Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Sabtu, 23 Februari 2013

Sifat sesumpah politik kekalkan PKR dalam arena politik negara?




Sifat sesumpah politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membolehkan parti itu 'berubah warna' berdasarkan isu tertentu bagi kepentingannya sendiri, merupakan antara faktor penting PKR kekal dalam arena politik negara.

PKR sebenarnya kehilangan majoriti daripada anggota pengasasnya, antara yang paling berpengaruh ialah bekas Timbalan Presidennya Dr. Chandra Muzaffar pada Disember 2001 selepas dua tahun bertungkus lumus membangunkan PKR.

Selain itu bekas Ketua Angkatan Muda, Senator Mohd. Ezam Mohd. Noor; Senator Datuk S. Nalakaruppan; Anggota Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong; Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin; Anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed; bekas Ketua Penerangan, Ruslan Kassim; dan bekas Setiausaha Sulit Penasihat PKR Anwar Ibrahim, Anuar Shaari, bertindak keluar PKR.

Sebab mereka hanya satu iaitu hilang kepercayaan terhadap pemimpin tertinggi parti. Lumrahnya parti itu bakal berkubur seperti mana parti lain yang mengalami nasib sama, namun sifat sesumpah PKR yang diwarisi daripada penasihatnya Anwar telah menyelamatkan parti itu.



Bagi penganalisis politik, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan, sifat sesumpah politik PKR itu memainkan peranan dalam menyatukan PAS dan DAP di bawah satu bumbung, penyatuan yang menjadi sebab PKR kekal relevan dalam kumpulan pembangkang di negara ini.

"Dilihat peranan PKR dalam menyatukan PAS dan DAP dalam satu pakatan sedikit sebanyak kita lihat ada perangai 'chameleon' (sesumpah) dalam parti itu yang "kata lain pada sebelah ini kemudian sebelah sana kata lain". Kita sedia maklum PAS dan DAP ini tidak sebulu dalam banyak perkara.

"Perangai ini amat berbahaya kerana membuatkan rakyat percaya bahawa Anwar merupakan calon terbaik bagi merubah kerajaan sedangkan ramai tahu beliau merupakan 'chameleon' yang mempunyai masalah terutamanya daripada segi moral dan salah guna kuasa," katanya kepada Bernama.



Ini bukan kali pertama Anwar digelar sesumpah politik, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga pernah menggelar ketua pembangkang itu sedemikian kerana bersikap seperti sesumpah dalam isu Palestin dan kekejaman rejim Zionis Israel pada 2010.

Malah, beberapa hari lepas Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Idris Haron menggelar Anwar sedemikian kerana memperlekeh ilmu agama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Zainal Abidin berkata, walaupun penyatuan PKR, PAS dan DAP yang dipupuk atas sifat sesumpah itu amat rapuh dan mudah terkesan dengan isu yang dimainkan, namun matlamat sama yang cuba ditunjukkan melalui sifat itu mampu mempengaruhi rakyat menyokong pakatan itu.

Beliau yang juga bekas Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya berkata, selain sifat sesumpah, doktrin kebencian kepada kerajaan yang disemai pemimpin PKR dalam penyokong parti serta pakatan itu merupakan antara sebab PKR masih meraih sokongan sehingga kini.



"Isu seperti (loji nadir bumi) Lynas yang kononnya membahayakan rakyat dan kerajaan tidak prihatin terhadap rakyat dimainkan begitu hebat sekali sehingga terbentuk kebencian itu. Masyarakat Cina contohnya disemai bahawa MCA telah gagal dan hanya DAP yang mampu membela nasib kaum itu," katanya.

Zainal Abidin berkata, media alternatif yang menjadi mainan PKR dan konco-konconya memainkan peranan penting dalam memastikan PKR terus mendapat sokongan malah bertindak mengubah logik dalam laporan media tersebut.

"Ini masalahnya bila media tiada sekatan, penipuan ini boleh diperlihatkan seolah-olah seperti kebenaran juga sebaliknya. Ini dilakukan demi mendapat kepercayaan rakyat serta menyemai doktrin kebencian kepada kerajaan," katanya.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mempunyai pandangan sama merujuk klip video yang menunjukkan Najib menyoal khalayak di Pulau Pinang baru-baru ini sama ada mereka bersedia untuk Barisan Nasional (BN), yang seolah-olah dijawab dengan perkataan "Tidak".



Mengulas mengenai tindakan pengasas PKR yang keluar parti, Zainal Abidin berkata, sukar untuk mengetahui sebab spesifiknya, namun majoritinya 'menyanyikan lagu yang sama' iaitu hilang keyakinan terhadap pemimpin tertinggi PKR.

"Dulu parti ini menjadi wadah untuk membebaskan Anwar dan kononnya membersihkan kerajaan, namun atas pelbagai faktor dalaman yang barangkali melibatkan ganjaran dan cantas mencantas, mimpi mereka ketika menyertai parti itu terkubur.

"Saya berpandangan ada mereka ini tidak disukai kepimpinan PKR kerana lantang bersuara menyatakan apa yang salah, maka tiada cara lain bagi mereka kecuali keluar. Namun saya lebih gemar melihat 'aftermath' kepada tragedi itu," katanya.



Anggota Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan yang bertindak keluar PKR pada Januari 2011 dipetik berkata: "Sekarang saya 'bebas', bila saya 'bebas' setiap hari saya tak payah turun untuk berceramah, saya tidak perlu bawa fitnah,".

Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Datuk Keramat, Lim Boo Chang mengumumkan melepaskan semua jawatan dalam PKR dan kembali kepada Gerakan pada Disember 2011, asalnya tertarik dengan agenda reformasi dibawa PKR tetapi selepas tiga tahun berada dalam parti itu, beliau hilang keyakinan berikutan kegagalan parti itu memenuhi janji.

Bukan setakat itu, pada April tahun lepas kebanyakan daripada bekas pengasas PKR itu telah menubuhkan gerakan diberi nama Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai) bagi mendedahkan kepada rakyat siapa sebenarnya Anwar serta menangkis segala fitnah yang dilemparkan pemimpin pembangkang itu terhadap kerajaan.


Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan