Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Ahad, 12 Mei 2013

MB Selangor: Antara polemik dan dilema Pakatan Rakyat!


Polemik tentang siapa akhirnya yang akan mengisi kerusi Menteri Besar Selangor belum reda, malah semakin hangat dibahas oleh pimpinan Pakatan Rakyat terdiri PKR, Pas dan DAP kerana belum ada apa-apa yang muktamad mengenainya.

Keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) menyaksikan Pas dan DAP masing-masing memperoleh 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), PKR 14 kerusi, manakala Barisan Nasional 12 kerusi dan jika dilihat secara individu, tidak ada satupun parti politik memperolehi kerusi majoriti untuk memerintah.

Dengan ketiadaan majoriti itu, Pas, PKR dan DAP perlu membentuk sebuah kerajaan campuran di Selangor, bagaimanapun dengan polemik yang berterusan tentang siapa Menteri Besar Selangor, yang belum lagi terjawab, mampukah ketiga-tiga parti itu menghadapi cabaran yang lebih besar selepas ini?

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata polemik Menteri Besar Selangor itu tidak seharusnya berlanjutan sehingga menjadi isu politik, yang seterusnya memberi kesan kepada kesejahteraan negeri itu.

Beliau berkata isu itu telah menjadi permainan politik antara PKR dan Pas, buktinya sokongan terbuka Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada besar Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, menjadi batu penghalang kepada Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

"Bukan sahaja Abdul Hadi, Lim Kit Siang (Penasihat DAP) turut menyatakan sokongan kepada Abdul Khalid menambah batu penghalang Azmin. Tidak perlulah bermain ini semua, pemimpin mereka perlu duduk semeja, kerana jika perkara ini mereka tidak boleh diselesaikan, bagaimana nak selesaikan perkara lebih besar," katanya kepada Bernama.


Syarat utama menjadi Menteri Besar Selangor berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 ialah berketurunan Melayu dan beragama Islam, yang membuatkan DAP tidak layak menerajui Selangor kerana tiada calon menepati kriteria itu.

Khamis lepas Abdul Hadi telah menyatakan sokongan Pas agar Abdul Khalid kekal Menteri Besar Selangor, bagaimanapun sebelum itu Pesuruhjaya Pas Selangor Dr Abdul Rani Osman telah menyatakan kesediaannya bagi menduduki kerusi panas itu.

Permainan politik PKR dan Pas pula berterusan semalam apabila Dewan Pemuda PAS Selangor melalui Timbalan Ketuanya Mohd Sany Hamzan menegaskan tiada sebarang perjanjian mengatakan jawatan itu mesti diperuntukkan kepada PKR jika gabungan parti Pas, PKR dan DAP memerintah negeri itu.

Mohd Sany berkata kenyataan Azmin, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dan Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafiei yang menekankan bahawa kerusi itu adalah kerusi tetap PKR ibarat orang tamak haloba yang tidak sedar diri terhadap kemampuan diri sendiri.

Percakaran dalaman PKR mengenai jawatan itu pula bertambah buruk semalam apabila Azmin mempersoalkan surat yang dihantar Presidennya Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung calon Menteri Besar.

Azmin, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa berkata surat yang dihantar Dr Wan Azizah semalam itu dibuat tanpa sebarang perbincangan dan persetujuan bersama oleh semua Anggota Dewan Undangan Negeri parti itu.

Abdul Aziz berkata sama ada Azmin, Abdul Khalid atau sesiapa sahaja yang mendapat perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah nanti, Menteri Besar Selangor itu nanti perlu mengatasi pelbagai masalah yang timbul berikutan kegagalan pemerintahan kerajaan campuran Pas, PKR dan DAP pada penggal lepas.

Beliau berkata Abdul Khalid telah gagal menyelesaikan perkara asas untuk rakyat Selangor antaranya isu air dan sampah selain enggan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan berkenaan isu air, justeru Abdul Khalid tak seharusnya dilantik semula sebagai Menteri Besar.

"Katanya 'Pakatan Rakyat', tetapi mengapa mereka semua tidak boleh berpakat atas satu perkara pokok iaitu Menteri Besar Selangor. Jangan terlalu bermain politik, kerana jika terlebih politiking, yang sengsara adalah rakyat, bukan mereka," katanya.

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan