Terima kasih kerana mengundi BN
Rabu, 31 Julai 2013
Suspek bunuh Hussain dicam?
Polis mengesan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan pengasas AmBank Berhad, Hussain Ahmad Najadi yang ditembak mati selepas keluar dari sebuah tokong di Jalan Ceylon di sini kelmarin.
Difahamkan, lelaki yang digelar sei ngan chai atau lelaki berkaca mata itu berjaya dikesan selepas polis menahan seorang pemandu teksi yang dikatakan membawa suspek menaiki kenderaannya selepas kejadian itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek berusia lingkungan 30-an dikesan sering berada di sekitar Taman Maluri, Cheras.
"Setakat ini, suspek belum ditangkap. Hasil penahanan pemandu teksi itu dia mendakwa, suspek merupakan pelanggan tetapnya dan sering kelihatan di kawasan Taman Maluri.
"Selepas menaiki teksi itu, suspek dikatakan telah turun di Jalan Alor," katanya dalam sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur hari ini.
Dalam kejadian kelmarin, Allahyarham Hussain, 75, dan isteri, Cheong Mei Kuan, 49, yang baru keluar dari sebuah tokong di situ selepas berurusan perniagaan dengan seorang rakan telah ditembak secara rambang oleh seorang suspek.
Hussain yang merupakan pengasas Bank Arab-Malaysia, kini dikenali sebagai AmBank Berhad meninggal dunia di tempat kejadian akibat dua das tembakan manakala isterinya yang juga terkena tembakan turut mengalami kecederaan.
Mengulas lanjut, Chin Wah memberitahu, pemandu teksi berusia 44 tahun itu ditahan di sebuah kedai kopi di Sri Petaling.
"Polis masih menyiasat hubungan sebenar suspek dan pemandu teksi terbabit dan apa tujuan dia berada di lokasi kejadian ketika pembunuhan itu. Pemandu teksi itu ditahan reman sehingga 6 Ogos ini untuk siasatan lanjut," katanya.
Dalam sidang akhbar itu, polis turut mengedarkan gambar suspek yang berjaya dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kuil itu.
"Lelaki itu dirakam ketika mundar-mandir di hadapan tokong itu dipercayai sedang menunggu mangsa.
"Polis berharap orang ramai atau sesiapa sahaja yang mengenali lelaki ini supaya berhubung dengan pihak berkuasa untuk menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Dalam perkembangan sama, Chin Wah berkata, polis akan memanggil seorang rakan Hussain yang dikatakan berbincang dengan mangsa dalam sebuah tokong ketika kejadian dan rakan mangsa itu akan dipanggil dalam tempoh terdekat.
Wasabi Oyabun..
Ahad, 28 Julai 2013
Hairan bagaimana filem perjuangan PKM boleh diluluskan?
Antara babak filem The New Village terbitan bersama Astro Shaw yang bakal ditayang di pawagam mulai 23 Ogos.
Sebuah filem yang mengangkat Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai hero berjudul The New Village bakal ditayangkan di pawagam tanah air mulai 23 Ogos nanti iaitu di bulan kemerdekaan negara.
Perkara itu didedahkan sebuah blog, http://mymassa.blogspot.com selepas tayangan trailer filem tersebut yang menceritakan kisah masyarakat Cina di Kampung Baru mula tersebar sejak minggu ini.
Blog itu seterusnya mempersoalkan bagaimana filem yang mengangkat perjuangan komunis itu boleh ditayangkan apatah lagi di bulan kemerdekaan sedangkan filem Tanda Putera terpaksa ditangguh penayangan beberapa kali.
Menurut mymassa, sepatutnya semua pihak yang terlibat dalam penghasilan filem berkenaan termasuk penerbit bersama, Astro Shaw sensitif terhadap penderitaan mangsa kekejaman komunis terutamanya bekas perajurit.
Sehubungan itu blog berkenaan mendesak Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Penerangan mengambil tindakan sewajarnya jika benar filem tersebut mengagungkan komunis seperti dalam tayangan trailer.
"Apa nak jadi dengan negara ini. Filem macam ini pun akan ditayangkan ke? Tengok bertapa terhinanya filem sejarah negara seperti Tanda Putera yang terpaksa ditangguh beberapa kali akibat desakan bukan Melayu.
"Namun filem The New Village ini begitu mudah pula mendapat hak tayangan dan apa yang lebih malang bila ia bakal ditayangkan pada bulan kemerdekaan negara," jelas blog tersebut sebagaimana dipetik hari ini.
Sebelum ini filem Tanda Putera yang mengisahkan persahabatan dan perjuangan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman dalam mendepani tragedi 13 Mei 1969 tiga kali ditunda.
Alasan yang diberi pihak berwajib di sebalik arahan penangguhan tayangan tersebut ialah tidak mahu menimbulkan konflik dan kontroversi ketika negara sedang dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 Mei lalu.
Sementara itu, Tanpa amaran, Zahid tahan filem New Village!
Pihak Lembaga Penapisan Filem(LPF) telah ambil keputusan untuk MENAHAN tayangan filem ini bagi mengelakkan kontroversi... Ianya akan diteliti semula terutamanya mesej2 tersembunyi termasuk perkara yang berkaitan dengan komunis..., kata Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi
Filem New Village menayangkan kaum Cina sebagai mangsa komunis dan British tapi juga mahu gambarkan CIna komunis sebagai pejuang kemerdekaan.
Ingat Melayu lupa ke AMCJA yang ambil alih kerajaan seminggu dan bertindak kejam. Mereka memasuki istana-istana dengan hasrat mahu menangkap dan bunuh Sultan dan Raja-Raja Melayu. Keluarga di Raja dan kaum bangsawan masih lagi ingatkah peristiwa ini?
Tak faham macamana LPF boleh luluskan? Tahukah Lembaga LPF menilai filem? Satu hal lagi, macam mana FINAS boleh beri tarikh 26hb Ogos, dua hari sebelum tarikh tayang Tanda Putera pada 28hb?
Wasabi Oyabun..
Sabtu, 27 Julai 2013
Kisah sebenar disebalik FITNAH pembangkang mengenai pembelian Kapal Selam Scorpene?
Temuramah Muka Hadapan Akhbar New Straits Times (NST) – Terbit 27 Julai (Sabtu)
Dalam satu temubual bersama Haris Hussain, arkitek pembelian Kapal Selam Scorpene, Jasbir Singh Chahl buat pertama kalinya membuka mulut berkenaan perjanjian yang kononnya penuh kontroversi itu. Di sini, Jasbir Singh Chahl, menyanggah tuduhan Suaram sekaligus memadamkan kaitan antara mendiang Altantuya dan isu pembelian kapal selam Scorpene.
Menyanggah Cerita Dongeng.
Pada tahun 1984, seorang ejen insuran dari Baltimore, Maryland, telah menerbitkan sebuah buku novel fiksyen berkenaan seorang komander kapal selam Russia yang ingin belot kepada negaranya dan memihak kepada Amerika Syarikat. Cerita tersebut memaparkan bahawa kapal selam Russia itu merupakan kapal nuklear tercanggih pada zamannya.
“The Hunt For Red October” judul cerita fiksyen tersebut adalah “kononnya” diinspirasikan oleh kejadian sebenar yang berlaku pada tahun 1975 di atas kapal pemusnah Russia Storozhevoy dan menjadi novel pertama Tom Clancy di peringkat antarabangsa. Presiden Ronald Reagan pada ketika itu menggelarkannya sebagai sebuah cerita dongeng yang hebat.
Di Malaysia pula, kisah kapal selam juga merupakan dongengan yang sering diputarkan oleh beberapa pihak.
Pada tahun 2010, Suara Hak Asasi Manusia (Suaram) telah menfailkan tuduhan di mahkamah Perancis, menyatakan bahawa firma perniagaan Perancis yang bernama DCNS telah membayar RM452 juta sebagai rasuah kepada pegawai kerajaan Malaysia untuk mendapatkan satu kontrak. Tuduhan ini telah menjadi salah satu rentetan tuduhan melampau berkenaan isu Scorpene sehingga melibatkan beberapa pihak yang pada logiknya tidak ada kene mengena dengan hal tersebut.
Bertahun sudah berlalu dan satu jaringan teori konspirasi telah dianyam dan akhirnya kaitan berkenaan perjanjian jual beli kapal selam itu dan Altantuya telah dikaitkan hanya melalui teori. Oleh itu, jangan terkejut sekiranya cerita teori konspirasi ini sealiran dengan mana-mana filem Hollywood. Ini kerana dek penangan pemikir-pemikir tertentu berkenaan teori Altantuya dan Scorpene, maka timbul lah cerita berkenaan korupsi, penipuan, seks dan pembunuhan.
April lalu, satu laporan daripada media arus perdana Sepanyol dan Perancis telah mempersoalkan tindakan taksub dan gila Suaram berkenaan kes tersebut, sehingga media mereka menyifatkan sistem mahkamah Perancis telah dipermain-mainkan oleh Suaram dan konco-konco mereka. Jumaat lepas, Suaram telah mengadakan aktiviti mengutip derma, lantas fitnah dan tuduhan baru pula dilemparkan kepada Kerajaan Malaysia.
Selepas beberapa bulan mencuba, akhbar New Straits Times telah berjaya mendapat satu temubual dengan seorang individu yang menjadi penggerak kepada perjanjian Scorpene ini. Bukan mudah untuk mendapat peluang menemubual individu tersebut. Temubual bersama Jasbir Singh Chahl ini diharap dapat membuka mata seluruh rakyat Malaysia untuk mengetahui tentang kebenaran isu Scorpene.
Sebelum perjumpaan itu dilakukan, Chahl telah menolak untuk membuat apa-apa kenyataan berkenaan kes ini, beliau bimbang akan dikenakan tindakan menghina mahkamah. Sepanjang ini, beliau telah berhubungan dengan pihak penguatkuasa Perancis dan para penyiasat di mana beliau mempunyai bukti untuk setiap kenyataan yang dikeluarkannya.
Semasa berkunjung ke rumah beliau, yang terletak ditengah-tengah Kuala Lumpur, lelaki yang dibesarkan dengan pendidikan Inggeris ini terhenti seketika semasa menyusun cawan-cawan teh yang berada di depannya dan berkata “Saya berani bersumpah di bawah buku suci Guru Granth Sahib, yang saya tidak tahu dan tidak kenal perempuan tersebut, dan dia tidak pernah menjadi sebahagian daripada pasukan kami, saya tidak pernah melihat dia dan dia tidak berada di Perancis pada masa itu, iaitu semasa kami sedang berusaha untuk mendapatkan perjanjian terbaik untuk Malaysia. Saya hanya tahu berkenaan beliau apabila surat khabar menyiarkan berita bahawa mayat beliau telah dijumpai”.
Salah satu daripada cerita dongeng yang telah dijaja dan diterima oleh sebahagian rakyat Malaysia ialah cerita kononnya Altantuya adalah seorang penterjemah kepada Abdul Razak Baginda yang juga telah membantu Chahl untuk mendapatkan projek tersebut.
Perbincangan bermula pada tahun 2000 dan persetujuan telah berjaya dicapai pada tahun 2002. Jikalau benar Altantuya adalah penterjemah Razak Baginda, maka beliau sepatutnya hadir dalam semua mesyuarat sejak tahun 2000.
Akan tetapi, di dalam dokumen rasmi kerajaan Perancis yang telah diberikan kepada New Straits Times, Polis Perancis telah menyatakan bahawa Altantuya tidak pernah datang ke Perancis dari tahun 1999 hingga 2006. Sedangkan sebahagian perjumpaan berkenaan Scorpene telah diadakan di Perancis dan sebahagiannya di Malaysia.
Semua dokumen untuk perjanjian adalah dalam Bahasa Inggeris, “Ini bukanlah sesuatu yang saya katakan, tetapi ia adalah yang dikatakan oleh pihak berkuasa Perancis, polis Perancis dan badan siasatan kehakiman Perancis ,”.
Mengikut keterangan yang dibuat oleh Razak Baginda di dalam mahkamah, beliau hanya berjumpa dengan Altantuya pada lewat tahun 2004. Perjanjian Scorpene telah dirumuskan pada tahun 2002.
Satu lagi tuduhan yang dibuat oleh pro-pembangkang adalah disebabkan oleh pemahaman terhadap Gallic dan cara perlaksanaan syarikat Perancis DCNS menjalankan perniagaan mereka di seluruh dunia.
Pihak pro-pembangkang menyatakan kononnya kerana DCNS adalah syarikat Perancis, maka perjanjian yang diadakan mesti dilakukan dalam bahasa Perancis. Sedangkan di dalam bidang perniagaan pertahanan, Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa perantara.
Tambahan dengan itu, pasukan Perancis diketuai oleh seorang lelaki Inggeris yang bernama Martin Hill yang juga fasih berbahasa Perancis. Sekiranya, pasukan mereka memerlukan penterjemah, mereka tidak perlu.
“Ini semuanya, adalah masalah peribadi antara Razak Baginda dan Altantuya. Apa sahaja isu antara Razak dan Altantuya tiada kaitan dengan perjanjian Scorpene. Adalah malang untuk kita semua, hal yang berlaku antara mereka berdua dikaitkan dengan perjanjian kapal selam tersebut. Razak Baginda merupakan satu-satunya perkara yang mengaitkan kedua-dua isu tersebut. Walaupun pada asasnya hal Altantuya adalah hal peribadi Razak dan bukannya orang lain”.
Siapakah Jasbir Singh Chahl?
Jasbir Singh Chahl telah memulakan kerjaya beliau di dalam bidang pertahanan, industri minyak dan gas pada umur yang begitu muda. Semasa beliau berumur 20an beliau telah bekerja di London bersama sebuah firma Timur Tengah yang pakar dalam bidang pertahanan dan pembangunan. Di sana beliau diberikan tugas untuk memastikan perjanjian yang bernilai jutaan dollar berjaya dimeterai.
Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan kontraktor dari Eropah dan di seluruh dunia. Apabila beliau kembali ke Malaysia pada tahun 1981 beliau amat dikenali di arena korporat Malaysia. Pada tahun 1996 hingga 1998, Chahl bekerja dengan Thomson-CSF International (M) Sdn Bhd, France’s Thomson-CSF (sekarang Thales), Offshore Patrol Vessels (OPV) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia, selain itu beliau juga banyak terlibat di dalam projek berkenaan pertahanan Malaysia.
Hubungan beliau dan Thomson-CSF bertaut semula apabila syarikat tersebut memerlukan kepakaran beliau dalam pembangunan strategik dan maklumat yang boleh digunakan untuk kepentingan Kerajaan Malaysia di dalam beberapa projek pertahanan.
Semasa perbincangan inilah, syarikat tersebut telah mengusulkan untuk memberi fokus kepada penjualan kapal selam di Malaysia. Ini merupakan sesuatu yang syarikat tersebut telah usahakan selama sedekad tetapi mereka tidak berjaya menyaksikan apa-apa perkembangan. Syarikat tersebut berpendapat bahawa masa yang sesuai merupakan satu perkara yang penting untuk dipertimbangkan. Kesemua pihak termasuk TLDM telah berbincang untuk menganalisa, menilai dan membangunkan cadangan untuk membekalkan kapal selam kepada Malaysia, yang menjadi titik tolak kepada pembelian kapal selam Scorpene.
‘Semuanya telah diaudit’
SATU daripada isu utama di dalam perjanjian kapal selam Scorpene adalah berkaitan dengan perkataan “komisyen”.
Khususnya, 115 juta Euro (RM452 juta) yang telah dibayar kepada Perimekar Sdn Bhd, sebuah syarikat yang mengetuai logistik dan latihan pegawai-pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Dan Jasbir Singh Chahl mempunyai masalah besar dengan itu.
“Jumlah itu sebenarnya adalah untuk servis yuran pentadbiran, “ kata Chahl dengan nada geram dan marah.
Para pengkritik telah berjaya untuk menjadikannya hujah yang mudah untuk menunjukkan contoh ketamakan tidak terbatas ; bahawa ia telah berjaya ke tahap yang tertentu, dalam melukiskan gambar yang wang telah dibayar ke tangan pegawai-pegawai kerajaan dan syarikat-syarikat sebagai pemudah cara. Perkara ini membuatkan Chahl merasa jelek.
Untuk makluman, Perimekar, iatu sebuah syarikat yang telah diaudit, dimiliki oleh KS Ombak Laut Sdn Bhd, tabung pencen Tentera Laut, LTAT dan syarikat industri, Boustead di mana kedua-duanya juga telah diaudit.
Yuran tersebut merangkumi pentadbiran projek dan servis-servis integrasi projek, menyelaraskan penglibatan syarikat-syarikat Malaysia dalam program penyertaan industri, termasuk di dalam penyediaan perkhidmatan semasa fasa pembinaan dan memantau prestasi syarikat yang terlibat. Ia juga membantu kontraktor utama mematuhi semua undang-undang dan tatacara yang berhubungan dengan pemberian kontrak tempatan, menyelaras dan memantau latihan anggota TLDM selaras dengan kontrak utama dan selaras dengan harapan kerajaan Malaysian dan TLDM. Ini juga termasuk menyediakan laporan bulanan bagi semua perkara di atas.
Sebahagian besar daripada yuran tersebut adalah untuk penyediaan penginapan dan semua perkhidmatan yang diperlukan untuk latihan kakitangan TLDM dan keluarga mereka di Brest, Perancis, dan Sepanyol untuk jangkamasa enam tahun, termasuklah premium insurans kesihatan dan elaun harian minima 50 Euro setiap seorang. Kos-kos lain termasuklah kos perjalanan pulang ke Malaysia sebanyak tiga kali setahun. Kesemua 145 anggota TLDM, termasuklah 49 pegawai dan tanggungan mereka dirangkumi oleh yuran ini.
“Kita telah difitnah untuk dilihat sebagai orang yang mengaut keuntungan dan goyang kaki, sedangkan pada hakikatnya, terdapat banyak kerja keras yang telah dilakukan
Untuk makluman, keuntungan Perimekar selepas cukai adalah sebanyak RM105,111,191.
“Tawaran komersial tersebut adalah menarik kerana keunggulan program penyertaan industri yang telah kita hasilkan. Program jualbeli dan “offset” yang kami tawarkan sebagai sebahagian daripada keseluruhan tawaran juga berpihak kepada kita.”
“Berdasarkan kekuatan dan kelebihan komersial cadangan itu, kita tidak perlu untuk melobi sesiapa untuk mempengaruhi proses penilaian komersial. Tidak ada sebab untuk kami berbuat demikian.”
“Scorpene merupakan kapal selam bukan nuklear terbaik yang telah negara kita pilih”.
Wasabi Oyabun..
Khamis, 25 Julai 2013
Ratu Cantik dengan 1,001 alasan?
Empat daripada finalis Miss Malaysia World 2013 terdiri daripada gadis beragama Islam semasa sidang akhbar pengenalan 20 peserta finalis pertandingan ratu cantik itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kita tidak akan habis memperkatakan polemik isu salah atau tidak penyertaan gadis Islam dalam pertandingan ratu cantik selagi ada pihak yang mahu 'menegakkan benang basah'.
Maksudnya, berusaha mencari alasan memenangkan perkara yang sudah jelas-jelas salah. Kerana itu sudah keluar dari mulut gadis Islam terbabit "kenapa sukan gimnastik atau renang yang lebih seksi pemakaiannya boleh, kami pula peserta ratu cantik tak boleh".
Kalau nak cari alasan untuk 'menghalalkan' perkara yang salah, 1,001 alasan pun boleh dicari, hatta sebesar kuman pun.
Si penganjur pun satu hal. Maka keluarlah kenyataan untuk sekali lagi 'menghalalkan' penyertaan gadis-gadis Islam itu sebagai kononnya "anda tidak perlu memperagakan pakaian renang, cukup sekadar pakaian sukan".
Eh! kalau sebahagian besar peserta bukan Islam terbabit memakai pakaian renang, hampir terdedah payu dara manakala sebilangan lagi pakaian sukan, tidakkah janggal atur cara pertandingan itu?
Seingat penulis, tidak ada kriteria pemilihan pemenang finalis pertandingan ratu cantik Miss Malaysia World 2013 yang sekadar untuk peserta yang tutup aurat. Akan pasti terpalit isu halal haram ke atas peserta ratu cantik Islam itu.
Suatu masa lalu kita didedahkan dengan satu fatwa berkaitan hukum wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik. Fatwa ini dikeluarkan oleh Allahyarham Datuk Haji Ishak Baharom, bekas mufti Selangor sekitar 1997 dan disahkan oleh Sultan Selangor.
Fatwa ini dikeluarkan ekoran sekitar tahun itu banyak pertandingan ratu cantik yang telah dijalankan. Dan yang menyedihkan serta memalukan apabila terdapat ramai wanita yang beragama Islam tidak terlepas menyertainya.
Perbuatan mendedahkan aurat tidak kira lelaki atau perempuan memang dilarang dalam agama Islam. Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Negeri Selangor mengenai fatwa tentang penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik sebenar telah diwartakan mengikut Warta Kerajaan Negeri Selangor Jil. 48 No. 10 bertarikh 11 Mei 1995 ["Adalah haram bagi wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik" - Fatwa itu dibuat pada 28 April 1995 (JAI. Sel. 8014/7 Jilid III; P.U. Sel. 2780)].
Kalaupun sesetengah peserta atau pihak menyatakan bahawa penglibatan mereka dalam mana-mana pertandingan ratu cantik tidak mempunyai kaitan dengan orang lain, atau ia hanya soal dosa pahala antaranya dengan Tuhan semata-mata, itu amat tidak tepat. Ini kerana konsep penutupan aurat bukan sekadar melibatkan hubungan hamba dengan Tuhan, tetapi ia juga bertujuan untuk memelihara iman orang lain.
Atas dasar ini jugalah mengapa undang-undang diwujudkan, iaitu untuk memelihara ketenteraman awam dengan mencegah akhlak yang buruk tidak berlaku dan diperlihatkan kepada umum.
Pertandingan ratu cantik yang melibatkan peserta Islam dilarang kerana perbuatan-perbuatan yang menjolok mata dan sangat bertentangan dengan akhlak Islam akan menyebabkan masyarakat Islam keseluruhannya berasa amat tersinggung.
Walaupun tidak ada undang-undang khusus yang mengharamkan peserta Islam dalam pertandingan ratu cantik, tetapi fatwa yang dikeluarkan dan diwartakan adalah undang-undang yang mengikat. Contohnya fatwa berkaitan yang telah diwartakan oleh Wilayah Persekutuan pada Februari 1996 memperuntukkan, "Adalah haram dan berdosa bagi orang Islam menyertai dan menganjurkan atau menyumbangkan apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik."
Berdasarkan kepada nas-nas yang dikemukakan, umat Islam di Malaysia bersetuju memutuskan bahawa menyertai dan menganjurkan peraduan ratu cantik adalah haram di sisi Islam.
Islam telah membataskan batasan aurat yang sepatutnya harus ditutupi oleh wanita Muslim iaitu dari pusat sampai ke lutut sesama wanita Muslim. Sedangkan aurat yang harus ditutup oleh wanita Muslim daripada pandangan wanita bukan Muslim adalah seperti penutupan yang harus dilakukannya terhadap lelaki yang bukan mahramnya.
Lihatlah betapa acara ratu cantik ini begitu bertentangan dengan ajaran Islam dan juga menjadi satu penghinaan ke atas martabat dan maruah golongan wanita khususnya wanita Islam apabila anggota badan mereka dengan senangnya ditonton oleh orang ramai tidak kira agama atau jantina dan dinilai kecantikannya oleh juri tertentu.
Isu ini sudah lama bermain di negara-negara Islam. Namun adakah dengan 'pertabalan' ratu cantik Islam ini akan membuka jalan atau peluang kepada remaja-remaja Islam lain untuk turut sama mengorak langkah menyertai mana-mana pertandingan ratu cantik kelak?
Cukup merisaukan andai perkara ini boleh mempengaruhi pemikiran anak muda zaman sekarang yang mana sememangnya buta dalam menilai halal haram sesuatu perkara.
Inilah kejayaan besar buat negara Barat dan musuh-musuh Islam kerana kehalusan dan kelicikan perancangan mereka yang sukar dihidu yang pada akhirnya akan memusnahkan identiti masyarakat Islam itu sendiri.
Yang penting lagi, semua barisan juri dan penontonnya adalah terdiri daripada wanita.
Pernah seorang Mufti Mesir, Sheikh Mohammed Farid Wassel menganggap pertandingan seperti di Tatarstan itu menjadi landasan penting mencari wanita Muslim yang benar-benar layak digelar wanita solehah dan menjadi ikutan gadis Islam lain.
Wanita hari ini perlu membuka mata selebar-lebarnya kerana banyak alternatif yang telah Islam anjurkan dan gariskan terutama yang menyentuh berkaitan keterlibatan wanita dalam pelbagai pertandingan terutamanya ratu cantik dan seumpamanya
Pihak yang berwajib juga haruslah memainkan peranan yang sepatutnya dalam memastikan isu umat Islam khususnya wanita Islam tidak lagi diperkotak-katikkan dan dijaga maruah serta martabatnya di mata masyarakat lain.
Kita tidak menghalang wanita untuk menyertai apa sahaja bentuk pertandingan, asalkan pertandingan itu tidak bertentangan dengan apa yang telah Islam gariskan. Begitu juga dengan isu pertandingan ratu cantik.
Penganjur Miss World Malaysia 2013, Datuk Anna Lim perlu konsisten - dengan berpegang kepada pendirian membatalkan penyertaan empat gadis Islam terbabit.
Kita sudah muak dengan kedangkalan yang ditunjukkan daripada ungkapan-ungkapan yang keluar daripada mulut gadis-gadis Islam kacukan ini.
Wasabi Oyabun..
Rabu, 24 Julai 2013
Padah jika lawan fatwa?
4 wanita Islam berkeras mahu sertai ratu cantik akan didakwa, hadapi denda RM3,000 atau 2 tahun penjara
Wanita Islam yang mempersoalkan fatwa mengharamkan mereka menyertai pertandingan ratu cantik selepas digugurkan daripada penyertaan merebut gelaran Miss World Malaysia 2013 baru-baru ini, dijangka menghadapi tindakan kerana menghina Islam.
Ini berikutan tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membuka kertas siasatan terhadap mereka semalam.
Pengarahnya, Datuk Che Mat Che Ali, berkata kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) kerana menghina atau menyebabkan Islam dipandang hina.
Jika disabit kesalahan, mereka boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.
“Kertas siasatan dibuka berdasarkan laporan akhbar BH menyatakan kekecewaan peserta dengan fatwa yang mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik.
Wasabi Oyabun..
Selasa, 23 Julai 2013
Peserta Islam nekad tanding ratu cantik?
Wafa Johanna De Korte (kiri) dan Amelia Bernard.
4 wanita dakwa hanya pakai baju sukan
Kuala Lumpur: Empat peserta Islam pertandingan ratu cantik Malaysia yang dibatalkan penyertaannya, tetap berkeras untuk terus bertanding bagi merebut gelaran Miss World Malaysia 2013 pada 2 Ogos ini.
Seorang daripada mereka, Sara Amelia Muhamad Bernard, 20, berkata dia kecewa dengan fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandi-ngan ratu cantik.
“Saya sedar umat Islam tidak dibenarkan memasuki pertandingan ratu cantik, tetapi saya dimaklumkan oleh pihak penganjur ia dibenarkan kerana kami tidak perlu memperagakan pakaian renang, sebaliknya hanya pakaian sukan,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.
Seorang lagi peserta, Wafa Johanna De Korte, 19, turut kecewa dengan keputusan pihak penganjur yang membatalkan penyertaan mereka.
Mahu wakili Melayu
“Saya terharu melihat pihak penganjur berusaha mempertahankan dan melihat potensi dalam diri kami untuk mewakili kaum Melayu di dalam pertandingan ratu cantik Malaysia.
“Saya berbesar hati untuk meneruskan perjuangan di dalam pertandingan ini, jika masih ada peluang,” katanya.
Sementara itu, penganjur Miss World Malaysia 2013, Datuk Anna Lim, berkata walaupun menarik balik penyertaan empat peserta Islam itu, pihaknya masih memberi peluang kepada mereka menyertai program itu.
Dalam pada itu, Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) menggesa kerajaan mewujudkan Enakmen Jenayah Syariah berhubung penyertaan umat Islam dalam pertandingan ratu cantik.
Wasabi Oyabun..
Penganas Kiram ugut untuk membalas dendam?
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan Bernama sebagai berkata pasukan polis dan tentera yang bertugas di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sentiasa dalam keadaan bersiapsiaga bagi menghadapi sebarang ancaman daripada kumpulan itu.
"Jangan cuba mengugut kami. Jangan cuba untuk melakukan sesuatu kerana bukan sekadar pihak polis dan tentera malah rakyat Malaysia akan bangun menentang ancaman daripada pengganas Sulu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 455 orang miskin dan orang kelainan upaya (OKU) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup di sini Sabtu.
Beliau mengulas mengenai tindakan Polis Sabah yang memulakan siasatan ke atas surat yang kononnya ditulis oleh militan Sulu yang mendakwa mereka akan datang ke Tambunan, Sabah untuk membalas dendam.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib dilaporkan berkata polis telah mengesan sumber surat itu walaupun ia disyaki tiada kaitan dengan pencerobohan tentera Sulu di Lahad Datu awal tahun ini.
Menurut laporan itu, surat bertarikh 3 Julai yang ditandatangani oleh 'Komando Militan' bagi pihak Kesultanan Sulu dan keluarga Kiram telah dihantar kepada pegawai daerah Tambunan, pegawai polis dan masyarakat Tambunan memberi amaran bahawa mereka mahu memulakan perang di daerah Tambunan sebagai membalas dendam terhadap pertempuran di Kampong Tanduo, Lahad Datu, menjelang Ogos ini.
Ahmad Zahid berkata pelbagai khabar angin termasuk kononnya bekas pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari juga akan datang ke Sabah.
"Jangan dengar sebarang khabar angin. Tidak ada orang nak bagi ugutan atau nak masuk...beritahu (kita) lebih awal. Jika benar mereka hendak masuk dalam bulan Ogos, bulan Julai kita sudah tunggu," katanya.
Beliau mengingatkan seluruh rakyat Sabah jangan memandang ringan ancaman daripada luar kerana pengganas Sulu sememangnya terkenal dengan budaya membalas dendam.
"Kita jangan leka. Kalau kita leka memang mereka akan menceroboh masuk," katanya.
Wasabi Oyabun..
Langgan:
Catatan (Atom)














.jpg)
.jpg)
