Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Selasa, 23 Jun 2015

MB tak bantu, penduduk mohon ihsan Sultan?


"Kami mohon campurtangan Sultan Selangor untuk selesaikan masalah ketiadaan air di tempat kami di Semenyih. Sudah puas kami merayu pada Menteri Besar (MB), dah banyak kali tersiar di akhbar dan televisyen tetapi tak ada siapa yang datang meninjau masalah kami."

Itu kata putus Ahli Jawatankuasa Bertindak Air Semenyih, Ramli Matnoor (gambar kecil) berhubung masalah air yang terpaksa ditanggung penduduk setempat sejak beberapa tahun lalu.


"Melihatkan tiada respons positif dari MB, saya sifatkan dia tak minat nak dengar masalah penduduk.

"Kami malah pernah hantar memorandum di pejabat MB namun masih tidak berjawab. Kalau dah bukan MB boleh kami rujuk, maka Sultan sahajalah yang ada untuk membantu masalah kami," kata Ramli.


Tambahnya, masalah ketiadaan air di Semenyih bukannya baharu tetapi telah banyak tahun berlaku. "Saya amat berharap agar pihak Sultan sedia datang ke Semenyih dan bantu hamba rakyat di kawasan ini," ujarnya.

Wasabi Oyabun...

Sabtu, 20 Jun 2015

Berakhirkah pakatan rakyat?

TINGGAL KENANGAN ... DAP secara unilateral mengumumkan pada 16 Jun lalu bahawa Pakatan Rakyat telah berakhir. Hakikatnya, hubungan Pas dan DAP telah menghadapi pelbagai masalah sejak dari dahulu lagi.

Ramai pemerhati politik melihat BN pasti menghadapi tentangan paling sengit dan berisiko tinggi dalam PRU-14 akan datang jika PR terus kuat dan memperlihatkan keupayaan mentadbir beberapa negeri yang dimenangi dengan baik sehingga meningkatkan keyakinan rakyat ke atas mereka dalam mentadbir negara.

Namun, mungkinkah segala peluang itu terkandas apabila DAP secara unilateral mengumumkan pada 16 Jun lalu bahawa Pakatan Rakyat telah berakhir. Hakikatnya, hubungan Pas dan DAP telah menghadapi pelbagai masalah sejak awal lagi. Kedua-dua parti ini berjaya ditarik sedikit ke tengah melalui kerjasama politik dalam PR kerana masing-masing mahu menang pilihan raya dan menawan Putrajaya.

Selain itu kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya melunakkan perbezaan fahaman di antara kedua-dua parti tersebut. Anwar dan kemudiannya DAP sama-sama mencuba untuk melentur dan mengubah dasar perjuangan Pas supaya lebih ke tengah dan berubah daripada Islam konservatif kepada Islam yang lebih liberal dan pragmatis.

Matlamat dan peranan ini diserahkan kepada sejumlah barisan pemimpin Pas berpendidikan sekular yang menamakan diri mereka sebagai kelompok profesional dalam Pas.

Musuh-musuh politik mereka pula menggelarkan mereka sebagai kelompok Anwarinas dalam Pas. Kelompok ini telah dilunakkan dengan ghanimah politik dan ekonomi apabila jatuhnya Putrajaya ke tangan pembangkang dalam PRU nanti.

Kelompok profesional atau Anwarinas inilah yang telah mengakibatkan tersingkirnya Nasharudin Mat Isa dan Hasan Ali dari barisan kepimpinan Pas.Kelompok inilah juga menjadi punca tercetusnya ketegangan, konflik, dan kemudiannya perpecahan dalam Pas sehingga Presiden Pas dan kelompok agama dan pro ulama dalam Pas dipertikai dan dicabar habis-habisan secara terang-terangan.

Kemuncaknya, Muktamar Pas 2015 menyaksikan satu pertembungan bersejarah yang belum pernah berlaku dalam sejarah lebih 50 tahun Pas. Muktamar Pas 2015 menjadi saksi kepada pertembungan kalah mati kelompok ulama dan profesional/Anwarinas yang sekali gus menentukan hala tuju Pas di masa depan. Ahli-ahli Pas telah memilih kelompok ulama dan sekali gus berjaya mengelakkan Pas dirampas kelompok profesional/Anwarinas.

Pas kini telah berpecah, kelompok yang kalah nampaknya tidak berminat untuk bersama dengan kelompok ulama meneruskan perjuangan Pas di bawah kepimpinan ulama. Mereka mahukan Pas yang lebih liberal dan pragmatis. Ulamak membawa Pas ke arah konservatisme dan agenda Islamisme yang tegas.

Keputusan pemilihan Pas 2015 inilah yang memberikan dampak besar ke atas Pakatan Rakyat sehingga mendorong DAP melalui Lim Guan Eng mengumumkan pakatan itu sudah terlerai. DAP sama sekali tidak dapat menerima arah aliran konservatisme Islam dan agenda hudud yang di bawa oleh kepimpinan ulama dalam Pas.

Kepimpinan ulama diketuai Datuk Seri Abdul Hadi Awang ternyata tergamam dengan langkah sebelah pihak DAP apabila mengumumkan PR telah berakhir. PKR pula bukan setakat tergamam malah terperangkap di Selangor.Kerajaan PR di Selangor pimpinan Azmin Ali pasti tumbang jika tanpa sokongan Pas.

Ribut kuat

Parti itu dan DAP masing-masing mempunyai 15 kerusi di Selangor. Manakala PKR hanya mempunyai 12 kerusi, sama dengan kerusi yang dimiliki BN. Satu lagi kerusi bebas milik mantan MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang telah disingkirkan dan dipecat dari PKR.

DAP melalui ketuanya di Selangor, Tony Phua, telah memberi kata dua kepada PKR Selangor. Pilih kami atau pilih Pas. Ternyata ini satu pilihan sukar buat Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor. Beliau yang baru setahun jagung menjadi Menteri Besar tidak bersedia kehilangan jawatan dan kedudukannya di Selangor.Sudah ada yang mencadangkan beliau menasihatkan istana bagi membubarkan DUN Selangor.Azmin nampaknya tidak bersedia ke arah itu.

Pas dan PKR ternyata tidak mahu PR berakhir. Bagi Pas, jika ini berlaku sudah pasti tiada jaminan bagi mereka untuk mempertahankan dengan baik semua kerusi-kerusi yang telah dimenangi dalam PRU akan datang. PKR juga mempunyai pendirian yang sama atas alasan yang lebih kurang sama. Tanpa Pas, PKR sukar mendapat undi Melayu yang mereka perlukan.Pas pula sangat memerlukan undi Cina dalam menghadapi UMNO.

Kebanyakan kerusi yang Pas tandingi adalah menentang UMNO. Hanya DAP dapat memberikan undi Cina yang Pas perlukan.Atas faktor inilah Pas masih mahu bersama PR. Bekas Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustapa Ali malah menolak kenyataan bahawa PR telah mati. Sebaliknya bagi beliau PR hanya “pengsan” seketika kerana ribut kuat yang melanda gabungan tersebut khususnya hubungan tegang antara Pas dan DAP.

Selain mempertahankan kuasa mereka di Selangor, PKR juga perlukan undi Pas kerana terdapat sejumlah kawasan bandar dan separa bandar yang mereka harus bertembung dengan UMNO dan komponen BN.

Undi penyokong Pas penting bagi mereka di kawasan-kawasan ini walau pun mereka cukup yakin dengan undi Cina yang mereka telah menangi setakat ini. Bagi DAP pula, mereka sangat selesa dengan undi Cina yang mereka kuasai setakat ini kerana mereka bertanding di kawasan bandar atau separa bandar yang mana masyarakat Cina membentuk majoriti pengundi di situ.

DAP tidak begitu perlukan Pas dalam mempertahankan kerusi-kerusi majoriti Cina yang dimenangi sejak dua PRU lalu. Mereka boleh mengalahkan MCA dan Gerakan di kawasan bandar dengan mudah walaupun tanpa undi penyokong PAS.

Ternyata DAP mampu berdikari. Kerajaan DAP di Pulau Pinang langsung tidak tergugat walaupun tanpa Pas. Jelasnya, kuasa tawar-menawar DAP dalam PR jauh lebih baik berbanding kuasa tawar menawar Pas dan PKR. Penguasaan ke atas undi Cina memberikan kelebihan ini kepada DAP. Justeru itulah DAP secara bersendirian berani mengisytiharkan PR telah berakhir.

Apakah matlamat DAP apabila membuat perisytiharan ini? Inilah perkara yang harus kita fahami dalam melihat masa depan PR dan politik pembangkang di Malaysia.Sebagai parti yang mempunyai kuasa tawar-menawar yang lebih baik dan jumlah kerusi Parlimen lebih banyak (38 kerusi) berbanding PKR (30 kerusi) dan PAS (21 kerusi) dalam PR, DAP mahu memastikan Pas mengikut kehendaknya jika ingin kekal bersama dalam PR.

Ini bermakna, tiada hudud dan tiada agenda undang-undang syariah Islam yang Pas boleh ketengahkan jika mahu kekal dalam PR. DAP mahu Pas berpegang kepada Buku Jingga dan agenda Negara Berkebajikan yang dibawa oleh PR sejak PRU-13 lalu.

Talian hayat PR boleh disambung semula jika Presiden Pas bersedia sekali lagi berkompromi dalam perkara ini sekali gus mengenepikan agenda perjuangan Pas dan kembali kepada keadaan sebelum kerajaan Kelantan meluluskan pindaan Kanun Jenayah Syariah.

Abdu Hadi perlu membatalkan hasratnya membawa cadangan rang undang-undang persendirian pindaan ke atas Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993. Inilah perbezaan utama yang membelenggu hubungan politik antara Pas dan DAP. Pas tidak boleh meneruskan hasratnya membawa rang-rang undang-undang persendirian bagi membolehkan undang-undang jenayah syariah dilaksanakan di Kelantan.

Pas kini menghadapi pilihan sukar yang perlu mereka lakukan. Pilih agenda Islam atau survival bersama Pakatan Rakyat. PKR juga pastinya akan memberikan tekanan yang sama ke atas Pas demi Selangor dan Putrajaya. Tepuk dada tanyalah Iman. Jika Pas terus memilih agenda Islam, maka DAP kelihatannya sudah mempunyai pilihan baru untuk menyambung nyawa Pakatan Rakyat.

PasMa telah sedia menanti untuk disunting menjadi galang ganti Pas dalam sebuah Pakatan Baru yang akan dibentuk jika Pas terpaksa meninggalkan Pakatan Rakyat. Inilah harga yang perlu dibayar oleh Pas jika ingin teruskan dengan agenda Islam mereka.

DAP sebetulnya telah membrikan “ultimatum” kepada Pas apabila mengisytiharkan Pakatan Rakyat telah berakhir. Pilih Pakatan Rakyat atau keluar daripadanya dan teruskan agenda Islam di luar PR. Tidak sukar meramalkan apa yang akan berlaku selepas ini walau apa juga pilihan yang diambil oleh Pas.-UMO

Wasabi Oyabun...

Jumaat, 19 Jun 2015

Lepas tiada jawatan dalam parti, baru nampak 'pandai' sikit...!!! Mahfuz mahu kerjasama atau bubar DUN?


Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Selangor perlu dibubarkan dan pilihan raya negeri (PRN) perlu diadakan sekiranya Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih gagal memilih sama ada hendak bersama Pas atau DAP dalam meneruskan kelangsungan menerajui negeri tersebut.

Bekas Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, PKR tidak boleh memilih kedua-duanya dengan membentuk kerajaan campuran kerana sudah jelas sebelum ini bahawa DAP dan Pas masing-masing telah memutuskan hubungan sesama sendiri serta tidak boleh bekerjasama lagi.

Tambahan pula, katanya, perkara itu jika terus berlaku akan me­nimbulkan persepsi hipokrit dalam kalangan rakyat sekali gus menghilangkan rasa hormat dan kepercayaan mereka terhadap ketiga-tiga parti.

“PKR tiada jalan lain selain membuat pilihan. Pas dan DAP pula perlulah bersikap terbuka, kalau PKR pilih DAP, maka Pas perlu berundur dan begitulah sebaliknya.

“Itu sahaja jalan hendak menyelamat kerajaan negeri Selangor, jika tidak maka kita terpaksa bubar DUN Selangor dan adakan pilihan raya,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang turut ditemui di lobi Parlimen bahawa kerajaan Selangor masih boleh diselamatkan dengan pembentukan kerajaan campuran antara PKR, DAP dan PAS.

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR berkata, walaupun secara rasmi pakatan pembangkang tidak lagi wujud, namun ketiga-tiga parti masih boleh bekerjasama bagi memenuhi matlamat sama untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN).

“Cuma dalam keadaan sekarang, kita tidak terikat dengan mana-mana peraturan yang formal atau doktrin berbanding sebelum ini.

“Hubungan ketiga-tiga parti akan menjadi seperti sebelum 1 April 2008 iaitu ketika pakatan pembangkang dibentuk,” kata­nya.

Mengikut jumlah kerusi DUN di Selangor, PKR bukanlah parti dominan apabila hanya memiliki 13 kerusi berbanding DAP dan Pas yang masing-masing mempunyai 15 kerusi.

Wasabi Oyabun...

Khamis, 4 Jun 2015

Muktamar Pas: Pesuruhjaya PAS Perak Dedah “Rahsia” Ahmad Awang?


IPOH – Ketokohan calon jawatan Presiden Pas, Ahmad Awang belum mampu menandingi kredibiliti penyandangnya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang khususnya mengetuai perjuangan parti.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, tanpa niat mahu memperkecilkan harapan Ahmad, namun rekod membuktikan bekas Pesuruhjaya Pas Perak itu antara individu yang pernah ‘menghilangkan diri’ selepas Perak kembali diperintah BN.

“Tempoh 11 bulan pada masa itu kita memerintah tetapi tak nampak pun peranan atau track record dari sudut kepimpinan dimainkan Ahmad, bukan saja untuk Pas bahkan dalam PR pada masa itu di Perak.

“Apabila Perak jatuh semula kepada BN, beliau (Ahmad) menghilangkan diri,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Beliau memberitahu, pengalaman Ahmad selaku bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM) selama 17 tahun juga, tidak setanding dengan kehebatan Abdul Hadi yang merupakan Naib Ketua Ulama Dunia.

“Selain menjadi rujukan politik Islam seluruh dunia, beliau turut diberi penghormatan untuk menyelesaikan masalah umat Islam di Timur Tengah dan Barat,” katanya.

Razman berkata, beliau turut tidak menolak kesediaan Ahmad bertanding jawatan presiden ada kaitan sokongan individu tertentu (tidak dinyatakan secara jelas) yang gagal menghuru-harakan parti.

“Mungkin terpengaruh dengan dakwaan bahawa Pas ingin bekerjasama dengan BN dan peletakan Ahmad selaku calon itu, kononnya bagi menghalang perkara tidak berasas itu dari berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Razman yang juga Yang Dipertua Pas Lenggong, mengulangi pendiriannya yang mahu Abdul Hadi kekal menerajui parti itu biar pun terdapat suara sumbang mahu mengetepikan kepimpinan ulama dalam Pas.

“Tiada kewajaran dan Islam juga menyebut selagi seseorang pemimpin itu menjalankan tanggungjawab atas nama Islam, maka kita wajib menyokong dan mengikuti arahannya,” katanya.

Suara Politik
Belantan