Terima kasih kerana mengundi BN
Sabtu, 24 November 2012
Exco Hal Ehwal Islam negeri Selangor akui ada kes murtad dan salahkan kemiskinan sebagai puncanya?
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata isu murtad dalam kalangan umat Islam di Selangor antara lain berpunca daripada kemiskinan dan usaha menanganinya perlu dilaksanakan dengan bijaksana.
Selaku Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Negeri, beliau berkata beliau akan melihat langkah menggabungkan perkhidmatan bantuan Tabung Amanah Islam dan Lembaga Zakat Selangor supaya kebajikan umat Islam lebih terjaga.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali (Bebas-Gombak Setia) yang bertanya mengenai usaha memurtadkan umat Islam di Selangor, pada persidangan Dewan Undangan Negeri.
Abdul Khalid berkata agensi penguatkuasaan agama Islam di Selangor juga perlu memantau cara pendakwah agama lain menarik umat Islam serta mengkaji kaedah untuk menyelamatkan akidah umat Islam.
Menjawab soalan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) yang bertanyakan
jumlah umat Islam yang dimurtadkan sejak Pakatan Rakyat memerintah Selangor, Abdul Khalid berkata beliau tidak mempunyai datanya memandangkan isu murtad merupakan isu individu dan keluarga yang tidak dihebahkan.
Bagaimanapun 10 kes berkaitan murtad masih dalam proses mahkamah, katanya.
Wasabi Oyabun..
Khamis, 22 November 2012
Kondominium berhampiran Batu Caves dilulus ahli majlis pakatan pembangkang - Abdul Shukor?
Barisan Nasional (BN) mendakwa projek pembinaan kondominium berhampiran kuil di Batu Caves, Gombak diluluskan ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang dilantik pakatan pembangkang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Abdul Shukor Idrus berkata, beliau dimaklumkan bahawa kelulusan projek tersebut dibuat pada 24 Jun 2008 dan ketika itu tiada lagi ahli majlis yang dilantik semasa pentadbiran BN berada dalam MPS.
''Sehubungan itu, dakwaan pakatan pembangkang bahawa BN bertanggungjawab memberikan kelulusan projek itu adalah berniat jahat dan cuba memutarbelitkan fakta bagi mengelirukan rakyat kerana ahli MPS yang dilantik oleh BN tidak lagi hadir mesyuarat selepas 8 Mac tahun yang sama.
"Oleh itu, mereka (pembangkang) yang bertanggungjawab terhadap kelulusan projek tersebut. Walaupun sebelum itu, ahli MPS yang dilantik BN ada membincangkan tentang pembinaan kondominium tetapi selepas itu, perkara berkenaan terhenti di situ saja.
''Selepas ahli MPS yang baharu dilantik, mereka meneruskan perbincangan tentang cadangan pembinaan kondominium ini dan seterusnya meluluskan projek tersebut. Jadi, saya ingin bertanya siapa yang bertanggungjawab meluluskannya kerana mereka ada kuasa membatalkan jika tidak bersetuju?" katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi perbahasan Bajet Selangor 2013 di sini hari ini.
Isu pembinaan dua blok kondominium 29 tingkat di sekitar Batu Caves terus menjadi perhatian masyarakat India tempatan apabila Jawatankuasa Kuil Sri Subramaniam, Swamy Devasthanam Batu Caves membantah pembinaan kondominium itu yang didakwa akan menjejaskan pemandangan dan struktur kuil.
Malah, dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini, ADUN Kota Alam Shah, M. Manoharan mencabar Exco kerajaan negeri, Ronnie Liu meletak jawatan sekiranya gagal membatalkan projek pembinaan kondominium tersebut.
Dalam pada itu, ditanya tentang cabaran Manoharan itu, Abdul Shukor berkata, gesaan itu datang daripada kalangan pemimpin pembangkang sendiri, sekali gus membuktikan ketidakyakinan pemimpin mereka terhadap kredibiliti Ronnie selaku Exco Hal Ehwal Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri.
Wasabi Oyabun..
Selasa, 20 November 2012
Isu Selangor : Ibu tunggal tuntut janji manifesto pilihan raya ke-12?
Lebih 10,000 golongan ibu tunggal di Selangor akan memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi daripada kerajaan negeri kerana tidak menikmati elaun seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya ke-12 Pakatan Rakyat (PR) empat tahun lalu.
Pengerusi Ibu Tunggal Negeri Selangor, Mortini Kasman berkata, tindakan itu diambil berikutan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim sehingga hari ini masih gagal menunaikan apa yang dijanjikan.
"Perjanjian oleh pihak pembangkang merupakan satu pembohongan.
"Apabila difikirkan balik setelah empat tahun tiga bulan, selepas melihat manifesto itu semula kita rasa tertipu.
"Mereka beranggapan manifesto hebat itu akan menarik perhatian kepada pengundi tetapi, kita golongan ibu tunggal menjadi mangsanya,"katanya selepas hadir dalam Majlis Sepetang Bersama Ibu Tunggal di Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Beranang di sini.
Majlis dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz.
Mortini berkata, di Selangor terutamanya, aset ibu tunggal amat tinggi disebabkan para pengundi ramai daripada golongan ibu-ibu tunggal.
"Kita bukan meminta tetapi ini adalah apa yang telah dijanjikan pada kita. Apabila mereka telah menang, janji-janji tersebut telah dilupakan,"katanya.
Sehubungan itu katanya, pihaknya juga akan mengadakan demonstrasi pada Jumaat ini di hadapan Bangunan SUK di Shah Alam bagi menuntut Khalid menunaikan janji.
Sementara itu, Johan berkata, Persatuan Kebajikan Jalinan Mesra Ibu Tunggal Hulu Langat, Selangor telah melantik Tetuan Kamaruddin & Partners bagi memfailkan saman tersebut pada 22 November ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kerajaan negeri.
"Pada Mac depan sudah genap lima tahun kerajaan ini memerintah tetapi sehingga kini satu sen pun mereka (ibu tunggal) tidak dapat. Saya berharap kepada (Tan Sri) Khalid supaya bersiap sedia untuk menjawab. Golongan ibu tunggal di negeri ini sudah tidak tahan dengan pelbagai janji palsu mereka yang tidak berkesudahan," katanya.
Menurut Johan yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat itu akan mengorak langkah untuk bersama-sama golongan ibu tunggal di negeri ini bagi membantu para ibu tunggal itu agar tuntutan mereka sampai kepada Menteri Besar.
"Kita akan memfailkan 2,000 ribu orang dahulu secara berperingkat. Kita akan mengedarkan borang pendaftaran untuk disertakan bersama fail saman tersebut ke seluruh Selangor. Jangkaan ibu tunggal ini dalam 35,000 orang buat masa ini atau mungkin lebih daripada itu," ujarnya.
Katanya, bagi golongan tersebut yang masih belum mendaftar, mereka boleh pergi ke persatuan ibu tunggal di parlimen masing-masing untuk bersama-sama menuntut saman di mahkamah.
Wasabi Oyabun..
Ahad, 18 November 2012
Lagi skandal haram kerajaan regim MB Khalid - Noh Omar pertikai rancangan jual saham Worldwide RM150 juta?
Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar menunjukkan borang pendaftaran syarikat firma yang tidak dinamakan di Tanjung Karang semalam.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar mempersoalkan rancangan Worldwide Holdings Berhad, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), untuk menjual saham bernilai RM150 juta kepada sebuah syarikat bukan bumiputera.
Beliau berkata dakwaannya itu berdasarkan maklumat terbaru diperolehinya mengenai perbincangan untuk menjual saham tersebut antara dua syarikat berkenaan.
Noh berkata syarikat yang ditubuhkan pada 21 Mac lepas itu sebelum ini mempunyai dua pengarah bukan bumiputera yang juga merupakan pemegang saham tetapi berdasarkan carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dua individu berkenaan telah meletak jawatan sebagai pengarah pada 22 Mei lepas tetapi mereka masih kekal sebagai pemegang saham.
“Pada tarikh sama (22 Mei) dua pengarah baru dilantik yang terdiri daripada pengurusan tertinggi PKNS tetapi yang peliknya dua pemegang saham masih orang yang sama (pengarah yang meletak jawatan sebelum ini).
Apa muslihat berbuat demikian adakah sengaja dirancang,” katanya dalam sidang media selepas menutup program penerangan isu-isu semasa anjuran Umno Tanjong Karang.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menuntut penjelasan daripada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku pengerusi PKNS sama ada saham tersebut akan dijual atau sebaliknya.
Ada berani kah MB Khalid mahu menjawapnya? Sama-samalah kita tunggu dan lihat akan perkembangan seterusnya daripada beliau!
Wasabi Oyabun..
Jumaat, 16 November 2012
Radio 'Aduan Rakyat' Selangor Di Lancar!
Barisan Nasional (BN) Selangor hari ini melancarkan saluran radio Internet dikenali sebagai Radio BN Selangor yang boleh diakses menerusi laman web www.selangorbn.fm
Koordinator BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata radio Internet itu akan memulakan operasi pada 17 Nov ini, 24 jam sehari dan boleh diakses melalui komputer dan telefon pintar.
"Radio ini boleh didengar menerusi laman web manakala bagi pengguna telefon pintar, mereka boleh memuat turun menerusi aplikasi Tune In untuk mendengar Radio BN Selangor," katanya pada sidang akhbar sempena majlis pra-pelancaran radio itu oleh Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar di sini hari ini.
Beliau berkata radio itu juga bakal menjadi alternatif untuk rakyat Selangor memberi pandangan, mengutara aduan dan masalah mereka selain mendapat maklumat terkini berkaitan program anjuran BN Selangor.
Beberapa slot rancangan turut disediakan dalam siaran radio itu untuk menjawab terus aduan dan persoalan yang dibangkitkan seperti 'Aduan Rakyat' dan 'Bersama Pemimpin' yang dibawa secara langsung.
Mohd Zin berkata radio itu juga akan menjadi saluran untuk BN menerangkan sebarang isu berbangkit di Selangor selain mendapat maklumat dan berita terkini menerusi rancangan 'Berita @ Info'.
Beliau berkata rancangan 'Resepi Selebriti' juga akan dikeudarakan dengan beberapa tokoh politik, wakil rakyat dan artis akan diundang untuk berkongsi resipi istimewa mereka serta segmen 'Bakat Selangor' pula memberi peluang kepada rakyat di negeri itu menunjukkan bakat mereka.
Setakat ini akan terdapat 10 segment yang disusun secara interaktif untuk pendengar-pendengar radio BN Selangor ini.
Kapsul pagi- membincangkan tentang motivasi diri, tips sebelum memulakan hari yang ceria dan produktif.
Bual Bicara – Membincangkan tentang isu-iisu di Selangor. Menjemput tetamu yang berkaitan isu ke konti radio.
Lagu permintaan – Deejay akan memainkan lagu diselangani dengan celoteh dan info,
Aduan rakyat –Aduan dari rakyat dan akan dijawap oleh pihak yang terlibat.
Resepi selebriti – Menjemput artis, ahli politik, public figure untuk berkongsi resepi kesukaan mereka dan perkembangan terkini mereka.
Bersama Pemimpin – Membincangkan isu-isu Negara dengan menjemput tetamu yang arif dalam bidang tersebut.
Bicara kesihatan (Setiap Selasa) –Temubual bersama pakar mengenai topic kesihatan yang berlainan setiap minggu.
Bicara agama (Setiap Jumaat) – segment membicarakan tentang agama dengan menemubual tetamu dalam bidang agama.
Bakat Selangor – segmen yang membolehkan pendengar menonjolkan bakat nyanyian mereka dengan menghantar klip suara mereka ke FB, email atau CD kepada kami.
Berita @ Info – segmen ini akan keudara setiap 30 minit atau 1 jam, dengan memberi berita kepada pendengar. Segment ini selama 5 minit.
Inovasi dari Barisan Nasional Selangor ini merupakan satu dari usaha berterusan BN Selangor untuk mendekati rakyat. Radio ini juga berbentuk dua hala iaitu pendengar dapat turut berhubung dengan pihak Barisan Nasional Selangor terutamanya apabila melibatkan segmen-segmen bersama pemimpin kelak.
Sementara itu, Mohd Zin berkata Pusat Khidmat Rakyat Barisan Nasional (Pakar) menerima laporan berhubung isu mengenai masalah kenaikan harga rumah yang begitu mendadak di Selangor.
Beliau berkata BN Selangor meneliti masalah ini dengan serius dan menganggap ia sebenarnya berpunca daripada kelemahan kerajaan negeri itu mengurus dan mengawal isu perumahan dengan baik dan berkesan.
"Di kesempatan ini, saya ingin memberikan jaminan kepada rakyat Selangor bahawa jika BN (Barisan Nasional) memerintah Selangor kelak, masalah perumahan mampu milik ini akan diberi perhatian khusus.
"Saya tidak boleh menyatakan angka-angka dengan spesifik namun perkara ini akan turut dimuatkan dalam manifesto BN untuk pilihan raya umum akan datang," katanya.
Wasabi Oyabun..
Khamis, 15 November 2012
Isu banjir Selangor : Kerajaan regim MB Khalid perlu bertindak?
Sekumpulan remaja bergotong-royong membersihkan sampah-sarap yang menyekat aliran air tali air Kampung Bukit Changgang di Dengkil, Selangor.
Aktiviti perlombongan pasir yang tidak terkawal, terusan atau ban yang tidak disenggara dengan baik dan kelemahan pengurusan sampah didakwa antara penyebab utama banjir buruk di kawasan Bukit Changgang, Kuala Langat dan Dengkil, Sepang dekat sini.
Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, perkara itu dikenal pasti pihaknya berdasarkan maklumat dan tinjauan yang dilakukan di sekitar kawasan yang dilanda banjir sejak sembilan hari lalu.
"Kita tidak nafikan banjir berlaku akibat perubahan cuaca di luar jangkaan dan fenomena air pasang besar yang sedang berlaku. Tetapi ia dapat dikawal sekiranya langkah-langkah sepatutnya diambil oleh pihak yang bertanggungjawab terutamanya pihak berkuasa tempatan.
"Di Dengkil dan Bukit Changgang misalnya, banjir semakin buruk apabila terusan pecah dan ia kemungkinan besar disebabkan penyenggaraan yang tidak baik selain aktiviti perlombongan pasir tidak terkawal yang berlaku di situ," katanya kepada pemberita di Bangunan UMNO Selangor di sini hari ini.
Ahli Parlimen Sepang itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian banjir di Dengkil dan Bukit Changgang di sini yang disifatkan sebagai terburuk dengan mencatatkan jumlah mangsa dipindahkan lebih 1,000 orang.
Menurut Mohd. Zin, selain masalah ban pecah dan aktiviti perlombongan pasir, kelemahan pengurusan sampah hingga menyebabkan sistem saliran terganggu ketika banjir memburukkan lagi keadaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan pantas membaiki terusan yang pecah dan menyenggara infrastruktur di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) agar keadaan yang berlaku dapat dikawal.
"BN Selangor sebenarnya telah beberapa kali membangkitkan perkara itu sebelum ini dan kami berharap masalah tersebut dipandang serius oleh kerajaan negeri memandangkan banjir yang berlaku memberi kesan dan kesengsaraan kepada rakyat," katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Zin memberitahu, pihaknya juga telah meminta bantuan Jabatan Perparitan dan Saliran Malaysia (JPS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut selain memberikan bantuan khas kepada mangsa banjir di Sepang dan kawasan lain yang terjejas.
"Kami ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui 1Malaysia Development Berhad dan semua pihak serta agensi yang telah menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Sepang dan Kuala Langat," katanya.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Rakyat (Pakar) BN, beliau memberitahu, antara yang banyak ditimbulkan selain daripada masalah infrastruktur ialah kenaikan harga rumah yang mendadak di Selangor.
Ujar beliau, BN Selangor meneliti masalah itu dengan serius dan menganggapnya berpunca daripada kelemahan kerajaan negeri mengurus dan mengawal isu perumahan dengan baik dan berkesan serta gagal menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat .
"Kami kesal dengan tuduhan kononnya Kerajaan Persekutuan yang sepatutnya bertanggungjawab untuk membina rumah kos rendah sedangkan segala hal berkaitan dengan tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
"Sepatutnya, kerajaan negeri lebih dulu perlu berusaha menyediakan rumah yang mampu dimiliki untuk rakyat," katanya.
Menurut Mohd. Zin, sikap kerajaan negeri yang lebih berminat dalam urusan korporat hingga Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang diwujudkan untuk membantu rakyat memiliki rumah mampu milik turut dijadikan alat bagi meraih keuntungan tanpa memikirkan kebajikan rakyat, juga amat dikesali.
"Jika corak pemerintahan sebegini berterusan, tidak mustahil akan timbul kembali penempatan setinggan di Selangor pada masa akan datang," ujar beliau.
Wasabi Oyabun..
Sultan Selangor : Usah terpengaruh dakyah pemikiran bebas?
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (depan tiga dari kiri) mengaminkan doa awal tahun yang dibaca imam masjid negeri sewaktu berkenan hadir di majlis ambang maal hijrah dan pelancaran sambutan maal hijrah 1434H peringkat negeri selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, malam tadi.
Terlebih dahulu sukacita beta mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 1434 Hijrah kepada seluruh umat Islam khususnya orang Melayu di negeri Selangor dan beta berharap kita dapat menyambut tahun baru Islam ini dengan penuh azam dan pemikiran yang bernas untuk membangunkan orang Melayu serta mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana telah mengurniakan kepada kita keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan.
Di kesempatan ini, beta berkenan untuk menyampaikan nasihat dan peringatan kepada umat Melayu berikutan isu berhubung kebebasan beragama yang telah ditimbulkan baru-baru ini.
Sebagai ketua agama Islam dan pelindung kepentingan serta hak-hak orang Melayu di Selangor, beta bertanggungjawab sepenuhnya pada setiap masa menentukan bahawa agama Islam yang suci dan kepentingan orang Melayu terpelihara dan dijaga dengan sempurna.
Sudah sampai masanya umat Islam khususnya orang Melayu di negeri ini, berwaspada dan menilai semula kedudukan mereka, supaya tidak terpengaruh dengan hasutan dan dakyah oleh pemikiran bebas, liberalisme atau pluralisme yang boleh merosakkan akidah seseorang dan seterusnya boleh menjadi syirik terhadap Allah SWT.
Pemimpin-pemimpin Melayu dahulu yang bijaksana telah menetapkan dengan jelas definisi orang Melayu sebagaimana dalam Perkara 160(2), Perlembagaan Persekutuan adalah :-
Pertama: Mereka hendaklah mengamalkan budaya Melayu, Kedua: Bertutur bahasa Melayu dan Ketiga: Beragama Islam
Jika salah satu daripada perkara di atas tidak diamalkan oleh seseorang, maka ia bukanlah lagi ditafsirkan atau dianggap sebagai orang Melayu.
Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa agama Islam adalah agama Persekutuan. Ini menjelaskan bahawa agama Islam lebih tinggi kedudukannya berbanding agama-agama lain. Perlembagaan juga menetapkan kedudukan dan hak-hak keistimewaan orang Melayu yang perlu dilindungi.
Sekiranya orang Melayu dengan sewenang-wenangnya menukarkan agama Islam yang maha suci ini (murtad), maka pepatah Melayu lama Tidak Melayu hilang di dunia" tidak boleh diguna pakai lagi kerana bangsa Melayu terhakis dan akan lenyap daripada muka bumi ini.
Beta tidak rela orang Melayu meninggalkan agama Islam yang maha suci ini, sebaliknya beta mahukan orang Melayu mempertahankan kesucian agama Islam ini dengan kekuatan dan kebijaksanaan seperti yang telah di lakukan oleh Nabi Muhammad SAW, para sahabat, para mujahid dan pemimpin-pemimpin Islam yang terdahulu.
Kebelakangan ini, beta dapati kesucian Islam telah dinodai apabila hukum hakam agama dan tafsiran al-Quran telah sewenang-wenangnya menjadi modal politik bagi meraih sokongan. Kekeliruan timbul apabila orang yang tidak berilmu atau orang tidak layak mentafsir ayat-ayat al-Quran atau perkara berkaitan hukum Allah melakukan tafsiran mengikut fahaman dan kehendak masing-masing yang tidak menepati makna yang sebenarnya. Ayat-ayat al-Quran bukanlah seperti sepotong sajak yang boleh ditafsirkan mengikut selera dan fahaman sendiri.
Di sini beta mengingatkan supaya jangan dicampuradukkan agama dengan politik kerana ia boleh mengeliru dan memecah belahkan masyarakat. Sebaliknya beta menyeru supaya orang-orang Melayu bersatu padu, membantu antara satu sama lain dan mengeratkan silaturahim sesama Islam serta mempertahankan agama Islam yang suci ini.
Akhir sekali sebagai orang Islam, yakinlah kemungkaran yang dilakukan oleh manusia akan dibalas oleh Allah SWT dengan balasan malapetaka yang dahsyat seperti yang berlaku di zaman silam.
Surah Al-Anfal, ayat 25, Allah berfirman yang maksudnya; Dan peliharalah diri kamu daripada berlakunya dosa yang membawa bala bencana yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus tetapi akan menimpa kamu secara umum dan ketahuilah bahawa Allah maha berat azab siksaNya".
Marilah kita sama-sama berdoa semoga Selangor yang kita kasihi ini sentiasa diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT serta dijauhkan dari malapetaka. Beta juga berdoa semoga rakyat yang berbilang kaum di negeri ini dapat hidup bersatu padu, aman damai, dan negeri Selangor akan terus maju, makmur dan sejahtera.
Wasabi Oyabun..
Langgan:
Catatan (Atom)









