Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Isnin, 11 November 2013

Pump gun dalam longkang?

Anggota polis memegang pump gun dan kotak peluru yang ditemukan dalam longkang di Persiaran Penaga, Subang Jaya, pagi semalam.

Selepas sehari suspek utama pembunuhan kejam pegawai AmBank diberkas, polis menemukan selaras pump gun yang dipercayai digunakan dalam kejadian rompakan di bank cawangan itu pada 23 Oktober lalu, di sini hari ini.

Senjata api itu ditemukan dalam longkang berhampiran sebuah kilang alat ganti kereta di Persiaran Penaga, kira-kira 500 meter dari bank tersebut pukul 11 pagi ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, pihaknya menjalankan operasi pencarian senjata api itu berdasarkan soal siasat ke atas suspek utama.

"Hasil siasatan awal, suspek memaklumkan telah mencampakkan senjata api itu di sekitar kawasan berkenaan selepas kejadian namun tidak dapat memastikan lokasi sebenarnya.


"Polis menjalankan operasi mencari senjata selama dua jam bermula pukul 9 pagi dan menemukan pump gun serta beberapa butir peluru di lokasi tersebut," katanya ketika ditemui di lokasi penemuan senjata itu hari ini.

Polis semalam menahan pengawal keselamatan warga Indonesia yang merupakan suspek utama kes bunuh seorang pengawai operasi AmBank di sini pada 23 Oktober lalu selepas memburunya selama 19 hari.

Suspek yang nama sebenarnya Loade Ardina Loade Rasila, 35, ditangkap di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor pukul 7 pagi semalam selepas terlibat menembak Norazita Abu Talib, 37, dari jarak dekat di bahagian kepala dalam rompakan di premis tersebut di Jalan USJ Sentral 2 di sini.

Kejadian berlaku pukul 6.18 petang ketika mangsa bersama suspek serta empat lagi kakitangan sedang membuka sebuah peti besi berisi wang sebelum suspek tiba-tiba melepaskan tembakan menggunakan senjata api jenis pump gun dan mengenai muka Norazita mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian.

Wasabi Oyabun..

MP PR cadang PM, TPM guna pesawat komersial?


Ahli Parlimen PR mencadangkan supaya Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri menggunakan pesawat komersial untuk penerbangan domestik.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke mendakwa, kerajaan telah membelanjakan RM489 ribu bagi setiap penerbangan yang dilakukan setiap hari pada 2012.

Menurutnya, perbelanjaan tersebut adalah pembaziran keterlaluan yang melibatkan perbelanjaan kerajaan.


"Penerbangan yang dilakukan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri turut melibatkan penerbangan domestik yang boleh dikurangkan perbelanjaannya dengan menggunakan pesawat komersial.

"Setiap kali Perdana Menteri naik kapal terbang, kosnya adalah RM489,000 untuk setiap penerbangan. Jumlah ini adalah melibatkan 372 penerbangan tahun lalu seperti yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kasim.

"Kalau kerajaan ambil pesawat komersial sahaja untuk penerbangan dalam negeri ia tidak memerlukan perbelanjaan yang besar," katanya pada sidang media, di lobi Parlimen, di sini, hari ini.


Sebelum ini, Shahidan melalui jawapan bertulis menjawab soalan Loke yang ingin Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan jumlah pesawat yang dimiliki kerajaan, model pesawat, kos bahan api dan penyelenggaraan bagi tahun 2012 dan jumlah penerbangan serta destinasi pada tahun tersebut.

Shahidan menyatakan, kerajaan telah memiliki tujuh pesawat yang diistilah sebagai pesawat eksekutif (VVIP) kerajaan iaitu pesawat Falcon, Global Ekspress, Boeing Business Jet, Blackhawk, Fokker F28 serta dua unit pesawat Agusta.

Tambah Shahidan, bagi kos bahan api semua pesawat pada 2012 adalah sebanyak RM14.951 juta dan RM167.079 juta untuk kos penyelenggaraan serta jumlah keseluruhan penerbangan adalah 373 penerbangan dengan 339 destinasi atas urusan rasmi kerajaan.

Wasabi Oyabun..

Jumaat, 8 November 2013

Semakin ramai 'Kitol' dalam Petronas punca Melayu/Bumiputera disisihkan?


PUTRAJAYA – Syarikat minyak negara Petronas perlu menyokong dasar kerajaan, termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang memberi keistimewaan kepada kaum Bumiputera dan Melayu.

Penasihat Petronas, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sebagai sebuah agensi kerajaan, Petronas, seperti agensi kerajaan lain, mesti mengikut dasar yang ditetapkan kerajaan.

“Dasar kerajaan setakat yang saya tahu, termasuk untuk melaksanakan DEB. Kerajaan belum tolak DEB.

“Ini bermakna Petronas juga terlibatlah (untuk laksanakan DEB),” kata bekas Perdana Menteri itu semasa ditemui di pejabat beliau di Putrajaya, semalam.

Beliau, bagaimanapun menegaskan, walaupun syarikat Bumiputera perlu diberikan layanan istimewa oleh Petronas, ia perlu dilakukan mengikut merit.

“(Ingin) lindungi (syarikat Bumiputera) pun ikut merit juga. Orang tak ada merit tak boleh la nak lindung,” katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan aduan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), pemilik syarikat yang menjadi vendor Petronas dan pengusaha stesen minyak Petronas mengenai dasar Petronas yang didakwa mula mengetepikan syarikat milik Bumiputera.


Dr Mahathir turut mengakui beliau sendiri menerima aduan berhubung perkara yang dilaporkan Sinar Harian kelmarin dan menegaskan, beliau telah pun menyampaikan kebimbangan itu kepada pengurusan tertinggi Petronas.

“Kerja saya (sebagai penasihat), saya beritahu kepada Presiden Petronas (Tan Sri Shamsul Azhar Abbas) tentang perkara-perkara ini (iaitu aduan mengenai dakwaan Petronas mengetepikan orang Melayu),” katanya.

Ditanya mengenai hala tuju dasar Petronas yang didakwa mula berubah daripada membantu syarikat Bumiputera dan orang Melayu, Dr Mahathir berkata Petronas beranggapan syarikat itu telah memenuhi objektifnya untuk membantu kaum Bumiputera.

“Jumlah kontrak (Petronas yang diberikan kepada syarikat Bumiputera) cukup besar. Katanya dia (Petronas) dah tolong banyak kepada Bumiputera,” kata beliau.

Dr Mahathir turut menjelaskan kapasitinya sebagai penasihat tidak berikannya kuasa untuk mengeluarkan arahan kepada Petronas, sebaliknya beliau hanya boleh memberi nasihat.

“Saya cuma dengar banyak orang tak puas hati (dengan Petronas). Jadi bila orang tak puas hati, saya beritahu kepada presiden (Petronas).

"Terpulang kepada dia lah apa tindakan (nak diambil) sebab dia (ada kuasa) eksekutif. Saya bukan (ada kuasa) eksekutif,” jelas beliau.

Katanya, jika dilihat dari sudut keuntungan dicapai Petronas masa ini, pengurusan Petronas dianggap berada dalam keadaan baik.

Berhubung laporan Sinar Harian kelmarin mengenai peniaga-peniaga kecil yang didakwa tidak dibenarkan lagi membekalkan makanan seperti roti, nasi lemak dan kuih-muih ke stesen Petronas, Dr Mahathir berkata beliau tidak tahu mengenai perkara ini.

“Yang itu saya tak tau la. Ni saya baru dengar kata nasi lemak tak boleh jual (di stesen Petronas),” katanya.

Mengenai keluhan banyak syarikat Malaysia yang menerima kontrak syarikat gergasi minyak antarabangsa, tetapi tidak mendapat peluang di negara sendiri, Mahathir berkata Petronas perlu mengambil tahu mengenai masalah itu.

Selanjutnya sila baca di sini dan sini!

Wasabi Oyabun..

Khamis, 7 November 2013

GST : 'Kami akan lawan habis-habisan'?


PR akan "lawan" habis-habisan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bakal bermula pada 1 April 2015.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PR akan mengadakan bantahan ke seluruh negara mengenai pelaksanaan GST tersebut.

Menurutnya, pelaksanaan GST itu adalah suatu jenayah apabila kerajaan masih membiarkan ketirisan dan rasuah terus berlaku sebaliknya membiarkan rakyat menanggung beban.

"Pelaksanaan GST... kami akan turun membantah di seluruh negara.

"Ini jenayah.. kami akan lawan habis-habisan," katanya pada perbahasan Bajet 2014, di Dewan Rakyat, hari ini.


Tambahnya, PR mengulangi pendirian tempoh untuk melaksanakan GST masih belum sesuai sehingga rakyat mencapai pendapatan di tahap memuaskan.

"Kami berpendirian bahawa GST masih belum boleh dilaksanakan dan perlu terus dikaji sehingga pendapatan rakyat berada pada satu tahap yang memuaskan, kutipan cukai pendapatan diperbaiki seluruhnya dan sehingga kedudukan ekonomi negara berada pada tahap yang lebih memberangsangkan," katanya.

Bagi meningkatkan pendapatan negara dan menuju negara berpendapatan tinggi, kerajaan mengumumkan untuk melaksanakan GST yang akan bermula pada April 2015.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, GST sesuai dilaksanakan ekoran kedudukan inflasi negara berada di paras rendah.

Dalam pada itu, Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh turut menjangkakan GST akan terus meningkat daripada enam peratus kepada lapan peratus pada 2016.

"Lazimnya kerajaan yang melaksanakan GST akan menaikkan kadar GST di masa hadapan kerana cukai ini adalah antara yang paling mudah dikenakan.

"Perlaksanaan GST akan merangsangkan kerajaan yang boros ini untuk menaikkan kadar GST tatkala kesempitan," katanya lagi.

Wasabi Oyabun..

Tidak hairanlah mengapa kuil Hindu RM10 juta sedang di bina di Bandar Klang...!!! Siapakah yang 'mengHALALkannya'?


Tahniahlah diucapkan kepada PAS kerana mengambil pendekatan terbuka untuk membina lebih banyak kuil-kuil Hindu di Selangor? Pendekatan itu dapat dilihat dengan terbinanya kuil Hindu terbesar(sedang dalam pembinaan sekarang) di Bandar Klang, Selangor yang memakan belanja sebanyak RM10 juta! Sila baca di sini.

ISMA bantah pembinaan kuil Hindu RM10 juta di Klang

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) membantah pembinaan semula Kuil Sundararaja Perumal di Klang, yang menelan belanja sebanyak RM10 juta dengan menegaskan ia akan memberikan persepsi buruk kepada pelancong beragama Islam khususnya dari Timur Tengah.

Presiden ISMA, Abdullah Zaik Abdul Rahman menyeru kerajaan mengambil tindakan wajar demi menjaga kesejahteraan hidup rakyat dan imej Malaysia di mata masyarakat Islam antarabangsa supaya tidak tercemar.

"Pembinaan seperti itu terkeluar daripada maksud Perlembagaan yang menjamin kebebasan beragama kerana ia telah melampaui tujuan sebenar peruntukan tersebut untuk menjamin hak beragama.

“Justeru, kami menyeru Perdana Menteri, Menteri Pelancongan, kerajaan negeri dan tempatan agar peka dengan perkara ini ," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau mengulas laporan yang menyatakan Kuil Sri Sundararaja Perumal bakal menjadi mercu tanda dan ikon pelancongan di Klang.

Menurut ISMA, Datuk Seri Najib Razak pernah berikrar untuk menegakkan hukum dan meninggikan syiar Islam dan oleh itu hasrat membesarkan pembinaan rumah-rumah ibadat melebihi keperluan, seperti atas nama tarikan pelancongan dilihat bercanggah dengan ikrar itu.

Selain itu, ISMA juga memandang serius usaha penganut agama lain yang cuba mengambil kesempatan meninggikan syiar agama masing-masing hingga mewujudkan persaingan agama yang tidak sihat tanpa menghormati hakikat Malaysia sebagai negara Islam.

Abdullah berkata, kemunculan terlalu banyak syiar agama kufur telah memusnahkan tanggapan masyarakat dunia yang sebelum ini 'berbunga-bunga' terhadap Malaysia selaku sebuah negara Islam contoh.

Isnin lalu, Presiden Kuil Sri Sundararaja Perumal, S Anandakrishnan berkata, Klang bakal mempunyai ikon pelancongan baru apabila sebuah kuil Hindu berharga RM10 juta siap dibina.

Menurut Anandakrishnan, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pelancongan untuk memasukkan lokasi kuil itu ke dalam kalendar pelancongan agar tersenarai sebagai tempat istimewa untuk kunjungan pelancong.

"Kami percaya kuil ini berpotensi menjadi daya tarikan pelancong dan mercu tanda menarik di Bandar Diraja Klang dan juga pelancong asing," katanya.

Bagi penulis nampaknya semua nak sama rata sekarang! Adakah agama hanya sekadar untuk pelancongan? Ataupun alasan pelancongan hanya sebagai alat atau jalan mudah untuk mendapat kelulusan. Nampaknya rakyat semakin keliru sekarang tentang status agama negara ini. Para pemimpin negara perlulah berusaha untuk mengawal pembinaan rumah-rumah ibadat agar identiti negara Malaysia dimana Islam sebagai agama rasminya dapat dipelihara dan dipertahankan!

Wasabi Oyabun..

Rabu, 6 November 2013

Pas bantah kenyataan Karpal?


Pas membantah kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menyarankan semua parti politik berasaskan kaum dan agama termasuk Pas yang merupakan sekutu rapat DAP dibatalkan pendaftarannya.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kenyataan Karpal yang dianggap banyak pihak sebagai meludah ke langit setelah DAP sendiri dilihat merupakan parti cauvinis Cina, sebagai serius serta berbahaya.

Begitupun, Pas dilihat masih ‘takut-takut’ untuk mendesak Karpal dikenakan hukuman selepas Tuan Ibrahim sekadar menyerahkan perkara itu kepada DAP untuk memutuskan tindakan sewajarnya diambil.

Malah, Tuan Ibrahim juga langsung tidak berani menyentuh mengenai pendirian Pas untuk keluar daripada pakatan pembangkang meskipun kenyataan yang berunsur penghinaan itu telah banyak kali dibuat pemimpin DAP.

“Walau bagaimanapun, parti mengakui kenyataan Karpal itu boleh merosakkan hubungan baik antara Pas dan DAP selain menjejaskan sokongan rakyat kepada pakatan pembangkang.

“Pas sangat kesal dengan kenyataan yang tidak berasas ini yang memperlihatkan betapa Karpal gagal memahami perjuangan Pas. Karpal sepatutnya mengemukakan fakta, bukan mengeluarkan kata-kata ikut sedap hati," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Karpal menegaskan, parti politik termasuk Pas serta pertubuhan profesional yang berteraskan kaum dan agama tidak sesuai diamalkan di negara ini kerana beliau menganggap perkara itu berbahaya kepada Malaysia.

Sebelum ini, Karpal telah berulang kali mempersenda dan memperkecil Pas termasuk mencabar parti itu melangkah mayatnya terlebih dahulu jika berhasrat mahu mewujudkan negara Islam atau melaksanakan hukum hudud.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut membandingkan kewujudan parti Pas dengan kenyataan yang dibuat Karpal.

“Apakah bahaya perjuangan Pas bagi masyarakat majmuk di Malaysia? Nilai sendiri pemerintahan Pas di Kelantan, Terengganu dan Kedah dari segi perpaduan menjaga hak Muslim dan bukan Muslim. Apakah bukan Islam dipinggirkan," katanya.

Wasabi Oyabun..

Kubu Pas semakin retak?

TIMBALAN Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat memorandum sokongan pengundi Cina terhadap Barisan Nasional pada majlis perjumpaan kaum Tiong Hwa tersebut di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah, baru-baru ini.

Sebelum ini, Pas begitu mendabik dada kononnya, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau merupakan salah satu daripada dua kubu terkuatnya di Kedah, selain DUN Tokai.

Bagaimanapun, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau kelmarin membuktikan, hakikatnya kawasan itu bukanlah kubu kuat Pas.

Selama ini Pas bertahan hampir lima penggal di situ kerana Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak. Politik damai yang beliau pelopori telah membolehkan Allahyarham diterima oleh seluruh lapisan masyarakat di Sungai Limau.

Malah apa yang menarik bukan sahaja ahli Pas menyokong Allahyarham, malah bekas Menteri Besar Kedah itu turut meraih undi daripada penyokong Barisan Nasional (BN) dan atas pagar.

Keadaan itulah yang memungkinkan Sungai Limau dianggap kubu Pas tetapi apabila Azizan kembali ke rahmatullah, kekuatan Pas di situ tergugat. Sebab itulah sepanjang kempen PRK DUN Sungai Limau, Pas cuba memainkan sentimen Allahyarham Azizan.

Bagaimanapun, pengundi-pengundi khususnya orang Melayu tidak mudah terperangkap dengan helah tersebut apatah lagi ada antara pemimpin Pas yang turun berkempen di situ pernah menyusahkan Allahyarham ketika Allahyarham menjadi Menteri Besar.

Kesudahannya, Pas yang bercita-cita untuk memperolehi majoriti sekurang-kurangnya 2,000 berbanding 2,774 undi yang diperolehi oleh Allahyarham dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ternyata hampa apabila hanya mendapat 1,084 undi.

Berikutan keputusan itulah, ketika singgah minum pagi di sebuah warung di Yan Kechil, kelmarin penulis terdengar sekumpulan penyokong tegar Pas bersungut.

''Orang dah cakap ambik (ambil) umpan saja, bukannya makan mata kail, menang pun kalau majoriti macam tu buat malu saja, awatlah (kenapa) depa (mereka) ni tak pandai sangat'' kata salah seorang daripada mereka.

Penulis percaya, perbuatan itu berkisar dengan perolehan undi Pas memandangkan, parti itu begitu yakin bahawa pengundi-pengundi Cina akan terus menyebelahi mereka seperti PRU-13.

Tetapi sekali lagi, ramalan Pas meleset apabila pengundi Cina membuat keputusan memilih BN.

Bagaimanapun BN tidak boleh selesa dengan keadaan itu kerana sudah ada cakap-cakap sebelum hari pengundian bahawa pengundi Cina mungkin akan memberikan undi mereka kepada BN dalam usaha untuk menjaga hubungan dengan kerajaan negeri yang dipimpin oleh parti itu.

Bagi mereka, Sungai Limau hanyalah pilihan raya kecil dan bukannya pilihan raya umum, oleh itu tidak rugi apa-apa jika tindakan menyokong BN dilakukan.Namun begitu apa yang menjadi tumpuan bagaimana peningkatan undi orang Melayu kepada BN yang diwakili oleh UMNO. Ternyata orang Melayu semakin bimbang dengan corak politik Pas terutamanya sekali hubungannya dengan DAP.

Faktor ini menjadi penyumbang terbesar kepada perolehan undi BN, justeru biar pun kalah BN hakikatnya berjaya 'meretakkan' satu lagi kubu Pas di Kedah.

Perolehan undi majoriti 1,084 undi oleh calonnya, Mohd.Azam Abdul Samat membuktikan Sungai Limau tidak boleh lagi diiktiraf sebagai kubu Pas. Ia memandangkan dalam senario politik sekarang, mana-mana parti yang menguasai majoriti di bawah 1,500 undi, bila-bila masa sahaja boleh tumbang dalam pilihan raya.

Mengulas kejayaan ini, Exco Pemuda UMNO Mohd.Rafiq Naizamohideen berkata, ia menunjukkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak di peringkat pusat dan Datuk Mukhriz Tun Mahathir di peringkat negeri.

''Walaupun BN tidak berjaya merampas kerusi DUN itu yang merupakan kubu kuat Pas, kejayaan mengurangkan majoriti Pas daripada 2,774 undi kepada 1,084 undi iaitu pengurangan sehingga 1,690 undi adalah kejayaan besar buat BN,'' katanya ketika dihubungi.

Pencapaian tersebut adalah hasil kerja keras jentera BN khususnya dari seluruh negara ketika jentera tempatan dilihat tidak banyak membantu.

Selain kehadiran anggota Majlis Tertinggi termasuk anggota Kabinet yang sanggup turun padang membantu calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim, penghargaan tertinggi perlu diberikan kepada kepimpinan sayap UMNO.

Kegigihan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Naib Ketua Puteri UMNO Zahida Zarikh Khan yang 'berkampung' di Sungai Limau berjaya menambah jumlah undi yang diperolehi oleh BN.

Ketiga-tiga mereka sanggup meredah semua kawasan di DUN tersebut biar pun terpaksa mengharungi lumpur dan batas sawah semata-mata untuk menemui pengundi.

Ketekunan itu ditambah pula dengan kesungguhan Mukhriz yang ternyata mempunyai pengaruh cukup besar dalam kalangan pengundi. Kehadiran beliau di kawasan-kawasan kubu kuat Pas disambut mesra. Keadaan itulah juga yang membolehkan BN menambah undi atas faktor 'aura Mukhriz'.

Malah kejayaan BN merentap peluang Pas untuk memperolehi lebih banyak undi majoriti dianggap pengiktirafan rakyat kawasan itu terhadap kepimpinan Mukhriz.

Semua keadaan ini harus memberi peringatan kepada Pas bahawa mereka masih 'berkuasa' di Sungai Limau kerana sokongan pengundi tegar mereka dan sedikit sumbangan pengundi atas pagar, tetapi orang Melayu semakin meninggalkan parti itu.

Bagaimanapun, BN sebenarnya boleh mencapai kemenangan jika tidak berlaku 'opera politik' dalam dalam pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat bahagian.

Biarpun masing-masing berhujah bahawa tiada persengketaan sesama mereka, namun semua itu hanyalah 'wayang politik' dan sikap hipokrit 'darjah tertinggi' hingga menyebabkan BN gagal meraih undi yang mencukupi sebagai persediaan untuk menampung undi yang tidak diperolehi memandangkan Pas mempunyai pengundi tetap mereka.

Berdasarkan satu sumber, jentera pilihan raya yang dikendalikan oleh individu tertentu tidak melancarkan kempen seperti mana yang diharapkan, biarpun di hadapan semua orang, mereka berdegar-degar berjanji akan memastikan kemenangan BN.

Dalam soal ini, BN perlu menjalankan siasatan rapi untuk memastikan pemimpin dan penyokong mereka yang bersedia menjadi 'duri dalam daging' dan 'gunting dalam lipatan' dikenakan tindakan sekeras-kerasnya.

Sebenarnya, Pas juga mempunyai masalah dalaman termasuklah sabotaj terhadap percetakan risalah calon mereka, malah semua orang tahu ada antara pemimpin utama mereka tidak 'berlaga angin'.

Tetapi biar pun kita mengetahui bahawa mereka juga bersikap hipokrit namun sikap itu tidak sampai menyebabkan Pas kalah. Sebaliknya, mereka bersedia mengenepikan persengketaan tersebut demi memastikan parti mencapai kemenangan. Bagaimanapun dalam UMNO ia berbeza, persengketaan berlanjutan sehingga rela melakukan perbuatan yang memungkinkan BN tewas.

Kesimpulannya, keputusan di Sungai Limau membuktikan BN bukanlah parti yang ditolak oleh rakyat termasuklah oleh sebahagian pengundi Cina, justeru perbaikilah kelemahan. Kemenangan pasti akan diperolehi jika sindrom pemimpin UMNO bersedia menjadi pengkhianat kepada parti sendiri dihapuskan, strategi politik lapuk ditinggalkan, jentera tempatan diperkasakan dan hanya kelompok pengundi yang tahu mengenang budi sahaja diutamakan.

Jika ini dapat dilakukan sudah pasti bukan sahaja di Sungai Limau malah di mana-mana juga kawasan, BN mampu mencapai kemenangan.

Wasabi Oyabun..