Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Jumaat, 16 Ogos 2013

100 Hari : Cabaran Besar PM Kekalkan Perpaduan Kaum!


Genap 100 hari selepas Datuk Seri Najib Razak mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri hari ini, menangani cabaran pendamaian dilihat terus menjadi komitmen beliau dalam usaha mengekalkan kestabilan negara.

Beberapa pihak turut berpendapat ia cabaran terbesar perdana menteri berikutan perpecahan masyarakat yang dilihat ketara selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Penganalisis politik, Profesor Datuk Zainal Kling, berkata usaha pertautan dan kesepaduan masyarakat adalah tugas utama untuk memastikan Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pula.

"Cabaran paling utama, bagaimana untuk menautkan kembali anggota warganegara yang berfikir sebagai orang Malaysia.

"Itulah cabaran PRU14 nanti untuk melihat sama ada pengundi mengundi sebagai orang Malaysia seluruhnya atau terus mengundi mengikut kaum masing-masing," katanya kepada Bernama.

Dari segi pembangunan, beliau berkata apa yang penting adalah rakyat dapat melihat kerajaan melaksanakan sepenuhnya apa yang telah dirancang kerana perancangan pembangunan dirangka sejak sebelum pilihan raya lagi.

Turut menyuarakan pendapat yang sama ialah aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye, yang mahu melihat perpaduan kaum di bawah gagasan 1Malaysia, terus diperkukuh. "Hasrat untuk melihat perpaduan kaum di bawah gagasan 1Malaysia mungkin tidak tercapai sekiranya segelintir pihak masih mengamalkan politik perkauman," katanya.

Justeru, beliau berharap perdana menteri lebih tegas dalam isu perpaduan ini kerana ia perkara penting dalam agenda pembangunan negara menuju ke arah status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Komitmen itu jelas diterjemahkan perdana menteri melalui Akta Keharmonian Nasional yang sedang diusahakan bagi menggantikan Akta Hasutan 1948, dengan memberi jaminan tidak akan menjejaskan kuasa kerajaan dalam menangani perbuatan yang mengganggu-gugat perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat.

Walaupun kerajaan ingin menjamin kebebasan bersuara setiap warganegaranya, namun bagi rakyat sendiri ia tidak boleh disalah guna sehingga menjejaskan perpaduan kaum dan keharmonian negara.

Apa yang jelas, tumpuan utama Najib sebaik diberi mandat semula adalah menyatukan semula hubungan rakyat negara ini yang sedikit sebanyak berpecah pada PRU13 sehingga membentuk polarisasi kaum.

Berdasarkan usaha ke arah itu, Najib juga mencadangkan penubuhan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional pada 26 Jun lepas sebagai usaha mencapai matlamat penyatuan nasional bagi mengerat semula hubungan antara rakyat.

Aspek keselamatan turut menjadi agenda utama untuk menyediakan persekitaran yang selamat kepada rakyat.

Komitmen itu dinyatakan dengan kesediaan kerajaan membantu pasukan keselamatan negara khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan apa sahaja yang perlu mengikut asas dan kemampuan untuk menambah keberkesanan dalam usaha memerangi jenayah.

Sebuah jawatankuasa kecil yang terdiri daripada beberapa menteri termasuk menteri dalam negeri dan menteri di Jabatan Perdana Menteri ditubuhkan untuk berbincang dengan peguam negara dan ketua polis negara bagi menentukan peruntukan tambahan dalam undang-undang yang boleh memperkukuh keupayaan bidang kuasa polis untuk bertindak.

Menyentuh isu keselamatan, Lee yang juga Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), berkata terdapat kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk menangani isu keselamatan terutama jenayah dalam pentadbiran Najib.

"Tapi untuk pastikan bahawa apa yang dikatakan oleh perdana menteri dapat dijadikan satu kenyataan, adalah bahawa arahan beliau dilaksanakan di seluruh peringkat kerajaan untuk pastikan bahawa isu keselamatan dapat ditangani dengan lebih berkesan," katanya.

Selain itu, kerajaan turut membincangkan pelbagai pandangan mengenai keperluan menggubal satu rang undang-undang baharu menyamai Ordinan Darurat 1969 yang dimansuhkan pada 2011.

Selain mendapatkan pandangan polis dan peguam negara, kerajaan juga akan mengambil kira pendapat beberapa pihak yang berkepentingan seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Majlis Peguam.

Awal bulan ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan sedang berbincang dengan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung draf rang undang-undang baharu itu, berkata berikutan pemansuhan Ordinan Darurat 1969 (EO), lebih 2,600 tahanan di Simpang Renggam, Johor dibebaskan dan ramai kembali melakukan aktiviti jenayah.

Menurutnya, sejak EO dimansuhkan, kejadian jenayah berat meningkat 90 peratus dan membabitkan bekas penjenayah.

Dalam aku janji BN pada PRU13 lalu, kerajaan berjanji menurunkan harga kereta dengan menyemak semula Dasar Automotif Nasional.

Hasilnya dapat dilihat apabila laporan menyatakan beberapa model kereta jenama Peugeot, PROTON, PERODUA dan Honda masing-masing menyaksikan penurunan harga untuk fasa pertama bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Laporan itu menyebut pelan penurunan harga dapat dilaksanakan dengan memberikan pengurangan duti eksais secara berperingkat terhadap pengeluar kereta yang menggunakan lebih banyak komponen tempatan.

Menyediakan rumah yang berkualiti dan mampu dimiliki juga masih menjadi tumpuan kerajaan yang mengumumkan pembinaan 100,000 unit Projek Perumahan Awam 1Malaysia di seluruh negara pada Julai lalu.

Berkeluasan antara 1,000 hingga 1,500 kaki persegi, harga seunit rumah yang ditawarkan di bawah skim PPA1M ialah antara RM150,000 dan RM300,000.

Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N Marimuthu yang memuji langkah kerajaan menunaikan janji-janji pilihan raya berkata ini hanyalah permulaan kepada tempoh 60 bulan yang dimiliki Najib dalam penggal kedua beliau selaku perdana menteri.

Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan akan terus memberi perhatian kepada kos kehidupan pengguna selain aspek kesihatan, pendidikan dan pengangkutan awam yang amat penting bagi golongan berpendapatan rendah.

Najib juga komited dalam meningkatkan kualiti tadbir urus dan integriti merentas semua segmen, selain memperhebat usaha memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Najib berkata, untuk membuktikan keseriusan iltizam kerajaan dalam menangani isu tadbir urus, integriti dan rasuah, kerajaan telah merangka sebuah pelan integriti yang bersifat merentas batas dan menyeluruh.

"Butiran mengenai pelaksanaan khusus pelan ini akan saya umumkan dalam masa terdekat," beliau dilaporkan berkata.

Dalam tempoh lima tahun akan datang, kerajaan di bawah Najib dilihat akan meningkatkan pelaksanaan Dasar Transformasi Nasional ke arah memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus mampan, inflasi dan kos kehidupan menurun, kadar pengangguran rendah dan kadar jenayah terkawal.

Selain itu, penekanan usaha turut diberikan untuk memastikan akses kepada pendidikan berkualiti yang saksama, pengecilan jurang prasarana mahupun pendapatan bandar serta luar bandar, kadar pelaburan asing dan domestik yang sihat, serta daya saing nasional terus meningkat.

Wasabi Oyabun....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan