Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Rabu, 14 November 2012

Nurul angkat ideologi politik bapa?



Golongan muda di negara ini menyelar sekeras-kerasnya kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berhubung kebebasan beragama dengan menyifatkannya sebagai berbahaya kepada kedudukan agama Islam dan akidah ummah.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili generasi itu berkata, tindakan Ahli Parlimen Lembah Pantai tersebut membuktikan hakikat Nurul Izzah berjuang untuk kepentingan keluarganya semata-mata terutama dalam mengangkat ideologi politik bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukan demi kepentingan rakyat terutama umat Islam.

Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Mohd. Shahar Abdullah berkata, rata-rata golongan muda terkejut dengan kenyataan terbaru Nurul Izzah itu memandangkan selama ini beliau tampil dengan imej Islamik di khalayak ramai.

"Golongan muda tidak pernah leka dalam memastikan kedaulatan agama Islam di negara ini tidak tergadai meskipun dihidangkan dengan kepesatan informasi maklumat yang pelbagai.

"Sehubungan itu, kami melihat tindakan Nurul Izzah ini sebagai titik kejatuhan karier beliau. Sebagai seorang ibu, Nurul Izzah sepatutnya sedar kenyataannya itu turut memberi impak kepada masa depan anak-anaknya yang kian membesar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Baru-baru ini, Nurul Izzah seperti dipetik menerusi laporan portal propembangkang Malaysiakini berkata: "Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama... mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata."

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta forum Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab? iaitu sama ada orang Melayu perlu diberikan kebebasan beragama seperti orang bukan Melayu di Subang Jaya.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, Melayu di bawah Perkara 160 (2) ditakrifkan sebagai seorang yang beragama Islam, bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.

Dalam pada itu, Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Ezaruddin Abd. Rahman menganggap Nurul Izzah sebagai pemimpin dengan ego tinggi kerana enggan mengakui kesalahannya.

Menurutnya, sifat itu semakin terserlah apabila beliau menyalahkan laporan media demi menutup aib sendiri.

Sebagai pemimpin, Nurul Izzah harus bertanggungjawab dengan sebarang kenyataan yang dikeluarkannya. "Jangan menuding jari kepada pihak lain tetapi membersihkan diri dengan permohonan maaf dan menarik semula kenyataan berkenaan," katanya.

Menurut Ezaruddin, beliau bimbang keengganan Nurul Izzah memohon maaf akan memberi impak kepada penyokong pembangkang generasi muda yang merasakan kehidupan tanpa berpandukan agama Islam sebenar sebagai sesuatu yang wajar.

Wasabi Oyabun..

Isnin, 12 November 2012

Hindraf boleh jumpa PM bersyarat – Ibrahim Ali?



Kumpulan Hindraf boleh bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan syarat, tidak membuat tuntutan yang melangkaui sensitiviti Perlembagaan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali menegaskan, perkara itu termasuk hak istimewa Bumiputera dan perkara lain yang membabitkan dasar negara.

“Perkasa mengambil pendirian positif dengan hasrat Perdana Menteri untuk berjumpa dengan pemimpin Hindraf kerana isu membabitkan kaum India juga perlu diberi perhatian.

“Tetapi mereka (Hindraf) janganlah pula buat tuntutan luar biasa nak minta langit, bulan, dan macam-macam,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.


Pemimpin Hindraf P Uthayakumar dalam responnya dilaporkan menggesa Najib segera menunaikan tuntutan yang diperjuangkan mereka sejak tahun 2007 sebelum bersetuju untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Umno itu.

Antara tuntutan yang dikemukakan adalah peluang 10,000 tempat untuk pelajar India di Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta pemberian skim pembangunan tanah rancangan Felda dan Felcra untuk 10,000 kaum India.

Kestabilan politik

Ahli Parlimen Pasir Mas itu bagaimanapun optimis dengan langkah rundingan terbabit bagi mengekalkan kestabilan politik.

“Kalau kerajaan tak bertemu dengan kumpulan ini mungkin pihak lain akan menangguk di air yang keruh dan mengambil kesempatan menggunakan isu ini.

“Daripada melihat orang-orang tertentu pergi ke jalan raya dan buat perkara tak berfaedah sehingga memburukkan imej negara maka eloklah duduk berbincang,” katanya.


Ditanya tentang respon Waythamoorthy, Ibrahim berkata ‘peluang keemasan’ ini perlu digunakan sepenuhnya oleh kumpulan terbabit sebelum meletakkan sebarang syarat atau tuntutan.

“Perkasa memberi sokongan dan tunggu apa hasilnya. Harap ianya membawa hasil walaupun kita tahu Hindraf adalah pertubuhan haram tapi mereka tetap rakyat Malaysia, jadi sudah tentu mereka boleh membantu masyarakat India,” katanya.

Kelmarin Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz berkata Najib kini bersedia untuk bertemu dengan Hindraf bagi membincangkan masalah berkaitan masyarakat India.

Bagaimanapun masih belum ada tarikh yang ditetapkan antara kedua-dua pihak untuk perjumpaan tersebut.

Wasabi Oyabun..

Peguam mohon perintah halang MB, PKNS pindah aset?


Kamarudin Ahmad menunjukkan writ saman terhadap PKNS semasa memfailkan saman terhadap PKNS di Bangunan Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, semalam.

Peguam, Kamarudin Ahmad hari ini memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah deklarasi ke atas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) supaya membatalkan cadangan pemindahan lima aset perbadanan itu kepada Private Real Estate Company (PREC).

Writ saman tersebut difailkan melalui firma guaman milik peguam berkenaan, Tetuan Kamarudin & Partners di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Menurut Kamarudin, tindakan Abdul Khalid yang dinamakan sebagai defendan pertama dan PKNS defendan kedua untuk memindahkan aset-aset perbadanan itu, jelas melanggar Perkara 13(1)(a) Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor 1964.

Lima aset tersebut adalah Kompleks PKNS Shah Alam, Kompleks PKNS Bangi, Pusat Konvensyen SACC Shah Alam, Menara PKNS Petaling Jaya dan Wisma Yakin, Jalan Masjid India di ibu negara.

``Menurut Perkara 13(1)(a) enakmen tersebut, defendan perlu mendapat persetujuan bertulis daripada Menteri Kewangan bagi mewujudkan syarikat dikenali sebagai PREC untuk tujuan menerima pindah milik lima aset yang dimiliki defendan kedua.

``Defendan pertama juga telah melanggar Perkara 81 Perlembagaan Persekutuan dengan cara melupuskan aset-aset defendan kedua sehingga menjejaskan masa depan peniaga-peniaga Melayu dan bumiputera di seluruh Selangor,’katanya kepada pemberita selepas memfailkan saman tersebut.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi; Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin; dan Ketua Pemuda MCA Bahagian Klang, Datuk Ching Eu Boon.

Mengikut writ saman tersebut, tindakan defendan pertama memindah milik aset-aset tersebut kepada PREC didakwa jelas melanggar Pindaan Enakmen PKNS 1972 yang memperuntukkan peranan defendan kedua sebagai agensi pelaksana dasar-dasar kerajaan Persekutuan.

``Tindakan pemindahmilikan aset PKNS tersebut akan merencatkan dasar-dasar kerajaan Persekutuan seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Negara dan dasar mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

``Dasar-dasar kerajaan Persekutuan tersebut akan sukar dilaksanakan jika aset-aset PKNS dipindah milik kepada PREC kerana entiti tersebut tidak terikat dengan dasar-dasar pembangunan sosio-ekonomi seperti terkandung dalam Enakmen PKNS,’’ ujarnya.

Justeru katanya, PREC yang tidak terikat dengan enakmen tersebut, bebas untuk menjalankan apa saja bentuk perniagaan atau pelaburan yang mampu menjejaskan aset-aset PKNS tersebut.

Laporan Mingguan Malaysia 28 Oktober lalu mendedahkan satu sumber dalaman PKNS yang mendakwa kesemua aset komersial PKNS akan diserahkan kepada syarikat lain pada masa akan datang semata-mata bagi meraih keuntungan maksimum.

Pengambilalihan tersebut didakwa sebagai 'langkah awal' untuk menjual kesemua aset komersial syarikat milik kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor itu yang matlamat asal penubuhannya adalah bagi membantu perkembangan ekonomi orang Melayu.

Wasabi Oyabun..

Selasa, 6 November 2012

Khalid Samad pertahankan Nurul Izzah?



Timbalan Pesuruhjaya Pas III Selangor, Khalid Abdul Samad mempertahankan kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Ibrahim yang berpendapat rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan perkara itu juga perlu terpakai kepada orang Melayu.

Beliau menyifatkan kenyataan itu hanya satu gambaran umum mengenai kebebasan memilih agama oleh semua orang termasuk orang Melayu.

Al-Quran tidak menyebut orang Melayu seharusnya beragama Islam memandangkan agama tersebut dianuti berdasarkan pilihan masing-masing dan bukannya secara paksaan mahupun diwarisi daripada nenek moyang,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Namun, katanya, jika seseorang itu memilih Islam sebagai agama pilihan, sepatutnya mereka bertanggungjawab untuk mempertahankan Islam dan memastikan setiap keturunan mereka berpegang kepada agama itu.

Saya tidak fikir Nurul Izzah menggalakkan aktiviti murtad seperti yang didakwa sesetengah pihak. Islam dianuti berdasarkan pilihan dan terpulang kepada umat Islam mencari jalan bagaimana untuk mempertahankan agama mereka," katanya.


Nurul Izzah seperti dipetik menerusi laporan portal propembangkang, Malaysiakini berkata: ‘‘Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama...mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata."

Nurul Izzah berkata demikian ketika menjawab soalan peserta forum Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab? iaitu sama ada orang Melayu perlu diberikan kebebasan beragama seperti orang bukan Melayu di Subang Jaya kelmarin.

Namun agak pelik juga apabila dalam kenyataan terbaru Nurul yang mahu menyaman Utusan Malaysia, Berita Harian dan beberapa blog yang dikatakan memfitnah beliau? Saya telah mengarahkan peguam-peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Utusan Malaysia, Berita Harian, serta kemungkinan beberapa media termasuk blog-blog, berkaitan laporan berunsur fitnah akidah yang telah memutar belitkan sebahagian dari kenyataan penuh saya tempoh hari.

Saya tidak merelakan fitnah akidah sebegini diteruskan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang, demi menegakkan kebenaran dan demi keadilan.

Benarkah kenyataan Nurul diputarbelitkan? Jika diputarbelit, masakan Khalid Samad sanggup mempertahankannya! Malah beliau juga menyokong kenyataan Nurul yang dianggapnya rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan perkara itu juga perlu terpakai kepada orang Melayu.

Atau Nurul akan menyalahkan UMNO selepas ini diatas apa yang berlaku? Terlajak perahu, masih boleh berundur. Terlajak kata, buruk padahnya! Fikir-fikirkanlah...Wallahuallam!

Wasabi Oyabun

Sabtu, 3 November 2012

Isu Selangor : 40 keluarga tagih 'sokongan' Anwar, Azmin dan Nurul untuk selamatkan kediaman mereka?



Hampir 40 buah keluarga di Kampung Sepakat Jaya, Batu Caves dekat sini menarik nafas lega apabila Pejabat Tanah Daerah Gombak (PTDG) menangguhkan kerja-kerja merobohkan rumah 'setinggan' mereka yang dijadualkan semalam.

Biarpun operasi meroboh itu ditangguh, penduduk pada mulanya gusar dengan kehadiran jentolak yang akan digunakan untuk merobohkan rumah mereka serta anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Namun, setelah rundingan hampir dua jam dilakukan antara wakil penduduk dan wakil PTDG, operasi tersebut ditangguhkan pada pukul 12 tengahari sebelum kesemuanya bersurai. Wakil penduduk, Ibrahim Ahmad, 60 berkata, mereka pernah melakukan permohonan secara berkelompok pada 2007 kepada PTDG untuk meneroka kawasan itu bagi membina penempatan.

Namun, ujarnya, permohonan tersebut ditolak sebelum mereka bertindak meneruskan pembinaan rumah pada 2009 setelah mendapat 'sokongan' daripada pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Nurul Izzah Anwar.

"Ketika ini sudah 27 daripada 40 keluarga membina rumah di kawasan seluas 1.2 hektar ini, tetapi baru-baru ini penduduk menerima notis daripada PTDG agar mengosongkan kawasan ini dalam tempoh lima hari.

"Alasan mereka adalah kami menceroboh tanah kerajaan, tetapi penduduk juga telah membayar cukai tanah kepada PTDG berjumlah RM46,000 sejak tahun lalu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ibrahim Ahmad (tiga dari kanan) dan beberapa wakil penduduk lain berbincang dengan seorang pegawai dari PTDG (berbaju putih bertopi) mengenai operasi merobohkan rumah di Kampung Sepakat Jaya, Batu Caves, Selangor semalam.

Difahamkan, kawasan tersebut telah dirancang untuk dijadikan kawasan Kompleks Pelancongan Gua Damai yang telah digazetkan oleh kerajaan PKR Selangor.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Bakar, 63 berkata, rumah yang baru dibinanya di kawasan itu menelan kos sehingga RM120,000 selepas permohonan untuk tinggal di perumahan kos rendah di Selayang Mulia tidak diluluskan beberapa tahun lalu.

"Semua wang simpanan saya dan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digunakan untuk membina rumah ini serta sedikit bantuan pemberian anak-anak, sekiranya dirobohkan di mana lagi kami mahu tinggal," katanya.

Sementara itu, Penyelaras Barisan Nasional Parlimen Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, sokongan Anwar, Azmin dan Nurul Izzah itu menimbulkan keraguan banyak pihak kerana ia bercanggah dengan tindakan PTDG yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Saya melihat perkara ini seperti ada yang tidak kena. Jadi Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu bertanggungjawab kerana PTDG hanya akan bertindak mengikut arahan (kerajaan negeri)," katanya ketika hadir bagi menyatakan sokongan kepada penduduk terlibat.

Pegawai Daerah - Tanah bukan milik kerajaan negeri

Tanah di Kampung Sepakat Jaya, Batu Caves yang diceroboh penduduk adalah tanah yang digazetkan sebagai rizab Batu Caves sejak 1930 dan bukannya milik kerajaan negeri.

Pegawai Daerah Pejabat Tanah Daerah Gombak (PTDG), Nor Hisham Dahlan berkata, surat sokongan pemimpin boleh dipertimbangkan sekiranya tanah yang terlibat milik kerajaan negeri.


"Namun, dalam hal ini tanah tersebut telah digazetkan dan tidak boleh dikeluarkan geran. Penduduk pernah diberi penerangan tahun lalu dan diminta menghentikan projek yang baru bermula itu.

"Kami menerima permohonan pada 2007 dan ditolak setahun kemudian, tetapi surat sokongan pemimpin dijadikan alasan untuk mereka meneruskan pembinaan rumah di situ," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, penceroboh yang ingkar dengan arahan itu boleh didakwa mengikut Notis 425, Akta Kanun Tanah Negara yang memperuntukkan denda RM10,000 atau setahun penjara.

Mengulas mengenai cukai tanah yang didakwa telah dibayar oleh penduduk, Nor Hisham berkata, bayaran itu berkemungkinan caj terhadap borang permohonan tanah yang telah dibuat.

"Kami tidak menerima sebarang premium setakat ini dan kami juga tiada cadangan untuk membayar pampasan kepada penduduk memandangkan tanah tersebut diceroboh," katanya.

Ujar beliau, arahan penangguhan kerja-kerja meroboh akan berkuat kuasa sehingga tempoh yang akan ditetapkan dan pihaknya akan mengadakan satu lagi pertemuan untuk mencari penyelesaian.

Wasabi Oyabun..

Jumaat, 2 November 2012

Isu Selangor : Jangan sampai peniaga di aset PKNS gulung tikar?



Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada asal penubuhannya pada 1964 adalah untuk meningkatkan taraf kehidupan orang Melayu dan bumiputera dengan pembinaan Kompleks PKNS Shah Alam, Kompleks PKNS Bangi, SACC Mall Shah Alam dan Wisma Yakin Kuala Lumpur.

Di kesemua pusat perniagaan tersebut peniaga bumiputera secara majoriti mendapat peluang berniaga dalam bidang yang selama ini dikuasai peniaga bukan melayu. Di sini kita boleh melihat orang Melayu berniaga pakaian, makanan, kelengkapan menunaikan haji atau umrah, kuih-muih untuk sambutan hari raya dan kedai buku.

Hari ini ramai penyewa dalam kalangan pejabat seperti pejabat peguam terpaksa berundur setelah wujud desas-desus pihak pengurusan hendak menaikkan sewa di Kompleks PKNS di Shah Alam. Kebanyakannya berpindah di pusat komersial Seksyen 7 yang menawarkan kadar sewa lebih murah.


Mungkin tidak lama lagi Pesuruhjaya Sumpah yang menawarkan khidmat di Kompleks PKNS tersebut terpaksa membuka pejabat di bawah pokok atau terpaksa menaikkan upah menjadi saksi kepada 500 peratus.

Hari ini, kesemua aset berharga milik PKNS tersebut termasuk Menara PKNS Petaling Jaya akan dipindahmilik kepada anak syarikat milik penuhnya, Private Real Estate Company (PREC).

Alasan pihak PKNS mahu meletakkan kesemua aset berkenaan di bawah PREC demi memajukan perniagaan-perniagaan bumiputera dan menaikkan nilai aset komersial tersebut adalah perspektif yang sukar dijustifikasikan.

Hari ini, jika PKNS melihat nasib peniaga Melayu dan perniagaan milik mereka di Suria KLCC sudah pasti tindakan menaikkan nilai komersial aset-aset tersebut tidak terlintas di fikiran mereka. Peniaga Melayu boleh dikira dengan jari di pusat membeli-belah yang gah tersebut, akibat tidak mampu bersaing dengan peniaga asing yang mempunyai rantaian perniagaan yang kukuh.


Ada sebuah restoran yang menyajikan makanan Melayu di Suria KLCC yang menyewa sebanyak RM14,000 pada awalnya kini terpaksa membayar sebanyak RM43,000 sebulan lantaran kenaikan nilai aset komersial tersebut. Akibat kenaikan itu harga makanan perlu dinaikkan juga.

Disebabkan harga makanan tinggi ada baiknya orang Melayu yang gemar makanan tersebut makan di luar pusat beli-belah tersebut. Orang ramai dengan kuasa beli rendah sudah pasti akan makan nasi lemak dengan harga RM2 di luar daripada makan nasi lemak yang sama kualiti dengan harga RM4 di KLCC.

Adakah ini yang pengurusan PKNS inginkan dengan meletakkan PREC untuk menjaga pentadbiran kelima-lima bangunan komersial milik mereka. Jika benar PREC ingin membuat ubahsuai dan menaiktaraf bangunan-bangunan komersial milik mereka dari mana duit untuk menampung kos-kos terbabit. Sudah pasti PREC perlu meminjam daripada institusi kewangan jika ia enggan membuat pinjaman dengan kerajaan negeri Selangor sendiri.


Atau lebih menakutkan, peniaga-peniaga di aset komersial milik PKNS tersebut, kadar sewa tapak perniagaan akan dinaikkan 100 peratus dan dalam keadaan terdesak penyewa-penyewa akan menerima dalam keadaan membantah atau mereka terpaksa keluar dari tempat mereka mencari rezeki sekian lama. Hanya itu cara yang dianggap logik untuk mencari dana memajukan kemudahan-kemudahan di dalam aset-aset komersial milik PKNS tersebut.

Maka, PKNS perlu berfikir di luar kotak dan tidak melihat kemajuan aset tersebut mampu memeriahkan suasana perniagaan di dalamnya. Suria KLCC boleh menawarkan tapak perniagaan yang tinggi sewanya kerana nilai komersialnya naik atas faktor sekitaran yang kondusif membolehkan ia diakses dengan mudah. Sama ada dengan Sistem Transit Aliran Ringan (STAR) dan jalan raya yang baik diuruskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Kerja Raya.

Di Selangor, nilai komersial aset PKNS boleh ditingkatkan dengan pembangunan sekeliling dimajukan terlebih dahulu. Kita tidak mahu aset-aset komersial yang canggih hanya indah dipandang tetapi tiada pengunjung kerana tidak ramai yang hadir ke kawasan aset berada akibat sistem pengangkutan tidak diatur dengan sempurna oleh kerajaan negeri dan agensi-agensi terbabit.


Masalah aset-aset PKNS sebenarnya mampu dikendalikan oleh PKNS sendiri jika mereka boleh bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk peniaga sendiri.

Mewujudkan entiti baru hanya menyebabkan PKNS renggang daripada matlamat asal membantu secara terus orang melayu. Jangan jadi seperti peribahasa, yang dikejar tidak dapat yang dikendong berciciran. Tidak semestinya pusat beli-belah cantik dan lengkap, nilainya akan bertambah dan orang akan berpusu-pusu datang.

Apa yang penting kualiti barang, harga menarik dan layanan yang baik diberikan kepada pengunjung pusat beli-belah. Yang paling utama yang menjualnya mestilah Pak Su Nazri ataupun Mak Su Kiah iaitu orang melayu yang menjadi tanggungjawab asal PKNS. Harap mereka tidak gulung tikar, jual tikar tidak mengapa! Sila klik di sini

Wasabi Oyabun..

Selasa, 30 Oktober 2012

Isu Selangor : Laporan audit negara menunjukkan Khalid Ibrahim 'Menteri besar yang hebat'?



Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan baru-baru ini memperlihatkan banyak kelemahan-kelemahan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Khalid Ibrahim.

Kelemahan ini telah dilaporkan secara telus oleh pihak Ketua Audit Negara namun Menteri Besar dengan angkuh cuba menafikan kredibiliti laporan tersebut dengan mempertikaikannya. Inikah sikap pemimpin yang berjiwa besar?

TAWAS

Skim TAWAS diwujudkan kononnya untuk memberi faedah kepada semua anak kelahiran Selangor. Namun begitu, skim yang bermotifkan politik ini dibuat tanpa perancangan rapi dan ini menyebabkan hasil negeri dibazirkan begitu sahaja tanpa dapat digunakan secara optimum.

Memandangkan Skim TAWAS ini dikendalikan oleh pihak Menteri Besar Incorporated (MBI), maka Menteri Besar selaku Pemegang Amanah perlu bertanggungjawab sepenuhnya.


Peruntukan untuk TAWAS juga dilihat digunakan secara tidak seimbang. Daripada RM 13.5 juta peruntukan iaitu RM8.5 juta untuk TAWAS dan RM5 juta untuk pengurusan, hanya RM2.9 juta sahaja dibelanjakan untuk TAWAS sebaliknya, RM4.9 juta dibelanjakan untuk pengurusan.

Ini bermaksud, pengendali TAWAS iaitu YAWAS (Yayasan Warisan Anak Selangor) membelanjakan 98% dari peruntukan RM 5 juta untuk pengurusan namun hanya 34.4% sahaja yang mendapat faedah darinya. Kenapakah wang pengurusan ini begitu tinggi dari wang yang diagihkan? Kemanakah baki RM 5.5 juta lagi?

Pada masa yang sama, alasan Menteri Besar bahawa jumlah kelahiran iaitu 313,706 adalah tidak benar menunjukkan beliau tidak menghormati Laporan Ketua Audit Negara. Penafian Menteri Besar bahawa angka kelahiran adalah tidak tepat kerana bercampur dengan bukan warganegara juga tidak boleh diterima kerana pendaftaran TAWAS hanya 23.7%. Adakah MB mengatakan bahawa hampir 80% kelahiran lagi merupakan bukan warganegara?


Persoalan penting ialah, bagaimanakah Kerajaan Negeri memberi jaminan setiap yang mendaftar dengan TAWAS akan mendapat pulangan RM1,500 apabila berumur 18 tahun? Ini kerana, sehingga kini masih belum ada apa-apa pelaburan dari pihak Kerajaan Negeri untuk menghasilkan pulangan yang berjumlah lebih dari RM20 juta untuk diberikan kepada anak Selangor yang mendaftar.

Bukan sahaja dari segi kewangan, segala dokumentasi dan pentadbiran juga mendapat kritikan dari Ketua Audit Negara. Ini jelas membuktikan bahawa Kerajaan Negeri gagal menyediakan satu program yang baik dan dijalankan dengan telus. Kenyataan exco Dr. Xavier bahawa kos operasi TAWAS turut digunakan untuk tujuan Jom Shopping sebenarnya memakan diri.

Bagaimana mungkin peruntukan untuk tujuan lain digunakan sewenang-wenangnya bagi tujuan politik. Kita semua maklum bahawa program Jom Shopping merupakan agenda politik Pakatan yang dibuat secara sambil lewa dan tidak menyeluruh.

Apa yang BN janjikan? Saya tidak boleh mendedahkan secara terperinci, namun pihak Barisan Nasional telah merangka satu skim yang lebih manfaat untuk anak Selangor apabila memerintah kelak. Apa yang lebih penting, pulangan untuk anak Selangor lebih terjamin dengan skim yang bakal diperkenalkan kelak.

TUKAR SYARAT TANAH

Sejak mengambil alih pentadbiran di Selangor, Kerajaan Pakatan banyak terlibat dengan isu yang melibatkan tanah seperti tanah YBK, isu Talam yang juga dalam sektor hartanah dan isu tanah KHSB di Gombak seperti yang pernah saya dedahkan sebelum ini.

Perkara ini sebenarnya berkait dengan tadbir urut kerajaan negeri yang gagal menguruskan tukar syarat tanah dengan baik dan berkesan.


Menurut Laporan Ketua Audit Negara, terdapat banyak kelemahan dalam pengurusan tanah di Selangor ini. Ini termasuklah pembinaan kilang haram dan penggunaan tanah tanpa kebenaran.

Selain itu, Laporan Ketua Audit Negara juga merekodkan beberapa kelemahan seperti kutipan premium tanah yang tidak seimbang termasuk kutipan cukai yang tidak mencapai sasaran. Kelemahan-kelamahan ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri memandang ringan soal tanah dan mengambil mudah pengurusan tanah ini.

Ini langsung tidak mencerminkan sikap integriti yang kononnya dimiliki oleh Menteri Besar. Malah, kami juga akan mendedahkan pada masa hadapan beberapa siri pembohongan Khalid Ibrahim kepada rakyat Selangor termasuk menggunakan Institutsi beraja bagi menutup kelemahan beliau.

PENYELENGGARAAN JALAN

Antara panggilan talefon yang diterima oleh Pusat Khidmat Rakyat (PAKAR) BN Selangor ialah aduan mengenai keadaan jalan negeri yang tidak diselengara dengan sempurna. Ini termasuklah jalan yang berlubang dan tidak sekata sehingga boleh menyebabkan kemalangan.


Menurut Laporan Ketua Audit Negara, Kerajaan Persekutuan memberikan RM 375.90 juta kepada Kerajaan Negeri bagi tujuan penyelenggaraan Jalan Negeri yang berjumlah 16,013 kilometer. Bagaimanapun, Kerajaan Negeri hanya membelanjakan RM218.15 juta sahaja. Iaitu 58.1% dari keseluruhan peruntukan.

Ini secara tidak langsung menyebabkan wang Kerajaan Negeri meningkat. Hakikatnya, peningkatan wang kerajaan negeri bukanlah kerana kecekapan Menteri Besar mengurus kewangan tetapi sebaliknya beliau tidak membelanjakan untuk kebaikan rakyat.

Tidak guna jika Khalid Ibrahim berbangga dengan peningkatan hampir RM2 billion kepada kerajaan Negeri jika rakyat tidak mendapat hasil dari peningkatan ini. Hakikatnya, Selangor yang terkenal sebagai negeri maju masih lagi mempunyai infrastruktur yang tidak sempurna di sesetengah kawasan.

PENYATA TUNAI

Laporan Ketua Audit Negara juga mendedahkan bahawa terdapat lebihan perbelanjaan tunai untuk tujuan mengurus hampir RM100 juta pada tahun 2011 berbanding 2010. Selain itu, berbanding 2010, Kerajaan Negeri juga membelanjakan RM624.51 juta wang tunai untuk perbelanjaan modal. Sedangkan pada tahun 2010, tiada sebarang perbelanjaan modal dilakukan.

Untuk apakah perbelanjaan tunai yang begitu tinggi ini? Siapakah yang menerima jumlah tunai ini? Kenapakah perbelanjaan tunai adalah melebihi pendapatan tunai?


Kami percaya, kerajaan negeri tidak mempunyai perancangan jangka masa hadapan untuk mengukuhkan kewangan negeri sebaliknya hanya bermain dengan angka untuk jangka masa yang singkat sahaja.

Ini terbukti apabila pihak Ketua Audit Negara mengkritik pelaburan jangka masa panjang yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri tidak memuaskan malah pulangan yang diterima juga adalah sangat rendah.

Ini amatlah berbeza dengan kenyataan exco Teresa Kok bahawa pelabur berlumba-lumba datang ke Selangor untuk melabur namun hakikatnya tidak diterjemahkan kepada realiti.

Berbanding pada tahun 2007 iaitu ketika Barisan Nasional memerintah, trend pelaburan telah menurun lebih RM10 juta malah tidak langsung menunjukkan ianya akan meningkat dalam masa terdekat ini.

Khalid Ibrahim yang kononnya mengamalkan perbelanjaan berhemat sebenarnya tidak diterjemahkan kepada rakyat. Hakikat ini perlu diteliti kerana walaupun kerajaan mungkin mempunyai sumber kewangan yang kukuh, namun rakyat Selangor tidak menikmati kebajikan seperti yang mereka janjikan samada dari segi infrastruktur mahupun dari segi kebajkan lain.

Sebaliknya, peningkatan cukai pintu premis kediaman dan premis perniagaan serta kadar sewa yang dinaikkan menyebabkan rakyat terus terbeban.

Dato Sri’ Ir. Mohd Zin Mohamed
Koordinator BN Selangor

Suara Politik
Taminsari