Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Selasa, 19 November 2013

Tun Dr. Mahathir: Kehebatannya dulu hingga sekarang?

Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan sesuatu tentang Kedah sambil diperhatikan Zaini Hassan pada Karnival 7 Hari 7 Malam Muzium Padi Kedah di Alor Setar, baru-baru ini.

Khamis minggu lalu, saya berada di Alor Setar kerana diminta mengendalikan satu majlis forum bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad sempena Karnival 7 Hari 7 Malam Muzium Padi Kedah.

Saya menjadi moderator dan Tun sebagai ahli panel. Majlis itu dikenali sebagai Sembang Petang Bersama Tun. Kami membicarakan mengenai tajuk ‘Transformasi Kedah’ daripada kaca mata beliau.

Majlis itu berjalan lancar. Seperti biasa semua soalan dijawabnya dengan bijak, panjang lebar dan penuh bersemangat. Sebagai anak Kedah, beliau memberi buah fikirannya bagaimana untuk menukar Kedah menjadi negeri yang lebih hebat, sebagaimana beliau mengubah Malaysia hari ini.

Semasa mukadimah saya melontar satu hipotesis. Diandaikan Tun bukan menjadi PM Malaysia selama 22 tahun, sebaliknya menjadi MB Kedah selama 22 tahun, apakah Kedah akan berjaya diubahnya menjadi seperti Malaysia ini?

Saya juga bertanya mengenai ciri-ciri yang sepatutnya ada kepada seorang Menteri Besar di Kedah. Saya katakan kepadanya ikut sejarah MB Kedah ini rata-ratanya ada “badi" - macam-macam perkara berlaku. Dia angguk dan tersenyum.

Bagi Tun, ciri-ciri itu ialah: MB itu haruslah seorang yang rajin bekerja, merendah diri, kerap berjumpa rakyat, sering bertanya khabar rakyat. Dan yang paling penting: Jangan menganggap diri sebagai Yang Amat Berhormat.

MB yang dimaksudkan itu ialah anaknya sendiri, Mukhriz Mahathir. Dan pada pandangan saya ciri-ciri itu ada pada Mukhriz dan ia harus dipertahankan.

Sebagai moderator saya sedar Tun sedikit terbatuk-batuk semasa majlis itu. Beberapa kali percakapannya terhenti. Saya risau juga dengan keadaan beliau. Forum yang sepatutnya berjalan selama dua jam, saya pendekkan ke satu setengah jam.

Sebagai anak Kedah, saya juga cukup tertarik bertanyakan soalan-soalan merangkumi negeri itu.

Apakah Kedah akan terus menjadi negeri jelapang padi, kedudukan Pulau Langkawi, kawasan industri Kulim dan Sungai Petani, sehinggalah kepada soal-soal makanan tradisi emping ringgi yang sekarang hanya dihasilkan di Kampung Pulau Timbul di Tunjang.

Tun cukup ceria di sepanjang forum itu. Dia juga kelihatan cergas. Di meja makan, beliau juga cukup ceria. Bercerita mengenai makanan yang dihidangkan.

Bercerita mengenai makanan tradisional Kedah yang menjadi kegemarannya, terutamanya kuih karaih, kuih seperti bihun goreng yang dilipat berbentuk bulan sabit seperti apom balik.

Makanan kegemarannya emping goreng turut dihidangkan. Beliau menjamah sedikit.

Di meja makan itu, kemudian beliau bercerita mengenai soal-soal lain, termasuklah mengenai soal Melayu.

Dalam satu cerita itu, beliau menggambarkan bagaimana orang Melayu itu lebih suka kepada bangsa lain lebih daripada bangsanya sendiri. Beliau mengimbau kembali semasa beliau menjadi doktor dulu.

Pada masa itu ada doktor orang putih (Inggeris) dan kakitangan orang putih, kita sebagai doktor pun orang kita tak peduli dah dengan kita, mereka memuja orang putih itu lebih daripada kita...

Mungkin itulah juga yang berlaku sekarang kepada orang Melayu. Mereka sanggup memberi apa sahaja kepada bangsa lain, waima kuasa sekali pun.

Tun dan isteri kesayangannya, Tun Siti Hasmah yang sentiasa mengiringi suaminya itu ke mana sahaja, juga kelihatan cukup ceria. Mereka adalah pasangan ideal dua sejoli, yang patut dicontohi oleh semua pasangan suami isteri.

Kelmarin, Tun dimasukkan ke Institut Jantung Negara kerana mengadu kurang sihat.

Marilah kita doakan agar Allah SWT terus memelihara kesihatannya.

Dalam usianya 88 tahun, beliau terus menerima banyak undangan dari dalam dan luar negara dan rata-rata semuanya dipenuhi oleh beliau.

Semasa kami di Alor Setar, beliau berkata beliau juga sepatutnya berada di Surabaya kerana menerima jemputan berucap. Saya difahamkan Tun telah berlepas ke Surabaya kelmarin dan terbang semula ke tanah air kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan. Majlis itu kemudian dibatalkan.

Tun memang hebat. Allah SWT menganugerahkan kehebatan kepada Tun, dulu dan sekarang!

Semoga Allah SWT terus melindungi beliau. Amin.

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan