Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Selasa, 13 Mac 2012

PM Malaysia dan Jepun peringati ulang tahun ke-30 Dasar Padang Ke Timur!


Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Jepun Yoshihiko Noda bertukar-tukar perutusan khas memperingati ulang tahun ke 30 Dasar Pandang ke Timur Malaysia (LEP).

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua Perdana Menteri menegaskan bahawa LEP adalah satu petanda tentang wujudnya ikatan persahabatan dan perkongsian akrab antara Malaysia dan Jepun.

"Kedua-dua pihak melahirkan harapan bahawa Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) yang ditubuhkan di Kuala Lumpur baru-baru ini, akan maju secara signifikan sebagai pusat kecemerlangan dalam pendidikan kejuruteraan, tidak saja di Malaysia tetapi juga untuk rantau ASEAN,” katanya.

Tahun ini menandakan ulang tahun ke 30 LEP Malaysia, yang diperkenalkan oleh perdana menteri ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1982. LEP mempunyai matlamat utama menimba pengetahuan teknologi, etika kerja dan nilai-nilai kerja yang baik yang dilihat sebagai satu daripada unsur penting bagi kejayaan negara-negara membangun di Asia Timur, terutama Jepun.

Menerusi pelaksanaan LEP yang berjaya buat tiga dekad lepas, kira-kira 15,000 warga Malaysia telah mendapat manfaat menerusi pengajian dan latihan di universiti-universiti dan syarikat Jepun, terutama dalam sektor yang memerlukan kemahiran teknikal yang tinggi serta penggunaan teknologi termaju.

Sementara itu, Noda dalam perutusannya kepada Najib berkata, sejak 1982, kira-kira 15,000 rakyat Malaysia datang ke Jepun untuk belajar etika kerja serta cara pengurusan dan telah menyumbang kepada pembangunan Malaysia.

Beliau berkata, pelajar dan pelatih Malaysia juga telah membantu membangunkan Malaysia manakala ramai warga Jepun yang kini tinggal di Malaysia turut memainkan peranan penting dalam merapatkan hubungan antara kedua-dua negara.

"Bukan untuk memperbesar-besarkan untuk menyatakan bahawa hubungan dua hala yang erat ini disokong oleh jalinan persahabatan “kizuna” yang dipupuk di bawah Dasar Pandang Ke Timur,” katanya.

Katanya, bencana alam yang berlaku di Jepun pada Mac tahun lepas telah membawa penderitaan dan cabaran kepada rakyat Jepun, tetapi ia juga menjadi satu peluang untuk memperkukuhkan lagi “kizuna” antara Jepun dan Malaysia.

"Dengan pusat sejarah dunia secara dramatik berubah dalam tempoh 30 tahun lepas, kami turut beralih ke abad Asia. Di bawah kepimpinan anda yang cemerlang, Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan ekonomi baik dengan sasaran untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau yakin Malaysia akan terus memacu pertumbuhan ekonomi global sebagai sebuah pusat pertumbuhan dunia.

"Saya ingin terus bekerjasama dengan Malaysia, memperakui bahawa pembinaan semula Jepun pastinya memerlukan “kizuna” dengan Asia yang makmur dan stabil, dan sumbangan Jepun amat penting untuk menjamin keamanan dan kesejahteraan Asia,” kata Noda.

Untuk memperkukuhkan lagi “kizuna” di Asia dan untuk makmur bersama-sama, beliau berkata adalah amat penting untuk Jepun dan Malaysia, di bawah LEP, untuk terus berusaha membangunkan sumber manusia yang bertanggungjawab demi untuk masa depan Asia.

"Saya percaya penubuhan Institut Teknologi Malaysia-Jepun hasil daripada Dasar Pandang Ke Timur dapat memberi sumbangan besar terhadap pembangunan serantau sebagai pusat kecemerlangan dalam memperkasakan pendidikan di ASEAN,” katanya. — BERNAMA







Wasabi Oyabun

Tiada ulasan:

Catat Ulasan