, pengakuannya itu perlu ditangani segera.
Rakyat akan mempersoalkan BPR jika tidak ada siasatan segera dijalankan. Rakyat seharusnya boleh membezakan antara dakwaan rasuah yang dibuat oleh sesetengah pihak bermotif politik dengan dakwaan yang dilakukan oleh orang yang terbabit secara langsung dalam urusan dana berkenaan. Abdul Murad mengaku beliau menerima beberapa arahan daripada Anwar untuk menyelesaikan masalah beberapa individu sebagaimana disebut dalam akuannya. Berbeza dengan dakwaan pihak tertentu lain yang hanya membuat dakwaan tetapi mendapat maklumat daripada sumber yang tidak jelas. Ini menyebabkan BPR tidak mempunyai asas yang kuat untuk menjalankan siasatan, apatah lagi jika tuduhan-tuduhan dibuat atas pentas politik.
bersambung...
sambungan...
BalasPadamBerhubung dakwaan Abdul Murad itu, BPR sudah pun membuat laporan polis dan dengan ini, siasatan dianggap sudah bermula. Abdul Murad pastinya orang pertama yang akan mempertahankan pengakuannya. Pengakuannya akan lebih jelas jika beliau dapat mengemukakan bukti, umpamanya segala dokumen berhubung urusan dengan bank terbabit. Mereka yang disabitkan dengan tuduhan itu juga seharusnya memberi kerjasama untuk memudahkan tugas BPR.
Satu perkara yang agak jelas Abdul Murad dan Anwar mempunyai hubungan yang rapat,
sekurang-kurangnya ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan yang sering berurusan dengan Bank Negara di mana Abdul Murad bertugas. Abdul Murad sudah pun menyatakan beliau diperalatkan. Apa pun, rakyat seharusnya menunggu keputusan siasatan tanpa perlu membuat andaian sendiri.
Disebabkan ini adalah perkembangan dan maklumat baru, parti-parti pembangkang juga tentunya mahukan siasatan dijalankan segera. Tidak perlulah mempertahankan mana-mana individu sekiranya mereka sendiri mahu menuntut keadilan. Sebelum mempertahankan individu yang didakwa Abdul Murad itu, adalah lebih baik mereka mengikuti perkembangan siasatan tanpa perlu mengeluarkan kenyataan berbau politik. Ini adalah soal undang-undang yang perlu diselesaikan mengikut undang-undang.
MALANGNYA, SEBAIK SAJA PENDEDAHAN ABDUL MURAD ITU, SUDAH KEDENGARAN PIHAK TERBABIT MENGATAKAN SEGALA-GALANYA DIRANCANG OLEH KERAJAAN. KENYATAAN SEPERTI INI ADALAH "JALAN KELUAR" UNTUK MENCEMUH KERAJAAN. MEREKA SEOLAH-OLAH MENGAJAK RAKYAT SUPAYA JANGAN PERCAYA KEPADA PENGAKUAN ABDUL MURAD ITU.
MEREKA SEOLAH-OLAH TIDAK MAHU MEMBERI PELUANG KEPADA ABDUL MURAD UNTUK MEMBUKTIKAN KENYATAANNYA. TINDAKAN MEREKA TERBABIT ADALAH TIDAK BERTANGGUNGJAWAB DAN SENGAJA TIDAK MAHU KEADILAN DILAKSANAKAN DI NEGARA INI. APA PUN, PERKEMBANGAN INI AMAT MENARIK KERANA IA MAMPU MEMBETULKAN KEKUSUTAN YANG BERLAKU SEBELUM INI TERUTAMANYA MENGENAI KEBENARAN KENYATAAN ABDUL MURAD ITU.
Salam perjuangan..