Terima kasih kerana mengundi BN
Jumaat, 23 Ogos 2013
Kes Tembak : Zahid Hamidi Desak Waytha Moorthy Letak Jawatan?
Bekas pemimpin Pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) yang kini memegang jawatan tertinggi Kerajaan diminta meletakkan jawatannya serta merta kerana mempertikaikan tindakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menembak mati lima suspek penjenayah di Pulau Pinang baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi berkata, penjenayah tidak seharusnya menerima simpati umum dalam usaha kerajaan memerangi jenayah di Negara ini.
"Jika ada seorang tokoh yang pernah ketuai NGO, dan jadi anggota pentadbiran memberi komen negatif, berhenti dari kerajaan, duduk dalam NGO semula. Dalam perkara ini jangan kita ada simpati kepada penjenayah.
"Awak faham-faham sendirilah," katanya ketika disoal pemberita berhubung bekas pemimpin NGO yang dimaksudkan beliau.
Zahid berkata demikian kepada pemberita pada Sidang Media pada Forum Sehari bertajuk 'Undang-undang Semasa dan Langkah-langkah Untuk Mencegah Jenayah Kekerasan Secara Berkesan' anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) di Sunway Resort & Spa di sini hari ini.
Turut hadir Naib Presiden MCPF Tan Sri Lee Lam Thye dan Pengerusi Asli Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.
Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P.Waytha Moorthy mempertikaikan tindakan polis menembak mati lima anggota kumpulan kongsi gelap dipercayai pembunuh upahan yang dikehendaki polis kerana terbabit dalam kes bunuh dan cubaan bunuh di Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan
Bekas pemimpin Hindraf itu dilaporkan akhbar sebagai berkata, beliau tidak percaya berlaku tembak-menembak antara pasukan polis dengan suspek, sebaliknya mencadangkan mereka ditembak pada jarak dekat.
Sementara itu, Zahid juga menjelaskan, dua skuad khas akan ditubuhkan polis Bukit Aman masing-masing bagi memerangi masalah jenayah berat dan dadah di negara ini.
Katanya, skuad yang masing-masing berkekuatan 200 pegawai dan anggota polis terlatih diketuai Komisioner Polis, mula beroperasi sejak dua bulan lalu.
"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi kelulusan segera bagi penubuhan dua skuad khas itu.
"Skuad khas ini hanya akan beroperasi dari Bukit Aman untuk terus membanteras kumpulan sasaran, dan tidak melalui Ibu Pejabat Kontinjen, Ibu Pejabat Polis Daerah dan Negeri," katanya.
Wasabi Oyabun..
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan