Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Ahad, 27 Februari 2011

PRK DUN Merlimau : Benarkah calon PAS Merlimau tipu taraf pendidikan!

Kalau di PRK DUN Kerdau PAS mempertikaikan taraf pendidikan calon BN iaitu Syed Ibrahim, di Merlimau juga apa kurangnya! Sila klik di sini.

Demi untuk menandingi taraf pendidikan calon BN di PRK merlimau, calon PAS, Yuhaizad Abdullah yang hanya memiliki pendidikan peringkat SPM telah menipu kononnya dia memiliki DIPLOMA dalam jurusan tasawwur Islam tanpa mengemukakan dari IPT manakah dia memperolehi Diploma tersebut.

Sijil kemahiran MARA kejuruteraan mekanikal juga satu penipuan memandangkan tiada bukti jelas dari IKM cawangan manakah dia dianugerahkan sijil tersebut.

Dikhabarkan, kebanyakan ahli PAS yang memiliki tahap pendidikan rendah dan memerlukan kelulusan sekurang-kurangnya peringkat Diploma untuk sesuatu urusan, akan mendapat 'Diploma segera' dari sebuah akademi yang ditubuhkan PAS untuk tujuan ini.

Sekarang lubang telah pecah, rupa-rupanya PAS ada akademi sendiri untuk ahli-ahli mereka dapat Diploma. Yang lebih mengejutkan lagi akademi tersebut hanya untuk ahli-ahli PAS sahaja. Tak tahulah sudah berapa ramai ahli-ahli PAS yang telah dapat 'diploma' dari akademi tersebut. Untuk melihat kewujudan akademi tersebut...sila ke link ini : Akedemi Ar Rasyidin.

Sekurang-kurangnya calon BN di Kerdau sudahpun membuktikan beliau adalah lulusan dari Universiti Al-Azhar, jadi bagaimana pula dengan calon PAS di Merlimau ini. Sudah bersediakah untuk memberikan bukti-bukti yang kukuh kepada rakyat?

Di harap pihak berkuasa dapat menyiasat dengan segera Akedemi Tasawwur Islam seperti yang disebut diatas. Wallahuallam.

Wasabi Oyabun..

Tindakan pantas polis elak demonstrasi Hindraf merebak!

Apa sahaja demonstrasi haram yang menyusahkan rakyat wajar dihapuskan. Untuk itu, mencantas pihak yang membuat pelan dan pihak yang menghasut orang ramai menyertai demonstrasi haram wajar dilakukan dan diteruskan dari semasa ke semasa.

Ini kerana tanpa 'arahan' diterima daripada pemimpin, maka ahli tidak berani melakukan sesuatu termasuk menyertai demonstrasi haram.

Sehubungan itu, pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan awam tidak perlu tunduk kepada desakan pemimpin tertentu yang perjuangan mereka hakikatnya bukan untuk kaum yang diwakili, sebaliknya demi kepentingan peribadi atau menjadi alat politik pihak tertentu.

Membiarkan pemimpin sesebuah kumpulan haram seperti Hindraf bermaharajalela, mencabar undang-undang dan peraturan negara akan merosakkan keharmonian dan perpaduan kaum yang kita kecapi sejak zaman merdeka lagi.

Jika diberi pilihan iaitu di antara kumpulan ekstrem yang tidak tentu hala perjuangannya dengan keselamatan serta keharmonian hidup bermasyarakat, tentulah semua pihak yang waras dan berakal akan memilih untuk menjalani kehidupan dalam suasana harmoni, aman dan damai. Ia menjadi pilihan kerana kita tidak mahu berasa takut untuk keluar rumah menjalani kehidupan biasa.

Membiarkan pemimpin bertindak sesuka hati sehingga menjejaskan keselamatan negara boleh diumpamakan membiarkan kudis buta merebak menjadi nanah yang membusuk. Justeru itu, tindakan menahan lapan pemimpin kanan Hindraf dan 109 yang lain merupakan satu tindakan yang bijak. Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 45(1) Akta Pertubuhan 1966 kerana dipercayai menganjurkan perhimpunan haram.

Kita berpendapat, sebelum kudis buta bernanah dan membusuk yang mana keadaan itu pasti menimbulkan kurang senang majoriti penduduk, maka wajarlah mereka-mereka itu ditahan untuk dirawat, diubati dan dipulihkan agar tidak melakukan perbuatan sama di kemudian hari kelak.

Apa yang boleh disimpulkan adalah tindakan pantas pihak polis yang berjaya mengawal demonstrasi dengan menahan pihak perancang terlebih dahulu adalah satu tindakan bijak yang wajar dipuji. Strategi itu yang digabungkan pula dengan penutupan jalan raya dengan mengadakan sekatan di laluan utama masuk ke pusat bandar raya berjaya mengagalkan demonstrasi haram tersebut.

Hakikatnya, tindakan polis itu direstui oleh orang ramai yang bencikan huru-hara yang dicetuskan oleh Hindraf sejak dahulu lagi. Ini kerana isu yang diperjuangkannya bukan untuk kebaikan kaum India yang diwakilinya, malah lebih kepada kepentingan politik individu tertentu. Sebab itulah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kaum India di negara ini juga membantah penganjuran demonstrasi haram itu dengan menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertainya.

Yang pasti, penahanan itu wajar dilakukan kerana pihak penganjur berdegil meneruskan rancangan mereka, walaupun menyedari pihak polis tidak mengeluarkan permit. Bayangkan jika semua pihak mahu melakukan sesuka hati tanpa menghiraukan amaran polis dan peraturan serta undang-undang negara.

Jika tidak diambil tindakan, dibimbangi pula ia akan menjadi ikutan kumpulan ekstrem lain yang nampaknya semakin berani mengeluarkan kenyataan ikut sedap mulut tanpa memikirkan kesannya. Tahniah kepada pihak polis yang berjaya menggagalkan demonstrasi haram tersebut.

Wasabi Oyabun..

Khamis, 24 Februari 2011

Mungkin ada yang tahu punca kematian Beng Hock?

Tindakan Karpal Singh dan anaknya Gobind Singh Deo menarik diri daripada menyertai prosiding Suruhanjaya Untuk Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock menunjukkan para pemimpin DAP seperti mengetahui kejadian sebenar yang menimpa bekas setiausaha politik Exco Selangor itu.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong berkata, jika mereka tidak tahu, sudah pasti Karpal dan Gobind akan bersama-sama membantu suruhanjaya tersebut mencari kebenaran terutama mencari punca sebenar kematian mendiang.

“Saya ada maklumat yang mengatakan Karpal dan Gobind serta pemimpin-pemimpin DAP yang lain mengetahui kejadian sebenar yang berlaku ke atas Beng Hock. Maklumat ini, saya peroleh daripada sumber dalaman DAP sendiri.

“Atas sebab itu Karpal dan Gobind mengambil keputusan menarik diri. Maklumat ini saya difahamkan masih belum diketahui oleh keluarga mendiang,’’ katanya di pejabat konsensus bebas di sini hari ini.

Beliau mengulas penarikan diri Karpal dan Gobind sebagai peguam keluarga mendiang daripada menyertai prosiding Suruhanjaya Untuk Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock pada 16 Februari lalu.

Karpal memaklumkan pendirian itu selepas permohonan pihaknya agar Tan Sri James Foong Cheng Yuen menarik diri sebagai pengerusi suruhanjaya serta permohonan penangguhan prosiding ditolak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengulas isu tersebut berkata, pemulauan terhadap prosiding suruhanjaya berkenaan sebagai satu agenda politik bagi tujuan menjadikannya isu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan datang.

Sementara itu, Choo Keong meminta semua pihak sedar bahawa dalam kes Beng Hock ia bukan sahaja melibatkan kepentingan keluarga mendiang malah membabitkan kepentingan rakyat secara keseluruhan.

“Matlamat penubuhan suruhanjaya ini sudah cukup jelas iaitu selain mencari punca sebenar kematian Beng Hock mereka juga melihat secara terperinci cara penyiasatan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Inilah ditunggu-tunggu oleh rakyat kerana kes Beng Hock melibatkan SPRM. Adakah benar SPRM turut terbabit dalam isu kematian tersebut? Inilah peranan suruhanjaya, mereka mahu mencari kebenaran,’’ katanya.

Wasabi Oyabun..

Selasa, 22 Februari 2011

Difitnah Hindraf : Perkasa buat laporan polis!

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyangkal tuduhan Hindraf yang mendakwa mereka akan menimbulkan kekecohan ketika demonstrasi tanpa permit yang akan diadakan pertubuhan haram itu di ibu negara pada Ahad depan.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang berang dengan dakwaan itu berkata, tindakan Hindraf menyebarkan fitnah menerusi e-mel adalah salah satu cara untuk menimbulkan ketegangan dan juga kekecohan serta dengan niat untuk memburukkan negara.

Beliau yang ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi hari ini memberitahu, laporan itu dibuat selepas beliau membaca satu kiriman e-mel yang dihantar oleh srihero@gmail.com yang didakwanya pengerusi pertubuhan haram itu iaitu P. Waytha Moorthy.

Menurut Ibrahim, e-mel tersebut dihantar kepada 21 penerima terdiri daripada wakil pertubuhan hak asasi manusia di seluruh dunia termasuk Pejabat Kedutaan Amerika Syarikat di ibu negara.

“Kiriman e-mel itu menuduh Perkasa merupakan alat kepada UMNO untuk menimbulkan huru-hara pada demonstrasi haram yang akan diadakan oleh Hindraf di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sehingga ke Jalan Dang Wangi.

“Perkasa menentang sekeras-kerasnya tindakan Hindraf itu yang dilihat sebagai perosak negara dan pengecut kerana pengerusi pertubuhan haram itu sudah melarikan diri ke luar negara dan tidak mahu bersemuka.

“Saya ingin tegaskan di sini bahawa Perkasa tiada kena mengena dengan UMNO. Perkasa adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar dan tidak pernah menganjurkan perhimpunan yang melanggar undang-undang apatah lagi menganjurkan perhimpunan jalanan yang melampau,” tegasnya kepada pemberita.

Ibrahim turut menggesa polis agar mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat menganjurkan demonstrasi haram pada hujung minggu ini.

“Saya membuat laporan polis ini kerana merasakan tanggungjawab saya sebagai seorang yang cintakan negara saya dan inginkan kesejahteraan serta keamanan,” katanya.

Wasabi Oyabun..

Isnin, 21 Februari 2011

Bertindak betulkan fahaman serong pluralisme!

Fahaman pluralisme agama membawa maksud semua agama adalah sama dan benar. Namun hakikatnya Islam tidak boleh disamakan dengan agama lain kerana agama yang benar di sisi Allah hanyalah Islam.

Kini pemikiran golongan moderate mendakwa semua bidang bersangkutan dengan hak asasi hidup adalah sama termasuk agama. Dengan mudah kepelbagaian agama dianggap sama dan semua agama adalah sama.

Menggunakan konsep toleransi dalam agama dan mengajak masyarakat hidup dalam harmoni dan saling hormat-menghormati, maka yang ditekankan dalam pemikiran ialah semua agama di negara ini adalah sama.

Salah seorang pemimpin politik beragama Islam di negara ini yang sering membawa mesej fahaman pluralisme agama ialah Anwar Ibrahim.

Ternyata dalam mesej bekas pemimpin utama Angkatan Belia Islam itu kepada rakan twitternya, Anwar mempertahankan fahaman pluralisme agama. Walaupun sebelum ini Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi ingatan bahawa ia merupakan ancaman baru bagi umat Islam di negara ini.

Kita boleh faham kenapa Anwar mempertahankannya. Beliau ingin menggunakan fahaman pluralisme agama sebagai senjata untuk menarik sokongan orang bukan Islam kepadanya.

Anwar pernah mempertikaikan kedudukan Islam dan orang Melayu seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tidak salah untuk menarik pengundi bukan Islam untuk menyokong mana-mana parti tetapi bukan dengan cara mempermainkan agama. Perbuatan ini satu kesalahan yang amat besar kerana ia melibatkan soal akidah.

Konsep pluralisme agama ini juga sama sahaja tahap bahayanya dengan ajaran sesat, kerana ia menyerang umat Islam secara individu dengan menggoyahkan keyakinan, keimanan dan kefahaman terhadap kesucian agama Islam.

Paling menyedihkan serangan sebegini boleh mendorong umat Islam menjadi murtad tanpa mereka sendiri sedari. Amat berbahaya jika akidah umat Islam sudah terpesong dan rosak akibat fahaman itu. Jadi fahaman ini harus ditolak. Perkara-perkara melibatkan akidah seperti ini mesti kita betulkan. Kita boleh hormat agama lain tetapi jangan samakan Islam dengan agama lain.

Sebab itu bagi mengekang pengaruhnya para ulama, guru-guru agama, pihak berkuasa agama termasuk Jakim, Yadim, IKIM, jabatan dan majlis agama Islam negeri-negeri kena memantau dan menyedarkan umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan fahaman itu.

Jika tindakan tidak diambil dari sekarang, ia boleh merebak lebih besar. Apatah lagi fahaman ini boleh mengeliru dan menyesatkan umat Islam. Sesungguhnya tidak ada umat Islam Malaysia yang tergamak membiarkan agama suci ini rosak akibat wujudnya pemimpin-pemimpin yang seperti ini.

Kepada Anwar, bertaubatlah dan segera kembali ke pangkal jalan. Usah terlalu mengikut nafsu mahu mencapai matlamat politik. Anwar patut kembali mengamalkan ajaran Islam sebenar dan tidak perlu mengambil mana-mana fahaman lain untuk berpolitik.

Wasabi Oyabun..

Ahad, 20 Februari 2011

Skandal MBI Selangor salahguna wang rakyat : Dokumen didedahkan!


Faekah Husin, Setpol MB Kalid telah mencabar UMNO Selangor didalam Portal MalaysiaKini untuk membuktikan dakwaan bahawa kerajaan negeri selangor telah menyalahgunakan wang rakyat sebanyak RM80,500!

Perbelanjaan itu dikeluarkan oleh Menteri Besar Incorporated (MBI) bagi membayar tempahan 100 bilik perwakilan PKR seluruh negara di sebuah hotel di Petaling Jaya ketika kongres itu diadakan.

Yang jelas sekarang adalah pencurian dan rompakan harta rakyat di Selangor bukan lagi dilakukan secara tersorok seperti kes curi pasir di negeri itu dahulu, ia kini dilakukan secara terang-terangan tanpa rasa bersalah oleh kerajaan negeri.

Pembiayaan penginapan perwakilan pada Kongres PKR ketujuh tahun lepas merupakan satu jenayah penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah oleh PKR Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Berikut adalah dokumen asal tempahan 100 bilik hotel sepertimana yang diminta buktinya oleh Faekah Husin, Setpol MB Khalid!



Tempahan dan pembayaran 100 bilik hotel di Petaling Jaya oleh MBI pada 25 hingga 29 November tahun lalu merupakan bukti jelas terhadap salah guna kuasa dan penyelewengan oleh Menteri Besar.

Dokumen sudah dikeluarkan dan kita desak agar SPRM dapat lakukan siasatan dengan seberapa segera terhadap MB Khalid!

Sumber : GAP

Wasabi Oyabun

Khamis, 17 Februari 2011

Anwar berhadapan 19 bukti!

Bulu kemaluan, dua helai seluar dalam, sebidang permaidani dan cadar tilam antara 19 barang kes yang dikenal pasti oleh seorang ahli kimia pada perbicaraan kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Barang-barang kes yang disahkan satu persatu oleh Dr. Seah Lay Hong telah dihantar kepadanya oleh pihak polis untuk pemeriksaan termasuk yang dikemukakan semasa pengadu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan memberi keterangan di mahkamah setahun lalu.

Menurut Lay Hong, 52, yang merupakan Ketua Unit Jenayah Berat, Bahagian DNA Divisyen Forensik, Jabatan Kimia, beliau menerima barang-barang itu daripada Deputi Supritendan Jude Blacious Pereira (kini Supritendan) sebanyak dua kali iaitu pada 30 Jun dan 1 Julai 2008.

Saksi pendakwa kelima itu berkata, pada 30 Jun 2008, beliau menerima 12 sampul surat yang masing-masing mengandungi bekas plastik berisi calitan putik kapas manakala pada 1 Julai 2008, beliau diserahkan dengan enam sampul surat serta dua bungkusan.

Dua bungkusan yang diterima masing-masing mengandungi sebidang permaidani pelbagai warna dan satu cadar tilam berwarna biru.

Enam sampul surat pula masing-masing mengandungi bulu kemaluan, sehelai seluar panjang hitam, sehelai baju lengan panjang warna biru jenama Ralph Lauren, dua helai seluar dalam jenama Levi's warna biru dan kelabu serta sehelai baju lengan panjang hijau jenama G2000.

Pakaian-pakaian tersebut telah ditunjukkan di mahkamah semasa Mohd. Saiful Bukhari memberi keterangan pada 5 Februari tahun lalu.

Semasa barang-barang kes itu dikenal pasti, Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin yang mengendalikan pemeriksaan utama terhadap saksi tersebut, peguam Ram Karpal Singh dan Sankara Nair masing-masing memakai sarung tangan getah.

Turut hadir di mahkamah ialah pakar asid deoksiribonukleik (DNA) dari Australia, Dr. Brian McDonald yang membantu pasukan pembelaan.

Sepanjang saksi itu memberi keterangan, Anwar di kandang saksi pula dilihat tekun membaca majalah luar negara dan sesekali dilihat menoleh kepada isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di galeri awam.

Dalam keterangannya, Lay Hong berkata, kumpulan pertama barang-barang tersebut yang diambil pada 28 Jun 2008 telah diperiksa pada 1 Julai 2008 manakala kumpulan kedua barang-barang itu diperiksa pada 2 Julai dan pemeriksaan berakhir pada 5 Julai 2008.

Terdahulu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menolak permohonan pihak pendakwaan supaya salah satu borang penyerahan barang bukti (Borang Pol 31) ditandakan sebagai barang bukti setelah membenarkan bantahan pihak pembelaan.

Hakim tersebut bersetuju dengan hujah peguam bela memandangkan borang yang telah diubah kandungannya tidak diserahkan kepada pasukan pembelaan sebelum perbicaraan maka ia tidak boleh diterima masuk sebagai bukti.

Malah untuk menandanya sebagai IDD (bukti yang akan diterima masuk selepas disahkan) juga adalah tidak wajar kerana ia tidak mungkin akan dapat ditanda sebagai P (bukti yang telah disahkan).

Pihak pendakwaan sebelum itu berhasrat untuk menandakan borang itu sebagai 'P25' walaupun terdapat kesilapan tarikh pada dokumen tersebut yang mana tarikh yang tercatat ialah 28 Ogos 2008 sedangkan ia sepatutnya bertarikh 28 Jun 2008.

Selain itu, tulisan 'B12' pada salah satu bungkusan yang diterima daripada pihak polis juga telah ditukar kepada 'B11'.

Ram Karpal mengemukakan bantahan mengikut Seksyen 51(a) Kanun Tatacara Jenayah kerana salinan borang yang diterima oleh mereka sebelum perbicaraan adalah borang yang belum diubah dan bukannya borang yang dikemukakan ke mahkamah pada hari ini.

Justeru, kata peguam itu, dokumen asal yang tidak dikemukakan salinannya kepada pasukan pembelaan tidak boleh ditanda sebagai barang bukti.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden dalam hujah balasnya pula menegaskan apa yang penting bukanlah dokumen tersebut tetapi barang bukti yang diperiksa kerana akhirnya yang diambil kira adalah keterangan lisan saksi terbabit di mahkamah.

Wasabi Oyabun..