Sekadar mahu berkongsi pengalaman NGERI....
Malam tadi, sekitar jam 10.30 waktu Cairo [4.30 pagi waktu Malaysia], Blogmaster bersama sahabat sahabat wartawan dari TV3, Utusan Malaysia, Rtm, Bernama, Harian Metro, NST, Agendadaily dibawa ke tempat penginapan kami setelah tugas membuat liputan selesai.
Maklumlah, sudah lebih 48 jam kami hanya berada di Lapangan Terbang sejak mendarat disini. Kami perlukan tempat untuk mandi, berehat dan dan TERSANGAT penting mahu menyelesaikan banyak persiapan gadget yang dibawa seperti perlu re-charge battery handphone, laptop, kamera dan video cam.
Perjalanan kami bermakna terpaksa melalui bandar Cairo dalam waktu perintah berkurung [curfew]. Oleh itu pihak Kedutaan Malaysia menyediakan sebuah van dan dalam rombongan kami turut ditemani oleh 3 orang Sukarelawan Kelab Putera 1 Malaysia. Seorang pegawai Imigresen wanita dari Malaysia juga berada dalam kenderaan yang sama.
Menurut Yb Kohilan Pillay, perjalanan kami akan mengambil masa sekitar 20 minit dan jaraknya dari Cairo International Airport ialah 30 kilometer. Untuk tujuan keselamatan, kami diminta menyimpan semua kamera dan video cam didalam bonet kereta rasmi Duta Malaysia yang akan menyusul dibelakang kami. Dijangkakan sewaktu menempuh sekatan jalanraya mereka akan pastikan tiada kamera dan video cam bersama kami..., alat rakaman ini amat sensitif kepada pihak keselamatan disini.
Akibat terlalu banyak sekatan jalanraya yang siap sedia dengan kereta kebal menghalang jalan, kami terpisah dengan kereta rasmi Duta Malaysia.... Secara jujur, kami tidak terlalu risau dengan sekatan jalanraya pihak Tentera dan Polis Mesir. Mereka faham tugas kami dan kami bukanlah sasaran tangkapan mereka...
Tetapi yang merisaukan kami ialah sekatan jalanraya dibuat oleh penduduk tempatan penyokong Hosni Mubarak dengan Anti Hosni Mubarak! Akibat terlalu banyak sekatan di merata rata tempat, kami anggap ianya sudah bertukar menjadi “gangguan jalanraya” dan bukannya sekatan jalanraya...
Apabila sudah terpisah dengan kenderaan rasmi Duta Malaysia, van yang kami naiki terpaksa bergantung harap dengan kecekapan pemandu van, seorang rakyat tempatan Mesir. Satu demi satu kami tempuhi..., sungguh menyedihkan apabila jarak diantara satu sekatan dengan yang lain hanyalah sekitar 1 kilometer dan kami semakin tertekan dan bimbang akan keselamatan kami.
Memang menakutkan apabila kami lalui sekatan oleh penduduk tempatan..., mereka bertindak sangat agresif..! Seolah olah mereka punyai kuasa ditangan. Menahan kenderaan, mahu periksa dokumen perjalanan dan pasport kami semua...
Penglaman pahit bermula apabila kami sudah menghampiri Lebuhraya bertingkat Tahrir Square...., pada satu simpang kami disekat oleh sekumpulan anak anak muda. Ditangan mereka ada kayu, pisau dan besi tajam..! Mereka bertindak memanjat tepi pintu van.... Setelah pintu dibuka, mereka rampas beg beberapa wartawan.. Pemandu van kami pula dibawa ke satu sudut yang gelap. Kami ditinggalkan dengan kumpulan anak anak muda ini. Salah seorang dari mereka bertindak menggeledah beg tangan Puan Supiani Sibin Pegawai Imigresen yang menaiki van kami. Anak muda itu cuba mengambil wang tunai dan memaksa kami untuk menghalangnya, berlaku sedikit ketegangan, memang mengerikan..! Mujurlah salah seorang daripada anak anak muda tempatan Mesir itu berhati perut menghalang sahabatnya dari bertindak diluar batasa.
Masih belum selesai dengan episod ngeri itu, apabila pemandu van kembali beliau dipaksa bawa kami ke satu tempat. Dua orang anak muda tempatan yang menahan kami menaiki sama van dalam keadaan sesak dan mereka sanggup berdiri..!
Kami semua dibawa ke satu pondok kawalan dan kumpulan penduduk disitu mahu seorang pegawai tentera memeriksa pasport kami... Setelah berada disitu lebih kurang 20 minit, kami dibenarkan pergi.
Seterusnya kami tetap mendepani beberapa lagi sekatan jalanraya pihak Tentera dan Polis. Dua sekatan orang awam penduduk disitu tidak mengapa-apakan kami...
Sekali lagi satu peristiwa hitam kami hadapi..! Sekatan jalanraya berhampiran dengan Tahrir Square oleh sekumpulan penduduk tempatan menahan kami. Mereka mengacu-acukan pisau kearah pemandu van kami... Apabila salah seorang daripada mereka membuka pintu belakang van tempat duduk kami, salah seorang dari mereka memiliki pistol yang diletak dipinggangnya...
Mereka juga merampas pasport kami dan mahu dibawa kepada salah seorang ahli kumpulan mereka, menurut pemandu van orang itu adalah “Ketua Penduduk”. Beberapa anak anak muda mahu memeriksa beg kami dan bertanyakan samada kami membawa bersama video cam...? Setelah menanti dengan penuh gusar selama hampir setengah jam, kami dibawa pula ke pondok polis berdekatan...
Setelah pemandu van kami berjaya meyakinkan pihak polis, akhirnya kami dibenarkan pergi....
Perjalanan kami seterusnya tetap berdepan dengan beberapa lagi sekatan jalanraya... Dengan izin Allah, kami tiba juga ke tempat penginapan sekitar jam 12.30 malam waktu tempatan, di Malaysia sudah jam 6.30 pagi. Syukur kehadrat Allah swt, semuanya selamat, amin.....
Kami mendapat khabar berita, kereta rasmi Duta Malaysia yang sepatutnya mengiringi kami juga mengalami kesukaran dan mereka membuat keputusan berpatah balik ke Cairo International Airport dan akan datang menemui kami setelah tempoh Perintah Berkurung [Curfew] tamat....
Hari ini entah apa lagi yang bakal kami tempuhi...?? Kongsi kisah ini dengan salah seorang wartwan yang bersama kami, klik sini dan sini .
Oleh : Blogmaster Medan Info Kita
Wasabi Oyabun..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan