Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Selasa, 26 April 2016

DAP anggap ditipu PKR?


Hari pencalonan Pili­han Raya Nege­ri Sarawak Ke-11 (PRN-11) mendedahkan tembelang parti pembangkang yang tidak mampu berkompromi sehingga bertembung sesama sendiri di hampir 30 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pertembungan itu berlaku bukan sahaja dalam kalangan parti yang membentuk pakatan seperti PKR dan DAP malah melibatkan Pas dan serpihannya, PAN serta parti pembangkang Sarawak iaitu Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) dan Parti Bansa Dayak Baharu (PBDSB).

PKR dan DAP yang digambarkan ‘seiring sejalan’ di Semenanjung umpamanya, bertembung sesama sendiri di enam kawasan DUN iaitu Batu Kitang, Mulu, Murum, Simang­gang, Ngemah dan Mambong.

Pemimpin kanan DAP sehingga petang semalam merayu supaya PKR Sarawak berkompromi namun segalanya tidak dipedulikan.

Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, Lim Guan Eng tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya terhadap PKR yang enggan mengubah pendirian mereka.

Katanya, beliau boleh menerima jika pertembungan hanya berlaku di satu DUN namun jumlah lima DUN yang bertindih adalah terlalu banyak.

Menurutnya, PKR juga tidak ada komitmen untuk mematuhi perjanjian supaya mereka tidak bertembung antara satu sama lain.

Beliau yang ditemui di luar pusat penamaan calon DUN Senadin di Miri pagi ini secara terbuka berkata: “Kami rasa telah ditipu.”

Pertembungan di lima kerusi itu berlaku apabila Timbalan Pre­si­den PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi kuasa kepada PKR negeri untuk bertanding di kawasan yang bertindih.

Perkara itu diakui Mohamed Azmin dalam satu majlis di Shah Alam, Selangor hari ini.

Berikutan itu, DAP secara dramatik membalas dendam de­ngan mencalonkan calon Melayu, Abdul Aziz Isa di Batu Kitang sedangkan kawasan itu ditandingi calon PKR, Voon Shaik Ni.

Menurut sumber, pagi ini Abdul Aziz bersiap sedia di dalam keretanya di luar pusat penamaan calon dan apabila menerima beri­ta PKR meletakkan calon di DUN Mambong (bertindih de­ngan DAP), dia bertindak menyerahkan bo­rang pencalonan ke­pada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebuah lagi parti yang turut menggangotai pakatan bersama DAP dan PKR iaitu PAN mengambil pe­luang untuk membalas dendam kepada Pas dengan bertanding di Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro.

Pertembungan itu ibarat dedalu yang menumpang pokok kerana semua kawasan berkenaan dirintis oleh Pas sejak beberapa siri PRN terutamanya di DUN Beting Maro yang mula menunjukkan hasil.

Pas juga bertembung dengan DAP di Pujut dan Samalaju selain turut bersaing dengan PKR di Kakus, Jepak dan Lambir.

Turut menyertai drama pertembungan dalam PRN-11 ialah STAR dan PBDSB yang bertanding di kawasan DAP serta PKR.

STAR bertembung dengan DAP di Padungan, Bukit Semuja, Dudong, Bawang Assan, Pelawan dan bertembung dengan PKR di Jepak, Nangka, Serembu dan Batu Lintang.

PBDSB pula bertembung dengan PKR di Opar dan Balai Ringin selain berentap dengan DAP di Senadin, Kedup dan Bukit Semuja.

Wasabi Oyabun..

Sabtu, 16 April 2016

Dr. Zakir cetus fenomena?


Kedatangan pendakwah antarabangsa terkenal, Dr. Zakir Naik, 50, sememangnya mencetuskan fenomena. Seingat penulis, belum pernah siri ceramah agama dibanjiri oleh puluhan ribu manusia yang terdiri daripada bukan sahaja orang Islam tetapi ramai dalam kalangan bukan Islam.

Demikian hebat dan luar biasanya doktor perubatan yang dilahirkan di Mumbai ini. Ia sekali gus menguatkan lagi kebenaran firman Allah SWT yang mengangkat darjat orang yang berilmu. (rujuk ayat 11 surah al-Mujadalah)

Terbaharu, ceramah beliau di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, esok dijangka dihadiri oleh 30,000 orang.

Demikianlah aturan Allah SWT. Di sebalik bantahan oleh Hindraf dan segelintir penganut Hindu yang membawa kepada pembatalan forum bertajuk Similarities Between Hinduism and Islam di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem) Ahad ini, nama Dr. Zakir makin popular.

Alhamdulillah, pembatalan itu ditarik semula selepas diganti tajuk baru The Solution To The Problems of Humanity.

Memang resmi manusia, semakin dilarang atau dihalang melakukan sesuatu, makin kuat keinginan untuk mendapatkan bahan larangan tersebut. Ternyata, liputan luas media massa tempatan yang memaparkannya dalam muka depan akhbar masing-masing tentang pembatalan itu sebenarnya mempunyai rahmat.

Semakin ramai terutama yang bukan Islam mahu mengenali dan mendengar syarahan insan yang pakar dalam per­bandingan agama ini.

Antara ungkapan ‘hikmah’ beliau yang mengesankan adalah semasa menjawab pertanyaan seorang penganut kristian seperti yang disiar menerusi YouTube: “Untuk mengetahui tentang Islam jangan lihat pada umatnya tetapi kajilah al-Quran dan hadis-hadis sahih”.

Sebab itu, jangan terpedaya dengan gerakan-gerakan keganasan dan militan yang bertopengkan Islam. Kumpulan seperti militan IS sebenarnya bukan mengikut ajaran Islam. Islam adalah agama yang sejahtera. Ia melarang segala bentuk penganiayaan, kezaliman dan maksiat.

Malangnya, kejahatan yang dilakukan oleh sebahagian penganutnya telah mencalar dan mencemar kesucian agama Islam. Namun, jawapannya mudah. Itulah beza muslim (orang Islam) dan mukmin (orang beriman).


Keresahan Hindraf terhadap Dr. Zakir mungkin kerana pendakwah ini bukan sahaja memiliki pakej ilmuwan yang lengkap (petah berhujah dengan dalil al-Quran, hadis, Taurat, Injil dan juga kitab-kitab agama lain termasuk Hindu), beliau juga berupaya memberi jawapan yang tepat dan memuaskan hati. Natijahnya, ramai yang beliau Islamkan usai sesi soal jawab.

Demikianlah Allah memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Ini bukan ajaib kerana hanya Islam agama yang benar sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya agama yang benar dan diredai Allah ialah agama Islam. (ali-Imran: 19)

Kita sebenarnya harmoni dengan masyarakat India dalam banyak hal apabila boleh berkongsi makanan yang sama se­perti capati, tosai, maruku dan putu mayam. Malangnya, dalam agama, toleransi itu nampaknya tidak wujud.

Seperkara lagi, dalam kita mengalu-alukan kedatangan be­liau ke Malaysia dan menghadiri sesi ceramah beliau, jangan kita alpa keutamaan menuntut ilmu fardu ain terutama bab fikah dan tauhid. Biasanya ilmu-ilmu ini diajar di masjid dan surau oleh para ustaz dan ustazah.

Jangan kita melenting apabila ceramah Dr. Zakir dibatal atau dihalang sedangkan selama ini kita tidak pernah memijak tangga masjid dan surau mengikuti siri kuliah yang diadakan. Kita memerlukan lebih ramai insan sehebat Dr. Zakir untuk menyebar luaskan dakwah khasnya kepada orang bukan Islam.

Semoga kita istiqamah beribadat dan dimatikan dalam khusnul khatimah. Sebabnya, barang siapa yang mencari agama selain Islam, maka ia termasuk orang yang rugi di akhirat kelak. (rujuk ayat 85 surah ali-Imran)

Wasabi Oyabun..