Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Sabtu, 26 September 2009

Anwar Kantoi!


Anwar Ibrahim kali ini gagal dalam usahanya untuk melucutkan kelayakan keseluruhan pasukan pendakwaan dalam kes liwat terhadap bekas pembantunya. Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin mendapati Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu antara lain telah menyalahgunakan proses mahkamah bertujuan melemahkan prosiding jenayah yang dihadapinya.

Justeru beliau memutuskan untuk menolak permohonan Anwar mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi melucutkan kelayakan seluruh pasukan pendakwaan dalam kes liwat itu.

Dalam penghakimannya, Hakim Alizatul menyatakan permohonan Anwar itu tidak menyatakan secara khusus sebarang tindakan tertentu yang salah di sisi undang-undang dilakukan oleh tujuh pendakwa raya tersebut sehingga memerlukan mahkamah menggunakan kuasa melucutkan kelayakan mereka.

Walhal, katanya, mengikut Perintah 53 Perintah-Perintah Mahkamah Tinggi 1980, seseorang pemohon dibenarkan mengemukakan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar sesuatu keputusan atau tindakan oleh pihak berkuasa yang dikatakan salah di sisi undang-undang atau berlakunya penyalahgunaan kuasa.

"Dalam kes ini, pemohon tidak mencabar secara spesifik sebarang tindakan salah oleh pendakwa raya yang membolehkan mahkamah ini menggunakan kuasa penyeliaannya," katanya. Justeru pada hemat Hakim Alizatul, permohonan tersebut sepatutnya dikemukakan di Mahkamah Tinggi Jenayah dan bukannya di mahkamah beliau.

Beliau turut menegaskan, melalui permohonan itu, Anwar bukan sahaja cuba berusaha melucutkan kelayakan tujuh pendakwa raya terbabit tetapi juga kesemua pendakwa raya dari Jabatan Peguam Negara dan Peguam Cara Negara daripada mengendalikan pendakwaan kes liwatnya.

"Ia adalah sama seperti untuk melemah dan menghentikan prosiding (jenayah) walaupun Sivarasa (peguam Anwar, R. Sivarasa) menyatakan pemohon tidak bermaksud untuk menghentikan keseluruhan pasukan pendakwaan," tegas beliau.

Dalam permohonan yang difailkan pada 11 Ogos lalu, Anwar memohon kebenaran semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah perisytiharan agar keseluruhan pasukan pendakwa raya dilucutkan kelayakan mereka daripada mengendalikan pendakwaan atau rayuan kes liwat tersebut.

Anwar menamakan Peguam Cara Negara I, Datuk Idrus Harun; Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden; dan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Shamsul Sulaiman serta Noorin Badaruddin, responden pertama hingga ketujuh.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut menamakan Pendakwa Raya dan kerajaan Malaysia sebagai responden kelapan dan kesembilan.

Permohonan tersebut dikemukakan dengan alasan wujudnya berat sebelah atau wujud bahaya sebenar bagi berat sebelah, konflik kepentingan dan salah laku pendakwaan oleh responden pertama hingga ketujuh.

Anwar mendakwa pasukan pendakwaan itu mendapat arahan daripada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, pertuduhan dibuat dengan niat jahat (mala fide) serta ia adalah kesinambungan daripada kes yang dihadapinya pada 1998.

Dakwanya lagi, Abdul Gani bertindak secara berat sebelah dan prejudis dalam pendakwaan kes itu apatah lagi terdapat laporan polis terhadap Peguam Negara itu berhubung konspirasi politik dalam kes tahun 1998 dan insiden ‘mata lebam’.

Anwar, 62, didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.

Perbicaraan kes liwat itu akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Jenayah), Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah pada 3 November ini. Anwar diwakili barisan tujuh peguam diketuai oleh Sivarasa manakala responden diwakili tiga Peguam Kanan Persekutuan diketuai oleh See Mee Chun.

Sivakumar ketika ditemui pemberita memberitahu pihaknya akan menasihatkan Anwar berhubung tindakan selanjutnya yang perlu diambil sama ada memfailkan permohonan baru di Mahkamah Tinggi Jenayah atau mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini.

Wasabi Oyabun

Khamis, 10 September 2009

Zulkifli bidas ‘Pak Janggut’ !

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin membidas individu yang digelarnya ‘Pak Janggut’ yang sanggup memutar belit ayat-ayat al- Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23, Shah Alam yang menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk di kawasan itu.

Menurutnya, ‘Pak Janggut’ turut menyalahkan umat Islam di Seksyen 23 kerana tidak bersikap adil dalam membantah pembinaan kuil di kawasan kediaman mereka.

“Yang paling jelik, ‘Pak Janggut’ ini sanggup memutar belit ayat al-Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil,’’ katanya.

Zulkifli berkata demikian di dalam blognya, http://zul4kulim. blogspot.com/ bagi mengulas isu pembinaan kuil di Seksyen 23 Shah Alam yang dirancang kerajaan negeri Selangor di bawah pakatan pembangkang tetapi dibantah penduduk Islam di situ.

Ia menyebabkan 12 penduduk Islam di kawasan itu dihadapkan ke mahkamah kerana terlibat dalam perhimpunan haram mengarak kepala lembu di hadapan bangunan kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini bagi membantah pembinaan kuil itu.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan identiti individu yang digelar ‘Pak Janggut’ itu. Zulkifli berkata, memang umat Islam disuruh berlaku adil termasuk kepada bukan Islam yang berada di bawah pemerintahan Islam tetapi ia hanya terhad kepada soal menjaga kebajikan mereka termasuk memelihara tempat ibadah.

Katanya, umat Islam di situ bagaimanapun dilihat seolah-olah tidak mempunyai hak untuk bersuara dan hidup dalam keadaan aman harmoni berdasarkan status quo mereka.
“Umat Islam di situ dipaksa menerima perintah untuk kuil dibina dan perintah itu dikatakan dibenarkan di dalam al-Quran.

“Malahan mereka dikatakan berdosa kerana tidak mengikut al-Quran untuk membenarkan pembinaan kuil itu,” jelasnya. Katanya, pembinaan kuil itu telah banyak diputar belit dan digembar-gemburkan sehingga menyebabkan isu sebenar pencerobohan tanah di kawasan itu untuk menghalalkan pemindahan dan pembinaan kuil yang haram terus tenggelam.

“Isu demonstrasi kepala lembu pula diputarbelitkan cerita sebagai menghina tuhan orang lain,” katanya. Bagaimanapun Zulkifli berkata, tindakan yang dilakukan penduduk Seksyen 23 itu mengadakan perhimpunan haram dengan membawa kepala lembu dan memijaknya tidak sepatutnya berlaku kerana menimbulkan persepsi yang negatif.

Katanya, ada banyak cara lain untuk menunjukkan ketidakpuasan hati dalam isu tersebut contohnya memfailkan saman dan injunksi menghalang keputusan kerajaan Selangor itu.- UM

Wasabi Oyabun

Ahad, 6 September 2009

Anwar tidak perlu takut!

Penangguhan perbicaraan kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi gambaran seolah-olah pemimpin pakatan pembangkang itu takut kepada kebenaran.

Penganalisis politik, Dr. Chandra Muzaffar yang juga bekas timbalan presiden parti itu ketika dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional berkata, tindakan Anwar itu suatu pembaziran kos, waktu dan tenaga manusia di mahkamah.

“Saya bukanlah hendak membuat kesimpulan dalam perkara ini. Namun inilah gambaran yang dapat dilihat.

“Kenapa hendak tangguh kalau kita tidak salah. Anwar seolah-olah takut pada sesuatu. Takut pada kebenaran yang akan terbongkar dalam perbicaraan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Chandra berkata, kes berkenaan sangat penting kepada masyarakat apatah lagi ia melibatkan isu moral.

“Justeru sebagai seorang pejuang rakyat dan pejuang keadilan kononnya, Anwar perlu memastikan perbicaraan beliau selesai secepat mungkin.

“Anwar perlu bersikap adil kepada mahkamah, rakyat dan yang paling penting mangsa atau pengadu dalam kes berkenaan,” jelasnya.

Tambah Chandra, mahkamah tidak harus dipersalahkan ekoran penangguhan demi penangguhan yang berlaku.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, sikap pemimpin pembangkang itu yang sering mencari alasan bagi menangguhkan perbicaraan di mahkamah hanya mengundang tanda tanya masyarakat.

‘‘Kesimpulan kita, dia (Anwar) takut kes dia berjalan. Kalau dia tak bersalah, hadapi di mahkamah. Yang buat demonstrasi jalanan apa hal?

‘‘Orang ramai juga akhirnya akan sampai pada kesimpulan, yang berlaku semua ini ialah kerana dia takut dengan kes dia,” katanya di sini semalam.

Bekas pembantu peribadi Anwar iaitu Saiful Bukhari Azlan dalam blognya baru-baru ini menyatakan rasa kesal terhadap penangguhan kes liwat yang dihadapi oleh bekas majikannya itu ekoran tindakan Anwar mengemukakan beberapa permohonan berkaitan dengan kes tersebut.

Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata ‘‘Jika Anwar tidak bimbang, tak bersalah, hadapi sahaja kes. Apa juga pembelaan, buat di dalam mahkamah. Bukan buat huru-hara di jalan”.

Beliau yakin apa yang berlaku hari ini terutama di Perak adalah antara strategi Anwar mengelak berdepan dengan proses keadilan.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan usaha Anwar yang mahu membatalkan kumpulan pendakwaan terhadap kes itu atas sebab-sebab tertentu.

‘‘Bagaimana kalau saya pula kata, R. Sivarasa tidak dibenarkan menjadi peguam bela Anwar kerana Sivarasa adalah seorang yang berkepentingan kepada Anwar selain dia juga ialah ahli Parlimen pembangkang. Boleh saya kata begitu?

‘‘Kalau saya tak boleh buat begitu, bagaimana dia boleh lakukan kepada unit pendakwaan kita dengan mengatakan pendakwa ini satu masa dulu kononnya pernah buat laporan tidak betul. Ini tak logik, mengarut,” katanya.

Beliau berkata, Anwar sepatutnya mempertikaikan tanggungjawab seseorang hakim sama ada berlaku adil atau tidak bukan terhadap kumpulan pendakwa raya.

‘‘Yang patut dia bimbang ialah hakim bukan pendakwa itu. Pendakwa, dia mendakwa sahaja. Kalau dia marah pada Anwar, apa benda pun yang dia boleh buat pada Anwar?

‘‘Tetapi kalau hakim itu merupakan orang yang mungkin keadilannya berat sebelah, kita boleh minta supaya dia tidak dibenarkan mengadili kes,” katanya.- UM

Wasabi Oyabun