Kedegilan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) untuk tetap meneruskan perhimpunan meskipun, pemimpin mereka sudah diberi peluang menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, disebabkan pertubuhan haram itu sudah terlalu banyak mendapat dana asing.
Keadaan itu menyebabkan Bersih tidak mempunyai banyak pilihan melainkan terpaksa patuh kepada percaturan pihak asing, yang mahu melihat perhimpunan berkenaan tetap menjadi kenyataan apabila bertegas mahu Stadium Merdeka dan menolak tawaran di Stadium Shah Alam.
Terbaru, bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Chandra Muzaffar tampil mendedahkan bahawa pada 27 Jun hingga 2 Julai lalu, Pengarah Projek Burma/Inisiatif Asia Tenggara, Maureen Aung Thwin telah bertemu dengan pemimpin pembangkang serta pertubuhan yang bernaung di bawah Bersih.
Menurut Chandra, pertemuan tersebut dipercayai bagi membincangkan mengenai isu dana kepada Bersih kerana Projek Burma/Inisiatif Asia Tenggara dikendalikan Open Society Foundations (OSF), yang mana Ambiga sendiri baru-baru ini mengakui Bersih menerima dana daripada OSF.
“Saya memandang berat penglibatan Maureen dan OSF kerana pada tahun 1999 hingga 2001, badan ini memang membiayai operasi PKR. Beberapa minggu sebelum pilihan raya 1999 Maureen datang ke pejabat saya di Petaling Jaya untuk membiayai PKR (atas permintaan Datuk Seri Anwar Ibrahim).
“Saya tanya Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Datin Seri) mengenai perkara itu, tetapi dia dan Anwar menafikannya. Saya mempercayainya ketika itu, tetapi perkembangan selanjutnya yang mengaitkan beberapa orang pemimpin Zionis di Amerika Syarikat dengan Anwar menyakinkan saya bahawa dia sebenarnya berbohong.
“Hakikatnya, Azmin Ali telah menghubungi pemilik media Zionis, Rupert Murdoch yang kemudiannya menghantar Maureen ke Malaysia,” katanya seperti dipetik dari blog http://www.pisau.net, hari ini.
Minggu lalu, sumber memaklumkan kepada Utusan Malaysia, ratusan ribu ringgit dana asing telah disalurkan kepada Bersih oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asing yang berpangkalan di Eropah, melalui akuan persendirian milik seorang pemimpin Bersih dan juga melalui akuan NGO yang bernaung di bawah pertubuhan haram tersebut.
Sementara itu : Ambiga Telah Lama Dikader Agen Asing
Sikap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan haram seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang cenderung antikerajaan bukan sesuatu yang baru dalam arena politik negara.
Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berkata, golongan terbabit telah dibiayai oleh pertubuhan luar negara yang mempunyai agenda mahukan seorang pemimpin yang mengikut telunjuk mereka menerajui Malaysia.
“Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri secara langsung menerima tajaan dari Institut Demokrat Kebangsaan (NDI) dan Institut Republikan Antarabangsa (IRI) bagi membiayai program latihan pemimpin dan ahli mereka.
“Malah, Pengerusi Bersih, S. Ambiga dan ramai pemimpin PKR telah hadir atau dihantar menyertai kursus dan program dua badan itu di serata dunia yang mempromosi kebebasan dan keadilan ala Amerika Syarikat (AS),” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, banyak lagi NGO di negara ini antaranya Institut Kajian Dasar (IKD) yang berkiblatkan kepada Anwar mendapat dana dari luar.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali pula berkata, pendedahan Chandra bahawa Bersih menerima dana daripada Open Society Foundations (OSF) bagi membiaya perhimpunan haram itu adalah suatu yang serius.
Sehubungan itu, katanya, pihak polis perlu bertindak tegas menyiasat dakwaan itu dan jika benar tindakan sewajarnya perlu diambil.
“Mengambil kira semua aspek mengenai perhimpunan Bersih seperti menerima dana asing, penemuan senjata berbahaya dan elemen komunis, maka kerajaan wajar mempertimbangkan mengeluarkan ‘kertas putih’ agar rakyat mengetahui kebenaran di sebalik perbuatan Bersih.
“Desakan Perkasa ada asasnya demi memastikan rakyat tidak dikelirukan dan ada pihak mendapat keuntungan politik atas kesengsaraan rakyat dan mencemar nama baik negara,” katanya. -UM.
Wasabi Oyabun..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan