Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Jumaat, 4 April 2014

Ketua Pembangkang DUN Selangor hairan Khalid belum bangun dari 'tidur'?


Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hairan de­ngan kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mendakwa tidak mengetahui keputusan anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) menutup operasi Hotel Quality Shah Alam berkuat kuasa 1 Jun ini.

Datuk Mohd. Shamsudin Lias berkata, kenyataan berkenaan mencetuskan pelbagai persoalan terhadap peranan sebenar Abdul Khalid dalam menguruskan anak syarikat kerajaan negeri yang berfungsi me­ningkatkan taraf sosioekonomi ne­geri, sekali gus memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

Tegas beliau, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Abdul Khalid secara logiknya mengetahui kedudukan prestasi kewangan serta operasi KPS termasuk entiti perniagaan serta pelaburan syarikat itu menerusi Hotel Quality Shah Alam.

“KPS itu sendiri merupakan anak syarikat di bawah KDEB dan Menteri Besar merupakan Pengerusi Lembaga Pengarahnya. Jadi, bagaimana Menteri Besar boleh menyatakan beliau tidak tahu-menahu atau tidak maklum mengenai keputusan KPS menutup hotel berkenaan.

“Adakah mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah KDEB yang dipengerusikan Menteri Besar sendiri tidak pernah membangkitkan mengenai kedudukan Hotel Quality Shah Alam. Ini yang menghairankan kita, apakah Menteri Besar cuai atau tidak ambil perhatian mengenai masalah yang dihadapi oleh anak syarikat kerajaan nege­ri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan Abdul Khalid memberitahu bahawa beliau tidak dimaklumkan mengenai keputusan KPS menutup Hotel Quality Shah Alam di Seksyen 14 di sini atas faktor kerugian.

Penutupan itu disahkan sendiri oleh Ketua Perhubungan Awam dan Media KPS, Amin Lin Abdullah pada Selasa lalu sekali gus menyebabkan kira-kira 105 kakitangan hotel berkenaan diberhentikan pada 31 Mei ini.

Penutupan tersebut dibuat atas alasan perniagaan hotel di Shah Alam yang tidak kondusif telah menjejaskan prestasi kewangan Hotel Quality Shah Alam meskipun pihak pengurusan telah melaksanakan beberapa tindakan untuk mengurangkan kos.

Dalam pada itu, Mohd. Shamsudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong mempertikaikan alasan penutupan hotel tersebut yang dilihat tidak kukuh memandangkan beberapa hotel lain di sini beroperasi dengan baik.

Mengulas mengenai nasib 105 kakitangan Hotel Quality Shah Alam yang terjejas mata pencarian akibat penutupan hotel itu, Mohd. Shamsudin meminta kerajaan ne­geri memberi latihan kepada mereka yang terlibat selain menempatkan mereka di mana-mana entiti perniagaan anak syarikat kerajaan negeri.

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan