Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Ahad, 23 Februari 2014

Apa hak Tony Pua-ka pertikai Majlis Fatwa?


Apabila Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan larangan kepada umat Islam daripada menyambut Hari Kekasih, larangan itu eksklusif untuk golongan itu sahaja dan ia sama sekali tidak terpakai kepada bukan Islam.

Tetapi malangnya, keputusan majlis itu dipertikaikan oleh Pengerusi DAP Selangor yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya, Tony Pua. Beliau merupakan pemimpin DAP kedua yang bersikap biadab dengan menyentuh hal ehwal berkaitan umat Islam.

Sebelum itu, umat Islam juga menyaksikan kebiadaban pemimpin DAP mempertikaikan penggunaan surah al-Baqarah ayat 111 dalam khutbah Jumaat. Hujah pemimpin kanan pembangkang tersebut, khutbah dan ayat yang digunakan bertentangan dengan konsep kesederhanaan atau wassatiyah yang dipelopori oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sepatutnya sebagai seorang pemimpin yang bersahabat baik dengan sebuah parti memperjuangkan Islam, iaitu Pas, Tony atau mana-mana juga pemimpin DAP akan berhati-hati dalam tindakan mereka. Namun ternyata, pemimpin-pemimpin DAP seolah-olah tidak mempertimbangkan sensitiviti tersebut sebaliknya dilihat bertindak ikut suka dan bercakap sedap mulut sahaja.

Setakat ini, Tony belum memberi sebarang reaksi tetapi kalau pun beliau berbuat demikian kita sudah tahu jawapannya iaitu media pro UMNO dan Barisan Nasional (BN) memutar-belitkan kenyataan beliau.

Ini adalah jawapan standard yang akan diberikan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang apabila timbul sesuatu kontroversi berhubung kenyataan mereka. Tidak cukup dengan itu bagi menegak benang yang basah dan untuk membuktikan kononnya mereka tidak bersalah tindakan undang-undang akan diambil ke atas media-media terlibat.

Bagaimanapun Tony perlu bertanggungjawab dengan tindakannya dan tidak perlu lagi berdolak dalik apabila memberi ulasan kepada perkara tidak sepatutnya. Kalau pun Tony hendak menyambut Hari Kekasih sampai berguling-guling sehingga ke Antartika pun, silakan tiada siapa pun nak marah, itu hak beliau sebagai rakyat Malaysia dan bukan Islam.

Tetapi larangan Majlis Fatwa Kebangsaan adalah untuk orang Islam, kenapa Tony yang selama ini dilihat sering mahu tunjuk pandai dalam banyak isu hendak membuat komen yang dilihat mempertikaikan keputusan majlis tersebut. Apa hak beliau?

Sebab itulah penulis bersetuju dengan kenyataan Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin bahawa kenyataan Tony bersifat provokatif yang boleh mencetuskan kemarahan umat Islam.

Namun penulis percaya Tony bukannya tidak mengetahui perkara tersebut tetapi beliau sengaja melakukannya demi mencari publisiti murahan. Maklumlah dalam politik salah satu cara hendak popular adalah dengan mencetuskan kontroversi supaya nama kita sentiasa disebut orang.

Bagaimanapun Tony tersalah pilih isu jika benar beliau mahu mencari publisiti. Tindakan biadabnya mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan membuktikan beliau tidak mempunyai perasaan hormat kepada majlis tersebut. Kita memahami Tony bukan Islam, kalau tidak mahu hormat pun tidak apa kerana selama ini memang sudah ramai pemimpin DAP yang dilihat bertindak tidak menghormati umat Islam, tetapi jangan campur tangan dan jangan cuba meniup api yang boleh mencetuskan kemarahan umat Islam.

Justeru seperti mana kata Presiden Muafakat Sejahtera Malaysia (Muafakat) Ismail Mina Ahmad umat Islam tidak perlu menagih permohonan maaf daripada Tony tetapi perlu mengheretkan beliau ke mahkamah.

Sememangnya itulah langkah paling tepat kerana memohon maaf tidak harus dibiarkan menjadi alat atau perisai bagi melindungi kebiadaban dan sikap kurang ajar mana-mana individu dan kelompok termasuklah pemimpin politik.

Jika mereka berani bersikap biadab, kenapa mereka tidak berani menanggung risikonya?

Sebab itulah, pihak berkuasa yang terlibat tidak harus berpeluk tubuh dan melihat sahaja polemik ini berterusan. Tindakan sewajarnya perlu dilakukan ke atas Tony supaya ia memberikan pengajaran kepada pihak lain.

Bagaimanapun dalam masa sama penulis tetap mempunyai keraguan dalam soal ini kerana sudah banyak kes melibatkan perbuatan yang menyinggung perasaan umat Islam diam begitu sahaja biar pun ratusan laporan polis dibuat. Tetapi jika ada isu yang menyentuh kaum atau agama lain, begitu cepat sekali tindakan diambil Inilah tafsiran yang wujud dalam pemikiran ramai umat Islam.

Selain sikap biadab Tony, umat Islam juga tidak harus terlepas pandang bagaimana dari semasa ke semasa seolah-olah perasaan hormat kepada umat Islam semakin terhakis. Mereka seolah-olah tidak takut atau gentar lagi untuk menegur perkara berkaitan Islam biarpun suatu ketika dahulu ia dianggap cukup sensitif.

Sepatutnya, jika benar mereka berpegang kepada prinsip hormat menghormati antara kaum dan agama, mereka sudah pasti berhati-hati sebelum membuat komen atau ulasan bagi menggelakkan umat Islam tersinggung. Namun itu tidak berlaku walaupun umat Islam merupakan kelompok majoriti di negara ini.

Segala-galanya kerana mereka melihat umat Islam berpecah dan pegangan politik orang Islam semakin longgar sehingga perlu ‘tunduk’ kepada kaum lain bagi meraih undi.

Keadaan menjadi bertambah parah apabila ada pemimpin yang mendakwa dia orang Melayu dan beragama Islam sanggup memperlekeh dan mengecam mana-mana kelompok yang cuba mempertahankan kesucian Islam dan keistimewaan orang Melayu. Kelompok ini akan dianggap rasis atau ekstrem.

Tindak tanduk seumpama inilah yang menyebabkan bukan Islam tidak lagi berasa takut untuk mencampuri urusan orang Islam. Bagi mereka, dalam kalangan orang Islam sendiri pun tidak sekata dalam mempertahankan kesucian Islam, oleh itu apa yang hendak dibimbangkan.

Perbuatan Tony contohnya, ia tidak sepatutnya berlaku kerana Majlis Fatwa Kebangsaan hanya menjaga kepentingan umat Islam, soal bukan Islam itu bukan urusan majlis tersebut. Namun dalam usaha mencari publisiti murahan Tony sanggup mempertikaikan tindakan majlis fatwa.

Beliau seolah-olah tidak mengambil kira hati dan perasaan pemimpin-pemimpin Pas apabila berbuat demikian. Mungkin beliau yakin Pas tidak akan berkata apa-apa dan dalam masa yang sama pemimpin Melayu dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga akan berdiam diri.

Inilah akibatnya apabila memburu kuasa politik menjadi keutamaan pemimpin Melayu dalam pembangkang.

Wasabi Oyabun..

1 ulasan:

  1. Thanks for sharing, nice post! Post really provice useful information!

    Giaonhan247 chuyên dịch vụ mua hàng mỹ từ dịch vụ order hàng mỹ hay nhận mua nước hoa pháp từ website nổi tiếng hàng đầu nước Mỹ mua hàng ebay ship về VN uy tín, giá rẻ.

    BalasPadam