Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Selasa, 13 Disember 2011

Isu PR Desak Kerajaan Tamatkan Tol Batu Tiga - Sungai Rasau : Idea Basi!


Nampaknya Pakatan Rakyat sudah kepanasan dengan mendesak kerajaan persekutuan agar tidak melanjutkan perjanjian konsesi tol yang melibatkan Plaza tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Lebuhraya Persekutuan yang bakal berakhir tidak lama lagi. Sini .

Kata mereka tumpuan diberikan kepada dua tol ini memandangkan ianya berada di kawasan Shah Alam dan setiap hari pengguna lebuhraya berhadapan dengan kesesakan lalu lintas sepanjang satu kilometer terutamanya di waktu puncak.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula berkata perjanjian konsesi tol wajar ditamatkan memandangkan pihak konsesi sudah memperolehi keuntungan berlipat ganda berdasarkan perkiraan tempoh perjanjian yang dipersetujui sebelum ini.

“Kita mendesak Kerajaan Barisan Nasional untuk menamatkannya secepat mugkin kerana amat jelas ‘que’ menunggu untuk membuat pembayaran hampir satu kilometer panjang. Dahulu ianya dilakukan atas alasan untuk melancarkan lalu lintas dan sekarang kita nampak bahawa tol adalah punca utama kepada kesesakan lalu lintas berlaku,” katanya.

Sementara itu, Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail mengingatkan kerajaan persekutuan supaya tidak sama sekali melanjutkan perjanjian konsesi setelah ianya tamat sepenuhnya dalam tempoh terdekat. Katanya, bebanan kepada rakyat khususnya penduduk sekitar yang menggunakan kemudahan ini dapat dikurangkan hasil daripada pemansuhan tol ini.

Tetapi mereka sebenarnya telah lupa kerana sebelum ini pada bulan Jun lepas, UMNO Bahagian Shah Alam bersama lebih 20 badan bukan kerajaan (NGO) serta parti komponen Barisan Nasional (BN) telah membawa cadangan pemansuhan kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau ini untuk mendapat pertimbangan sewajarnya daripada kerajaan. Sini.

Penyelaras Barisan Nasional Parlimen Shah Alam, Datuk Nawawi Md. Zin berkata, memorandum berhubung perkara itu, yang merupakan suara hati warga Shah Alam, sudah pun dikemukakan kepada Kementerian Kerja Raya pada 11 Jun lalu.

Menurutnya, setakat ini, pihaknya masih belum menerima maklum balas daripada kementerian berkenaan dan usaha sedang dilakukan untuk melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Shah Alam berkata, kunjungan hormat itu disifatkan sebagai penting bagi mendapatkan reaksi awal kerajaan, selain boleh membincangkan cadangan dalam memorandum tersebut.

“Dalam keadaan ekonomi hari ini, UMNO Bahagian membawakan suara hati rakyat di negeri ini bersama pelbagai NGO dan amat berharap kerajaan dapat memenuhi permintaan itu.

“Jika sebelum ini, beberapa kutipan tol sudah ditamatkan dan kami harap tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau juga dapat dimansuhkan,” katanya kepada di sini sebelum ini.

Pada 11 Jun lalu, Nawawi menyerahkan memorandum memansuhkan tol tersebut kepada Shaziman bagi dikemukakan untuk pertimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Memorandum tersebut diterima oleh Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya, Datuk Ashaari Ibrahim yang mewakili Shaziman selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian tersebut.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari pula berkata, golongan muda sentiasa memberikan sokongan kepada usaha meringankan beban kewangan rakyat termasuk memansuhkan kutipan tol di Lebuh Raya Persekutuan yang telah beroperasi sejak lebih 20 tahun lalu.

“Dalam keadaan ekonomi sedang mengalami pemulihan, kami merayu agar kerajaan dapat menamatkan operasi kutipan tol di kedua-dua plaza tol tersebut,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, Kamaruddin Ahmad berkata, Lebuh raya Persekutuan adalah pintu masuk utama ke Shah Alam dan sewajarnya ia tidak ‘dihiasi’ dengan plaza tol.

“Mengikut perkiraan kita, syarikat konsesi lebuh raya itu sudah berjaya mengutip balik nilai pelaburan mereka bagi membangun dan menaik taraf lebuh raya berkenaan,” katanya.

Adakah ini tuntutan bertindih dari kedua-dua pihak ( BN dan PR ) demi kebajikan rakyat! Adakah Pakatan Rakyat sebenarnya sudah terdesak untuk mendapat kepercayaan dari rakyat Selangor untuk terus mengundi mereka semula dalam PRU ke-13 nanti dengan meniru idea dari UMNO dan BN?

Adakah jika kerajaan benar-benar menghapuskan kutipan di kedua-dua tol ini nanti, maka Pakatan Rakyat akan mendabik dada dengan berkata ini adalah dari usaha mereka mendesak kerajaan Pusat walhal perkara itu sebenarnya sudah diperjuangkan oleh UMNO dan BN lebih awal!

Sama-samalah kita fikirkan siapa sebenarnya 'Juara Rakyat'!

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan