Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Sabtu, 26 Mac 2011

Kenapa tidak mahu kerajaan tubuh Suruhanjaya Siasatan?

Baru masuk tahun ketiga selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, negara digemparkan satu lagi isu besar. Isu yang didedah tahun 2008, sampai sekarang belum selesai kini muncul isu baru hampir sama musibahnya.

Pendedahan video seks melibatkan seorang lelaki mirip pemimpin politik pembangkang kini semakin panas bila tiga orang “Datuk T" memperkenalkan siapa diri mereka.

Pihak yang ‘menuduh’ sudah tampil mengaku mereka yang pegang rakaman video seks menggemparkan itu. Malah mereka juga berani dan yakin apabila meminta kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan.

Tinggal sekarang, orang kena tuduh bermati-matian cuba menafikan bahawa lelaki dalam rakaman video itu bukan dirinya. Jangan lupa perkara penting bahawa pada awal pendedahan video seks itu tidak pun menyebut siapa individu yang terlibat.

Tetapi apabila nama pemimpin berkenaan menjadi sebutan dan secara psikologinya tiba-tiba beliau ‘kalut’ sehingga memanggil sidang akhbar untuk menafikan segera.

Muncullah Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dirinya adalah lelaki yang melakukan adegan seks di dalam klip video itu. Beliau menyifatkannya tindakan itu sebagai serangan bermotifkan politik untuk memaksa beliau keluar daripada politik nasional.

Anwar telah membuat laporan polis. Polis juga sudah memanggil untuk mengambil keterangan daripada bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, mereka berdua yang dedah isu ini.

Nah! patutkah masyarakat tunggu sisatan polis selesai atau mahu ditubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan?

Kalau melibatkan skandal video seks Chua Soi Lek, rakaman video V.K. Lingam mengenai pelantikan hakim, kematian Ong Beng Hock – pihak parti pembangkang sepantas kilat mahu kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan.

Tetapi dalam kes melibatkan orang kesayangan mereka, pelbagai alasan dan hujah mereka berikan – asalkan suruhanjaya itu tidak menjadi kenyataan. Janganlah bertindak memilih bulu apabila bertindak konon atas nama keadilan.

Sehingga kini, semua pihak tahu bahawa rakaman video seks itu hanya ada di tangan Shazryl dan Rahim yang kemudian ia diserahkan kepada polis. Jadi sudah tentu kita semua belum menonton pun video itu kecuali beberapa orang yang diberi peluang itu. Oleh itu usahlah kita memandai-mandai beri komentar dan hentam sahaja menuduh taktik kotor ini orang UMNO dan kerajaan Barisan Nasional yang buat.

Demi menegakkan kebenaran dan memelihara moral pemimpin Islam, Pas yang mencanangkan sebagai parti Islam sewajarnya menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan sebagai mana sokongannya kepada suruhanjaya-suruhanjaya sebelum ini.

Tetapi entahlah sama ada pemimpin Pas sendiri ‘terkejut’ kerana ‘tertipu’ dengan lakonan pemimpin itu atau memang parti itu tidak mahu ambil peduli kebenaran di sebalik pendedahan rakaman video seks itu.

Nada dan pemikiran pemimpin Pas sudah berbeza apabila sekutunya berada di pihak yang kena tuduh lagi. Dahulu Pas kata “mana boleh polis sahaja yang siasat, mesti tubuh suruhanjaya siasatan yang bebas.”

Tetapi, Hadi dan puak-puak Pas lain sudah sekata memberi alasan “memadailah kes itu diserahkan kepada polis untuk lakukan siasatan kebenarannya tanpa perlu kepada penubuhan suruhanjaya diraja.”

Terkejut juga apabila Abdul Hadi menyifatkan cadangan penubuhan suruhanjaya itu sebagai 'mengarut' selagi tiada wujud ketelusan dan keadilan berhubung dakwaan tersebut.

Dalam kes-kes sebelum ini yang dibawa kepada suruhanjaya, Pas nampak tidak memihak demi keadilan – katanya. Malah permintaan pihak pembangkang yang mendesak mahukan suruhanjaya ditubuhkan – ditunaikan juga oleh kerajaan.

Sebagaimana dicadangkan oleh beberapa pihak untuk menunjukkan ketelusan, maka dalam Suruhanjaya Siasatan itu pihak kerajaan diharap tidak terlibat langsung. Badan bebas itu hanya boleh dianggotai oleh pemimpin dari parti pembangkang, pengamal media dan badan kehakiman secara eksklusif.

Dalam isu melibatkan moral dan agama ini, alangkah baiknya jika kerajaan menubuhkan suruhanjaya ini dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik mengetuai suruhanjaya tersebut. Selain tujuannya untuk membersihkan imej Anwar yang sering dikaitkan dengan isu berkaitan seks, ia juga mencari kebenaran agar dapat menutup mulut penyebar fitnah.-UM

Wasabi Oyabun..

1 ulasan: