Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Jumaat, 31 Oktober 2014

Mohd Saiful Mangsa Deraan Seksual Anwar – Muhammad Shafee?


Ketua Pendakwaan, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah hari ini bahawa Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah mangsa penderaan seksual majikannya,  Anwar Ibrahim.

“Kata beliau, kes ini adalah kes penderaan seksual antara majikan dan pekerja iaitu antara Anwar dan
pembantu beliau, Mohd Saiful enam tahun lepas.

“Muhammad Shafee berkata, kes penderaan seksual tidak hanya berlaku kepada wanita tetapi juga kepada lelaki. Dalam kes ini Muhammad Shafee menegaskan Mohamad Saiful Bukhari mempunyai hak untuk mendapatkan pembelaan,” lapor wartawan Khairulanuar Yahaya dari Utusan Malaysia.

Ketika ditemui Muhammad Shafee berkata, beliau telah membentangkan kira-kira 20 peratus hujahan.

Hujahan balas akan bersambung pada Isnin dan Selasa.

Berikut adalah perkembangan yang berlangsung hari ini yang disediakan Astro Awani :

9.00 pagi: Anwar tiba di kamar mahkamah. Selepas menyapa kenalan terdekat di galeri awam, beliau berbincang sesuatu dengan Datuk Seri Gopal Sri Ram.

9.17 pagi: Barisan lima panel hakim masuk ke kamar mahkamah. Pendengaran penghujahan pihak pendakwa bermula.

9.20 pagi: Muhammad Shafee menyatakan bahawa hujah pembelaan Anwar banyak diselubungi idea tentang ‘konspirasi’ dari peringkat tinggi negara hingga ke pegawai kanan polis. Beliau yang menyifatkannya sebagai pertuduhan liar akan menghuraikan analisa berdasarkan fakta.

9.35 pagi: Shafee berkata, dalam usaha pihak pembelaan cuba menghidupkan sentimen konspirasi, banyak tuduhan dilemparkan pada rangkaian individu, daripada Perdana Menteri (sekarang dan terdahulu), doktor, pakar kimia hinggalah ke pegawai polis.

9.50 pagi: Muhammad Shafee berhujah tentang isu pengadu iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan yang dikatakan sebagai saksi yang tidak boleh dipercayai dan kurang berpendidikan.

Shafee berkata, jika benar seperti yang dikatakan, mengapakah ketika menjadi pembantu peribadi Anwar, Saiful memegang tanggungjawab besar seperti membantu penyediaan dokumen rasmi, menjaga temu janji dengan orang kenamaan, menyimpan maklumat rahsia, menyertai urusan luar negara dan memegang telefon bimbit Anwar. Saiful juga diberi elaun yang besar ketika berurusan di luar negara.


10.00 pagi: Menurut Muhammad Shafee, semua keistimewaan yang diberi kepada Saiful itu adalah petanda mengenai hubungan yang cuba dibina oleh Anwar. Namun, Muhammad Shafee menimbulkan persoalan, dengan segala kelebihan itu, mengapakah Saiful menghantar surat berhenti kerja selepas lebih kurang 4 bulan bekerja, sedangkan sebelum itu dia pernah mengatakan dia menghormati dan menyanjungi Anwar.

10.10 pagi: Muhammad Shafee berhujah, atas sebab sanjungan yang tinggi diberikan kepada seorang majikan yang dominan daripada seorang ‘budak suruhan’ yang diberi pelbagai keistimewaan, sanjungan itu boleh bertukar menjadi rasa takut. Atas sebab itu, Mohd. Saiful telah dipergunakan.

10.20 pagi: Menjawab mengenai hujah peguambela yang mempertikai percanggahan kenyataan Mohd Saiful tentang tempoh masa perlakuan liwat, Muhammad Shafee membalas, dengan memetik pengakuan pengadu, 5 minit adalah masa yang dianggarkan sewaktu aksi fizikal liwat itu terjadi, manakala lebih kurang 20 minit adalah merujuk kepada masa dia berada bersama Anwar dalam bilik tempat perlakuan itu terjadi.

10.25 pagi: Shafee membacakan semula turutan pengakuan Saiful dan kronologi perlakuan liwat di tempat kejadian, diikuti cara Anwar memujuknya kemudiannya dengan bercakap soal agama, pahala dan dosa.

10:30 pagi: Shafee memberitahu berdasarkan banyak kes seksual yang melibatkan individu berpengaruh dan berdaya pujuk, mangsa akan mengalami sindrom di mana dia marah, mahu melarikan diri tapi tidak mampu berbuat demikian. Memetik testimoni Saiful, dia berasa takut.

10.40 pagi: Shafee seterusnya menyentuh tentang spesimen bahan bukti dalam bungkusan yang didakwa peguambela telah dibuka dan diganggu kandungannya. Contoh bungkusan itu juga dibawa dan ditunjuk kepada sidang mahkamah.

10.45 pagi: Hakim Tun Ariffin Zakaria meminta sesi pendengaran berehat sebentar.

11.10 pagi: Pendengaran disambung semula dan Shafee menerangkan tentang cara bungkusan itu dikedap dan ditanda, bagi menjawab dakwaan peguambela mengenai kandungan spesimen yang terjejas.

11.15 pagi: Shafee memberitahu mahkamah, kesemua spesimen yang diambil daripada Saiful dari Hospital Kuala Lumpur telah ditutup dan dibalut serta ditandatangani Dr. Seaw Shueu Feng dan Saiful sendiri.

Hanya bungkusan plastik besar yang menampung kesemua spesimen itu dibuka oleh Supt. Jude Pereira, kerana mengikut prosedur, setiap satu spesimen tersebut perlu dibalut dan dilabel secara berasingan. Tiada kandungan spesimen yang dibuka, diambil atau terjejas.

11.30 pagi: Shafee menambah, perbuatan Jude tidak menjejaskan keadaan spesimen tidak dan hal itu disahkan oleh Dr. Seah dari HKL yang menerimanya pada 30 Jun.

Kata Shafee, sampel Anwar pula dihantar pada 17 Julai dan diterima oleh ahli kimia Noraidora Saedon.

Hal itu sekali gus menafikan kemungkinan sampel spermatozoa Anwar diambil dan diletakkan pada bahan bukti kerana ia berlaku pada tarikh, masa dan tempat berbeza.

12.10 tengah hari: Shafee kemudian menekankan bahawa Jude tidak terlibat dalam mengganggu bahan bukti seperti yang didakwa selain menambah pegawai kanan polis itu turut memastikan spesimen berkenaan disimpan di dalam bilik yang berhawa dingin.

12.15 tengah hari: Hakim Tun Ariffin menangguhkan prosiding sehingga ke hari Isnin. Ia akan berlangsung selama setengah hari dan disambung pula ke Selasa iaitu sepenuh hari.

12.40 tengah hari: Anwar sempat berlari-lari anak ke pekarangan mahkamah untuk bertemu penyokongnya. Anwar meyakinkan mereka bahawa segala yang dihujah oleh Shafee adalah ulangan manipulasi dan fitnah serta ia meminta penyokongnya terus bersama dan berdoa supaya beliau dibebaskan.


Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mengetuai panel lima hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Anwar diwakili 14 peguam diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan.

Peguam lain ialah Ramkarpal Singh Deo, Sangeet Kaur Deo, N.Surendran, R.Sivarasa, J.Leela, Latheefa Koya, Lim Choon Khim, Eric Paulsen, Michelle Yesudas, Shahid Adli Kamaruddin, Zaleha Al-Hayat, Jeremy Vinesh Anthony dan Mohamed Aliff Bolkin.

Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan itu.

Beliau dibantu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman lima tahun penjara terhadap Anwar, 67, bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 26 Jun 2008.

Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Wasabi Oyabun..

Anwar mula angkuh - Jawapan pasukan pendakwa raya sekadar kenyataan politik?


Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menjangkakan pasukan pendakwa raya mampu menjawab kesemua keterangan dibangkitkan peguam bela dalam rayuan kes liwatnya, namun mendakwa ia sekadar kenyataan politik.

"Saya fikir apa pun boleh dijawab, termasuk cadangan Peguam Negara dan pendakwa raya untuk tambah hukuman, tetapi ini semua (jawapan yang bakal diberi hanya) kenyataan politik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di hadapan Bilik Bicara 1, Mahkamah Persekutuan Istana Kehakiman di sini, sebentar tadi.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR (KETUM) turut mendakwa pasukan peguam bela yang mewakilinya sudah memberikan perincian hujah yang kukuh.

"Saya kira (hujah yang diberikan dibuat) sebaik mungkin yang kita boleh harapkan.

"Saya tidak fikir munasabah untuk mendapat keputusan sebaliknya, iaitu melepaskan saya daripada tuduhan fitnah jahat ini," katanya.

Wasabi Oyabun..

Rabu, 29 Oktober 2014

Perhimpunan cuba raih simpati terhadap Anwar tidak dapat sambutan?

Perhimpunan untuk raih simpati terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di kawasan Mahkamah Persekutuan sudah tidak mendapat sambutan apabila jumlah yang hadir, di Putrajaya hari ini.

Persekitaran di hadapan Istana Kehakiman hari ini kelihatan lengang apabila hanya sebilangan penyokong Anwar Ibrahim berkumpul di sini sejak awal pagi bagi mengikuti prosiding rayuan akhir kes liwat Ketua Pembangkang tersebut.

Tinjauan pemberita pada pukul 9 pagi mendapati hanya terdapat kira-kira 50 penyokong Anwar berkumpul hari ini.

Prosiding rayuan kes liwat Ahli Parlimen Permatang Pauh itu hari ini memasuki hari ketiga dan sepatutnya berakhir semalam serta dijangka berterusan sehingga esok.

Kehadiran hampir 400 penyokong Anwar semalam dengan menganjurkan perhimpunan tanpa permit telah mencetuskan beberapa provokasi termasuk merempuh penghadang besi yang diletakkan di hadapan Istana Kehakiman bagi memasuki lobi utama Mahkamah Persekutuan.

Dalam pada itu, Anwar tiba di Mahkamah Persekutuan pada pukul 9.15 pagi ini bagi merayu sabitan penjara lima tahun setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan pada Mac lalu berhubung dakwaan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Sementara itu, tinjauan juga mendapati kawasan di tepi Istana Kehakiman telah dipasang pita kuning bagi menghalang penjaja berniaga di kawasan itu.

Langkah tersebut ekoran terdapat beberapa penjaja kecil mula berniaga tanpa kebenaran di kawasan itu sejak kelmarin.

Turut diletakkan notis `Dilarang menjaja tindakan kompaun dan sitaan UUK3 Akta Kerajaan Tempatan’.

Semalam, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat memberi amaran kepada penjaja yang membuka gerai makanan dan minuman tanpa kebenaran PPj di situ supaya menghentikannya sebelum pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang.

Wasabi Oyabun..

Pasukan pendakwaan kemuka hujah esok - Muhammad Shafee?


Pasukan pendakwaan rayuan akhir kes liwat Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan di sini akan mengemukakan hujah balasan esok.

Ketua Pendakwaan, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah berkata, pasukan yang akan diketuai beliau dijangka akan memulakan hujah pada 2.30 petang.

“Peguambela Anwar, Ramkarpal Singh mungkin akan mengambil masa untuk mengemukakan hujah. Saya mungkin tidak mula dengan keterangan-keterangan saintifik.

“Mungkin yang lain. Hujahan bukti saintifik saya akan kemukakan pada hari Jumaat dan akan habis dalam masa dua jam,” kata Muhammad Shafee yang ditemui sebaik sahaja prosiding hari kedua tamat kira-kira 5 petang ini.

Hari ini panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria mendengar sambungan hujahan peguam berkaitan kes liwat melibatkan Anwar.

Turut mendengar hujahan rayuan adalah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif bersama-sama tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abdul Hakim Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramli Ali.

Wasabi Oyabun..

Isnin, 27 Oktober 2014

Rabu, 26 Mac 2014 - Mahkamah Putuskan Anwar Cenderung Melakukan Homoseksual?


PUTRAJAYA 26 Mac - Mahkamah Persekutuan di sini menolak permohonan semakan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim untuk memadam satu perenggan dalam penghakiman bertulis Mahkamah Persekutuan terdahulu dalam kes liwat melibatkan bekas pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar yang diputuskan sembilan tahun lalu.

Dalam penghakiman bertulis tersebut, tertera beberapa kes yang menyatakan Anwar mempunyai kecenderungan melakukan homoseksual bersama Azizan pada ketika itu.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin sebulat suara menolak permohonan semakan Anwar untuk memadamkan kenyataan berkenaan daripada penghakiman majoriti yang diputuskan sembilan tahun lepas oleh Hakim Mahkamah Persekutuan ketika itu Tun Abdul Hamid Mohamad.

Abdul Hamid, yang kemudian dilantik Ketua Hakim Negara dan bersara pada 2008, dalam keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Persekutuan pada 2 Sept 2004, membebaskan Anwar terhadap tuduhan meliwat bekas pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar di Tivoli Villa, Kuala Lumpur pada 1994.

Dalam keputusannya hari ini, Hakim Zulkefli berkata Abdul Hamid berhak membuat kenyataan itu ketika menyampaikan keputusan majoriti berkenaan kerana terdapat bukti yang mencukupi pada rekod untuk mewajarkan ulasan itu.

Beliau berkata penghakiman majoriti itu menerima bahawa kejadian seksual itu sebenarnya telah berlaku tetapi ada keraguan bilakah kejadian itu berlaku.


Hakim Zulkefli berkata keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan membebaskan Anwar itu adalah berdasarkan fakta bahawa tarikh kesalahan itu tidak dibuktikan dan tiada pada bila-bila masa mahkamah memutuskan kesalahan seksual itu tidak berlaku.

"Pada pandangan kami, keputusan yang dicapai dalam penghakiman majoriti di dalam kenyataan yang mahu dibuang itu sebenarnya berdasarkan bukti yang ditemui di dalam rekod rayuan.

"Sehubungan itu kenyataan berkenaan tidak boleh disebut sebagai 'pendapat peribadi' hakim berkenaan yang memutuskan keputusan majoriti," katanya.

Anwar berkata kenyataan yang menjadi persoalan di dalam penghakiman majoriti itu harus dikeluarkan kerana ia adalah pendapat peribadi Abdul Hamid dan bukan merupakan asas untuk penghakiman majoriti.

Kenyataan yang Anwar mahu keluarkan ialah "kami mendapati wujud keterangan yang mengesahkan perayu (Anwar dan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja) terlibat dalam aktiviti homoseksual dan kami cenderung untuk percaya bahawa insiden yang didakwa berlaku di Tivoli Villa itu benar-benar berlaku, kadang-kadang..."

Sukma Darmawan ialah adik angkat Anwar yang didakwa bersama-sama Anwar terhadap pertuduhan meliwat.

Hakim Zulkefli berkata Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan hujahan Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup bahawa kenyataan itu adalah sebahagian daripada proses analisis yang dijalankan Abdul Hamid ketika menimbangkan keputusan majoriti itu.

Beliau berkata jika mahkamah membenarkan permohonan Anwar, ia akan membuka peluang kepada pihak-pihak yang tidak berpuas hati untuk membuat permohonan sama untuk menyunting penghakiman mahkamah bagi memenuhi tujuan masing-masing.

"Pada pandangan kami ini dianggap mengganggu proses kehakiman, yang tidak dibenarkan," kata Hakim Zulkefli.

Beliau berkata permohonan Anwar bukan kes yang sesuai dan wajar bagi Mahkamah Persekutuan menggunakan bidang kuasa semakan di bawah Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 untuk mengeluarkan suatu perintah memadamkan kenyataan itu.

Empat lagi Hakim Mahkamah Persekutuan yang menganggotai panel itu ialah Datin Paduka Zaleha Zahari, Datuk Jeffrey Tan Kok Wha, Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Datuk Ramly Ali.

Pada 2 September 2004, Anwar telah dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan di sini apabila rayuannya dibenarkan bagi mengenepikan sabitan kesalahan meliwat.

Anwar telah terselamat dari hukuman penjara sembilan tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2000 atas kesalahan tersebut.

Wasabi Oyabun..

Ahad, 26 Oktober 2014

Liwat: Anwar berdepan empat kemungkinan?


Selepas tujuh bulan didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan, Anwar Ibrahim tiba di persimpangan terakhir yang akan menentukan nasibnya.

Dalam prosiding selama dua hari bermula Selasa ini, Mahkamah Persekutuan akan mendengar ra­yuan Ketua Pembangkang itu untuk mengetepikan hukuman dan sa­bitan salah tersebut. Selain rayuan Anwar, mahkamah akan mendengar rayuan balas pihak pendakwaan yang berusaha untuk menambah hukuman penjara tersebut.

Anwar , 67, dijatuhi hukuman penjara lima tahun setelah disabit bersalah meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 29, oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan dan membebaskan Anwar daripada tuduhan itu pada 9 Januari 2012.

Menurut Seksyen 94 (1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, Mahkamah Persekutuan boleh membuat keputusan serta-merta selepas selesai mendengar rayuan akhir Anwar itu atau menetapkan tarikh baharu untuk berbuat demikian.

Serta-merta atau tidak, Anwar mungkin mengharapkan tuah yang diperoleh pada 2 September 2004 apabila dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan daripada kes liwat pertama akan berulang semula.

Ini kerana, sekiranya Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan, tiada lagi ruang untuk Ahli Parlimen Permatang Pauh itu merayu dan beliau juga terpaksa melepaskan kerusi Parlimen yang disandangnya kini.

Mahkamah Persekutuan boleh sama ada:

* Melepas dan membebaskan Anwar daripada sabitan dan hukuman penjara yang dikenakan ke atasnya.

* Mengekalkan sabitan dan hukuman.

* Mengekalkan sabitan dan meminda hukuman penjara yang telah dijatuhkan (sama ada mengurangkan atau menambah tempoh pemenjaraan. Tempoh penjara maksimum bagi kesalahan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan ialah penjara 20 tahun dan sebat)

* Mengarahkan kes liwat itu dibicarakan semula.

Bagaimanapun, untuk mengarahkan kes liwat itu kembali dibicarakan di Mahkamah Tinggi bukanlah sesuatu yang mudah walaupun hal ini pernah berlaku dalam beberapa kes yang lain.


Untuk membolehkan sesebuah kes itu dibicarakan semula, Mahkamah Persekutuan perlu memastikan berlaku kesilapan yang sangat teruk dalam mentafsir sesuatu bukti dan kekhilafan dalam beban pembuktian (onus of proof).

Perlu diingatkan bahawa perbicaraan kes itu sendiri sebelum ini telah mengambil masa yang cukup panjang, bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya terpaksa dibicarakan sekali lagi.

Dari tempoh Anwar dituduh hingga hari pertama perbicaraan sahaja sudah mengambil masa hampir dua tahun.

Itu belum lagi ditambah dengan penangguhan demi penangguhan hampir 70 kali sepanjang perbicaraan berjalan atas pelbagai alasan dan permohonan.

Oleh itu, atas apa jua alasan, pendengaran rayuan yang ditetapkan Selasa dan Rabu ini akan memberi kesan kepada semua pihak tidak kira penyokong Anwar atau tidak, mahupun mereka yang langsung tidak ambil kisah mengenainya.

Anwar yang kini diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Wasabi Oyabun..

Rabu, 22 Oktober 2014

Nga Kor Ming Mengaku ‘White House’ Miliknya?


Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming akhirnya mengaku ‘White House’ yang sedang disebarkan di internet adalah miliknya.

Mengakui perkara itu, Kor Ming yang dihubungi pemberita mendakwa ada pihak tidak bertanggungjawab telah menggunakan gambar itu untuk menyerang peribadinya.

Menurutnya, pada Sabtu lalu, terdapat individu yang mengambil gambar rumahnya di Bandar Baru Tambun, Ipoh, untuk tujuan itu.

“Saya tahu individu berkenaan dan hantar gambar kepada pihak-pihak tertentu untuk cemar nama baik saya.

“Tindakan ini sudah melanggar undang-undang dan ganggu privasi saya. Malah gambar ahli keluarga saya turut didedahkan. Perbuatan ini meletakkan keluarga saya dalam bahaya,” katanya.

Menurut Kor Ming, tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil terhadap individu dan pihak-pihak yang melakukan perbuatan sedemikian.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengakui rumah berkenaan baharu saja diduduk dua minggu lalu.

“Kenapa mahu jadi isu. Saya tak boleh beli rumah ke? Bukannya saya beli cash (tunai). Saya pinjam bank dengan bayaran bulanan untuk tempoh selama 20 tahun.

“Sebagai bekas peguam senior dan wakil rakyat, takkan saya tak mampu nak beli rumah. Lagipun bukan harganya sehingga RM10 juta,” katanya.

Kor Ming berkata, isu berkenaan tidak melibatkan kepentingan awam malah beliau mendakwa rumah pemimpin-pemimpin BN lagi besar dan mewah.

Dua hari lepas, Edwin Michael, Pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman, Perak mendedahkan perbandingan White House kediaman Presiden Amerika Syarikat dengan satu ‘White House’ kediaman Kor Ming.

Turut didedahkan tiga kenderaan mewah dan 10 saman milik Kor Ming.




Wasabi Oyabun..

Sabtu, 18 Oktober 2014

Felda menang saman?


Felda dan sebuah anak syarikatnya hari ini memenangi kes saman terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan dua lagi berhubung penerbitan dua artikel berbaur fitnah terhadap agensi itu menerusi akhbar mingguan PKR, Suara Keadilan.

Pernyataan fitnah itu terkandung dalam artikel pertama bertajuk 'Felda Bankrap' yang diterbitkan pada 22 Jun 2010 dan artikel kedua berserta gambar bertajuk 'Kontroversi' dan 'Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga Individu' bertarikh 29 Jun 2010 yang diterbit dan diedarkan oleh akhbar parti pembangkang itu.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Kamaludin Md. Said ketika memutuskan demikian bagaimanapun memerintahkan supaya jumlah ganti rugi yang akan diterima Felda dan Felda Global Ventures Holdings Sdn. Bhd. (FGVH) ditaksirkan kemudian oleh Penolong Kanan Pendaftar.

Dalam saman tersebut Felda menuntut ganti rugi RM200 juta.

Pada 16 Ogos 2010, Felda dan FGVH memfailkan saman terhadap Wan Azizah, Senator Dr. Syed Husin Ali yang ketika itu Naib Presiden PKR; bekas editor Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib dan penulis artikel itu Rusnizam Mahat yang dinamakan sebagai pihak defendan atas dakwaan menyiarkan dua artikel yang memfitnah Felda dalam Suara Keadilan.

Bagaimanapun pada 30 September lalu, Dzulkarnain memohon maaf kepada Felda dan FGVH berhubung penerbitan dua artikel palsu itu dan diterbitkan dengan niat untuk memperkecilkan serta merosakkan reputasi mereka.

Dzulkarnain turut menyatakan tajuk utama 'Felda Bankrap' sengaja diterbitkan akhbar itu untuk mensensasikan isu berkaitan Felda.

Sementara itu, Hakim Kamaludin dalam penghakimannya hari ini menyatakan, Mahkamah Tinggi terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Felda menyaman bekas Timbalan Menteri Pembangunan Tanah dan Koperasi, Datuk Dr. Tan Kee Kwong iaitu Felda selaku badan berkanun berhak untuk memfailkan saman.

"Hak untuk menyaman dalam peruntukan itu mengikut Seksyen 15(1) Akta Pembangunan Tanah 1956 dan hanya boleh ditarik balik oleh Parlimen dan bukannya mahkamah," kata beliau ketika membacakan penghakimannya.

Beliau membuat keputusan itu selepas menolak isu awalan yang dibangkitkan oleh peguam Francis Pereira yang mewakili pihak defendan berhubung kapasiti Felda untuk memulakan tindakan saman iaitu Felda sebagai badan berkanun tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan saman tersebut.

Felda dalam pernyataan tuntutannya mendakwa penerbitan artikel-artikel itu boleh menjejaskan reputasinya dan defendan sengaja menyiarkannya untuk merosakkan kepercayaan dan keyakinan peneroka-peneroka Felda terhadap agensi itu.

Wasabi Oyabun..

Khamis, 9 Oktober 2014

Pemimpin pembangkang makin gelabah nasib Anwar?


Menjelang tarikh rayuan terakhir kes liwat Anwar Ibrahim pada 28 Oktober yang kini berbaki 19 hari, para pemimpin pembangkang kelihatan semakin 'gelabah' seolah-olah yakin Ketua Pembangkang itu akan ke penjara.

Tidak cukup dengan usaha Anwar melobi sokongan antarabangsa, para 'panglima' Ketua Pembangkang itu turut menggunakan Dewan Rakyat untuk memberi 'amaran' kepada mahkamah supaya jangan menjatuhkan hukuman ke atas Ahli Parlimen Permatang Pauh tersebut.

Dimulakan dengan Datuk Mohd. Idris Jusi (PKR-Batu Pahat), pembangkang bertindak seolah-olah keadilan hanya hak milik eksklusif Anwar seorang, manakala keadilan orang ramai khususnya mangsa liwat, Mohd. Saiful Bukhary Azlan seperti tiada nilai.

"Ini untuk ingatkan manusia yang tahu dosa pahala, yang tahu amanah, yang sedar setiap amal buat kita akan dinilai, insya-Allah akan dibayar 'cash on delivery' (tunai) di dunia ini. Kalau nanti Anwar dijatuhkan hukum lagi selepas perbicaraan 28 Oktober nanti.

"Saya hendak mengingatkan tuan-tuan semua. Ahli Berhormat semua ada 'cash on delivery' dari Allah (jika Anwar dipenjara)," katanya semasa mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Penjara (Pindaan) (No.2) 2014, di Dewan Rakyat hari ini.

Pada Mac lalu, panel tiga hakim diketuai Datuk Balia Yusof Wahi yang bersidang bersama-sama Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh sebulat suara mendapati Anwar bersalah meliwat Mohd. Saiful dan beliau dijatuhkan hukum penjara selama lima tahun.

Anwar, 67, disabit bersalah meliwat Mohd. Saiful iaitu bekas pembantu peribadinya di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Dalam pada itu, Teresa Kok (DAP-Seputeh) turut membangkitkan isu kemungkinan Anwar dipenjara selain turut mengaitkan ketegasan pihak berkuasa mendakwa pihak-pihak yang bertindak menghasut kononnya sebagai cubaan untuk memenjarakan pembangkang.

"Yang Berhormat, sekarang ini bukan sahaja Permatang Pauh mungkin dipenjara tapi semua didakwa di bawah Akta Hasutan hanya kerana tulis kenyataan di Facebook," katanya sebelum ditegur Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee.

Wasabi Oyabun..

Rabu, 8 Oktober 2014

Benarkah Azmin serang Khalid sebab 'tekanan'?


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak akan bertindak balas termasuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali yang terus `menyerangnya' selepas memegang jawatan itu.

Pegawai Khasnya, Faekah Husin berkata, Mohamed Azmin mungkin terpaksa berbuat demikian kerana mahu menyamai prestasi Abdul Khalid semasa menjadi Menteri Besar sebelum ini.

Selain itu jelasnya, perbuatan sedemikian juga dianggapnya sebagai lumrah dalam dunia politik.

"Saya tidak fikir Tan Sri (Abdul Khalid) akan berbuat demikian (ambil tindakan mahkamah) kerana banyak yang perlu dilakukan oleh Mohamed Azmin untuk setidak-tidaknya menyamai prestasi Tan Sri.

"Biarlah dia (Mohamed Azmin) buat kerja dia meskipun terpaksa mengada-adakan cerita untuk kelihatan hebat. Itu lumrah," katanya kepada Utusan Malaysia menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.

Dalam 'serangan' terbaharunya, Mohamed Azmin menempelak Abdul Khalid kerana dikatakan gagal mendedahkan hasil siasatan jawatankuasa khas untuk memantau perbelanjaan dana Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).


Beliau mendakwa Abdul Khalid telah berjanji untuk mengumumkan hasil siasatan dalam tempoh dua minggu selepas jawatankuasa yang terdiri daripada barisan Exco kerajaan negeri ditubuhkan pada 12 Februari lalu.

Jawatankuasa khas yang ditubuhkan di bawah pentadbiran Abdul Khalid itu bertujuan menyiasat dana perbelanjaan bagi pasukan bola sepak PKNS FC sebanyak RM9 juta setahun, program pembangunan usahawan sebanyak RM5 juta setahun dan perbelanjaan tanggungjawab sosial korporat sebanyak RM30 juta setahun.

Mohamed Azmin digugurkan daripada jawatan Ahli Lembaga Pengarah PKNS pada 10 Januari lalu dan sebelum itu, beliau agak lantang mengkritik dasar-dasar yang dilaksanakan di bawah pentadbiran Abdul Khalid seperti kenaikan elaun anggota pentadbiran kerajaan negeri dan pengurangan peruntukan pembangunan.

PKNS juga pernah dikaitkan dengan pelbagai kontroversi lain termasuk penukaran dua pegawai kanan PKNS iaitu Pengurus Besarnya, Datuk Othman Omar dan Setiausaha Eksekutifnya, Norita Mohd. Sidek ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) serta penamatan khidmat 30 kakitangan bertaraf kontrak.

Wasabi Oyabun..

Ahad, 5 Oktober 2014

Korban DAP?


Dalam media sosial sekarang kecoh cerita seorang gadis berpurdah, Jamila Rahim menyertai DAP. Langkah aktivis pakatan pembangkang berusia 22 tahun yang menulis novel, Pelacur Kelas Pertama ini mencetuskan polemik. Sila baca di sini.

Dia tidak memilih PKR, jauh sekali Pas kerana berasa DAP itu humanisme sifatnya dan lebih dekat dengan keadilan. Jumaat lalu, pengguna nama pena Melati Rahim bersama dua ‘awek cun’ DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud dan Young Syefura Othman ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Mereka ditemani oleh peguam yang juga Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching. DAP mahu SKMM mengambil tindakan terhadap tulisan dalam laman web yang memalukan ahli baharu parti ini.

Polemik tulisan "Melati, lebih baik jadi pelacur daripada sertai DAP" dan "DAP dan politik onani" dalam dua laman web berasingan itu berlaku di tengah-tengah kontroversi hubungan rakan sepakatan DAP, PKR dengan Pas.

Di Selangor, empat Exco daripada Pas ditohmah sebagai pengkhianat oleh DAP. Sehingga kini DAP belum menarik balik tohmahan itu walaupun dua daripada Exco tersebut dipilih semula dalam pentadbiran baharu Kerajaan Negeri Selangor.

Tidak tahulah bagaimana dua pengkhianat ini boleh bekerjasama dengan tiga lagi Exco DAP. Pas pula seperti tidak mampu mengambil apa-apa tindakan balas. Bayangkan apa yang akan berlaku jika pemimpin Pas secara konsensus membuat tohmahan yang sama ke atas pemimpin DAP.

Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang dikecam oleh Presidennya sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai ‘broker dan barua’ pula dijulang dan diraikan sebagai hero dalam satu majlis DAP.

Apakah mesej yang mahu disampaikan? ‘Dibuang’ daripada Pas, diraikan oleh DAP. Derhaka kepada Pas, disanjung oleh DAP. Buruk kepada Pas, baik kepada DAP. Pengertian soal nilai mereka ternyata sangat berbeza.

Kasihanlah seorang Nasrudin Hassan. Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dan Ahli Parlimen Temerloh ini dimalukan secara terbuka. Kritikannya yang mempersoalkan projek pembinaan terowong bawah laut Pulau Pinang berakhir dengan beliau disaman.

Sedangkan Nasrudin hanya mengkritik kecaman-kecaman berpilih yang ditujukan kepada pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mahu digugurkan oleh PKR dan DAP sebagai menteri besar.


Boleh dikecam

Jika Abdul Khalid boleh dikecam dan dikritik, kenapa tidak Guan Eng yang mentadbir Pulau Pinang. Begitu hujah Nasrudin. Beliau mahu prinsip adil dan saksama itu ditegakkan meliputi semua orang, bukan berpilih-pilih mengikut kepentingan tertentu.

Tetapi itulah yang berlaku. Setiausaha Agung DAP yang dinilai bersikap semakin angkuh sehingga digelar 'tokong' oleh kelompoknya sendiri lebih suka memilih tindakan saman berbanding penyelesaian secara bersahabat.

Guan Eng memang ada hak tetapi sebagai rakan sekutu, parti satu matlamat dan perjuangan, tindakan itu adalah janggal. Tentu sekali saman seperti ini tidak akan menakutkan pemimpin muda Pas itu. Beliau menyatakan kesediaan berdepan Guan Eng di mahkamah.

Kasihan juga kepada Iszuree Ibrahim. Bendahari Pas Pulau Pinang tidak diberi keadilan. Beliau disingkirkan semua jawatan dalam Jawatankuasa Tetap Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) begitu sahaja hanya kerana satu sebab - mengkritik Guan Eng.

Guan Eng selalu berpegang kepada prinsip tidak memberi reaksi terhadap laporan media tetapi kali ini Iszuree dikenakan tindakan hanya berdasarkan laporan portal. Iszuree mahu memberi penjelasan tapi tidak dilayan.

Sedangkan isu ‘kerajaan DAP propemaju’ yang dibangkitkan Iszuree dalam Muktamar Pas Ke-60 di Batu Pahat itu berkaitan kepentingan rakyat, orang Melayu dan bumiputera khususnya. Muktamar adalah forum sesuai apatah lagi sudah lebih setahun Pas memohon untuk bertemu ketua menteri bagi membincangkan isu pembangunan dan tanah tetapi tidak dilayan.

Mohamad Sabu yang juga rakan akrab Guan Eng pun tidak terdaya mempertahankan Iszuree. Tiada kenyataan tegas daripada ayam sabung Pas ini sedangkan beliau ialah Timbalan Presiden yang juga Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang.

Luahan rasa bertajuk ‘Malay first Malaysian second vs Chinese first the rest second’ Aspan Alias, bekas pemimpin UMNO yang menyertai DAP pada Januari 2012 dalam blog beliau pada 7 Jun 2014 barangkali boleh dijadikan ukuran.

Aspan menulis; "Di satu pihak yang lain mereka tidak bercakap tentang kaumnya, tetapi dalam praktiknya tindakan mereka sangat cauvinis dan tebal perkaumannya. Mereka hanya mahu berbincang sesama bangsanya sendiri sahaja dan orang Melayu hanya terima sahaja keputusan yang mereka buat tanpa menyoal apa-apa."

Melihat apa yang berlaku sekarang, ada benarnya analisis Aspan yang pasti bersandarkan pemerhatian dan penelitian beliau lebih setahun berada dalam rumah DAP. Siapa dan apakah lagi yang akan terkorban? Tidak mustahil korban pada masa depan lebih besar lagi.

Renungkan. Selamat Hari Raya Korban.

Wasabi Oyabun..

Rabu, 1 Oktober 2014

KETUM Anwar kekal Penasihat Ekonomi Selangor?


Ketua Umum (KETUM) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim dikekalkan sebagai Penasihat Ekonomi Selangor oleh Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali walaupun kerajaan negeri sebelum ini menutup secara rasmi pejabat itu berkuatkuasa 22 September lalu.

Menurut Mohamed Azmin, keputusan kerajaan negeri sebelum ini tidak menyatakan Anwar dipecat daripada jawatan tersebut sebaliknya hanya memaklumkan penutupan Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.

"Kita telah meneliti minit mesyuarat Exco kerajaan negeri yang lalu dan keputusan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (bekas Menteri Besar) sebelum ini adalah menutup Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor. Tidak timbul soal pemecatan Anwar daripada jawatan Penasihat Ekonomi negeri.

"Sekarang kita bincang semula fungsi dan peranan Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Selangor, maka sudah tentulah akan berikan kemudahan pejabat sesuai dengan peranan yang dimainkannya," jelas beliau dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pertama di sini hari ini.


Pengumuman Mohamed Azmin yang mengekalkan Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Selangor sudah dijangka susulan kritikan Penasihat PKR itu terhadap Abdul Khalid sebelum ini.

Pada 22 September lalu, Faekah Husin yang ketika itu masih memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) mengumumkan penutupan Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor di Plaza Perangsang di sni berkuat kuasa serta-merta pada tarikh berkenaan.

Menurut Faekah menerusi satu kenyataan, penutupan pejabat tersebut merupakan keputusan mesyuarat Exco yang dibuat atas perkiraan mengurangkan kos tidak mustahak yang ditanggung oleh kerajaan negeri selain mengelakkan pertindihan tugas di antara Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor dengan agensi pelaburan kerajaan negeri iaitu Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) sebelum ini.

Wasabi Oyabun..