Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Isnin, 12 September 2011

Kita layan dahulu episod-episod pembohongan PAS!

Bagi menutup malu Pas kerana terhimpit dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah gereja 3 Ogos lalu, Datuk Mustafa Ali cuba mengalih pandangan dan menuduh UMNO sebagai dalang di sebalik isu itu. Bagi UMNO Selangor, ini satu pembohongan, dan sudahpun memulakan proses menyaman Setiausaha Agung Pas itu.

Dalam pada itu, seorang pemimpin Pas, Dr. Che Rosli Che Mat menyelar Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh kerana banyak mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai projek pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng. Che Rosli, seorang pakar sains nuklear, mendapati Fuziah menggunakan fakta palsu. Che Rosli juga mengkritik Harakah kerana menyiarkan laporan tidak benar. Tapi Penerangan Pas Pusat dan kalangan pemimpin Pas tidak senang dengan tindakan Ahli Parlimen Pas Hulu Langat ini. Ini semua bermaksud apa? Pas lebih senang rakyat terus dibohongi dengan maklumat palsu daripada diberikan fakta sebenar.

Terbaru, Jamilah Abu Bakar, yang melihat ibu bapa dan adiknya ditembak komunis 61 tahun lalu, memberitahu bahawa Naib Yang Dipertua Pas Pulai, Zaaba Ibrahim, telah memperkenalkan diri sebagai seorang pegawai kerajaan semasa melawat ke rumahnya Ahad lalu bagi pihak Mat Sabu. Jirannya, Mokhtar Jalok, 72, berkata pemimpin Pas itu berbohong kerana dia kenal Zaaba bukan kakitangan awam tapi peniaga besi buruk.

Jamilah dan keluarganya tidak mahu berjumpa Mat Sabu kerana sakit hati dengan pembohongan Timbalan Presiden Pas itu mengenai peranan dan jasa pahlawan Melayu yang menentang komunis. Mat Sabu berkeras mengatakan komunis adalah wira, seolah-olah polis dan tentera adalah tali barut British.

Sebelum ini, Mat Sabu terbabit dalam kontroversi pasca-Bersih. Dia mendakwa cedera dilanggar kereta polis. Rakaman polis yang ditonton jutaan penduduk Malaysia menerusi TV menunjukkan beliau tidak dilanggar kereta polis, malah jatuh longkang kerana motornya terbabas. Dia menafikan versi polis tapi ramai percaya dia berbohong.

UMNO tidak perlu berbuat apa sebenarnya. Sejak akhir-akhir ini, pemimpin Pas seperti Mat Sabu dan parti pembangkang lain bagaikan menggali kubur sendiri atas percakapan dan tindakan yang menyakiti hati rakyat. Episod terbaru ini pasti menyebabkan Pas kehilangan banyak sokongan dan undi orang Melayu.

Padahal Pas beria-ia benar mahu menggantikan UMNO sebagai parti tunggal orang Melayu dan pernah menguar-uarkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai bakal Perdana Menteri. Ini sekadar mimpi kerana Pas sudah menjadi parti terkecil dalam Pakatan Rakyat. Hakikatnya, populariti UMNO semakin melonjak dan Pas pula merudum.

Hari ini, UMNO mempunyai 79 kerusi di Parlimen, Pas hanya ada 24 sahaja. UMNO juga memenangi empat pilihan raya kecil berturut-turut, mengalahkan calon Pas di Galas (4 November 2010), Tenang (30 Jan. 2011), Merlimau (6 Mac 2011), dan Kerdau (6 Mac 2011). Undi yang Pas perolehi di DUN-DUN bermajoriti Melayu dalam Pilihan Raya Kecil 2010 dan 2011 semuanya semakin menguncup berbanding yang diperolehinya pada 2008.

Bilangan kerusi Pas di Parlimen adalah paling sedikit. Apabila bersekongkol dengan DAP dan PKR bermakna Pas tidak mungkin lagi dapat bertanding kerusi Parlimen yang mencukupi dalam pilihan raya untuk membolehkannya menjadi parti terbesar di Dewan Rakyat. Ini juga bermakna sampai bila-bila pun Pas tidak boleh menubuhkan negara berkebajikan. Inilah realiti yang harus disedari semua ahli dan penyokong Pas.

Ramai berkata, punca populariti Pas menjunam sekarang adalah kerana kerjasama politiknya dengan PKR dan DAP. Pemimpin Pas pernah menyatakan kesanggupan bekerjasama dengan sesiapa saja, waima syaitan, untuk menjatuhkan UMNO. Belum sempat berpakat dengan syaitan, baru dengan PKR dan DAP pun, Pas sudah longlai dan tidak konsisten dalam perjuangannya. Kerana mahu ambil hati kawan, Pas sanggup gadai prinsip perjuangan.

Kerana ingin mengecap sedikit kuasa, Pas tidak lagi mempertahankan konsep Negara Islam, tidak bercakap mengenai hukum hudud, malah bersekongkol dalam soal penjualan arak, judi dan rumah urut di Selangor. Untuk pilihan raya umum 2004 dan 2008, Pas tidak lagi mengangkat Dokumen Negara Islam seperti 1999, tapi menjunjung pula Buku Jingga, yang sarat dengan janji palsu yang tidak tertunai.

Janji palsu terbesarnya ialah hudud. Pas menentang UMNO di Kelantan pada 1990 dan Terengganu pada 1999 kerana tidak melaksanakan undang-undang Islam. Bila dapat memerintah, Pas memberi pelbagai alasan kenapa tidak melaksanakan hudud. Antaranya, sekatan Kerajaan Persekutuan, mahu memberi masa kepada rakyat terutama bukan Islam memahami konsepnya dan tidak cukup pelaksana seperti peguam dan hakim.

Sebagai Menteri Besar Terengganu, Abdul Hadi pernah berkata hudud tidak penting untuk dilaksanakan kerana ia cuma 0.00001 peratus daripada syariah Islam. Di muktamar Pas ke-57 lalu, dia baru sedar negara Islam tidak disebut dalam al-Quran. Dalam keadaan sekarang, kerana bersekongkol dengan PKR dan DAP yang sememangnya menolak undang-undang syariah, maka janji Pas ini tidak akan tertunai sampai bila-bila.

Dan dalam keadaan beginilah, bagaikan orang mabuk baru bangun tidur, Pas membuat kenyataan mahu kembali mempertahankan hak orang Melayu meskipun selama ini menolak perjuangan berasaskan bangsa. Dulu, Pas menolak hak keistimewaan orang Melayu. Pas juga menolak Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang banyak menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi orang Melayu. Adakah Pas sudah berubah sikap dan pendirian mengenai kedua-dua perkara ini? Bolehkah orang Melayu mempercayai Pas lagi? Pemimpin Pas kutuk bangsa sendiri, malu jadi Melayu kononnya. Pas anggap orang Melayu yang tidak menyokong calonnya sebagai jahiliah. Sejak 1950an lagi orang Melayu dikafirkan, dan masyarakat Melayu berpecah-belah kerana fatwa yang songsang. Mat Sabu pula menghina pemimpin Melayu seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak serta anggota keselamatan, yang sebahagian besarnya Melayu, menentang komunis untuk mencapai kemerdekaan.

Kenapa tiba-tiba Pas mahu jadi jaguh perjuang orang Melayu? Jika benarlah Pas sungguh-sungguh hendak menjadi parti mewakili Melayu, kenapa Pas tidak memperjuangkan hak orang Melayu di Pulau Pinang, yang dilayan bagaikan orang Melayu di Singapura, dan di negeri-negeri lain? Kenapa pemimpin Pas sanggup 'bisu dan pekak' walaupun DAP sering mengganggu gugat urusan agama Islam?

Malah, dalam kertas kerjanya di Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa - Jaminan Pas pada 19 Februari lalu, Abdul Hadi sangat kabur dalam penjelasannya mengenai pengupayaan bangsa Melayu. Tiada saranan khusus bagaimana meningkatkan keupayaan dan penguasaan orang Melayu. Dia cuma berkata perjuangan Pas untuk memakmurkan "seluruh penghuni bumi termasuk binatang dan alam sekitar."

Pas jelas adalah sebuah parti oportunis, dan hanya gilakan kuasa. Dulu Pas mahu lelong Putrajaya, sekarang mahu menguasai Putrajaya pula. Tapi Pas tahu bahawa ia akan kehilangan kira-kira 34 kerusi Parlimen jika gagal mendapat semula sokongan pengundi Melayu dalam PRU-13 nanti. Kerana itulah ia mahu kembali menjadikan pengundi Melayu sebagai 'power base'nya.

Pada 2008, hampir semua kawasan yang Pas berjaya catat prestasi baik adalah di kawasan majoriti bukan Melayu. Oleh itu, bila nak undi orang Cina dan India, dia kata tidak bangga jadi Melayu.

Bila nak undi Melayu, dia sebut Ketuanan Islam pula. Kononnya pemimpin UMNO tidak Islamik, kepimpinan negara mewarisi pemikiran penjajah dan akan menerima nasib yang sama seperti pemimpin Mesir dan Tunisia.

Pemimpin Pas apabila bercakap, sering merujuk diri dan kerja mereka dengan apa yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW. Kelantan pula disebut sebagai Serambi Mekah, dan Kota Bharu pula sebagai Kota Islam. Ini adalah strategi melengkapkan gambaran Islamik kepada pemimpin Pas dan negeri yang mereka perintah.

Tapi di manakah Islamiknya pemimpin Pas jika suka berbohong dan cakap berbelit-belit? Apakah merit parti yang menggunakan nama 'Islam' tapi memberi janji palsu, memberi gelaran buruk dan hina Muslimin lain? Ingatlah, Nabi Muhammad menggunakan agama untuk mengislamkan orang-orang kafir. Tapi Nik Aziz dan Abdul Hadi menggunakan agama untuk mengkafirkan orang yang sudah Islam. Itu bezanya.

Oleh : DATUK DR. MASHITAH IBRAHIM

Wasabi Oyabun..

Rabu, 7 September 2011

Dendam Khalid Gereja terhadap JAIS - Dakwa ada pertemuan sulit mahu jatuhkan MB Selangor!

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa pihak-pihak tertentu telah mengadakan pertemuan tertutup membabitkan agensi-agensi agama dan pertubuhan bukan kerajaan Islam (NGO) untuk menjatuhkan kepimpinan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Langkah itu didakwa diusahakan ekoran kes serbuan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) dekat Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu ekoran kononnya ada usaha memurtadkan umat Islam.

Khalid, yang juga Yang Dipertua PAS kawasan Shah Alam berkata, pertemuan membabitkan beberapa NGO Islam bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa serta wakil dari Pejabat Peguam Negara.

“Mereka membincangkan memorandum untuk dihantar kepada Sultan Selangor, menyerang Menteri Besar berhubung isu Kristianisasi ini. Nampak-nampak gaya satu usaha bersungguh-sungguh ingin menjatuhkan Menteri Besar. Adalah diharapkan tiada Exco dari Pakatan Rakyat, lebih-lebih lagi dari PAS, yang turut serta,” kata beliau dalam entri blognya semalam di bawah tajuk “Coret Minggu Pertama Syawal”.

Bagaimanapun ketika dihubungi The Malaysian Insider, Khalid berkata beliau tidak pasti bila pertemuan itu diadakan tetapi telah diadakan bulan lalu.

Kata Khalid, sebelum era Mac 2008, semuan pihak termasuk Jais dan Mais mengambil sikap berdiam diri dengan cara pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN).

“Tetapi di zaman Menteri Besar yang berkebajikan (pimpinan Khalid Ibrahim), bersih dari rasuah dan mementingkan rakyat, apa saja alasan boleh digunakan untuk menempelak Menteri Besar.

“Adalah dikhuatiri akan ada yang mula bertanya, “mengapa dulu diam, sekarang nak bising?” Seterusnya nanti ada pula yang akan menganggap dulu dapat bahagian! Sekarang habuk pun tiada, maka itulah sebabnya bikin kecoh,” katanya.

Dalam entrinya juga, Khalid berkata, Umno terus mengheret pihak istana untuk kepentingan politik parti komponen BN itu. Katanya, ketika zaman BN memerintah Selangor, jarang sekali kedengaran berita Sultan Selangor kecuali berhubung program adat istiadat tetapi sekarang kerap diketengahkan.

“Itulah perangai Umno. Bila Umno sudah tidak laku, mereka ketengahkan Sultan sedangkan dulu mereka sendiri yang mencaci Sultan.

“Yang paling saya khuatir ialah tercemarnya imej pihak Istana dan DYMM Sultan Selangor sekiranya terus diheret sedemikian rupa oleh juak-juak Umno-BN,” katanya sambil menambah, institusi yang above politics’ atau ‘mengatasi pertimbangan politik’ ini akan tercemar dalam kelicikan politik Umno yang hanya ingin terus berkuasa walau apa sekalipun berlaku.

“Sanggup mengorbankan rakyat dan negara asalkan mereka kembali memerintah Selangor. Itulah dasar (bekas pemimpin Libya) Muammar Gaddafi, dan itulah yang mencerminkan dasar Umno sekarang!” kata Khalid lagi.

Mengenai isu tindakan Jais ke atas gereja tersebut, Khalid berkata, beliau sangat kecewa apabila mendengar Jais memohon sebulan lagi untuk menyediakan laporan.

“Ini akan pasti memberikan gambaran negatif terhadap profesionalisme Jais yang bertindak dengan begitu cepat ‘memeriksa’ sebuah Gereja tetapi begitu lambat dalam mengeluarkan laporan mengenainya.

“Saya difahamkan bahawa pihak DUMC telah bertemu dengan rombongan PAS dan secara umumnya menyatakan mereka tidak ada kena-mengena dengan majlis malam tersebut,” katanya ia adalah majlis NGO yang memohon jasa baik mereka untuk membenarkan mereka menggunakan dewan milik gereja dan itu sahaja.

“Laporan ‘memurtadkan orang Islam’ diterima dari pihak yang tidak dikenali dan pihak Jais bertindak tanpa siasatan yang lebih terperinci. Pihak yang tidak dikenali’ yang melaporkannya mungkin berniat jahat dari awal?” katanya lagi.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor berkata laporan lengkap daripada Jais akan diterima selepas beliau pulang ke tanah air dari lawatan kerja ke Jerman pada 16 September ini.

“Kami masih lagi menunggu laporan lengkap Jais itu dan saya tidak sabar untuk mengetahuinya, Sekembalinya dari Jerman kita jangka akan menerima laporan tersebut,” katanya dipetik Sinar Harian hari ini.

Satu soalan kepada Khalid...Tangan siapa disebalik pembatalan sita terhadap premis DUMC yang dikatakan tiada permit setelah MBPJ mengesahkannya?

Wasabi Oyabun..

Selasa, 6 September 2011

Kerajaan harus segera 'selamatkan' Mat Sabu Bintang 3!

Kelewatan kerajaan untuk bertindak mematikan kemarahan orang ramai terhadap penyokong Parti Komunis Malaya (PKM), Mat Sabu menampakkan dengan jelas kelemahan kerajaan yang berterusan dalam menangani dengan segera dan berkesan masalah keselamatan negara.

Berasaskan kepada kemarahan dan desakan rakyat dari berbagai pertubuhan dan juga orang ramai yang mewakili pelbagai sektor masyarakat terutama bekas polis dan tentera maka kelewatan kerajaan untuk bertindak berasaskan undang-undang terhadap Mat Sabu menampakkan kerajaan lebih mementingkan politik dan dari tugas terhadap rakyat dan negara.

Sikap kerajaan dilihat sebagai acuh tak acuh dalam isu ini walaupun kebencian dan kemarahan rakyat semakin memuncak dari hari ke hari akan membahayakan Mat Sabu sendiri dan dalam keadaan ini jika berlaku sesuatu yang buruk terhadapnya maka beliau akan menyalahkan anggota polis, UMNO dan kerajaan.

Sikap kerajaan dalam hal ini merupakan kemuncak daripada kelemahan kerajaan dalam menangani berbagai isu berkaitan politik dan kepentingan negara yang genting yang telah menghakiskan keyakinan rakyat.

Ini dapat dilihat dalam masalah kecelaruan dan flip flop dalam pendaftaran pendatang asing tanpa izin (PATI), dalam memberikan kemaafan terbuka terhadap pegawai Imigresen yang telah dikenakan tindakan ISA dan dalam menangani kes Anwar Ibrahim.

Orang ramai pada keseluruhannya melihat majlis keinsafan atau bertaubat antara pegawai-pegawai tertinggi Kementerian Dalam Negeri dengan berpelukan dengan bekas pegawai Imigresen yang telah menjadi pengkhianat negara dan ditahan di bawah ISA kerana rasuah sebagai tidak wajar sama sekali diadakan.

Ini bukanlah caranya untuk memulihkan keyakinan pegawai-pegawai kerajaan terhadap kerajaan sebaliknya kerajaan hendaklah menunjukkan ketegasan.

Walaupun mereka itu telah ditahan di bawah ISA tetapi menampakkan kerajaan tidak serius malah begitu mudah untuk memberikan kemaafan kepada kes yang telah dihebohkannya sebagai begitu bahaya tetapi tiba-tiba pegawai-pegawai yang telah menjadi pengkhianat berpelukan dengan pihak berkuasa.

Kelewatan menyelesaikan kes Anwar juga telah diperkatakan dari semasa ke semasa sebagai kelemahan yang amat ketara Peguam Negara dalam memberikan keutamaan kepada kes-kes yang boleh menggugat keyakinan rakyat atau yang digunakan bagi memulihkan kepercayaan terhadap sistem keadilan negara.

Kerajaan mestilah bertindak dengan cepat terhadap Mat Sabu sebelum satu lagi kelemahan kerajaan mendalam dan membarah di hati rakyat sehingga mereka tidak lagi dapat melihat kesungguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merancang dan bekerja bermati-matian untuk memulihkan maruah negara, bangsa dan agama.

Kerajaan perlu bertindak dengan apa cara sekalipun untuk menyelamatkan Mat Sabu dari terus terdedah kepada keadaan yang membahayakan dirinya yang akan membolehkannya menuding jari kepada orang lain.

Wasabi Oyabun

Ahad, 4 September 2011

Norlia : Azmin Ali pernah mengakui Anwar merupakan abang kandungnya?

Kakak sulung Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali, Norlia, 53, hari ini menyuarakan kekecewaan beliau terhadap kecenderungan politik adiknya itu menjadi orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika diminta mengulas pandangan beliau terhadap pendirian politik Azmin, Norlia menegaskan: "Tiada kata-kata hendak saya ucapkan untuk Azmin, semoga Allah tunjukkan jalan yang benar kepada beliau."

Menurutnya, Azmin kini sudah 'berpatah arang' dengan adik-beradiknya yang lain terutama dirinya sendiri serta adik mereka, Ummi Hafilda yang merupakan saksi utama kes liwat Anwar pada 1997 lalu.

Katanya, ini terbukti apabila Azmin langsung tidak pulang ke rumah ibu mereka di Klang Gate dekat sini pada setiap kali sambutan Aidilfitri sejak 1997 terutama ketika adik-beradik beliau berada di rumah tersebut. Bagaimanapun, dia akan melawat ibu mereka ketika Norlia dan Ummi tiada di rumah berkenaan.

"Tetapi pada 2007, Azmin tiba-tiba muncul pada hari pertama Aidilfitri dan tahun ini juga dia muncul di Klang Gate (rumah ibu mereka) tetapi hanya meluangkan masa selama 15 minit tanpa mahu berbual-bual dengan kami adik- beradiknya sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui bersama Ummi pada rumah terbuka Aidilfitri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Seri Kembangan dekat sini hari ini.

Pergeseran antara Azmin, Ummi, Norlia dan adik-beradik mereka timbul pada 1997 apabila Ummi menghantar surat kepada Dr. Mahathir meminta bekas Perdana Menteri itu mengambil Azmin bekerja di bawah beliau daripada Anwar yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Norlia menambah, Azmin dalam satu mesyuarat keluarga pada tahun itu pernah mengakui Anwar merupakan abang kandungnya dan ia adalah sesuatu yang menguntungkan sekiranya dia berbaik dengan Anwar berbanding adik-beradiknya yang lain.

Dalam pada itu, Ummi memberitahu, Azmin perlu segera kembali ke 'pangkal jalan' dan tidak terus dibuai kemewahan yang dikecapi bersama pakatan pembangkang.

"Apakah ertinya Azmin menjadi Yang Berhormat dan orang nombor dua dalam sebuah parti politik di negara ini sedangkan dia langsung tidak mampu berbaik-baik dengan adik-beradiknya," jelas Norlia.

Wasabi Oyabun..

Rabu, 31 Ogos 2011

PPIM minta Mohamad Sabu tampil jelas isu caj rawatan!

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu tampil menjelaskan tindakan beliau menuntut caj rawatan hospital daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP).

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Ma'amor Osman berkata, ia jelas menunjukkan berlaku penyelewengan kuasa dan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terperinci mengenainya.

Beliau memberitahu, tindakan pemimpin nombor dua Pas itu menunjukkan sifat sebenar dirinya yang cuba diselindung sebelum ini.

"Sekarang apa sudah jadi, pecah tembelang. Orang sudah tahu siapa sebenarnya Mohamad Sabu. Apa rasional beliau menggunakan wang PBAPP?" soalnya ketika dihubungi oleh di sini, hari ini.

Parti Cinta Malaysia (PCM) mendedahkan Mohamad membuat tuntutan bayaran kos perubatan berjumlah RM8,434.05 sedangkan kos rawatan sebenar di Hospital Pakar KPJ di Selangor cuma RM5,060.54 sahaja.

Sehubungan itu, PCM membuat laporan di SPRM bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung perkara itu. Tindakan Mohamad didakwa telah menyalah guna kedudukannya sebagai Anggota Lembaga Pengarah PBAPP apabila membuat tuntutan berkenaan.

Sampai bila kamu nak menipu Mat Syabu oii..!!!

Wasabi Oyabun..

Rabu, 24 Ogos 2011

Kes Liwat II : Pendakwa bangkit isu air mani!

‘‘Untuk meletakkan air mani seseorang pada sesuatu sampel atau rektum, orang yang hendak meletakkannya perlu ada air mani orang tersebut bukan?’’

Pertanyaan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden itu menyebabkan saksi pembela ketiga dalam kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr. David Wells terdiam seketika dan pada mulanya enggan memberikan sebarang jawapan kerana baginya soalan itu lebih sesuai ditujukan kepada pakar asid deoksiribonukleik (DNA).

Selepas Mohd. Yusof menjelaskan bahawa soalannya tidak langsung menjurus mengenai kehadiran DNA dan hanya melibatkan air mani sahaja, Wells kemudiannya bersetuju dengan cadangan tersebut.

Soalan yang pada mulanya mengundang gelak tawa daripada mereka yang berada di galeri awam termasuk penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya menyebabkan dewan mahkamah menjadi sunyi seketika selepas jawapan tersebut diberikan.

Soalan tersebut dikemukakan ekoran dakwaan pihak pembelaan sebelum ini yang menyatakan bahan bukti telah tercemar dan air mani Anwar telah diletakkan pada calitan-calitan putik kapas.

Mohd. Yusof yang mengetuai pasukan pendakwaan menimbulkan perkara tersebut hari ini semasa menyoal balas pakar patologi forensik dari Australia itu yang dilantik sebagai saksi pakar pihak pembelaan pada perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Tinggi di sini.

Mohd. Yusof dalam hujah di akhir kes pendakwaan sebelum ini menyatakan, ‘tiada bukti bahawa Ahli Parlimen Permatang Pauh itu ada menyimpan air maninya di bank sperma kecuali sekiranya pihak pembelaan mencadangkan air mani Anwar bertaburan di tempat kejadian.’

Terdahulu, Ketua Jabatan Perubatan Forensik dari Victoria Institute of Medicine, Australia itu bersetuju bahawa bukanlah satu perkara yang asing bagi seseorang lelaki dewasa yang diliwat tidak menunjukkan sebarang kecederaan pada duburnya.

Persetujuan itu diberikan selepas Mohd. Yusof merujuk saksi tersebut kepada dua buah jurnal perubatan Clinical Forensic Medicine oleh W. D. S. McLay dan Expert Evidence oleh Freckelton & Selby.

Menurut kedua-dua jurnal tersebut, ketiadaan kecederaan pada mangsa tidak boleh menyebabkan sesuatu tuduhan serangan seksual diketepikan. Malah, majoriti pengadu kes serangan seksual tidak menunjukkan sebarang tanda cedera yang nyata pada anggota sulit tidak kira lelaki atau wanita.

Selain itu, faktor-faktor lain yang boleh menyebabkan kejadian itu berlaku antaranya ‘kesanggupan’ mangsa untuk melakukan hubungan seks ekoran diperdayakan secara emosi, ketakutan akan berlakunya keganasan atau kematian dan tenaga yang digunakan untuk melawan serangan tersebut tidak mencukupi untuk menyebabkan sebarang kecederaan.

Kelewatan dalam membuat laporan juga boleh menyebabkan luka kecil hilang atau pulih di samping penggunaan pelincir ketika serangan seksual dilakukan.

Berhubung isu penemuan sperma di dalam rektum pengadu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, Wells sekali lagi bersetuju dengan laporan jurnal perubatan yang sama iaitu ‘kajian telah menunjukkan bahawa spermatozoa boleh ditemui di lokasi itu atau dubur sehingga tiga hari selepas hubungan seks luar tabii dibuat walaupun mangsa telah membuang air besar atau mandi.’

Beliau bagaimanapun turut menyatakan ‘tidak selesa’ untuk mengambil sesuatu sampel DNA selepas tiga hari. Dalam kes yang dihadapi oleh Anwar, sampel DNA Mohd. Saiful Bukhari diambil di Hospital Kuala Lumpur(HKL) pada 28 Jun 2008, iaitu dua hari selepas kejadian dan diserahkan kepada ahli kimia, Dr Seah Lay Hong kira-kira 56 jam kemudian.

Pada prosiding hari ini, saksi itu turut bersetuju dengan tindakan doktor-doktor HKL yang tidak membuat sebarang tafsiran terhadap penemuan air mani pada beberapa sampel dalam laporan perubatan mereka dan hanya membuat tafsiran itu di mahkamah iaitu selepas laporan kimia ditunjukkan,

Selain itu, Wells menyatakan, beliau akan membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap mana-mana mangsa tetapi hanya akan melaporkan maklumat yang relevan dalam laporannya.

Sementara itu, Pengurus Pentadbiran Hospital Pusrawi, Yusni Ali memberitahu, ketika beliau mengambil alih tugas tersebut pada 17 Ogos 2008, fail pesakit bernama Mohd. Saiful Bukhari Azlan hanya mengandungi sehelai kertas iaitu ‘Rekod Perubatan Jabatan Kecemasan Pusrawi’.

Dokumen itu juga hanyalah salinan dan bukannya dokumen asal, kata saksi pembelaan keempat.

Menjawab pertanyaan Mohd. Yusof semasa sesi pemeriksaan balas, Yusni berkata, tiada sebarang laporan perubatan pesakit tersebut atau akuan bersumpah ditemui di dalam fail itu.

Semalam, bekas doktor di Jabatan Kecemasan hospital terbabit, Dr. Mohamad Osman Abd. Hamid memaklumkan, beliau ada menyediakan laporan perubatan Mohd. Saiful Bukhari dan menyerahkannya kepada seseorang yang didakwanya pegawai Hospital Pusrawi bernama Azlan.

Beliau yang kini bertugas di Institut Jantung Negara (IJN) juga memberitahu ada menandatangani satu akuan bersumpah selepas seorang peguam bernama Yusri dan pesuruhjaya sumpah bernama Anuar menemuinya dan menyakinkan beliau bahawa dokumen itu adalah untuk simpanan fail sulit.

Anwar. 64, dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 26, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.-UM.

Wasabi Oyabun


Sabtu, 20 Ogos 2011

Harapkan pagar, pagar makan padi - Nazir perlu keluarkan kenyataan!

CIMB merupakan gabungan beberapa buah bank yang asalnya bertunggakkan Bank Bumiputera Berhad. Ia kemudiannya ditukar kepada Bumiputera Commerce Berhad dan akhirnya kepada CIMB setelah berlakunya penggabungan dengan Southern Bank dan juga penjenamaan semula (rebranding).

Sungguhpun kumpulan politik bumiputera tidak berpuas hati dengan pengguguran nama bumiputera namun tidak ramai membantah secara terbuka kerana tidak mahu dilihat sebagai perkauman.

Seorang pemimpin UMNO dalam keadaan bergurau berkata masih ada perkataan Melayu di CIMB cuma Melayu dan bumiputera bukan keutamaan lagi. Kata beliau CIMB merupakan bank 1 Malaysia kerana ia singakatan kepada Cina, India, Melayu Bank.

Mungkin kerana keutamaannya ialah Cina maka Melayu tidak boleh mengharapkan apa-apa yang istimewa kepada bank tersebut sungguhpun ia dipimpin oleh adik Perdana Menteri, Nazir Tun Razak.

Yang sungguh mengejutkan CIMB bukan sahaja mengutamakan Cina biarpun majoriti penyimpannya ialah bumiputera, malah sanggup mengiklan di dalam Malaysiakini.com, portal berita yang menjadi alat menjahanamkan Barisan Nasional dan kerajaan Malaysia.

Saban hari Malaysiakini menyiarkan berita propaganda memburukkan kerajaan, Perdana Menteri, Barisan Nasional, UMNO dan orang Melayu, namun CIMB yang dikuasai oleh kerajaan dan orang Melayu membutakan mata hati mereka terus memberi tajaan bernilai mungkin jutaan ringgit setahun untuk Malaysiakini.com.

Apakah wajar sebuah GLC yang dipimpin oleh adik Perdana Menteri menyediakan peruntukan iklan kepada Malaysiakini sebuah portal berita yang bukan sahaja kerjanya menjatuhkan BN sejak 1999, malah dikhabarkan menerima banyak peruntukan dalam dan luar negara bagi melemahkan kerajaan sedia ada.

Malaysiakini sentiasa berusaha menimbulkan keraguan dan menanamkan propaganda bahawa kerajaan melakukan penipuan dalam daftar pemilih biarpun telah beberapa kali terbukti tuduhan dan propaganda mereka tidak benar. Namun CIMB masih terus mengiklan dalam Malaysiakini dan tidak menyumbang apa-apa kepada Sinar Harian.

Kita pasti CIMB akan memberi alasan bahawa penyiaran iklan ditentukan oleh syarikat ketiga yang diberikan kontrak oleh bank tersebut untuk menguruskan iklan CIMB. Alasan ini selalu diberikan oleh pegawai GLC bagi melepaskan tanggungjawab atau sememangnya “bodoh dan bendul” dalam dunia pengiklanan atau memang ia mahu membantu menjahanamkan BN.

Bukankah aneh peruntukan berpuluh juta setahun oleh GLC seperti CIMB tetapi keputusan untuk mengiklan di mana ditentukan sepenuhnya oleh pihak ketiga? Sekarang kita mahu jawapan daripada Nazir Tun Razak mengapa CIMB berterusan mengiklan di portal-portal berita yang pro-pembangkang sehingga mensabotaj usaha abangnya sendiri untuk memulihkan imej negara dan juga menguatkan Barisan Nasional?

Wajarkah beliau terus kekal sebagai CEO CIMB sekiranya beliau gagal menguruskan hal-hal sebegini sehingga menjadikan CIMB sebagai penyumbang tidak langsung kepada kerja-kerja menjatuhkan kerajaan BN ?

Sumber dari mykmu.

Wasabi Oyabun..