Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Ahad, 2 Ogos 2009

Demonstrasi dan ISA















STRATEGI pembangkang untuk sentiasa mencetuskan siri drama ketegangan politik menjelang pilihan raya umum akan datang nampaknya berjalan dengan baik.

Selepas memanipulasi isu kematian Teoh Beng Hock bagi membangkitkan kebencian kepada kerajaan, pembangkang berjaya lagi dengan demonstrasi memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), petang sabtu lepas.

Demonstrasi tersebut mengakibatkan Kuala Lumpur mengalami kesesakan teruk sehingga malam. Ribuan pengguna lain turut terperangkap dalam kesesakan luar biasa di terowong SMART, yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Aktiviti para pelancong asing lumpuh, bas awam tergendala dan pemandu teksi berkerut dahi kerana sukar mencari rezeki dalam keadaan begitu.

Orang ramai yang mahu melakukan pelbagai urusan seperti menghadiri pengkebumian, ke majlis kenduri kahwin, melawat pesakit di hospital dan pelbagai lagi, juga menghadapi kesukaran.

Demonstrasi itu menyusahkan semua pihak dan orang ramai. Ia ternyata menjejaskan ketenteraman, produktiviti dan imej negara. Pasukan polis yang sepatutnya disokong bagi menumpukan usaha menangani jenayah terpaksa dibazirkan untuk mengawal demonstrasi. Tiada sesiapa sepatutnya dibenarkan mengadakan demonstrasi haram. Setakat memberi amaran sudah tidak memadai.

Sepatutnya pihak berkuasa melakukan langkah pencegahan lebih awal dengan menahan dalang dan pihak tertentu yang merancang mengadakan demonstrasi haram. Mengadakan sekatan lalu lintas di merata-rata tempat, tidak akan banyak membantu sebaliknya merumitkan keadaan. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat.

Dengan apa yang berlaku ini, mungkin menuntut pemikiran semula terhadap ura-ura bahawa ISA akan dipinda tidak lama lagi oleh kerajaan atas nama pembaharuan. Ramai juga mahukan pembaharuan tetapi kita tidak harus tergesa-gesa hanya kerana merasa tertekan dan tunduk kepada golongan minoriti.

Adalah lebih baik ISA dikekalkan setidak-tidaknya untuk tempoh setahun dua ini. Apatah lagi isu pokok ialah mengurus kuasa menerusi ISA dengan bijak dan bukannya menghapuskan akta itu. Apa yang berlaku sabtu lepas membuktikan ISA itu sendiri masih diperlukan. Untuk apa takut kepada ISA jika kita di pihak yang benar dan bukan golongan yang mahu mensabotaj negara sama ada secara tersurat mahupun tersirat.

Wasabi Oyabun

Tiada ulasan:

Catat Ulasan