Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Ahad, 13 Oktober 2013

Semoga keputusan kalimah Allah berpihak kepada umat Islam!


Dalam kerancakan ahli-ahli UMNO memilih barisan kepimpinan baharu untuk Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri hari ini, jangan dilupakan peristiwa penting yang akan dilakar pada Isnin ini.

Keputusan penting yang kita tunggu-tunggu tentang kes penggunaan kalimah Allah oleh akhbar mingguan Katolik, The Herald akan didengar di Mahkamah Rayuan esok Isnin 14 Oktober.

Keputusan kes ini diharap memihak kepada umat Islam supaya ia tidak dijadikan kes rujukan untuk tuntutan-tuntutan lain yang bersangkutan dengan agama Islam selepas ini. Malah diminta dijauhkan Allah juga daripada niat pihak tertentu untuk menggugat dan mencabar perkara berkaitan Raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, bahasa kebangsaan dan lain-lain di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Barangkali 'keberanian' untuk mencabar Perlembagaan ini bermula pada Disember 2009, apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan akhbar The Herald boleh menggunakan perkataan "Allah" sebagai merujuk kepada "God" dalam akhbar itu versi bahasa Melayu bagi memenuhi keperluan masyarakat di Sabah dan Sarawak.

Kerajaan Pusat bagaimanapun merayu keputusan tersebut. Sensitiviti umat Islam dan martabat Islam dalam Perlembagaan wajib diambil kira.


Dalam Perlembagaan, Islam adalah satu-satunya nama agama yang disebut tetapi nampaknya sekarang agama lain pula yang berlebih-lebih minta diberi hak yang sama.

Dalam khutbah Jumaat di beberapa masjid Kuala Lumpur semalam, khatib menyatakan percubaan menggunakan kalimah Allah di dalam kitab selain al-Quran, akan menimbulkan kecelaruan dalam akidah atau kepercayaan umat Islam. Islam menolak kepercayaan yang berteraskan kepada Trinity iaitu God Father (Bapa Tuhan), God the Son (Anak Tuhan) dan Holy Spirit (Roh Kudus).

Kedudukan agama dan umat Islam pada hari ini diancam dari segenap penjuru sama ada dari segi sosial, syariah dan akidah. Mereka melakukan pelbagai usaha bagi menimbulkan kekeliruan sehingga memberi pandangan dan pentafsiran yang salah tentang agama Islam dan kalimah Allah. Lebih mendukacitakan mereka sanggup mempertikaikannya sehingga membawa isu ini ke mahkamah.

Jika kalimah Allah dibenarkan, ada segelintir penganut Kristian mungkin bertanya; kenapa umat Islam perlu keliru? Kenapa orang Islam hendak baca Bible? Kenapa pula umat Islam hendak pergi gereja ketika orang Kristian sembahyang?

Ada juga yang ekstrem, menyatakan penganut Kristian tidak perlu kebenaran sesiapa untuk menggunakan perkataan "Allah", apatah lagi daripada orang yang 'bukan pemilik' perkataan Allah.

Sememangnya umat Islam bantah dan marah terhadap kenyataan seumpama ini. Kerana, apabila kalimah Allah digunakan secara langsung di dalam akhbar tersebut atau Bible versi bahasa Melayu, tindakan itu akan membatalkan konsep Triniti yang diamalkan mereka.


Lebih membimbangkan ialah agenda tersirat penggunaan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa semua agama adalah sama. Perkataan Allah, solat, tauhid, Rasul, Kaabah, haji merupakan hak orang Islam yang tidak boleh dicerobohi oleh mana-mana pihak kerana ia akan menjadikan umat Islam keliru, ragu-ragu dan tersilap mengenal sifat-sifat Allah serta menggugat akidah.

Perkembangan ini sangat bahaya kerana boleh mempengaruhi umat Islam atas dasar hak asasi manusia.

Ada segelintir pemimpin Islam negara ini yang dilihat terpengaruh dengan dasar tersebut hingga tergamak memperjuangkan liberalisasi, pluralisme agama dan menghalalkan LGBT dan sanggup menggadaikan agama Islam dan negara.

Sebagai umat Islam yang beriman, kita perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah Allah semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain, hanya akan mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.

Adakah kita sanggup mendengar golongan bukan Islam memanggil gereja mereka sebagai rumah Allah? Mahukah kita mendengar panggilan nama Tuhan dan berhala mereka sebagai Allah?

Sudah pasti ramai umat Islam yang tak kuat imannya akan terkeliru, terpesong dan mungkin murtad. Jadi, umat Islam negara ini kena bertanggungjawab menyekat gerakan kelompok ekstremis dalam pertubuhan agama.

Semoga keputusan Mahkamah Rayuan Isnin ini menamatkan kebimbangan umat Islam Malaysia. InsyaAllah.

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan