Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Sabtu, 31 Julai 2010

Dua Tahun Yang Penuh Hipokrasi : Urusan Kewangan Negeri Kacau Bilau!

Setelah dua tahun memerintah, saya melihat Pakatan Rakyat meletakkan kedudukan kewangan negeri dalam keadaan "sakit" dan tidak terurus dengan baik.

Kelemahan Perancangan dan Bajet Defisit

Apabila Tan Sri Khalid Ibrahim mengambil alih kerajaan negeri, rizab tunai negeri Selangor berjumlah RM 1.4 bilion, jika tidak silap saya tertinggi dalam sejarah Selangor. Namun pada tahun 2009, Bajet kerajaan negeri telah defisit hampir RM 1 bilion.

Ini bermakna rizab tunai kerajaan negeri telah berkurangan dengan sangat banyak dalam tempoh dua tahun pemerintahan Pakatan di Selangor. Bajet defisit yang besar ini sekaligus menunjukkan bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai perancangan yang jelas dalam memperkukuhkan kewangan negeri.

Sejak dua tahun ini, tampak jelas perancangan kewangan dan ekonomi negeri hanya berasaskan pendekatan-pendekatan populis dan andaian pendapatan yang tidak berasaskan perkiraan yang cermat. Jika ia dilakukan secara bertanggungjawab tetapi pendapatan tidak mencerminkan anggaran, maka pasti ada kebocoran dan kelemahan yang sangat serius dalam jentera pentadbiran negeri.

Dalam ucapan Bajet 2009, Tan Sri Khalid dilaporkan berkata:

"Kerajaan Negeri telah menubuhkan Kumpulan Semesta Sdn Bhd sebagai syarikat kerajaan negeri yang memberi penumpuan kepada aktiviti perniagaan pasir pada tahun ini dan dijangka mampu membawa pulangan bernilai RM150 juta pada tahun hadapan berbanding dengan kutipan royalti bernilai RM20 juta pada tahun 2007."

Antara kebocoran dan kelemahan ketara ialah dari sudut pungutan hasil pasir yang sangat sedikit berbanding "andaian" kerajaan negeri. Kerajaan negeri menubuhkan Kumpulan Semesta untuk menguruskan hasil pasir dengan matlamat mengutip antara RM 150 - 200 juta setahun. Namun hasil pasir yang masuk kepada kerajaan negeri ialah sekitar RM 5 juta sahaja.

Jumlah kutipan ini sangat sedikit berbanding keluasan kawasan perlombongan pasir hari ini berbanding zaman BN dahulu. Dahulu perlombongan pasir hanya melibatkan kawasan persendirian dan pejabat tanah megutip doket sahaja. Namun sekarang ini kerajaan negeri membenarkan perlombongan pasir di tanah milik kerajaan.

Ini bermakna selain doket, kerajaan negeri juga mengutip wang menerusi tender. Namun jumlah kutipan sangat rendah. Mengapa dan kenapa? Adakah ia ada kena mengena dengan beberapa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas beberapa individu termasuk pegawai khas seorang EXCO?

Pakej Rangsangan Ekonomi Lawak jenaka

Setahun yang lalu Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghebahkan Pakej Rangsangan Ekonomi sebanyak RM 50 bilion. Secara keseluruhan Pakej Merangsang Ekonomi Selangor berjulah RM 50 Bilion itu merangkumi:

a) Pemulihan dan pembersihan Sungai Klang yang melibatkan pembangunan kawasan perumahan di sepanjang sungai dan tanah rezab.

(b) Perluasan sistem pengangkutan bagi seluruh negeri Selangor termasuk perluasan sistem transit aliran ringan (LRT).

(c) Usaha menaik taraf dan menggantikan aset air berikutan pengambilalihan aset air Selangor oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

(d) Pembaharuan aktiviti di bandar, iaitu menumpukan usaha terhadap pembangunan semula kawasan terbiar termasuk di Petaling Jaya dan Klang.

(e) Pembangunan semula projek-projek perumahan yang terbengkalai.

Antaranya termasuk peruntukan RM 10 bilion bagi kos pembersihan dan pemulihan Sungai Klang sepanjang 120km untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dalam bidang perumahan dan pelancongan di kawasan tanah rizab sungai itu. Jika setahun lalu dijanjikan projek ini akan dilakukan Mac 2009, sehingga Mac 2010 belum nampak tender terbuka diumumkan mahu pun kerja-kerja pembangunan Sungai Klang dijalankan. Yang lain lagilah jauh api dari panggang.

Lebih melucukan kita tertanya-tanya daripada mana datangnya wang kerajaan negeri untuk Pakej Rangsangan RM 50 Bilion itu dan berapa banyak yang telah disuntik ke dalam pembangunan negeri?

Hutang Talam: Janji Tiga Bulan Yang Gagal

Pada November 2009, Kerajaan negeri mengumumkan satu acara silap mata kewangan yang yang dikenali sebagai round-tripping. Bukan saya sahaja mengkritik silap mata ini. Malahan seminggu selepas kritikan saya tersebut, keluar emel daripada Setiausaha Agung PKR ketika itu, Datuk Salahuddin Hashim yang turut mengkritik, "This is an old trick used by the crooks in the corporate sector."

Dalam pengumuman tersebut, Menteri Besar Incorporated (MBI) melakukan pengambil alihan hutang Talam sebanyak RM 391.7 juta dan berjanji untuk menyelesaikannya dalam masa tiga bulan. Namun selepas tiga bulan hanya RM 50 juta sahaja dikutip. Kutipan ini juga menimbulkan banyak pertanyaan kerana ia diumumkan oleh Menteri Besar tanpa sebarang kenyataan rasmi daripada Talam Corporation.

Saya pernah mempersoalkan berapakah kos round tripping ini. Antaranya berapakah kos konsultan dan berapakah kos guaman untuk perjanjian pengambilalihan pinjaman dan juga perjanjian pinjaman dengan Bank.

Namun sehingga hari ini rakyat tidak mendapat jawapan yang konkrit. Siapakah peguam yang mendapat keuntungan dalam urusan ini? Apakah ia ada kaitan dengan parti pemerintah negeri hari ini? Sebaliknya Menteri Besar memperbodohkan kita apabila menjawab ia dilakukan sendiri oleh beliau tanpa sebarang bayaran. Menurut Mstar Khalid Ibrahim dilaporkan berkata:

Ketika ditanya, siapakah konsultan dalaman yang beliau maksudkan, Khalid secara bersahaja menjawab; “Konsultan itu adalah Khalid Ibrahim kerana saya orangnya yang membuat cadangan tersebut dan saya akan memastikan proses pelaksanaannya nanti."
“Dan kos untuk konsultansi dalaman itu adalah percuma melainkan saudara-saudari semua nak saya caj kerajaan negeri,” katanya.

Belum selesai dijawab dengan telus kos pengambilalihan hutang ini, Menteri Besar umum berjaya kutip RM 50 juta dari Talam biarpun janji asal untuk kutip RM 391.7 juta dalam masa tiga bulan ini.

Timbul lagi pertanyaan, apakah RM 50 juta tersebut dalam bentuk tunai atau pengambilalihan aset. Jika pengambilalihan aset siapa yang menilai? Dan bagaimana pula dengan sinisan kerajaan negeri sebelum ini bahawa kerajaan negeri semasa di bawah pentadbiran saya tidak cekap kerana menjalankan usaha mengambil alih aset Talam bukannya wang tunai. Mereka berjanji untuk mendapatkan wang tunai.

Amat mustahil bagi sebuah syarikat senaraian awam yang berada dalam kedudukan kewangan yang kurang baik seperti Talam membayar hutang sebesar itu tanpa sebarang pengumuman rasmi. Jadi pertanyaan ini sudah tentulah sangat relevan untuk dijawab. Namun sehingga hari ini belum ada penjelasan daripada YAB Menteri Besar.

Sudah banyak jenaka kerajaan negeri, tapi bersediakah mereka yang menyokong Pakatan Rakyat untuk menerima hakikat ini atau masih mahu terus berada dalam denial syndrome bahawa segala-galanya indah belaka.

Rakyat Selangor buatlah kesimpulan dan kenyataan sendiri mengenai apa yang saya nyatakan ini. Nilaikanlah dengan hati dan fikiran yang terbuka. Jangan kelak nasi sudah menjadi bubur baru mahu ditegur kepincangan kerajaan negeri.

Sumber : Dr. Mohamad Khir Toyo

Wasabi Oyabun

Selasa, 27 Julai 2010

Orang kampung MB Khalid mengamuk : Perlombongan pasir di Kampung Bestari Jaya ancam penduduk!

Penduduk Kampung Bestari Jaya di sini mendakwa kegiatan melombong pasir oleh Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) kini menyebabkan kediaman mereka diancam tanah runtuh. Mereka mendakwa, perlombongan yang kini sudah 'melepasi sempadan' sehingga semakin hampir dengan penempatan penduduk menyebabkan rumah mereka mula retak.

Penduduk kampung turut mendakwa kegiatan melombong pasir itu kini hanya kira-kira 200 meter dari rumah yang paling hampir dengan lombong berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Penduduk (JKKP) Kampung Bestari Jaya, Yeop Sanip, 62, berkata, keadaan itu menyebabkan 500 buah rumah berdepan dengan pelbagai risiko termasuk tanah runtuh.

Menurut beliau, lebih membimbangkan apabila kegiatan itu semakin aktif dan menggunakan penyedut pasir yang dipercayai turut memberi kesan kepada kedudukan pasir di kawasan bawah tanah penempatan penduduk.

"Keadaan ini sangat berbahaya dan penduduk bimbang ia akan menyebabkan berlaku runtuhan pada suatu hari nanti jika kerja-kerja itu masih diteruskan. "Sebagai wakil penduduk, saya mendesak KSSB menghentikan kerja-kerja tersebut dan beralih lebih jauh dari kediaman penduduk. "Aktiviti perlombongan pasir itu membahayakan kira-kira 7,000 penduduk termasuk penuntut Universiti Industri Selangor (Unisel)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menyertai perhimpunan aman kira-kira 50 penduduk Kampung Bestari Jaya yang mendesak KSSB menghentikan kegiatan melombong pasir di kawasan berhampiran di sini hari ini.

Seorang penduduk, R. Dewiendren, 53, turut mendakwa rumahnya sendiri sudah mengalami keretakan kerana jaraknya dengan tebing lombong hanya kira-kira dua meter sahaja. Dewiendren bimbang jika aktiviti berterusan itu akan menyebabkan rumahnya roboh dan boleh mengakibatkan kemalangan jiwa.

Seorang lagi penduduk, Sahril Malek, 30, berkata, sejak kegiatan itu dimulakan, mata pencariannya sebagai nelayan turut terjejas kerana air sungai sudah tercemar. Jika sebelum ini dia mampu mendapat RM60 sehari tetapi akibat pencemaran itu, dia mendakwa hanya memperoleh kurang RM20 yang sekali gus menambahkan bebannya.

Ketua Ranting Angkatan Muda Keadilan Kampung Bestari Jaya, Mohd. Ibrahim Abd. Rahman pula mempersoalkan janji-janji yang ditaburkan oleh kerajaan negeri sebelum ini kononnya akan membela nasib rakyat terutama daripada golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata, seharusnya masalah itu mendapat perhatian kerajaan negeri kerana sudah dilaporkan kepada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Permatang tetapi sehingga hari ini tiada tindakan sewajarnya dilaksanakan.

"Bila dah buat laporan adalah orang yang turun tengok tetapi tidak ada pula tindakan susulan yang diambil sehingga kini. Keadaan ini bukan sahaja mengecewakan penduduk kampung tetapi saya sendiri rasa terpinggir. "Apa yang saya harapkan kerajaan negeri menunjukkan bukti bahawa mereka prihatin dengan masalah rakyat. Jangan sekadar berjanji kosong sahaja," tegasnya lagi.

Komen : Dengar tu MB Khalid. Orang kampung dah "mengamuk". Nasihat buat MB Khalid, rajin-rajinlah balik menjengok kampung sendiri. Dah banyak lubang-lubang pasir di korek berhampiran dengan Ijok..nanti kata tak tahu pulak!!! Sebelum lebih banyak "ranting-ranting" bakal patah, lawat-lawat lah orang kampung.

Wasabi Oyabun..

Sabtu, 24 Julai 2010

Khalid Gereja Berdendam Dengan Hasan Ali : Jumpa Mufti langgar keputusan parti!

Yang Dipertua Pas Shah Alam, Khalid Abdul Samad menggelarkan pemimpin parti itu yang bertemu Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berhubung isu perpaduan orang Melayu sebagai golongan yang tidak faham prinsip dan perjuangan Pas.

Katanya, pemimpin yang terlibat dengan pertemuan tersebut telah melanggar keputusan parti yang dibuat ketika muktamar Pas sebelum ini bahawa Pas akan terus bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Menurutnya, meskipun Pas dan UMNO datang dari bangsa yang sama iaitu Melayu dan Islam sebagai pegangan mereka, kerjasama itu tidak boleh dilaksanakan kerana kedua-dua parti mempunyai matlamat yang berbeza.

''Kalau benar ada pemimpin Pas menemui Harussani dan bincang mengenai perpaduan UMNO-Pas, mereka itu telah melanggar keputusan parti.

''Mereka ini juga tidak patuh dan perlu dikenakan tindakan. Mereka tidak faham perjuangan Pas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Hasussani bahawa ada pemimpin Pas yang menemui Mufti Perak itu untuk mendapatkan pandangan bagi merealisasikan usaha menyatukan orang Melayu serta mengukuhkan ikatan Islam antara UMNO dan Pas.

Dalam pada itu, Khalid enggan mengulas lanjut ketika ditanya dakwaan bahawa Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali merupakan antara pemimpin Pas yang didakwa mengadakan pertemuan dengan Harussani mengenai usaha perpaduan kedua-dua parti itu.

''Itu kena tanya dia sendiri, saya tidak tahu. Namun, pada 25 Julai ini, kita akan adakan majlis munaqasah di peringkat negeri Selangor mengenai ucapan dasar Presiden Pas yang dibuat pada muktamar Pas tahun ini," katanya.

Dalam masa yang sama katanya, beliau sendiri akan bertanya kepada pemimpin Pas negeri sama ada benar atau tidak di kalangan mereka mengadakan pertemuan dengan Harussani atau pun Mufti Perak itu berbohong membuat dakwaan tersebut.

''Jika ada, saya akan minta mereka menjelaskan tujuan dan matlamat mereka mengadakan perjumpaan dengan Harussani itu. Kalau benar, saya akan buat aduan kepada kepimpinan parti," ujarnya.

Komen : Apa cerita pasal Baiah PAS sebelum ini Khalid? Siapa yang pandai-pandai buat keputusan sendiri ( Baiah )sehingga sanggup ceraikan isteri! Wallahuallam...

Wasabi Oyabun..

Rabu, 21 Julai 2010

Apakah dasar Pas sama dengan DAP dan PKR?






















HUJAH utama yang diberikan oleh sesetengah pemimpin Pas apabila menyentuh soal kerjasama dengan UMNO adalah UMNO mengamalkan dasar kebangsaan, bukan dasar Islam. Atas sebab itu, Pas menolak untuk menjalinkan hubungan dengan UMNO biarpun atas dasar demi perpaduan orang Melayu dan umat Islam.

Tohmahan mereka adalah UMNO menolak Islam dan Pas tidak boleh bekerjasama dengan parti itu kerana perbezaan dasar. Bagi Pas, kalau parti tersebut menjalin hubungan dengan UMNO atas alasan apa sekali pun, ia seolah-olah satu petaka kepada mereka.

Persoalannya apakah jawapan tersebut melambangkan kecelaruan fikiran sesetengah pemimpin Pas atau ia satu jawapan politik? Ia kerana kalaulah dasar perjuangan Islam menjadi teras utama, kenapa Pas sanggup bersekongkol dan bekerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Apakah kedua-dua parti itu mempunyai dasar yang sama seperti mana diperjuangkan oleh Pas? Bukankah DAP sudah menolak konsep negara Islam yang ingin diketengahkan oleh Pas dan PKR pula tidak pernah menyatakan secara terbuka menyokong apa yang Pas perjuangkan?

Jelaslah, tindakan menjadikan dasar kebangsaan sebagai halangan utama bagi Pas untuk bekerjasama dengan UMNO hanya satu alasan semata-mata. Sebenarnya, penolakan kerjasama itu lebih bermotifkan politik kerana kalau benar Pas hanya mahu bekerjasama dengan parti yang memperjuangkan Islam, maka DAP dan PKR juga tidak sepatutnya menjadi pilihan Pas.

Oleh itu, tidak perlulah pemimpin-pemimpin utama Pas termasuk Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berdolak dalih dalam soal ini. Cakap sahajalah, sebenarnya pemimpin Pas melihat UMNO sebagai musuh yang paling nyata.

Tanpa membuat perhitungan politik yang betul, pemimpin Pas begitu yakin bahawa sekarang adalah waktu terbaik untuk mereka mengambil alih tempat UMNO sebagai parti utama orang Melayu. Pas begitu percaya melalui kerjasama dengan DAP dan PKR, mereka akan dihargai dan diberikan tempat utama dalam pakatan pembangkang. Kalau itulah impian Pas, tidak keterlaluan jika dikatakan Pas hanyalah bermimpi di siang hari.

Ini kerana DAP dan PKR tidak akan membuka laluan mudah untuk Pas menjadi parti utama. Selain itu, kalau Pas mahu kekal mempertahankan dasar Islamnya, kenapa perlu tergesa-gesa hendak mewujudkan sebuah sayap yang dikhaskan untuk bukan Islam yang menyokong parti itu.

Bolehkah dasar Islam tersebut diperkembangkan apabila kumpulan penyokong berkenaan semakin berkuasa di dalam Pas nanti?

Sebenarnya, usaha untuk menyatukan UMNO dan Pas tetap tidak akan berjaya, bukan kerana kesemua pemimpin dan ahli Pas menolak usaha murni tersebut tetapi disebabkan segelintir sikap pemimpin Pas. Mereka ini hanya mengaku dirinya Islam tetapi tidak berakhlak sebagai seorang Islam termasuklah memaki hamun dan mencerca serta menuduh ulama yang tidak menyebelahi mereka dengan pelbagai gelaran.

Pemimpin seumpama ini sudah menerapkan politik kebencian, bukannya politik tidak sehaluan. Ertinya, mereka mahu UMNO dibenci sampai ke mati tanpa mempedulikan apa pun kesannya kepada masa depan orang Melayu dan umat Islam.

Bagi mereka, tidak kira siapapun, asalkan orang itu menyebelahi UMNO maka dia harus dimusuhi. Inilah puak-puak yang menjadi batu penghalang terbesar kepada perpaduan umat Islam di negara ini. Atas sebab itulah, apa pun alasan dan usaha yang cuba dilakukan bagi menyatukan dua parti Melayu tersebut, ada sahaja hujah dangkal dan jumud yang dikeluarkan oleh puak berkenaan.

Namun begitu sebagai umat Islam kita tetap mendoakan agar Allah SWT membuka pintu hati pemimpin-pemimpin seumpama ini agar memahami betapa pentingnya UMNO dan Pas bersatu hati. Pemimpin-pemimpin Pas perlu berlapang dada dan berfikiran terbuka dalam soal berkenaan. Janganlah melihat atau terlalu gelojoh untuk merebut kuasa politik bersama-sama PKR dan DAP.

UMNO bersikap terbuka dalam soal kerjasama itu bukan kerana politik tetapi demi masa depan orang Melayu dan umat Islam. Ia disebabkan, apa pun berlaku UMNO tidak perlu 'menyembah' Pas untuk mencari kuasa politik tetapi Pas mungkin terpaksa 'melutut' kepada PKR dan DAP bagi tujuan berkenaan.

ZULKIFLEE BAKAR
Wasabi Oyabun..

Mufti Perak : Saya tidak berbohong !

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan beliau tidak berbohong mahupun mengkhianati sesiapa berhubung kenyataannya sebelum ini bahawa ada pemimpin UMNO dan Pas menemuinya berbincang mencari jalan untuk menyatupadukan orang Melayu. :

“Mereka (Pas) hendak kata saya tipu, biarkanlah... memang kerja mereka...Saya kata memang ada pemimpin Pas yang datang menemui saya, pemimpin UMNO pun ada jumpa saya.

“Dia bukan minta jadi orang tengah antara Pas dan UMNO, dia minta pandangan untuk mencari jalan macam mana untuk menyatupadukan orang Melayu. Sudah memang jelas UMNO dan Pas sekarang bergaduh, jadi semua orang faham saya sebagai orang tengah kedua-dua parti itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ditanya siapakah pemimpin UMNO dan Pas yang menemuinya, Harussani enggan mendedahkan individu terbabit demi menjaga nama baik dan amanah yang diberikan terhadapnya.

“Saya seorang mufti, takkanlah saya nak membohong. Cuma saya tak nak sebut nama orang yang bertemu dengan saya itu... Jadi saya tidak membohong. Dia nak tuduh saya membohong itu dia punya pasal.

“Yang penting dia seorang Islam atau tidak... berjuang atas nama Islam atau tidak, kenapa nak bersekongkol dengan yang lainnya,” katanya.

Menurutnya, bukan setakat pemimpin UMNO dan Pas, beliau sedia bertemu dengan mana-mana pihak yang ingin mendapatkan pandangan dan pertolongan mengenai perkara itu kerana sebagai seorang Islam, beliau bertanggungjawab mempertahankan perpaduan dan memberi perhatian terhadap isu-isu berkaitan agama Islam.

“Islam menyuruh kita bersatu padu. Haram bagi kita berkelahi... kerana perselisihan begini akan memecahbelahkan bukan sahaja Melayu malah Islam itu sendiri.

“Biarlah orang lain ambil kesempatan atas apa yang saya nyatakan...saya tidak fikirkan siri sendiri atau anak-anak saya, tapi saya fikirkan nasib cucu-cucu serta generasi akan datang jika kita berpecah-belah,” katanya.

Harussani sebelum ini dilaporkan bersedia menjadi perantara bagi pertemuan kedua-dua pemimpin Pas dan UMNO demi perpaduan Islam walaupun ada pihak yang tidak menyenangi usaha murni itu.

Beliau yang menyatakan tidak mempunyai hak untuk menentukan perkara berkenaan bagi kedua-dua pihak mengakui terdapat pemimpin parti-parti itu menemuinya tetapi bukan bagi mewakili mana-mana parti secara rasmi.

“Mereka datang atas nama Islam dan Melayu, Allah menyuruh kita supaya bersatu padu seperti mana tertulis dalam al-Quran. Kalau kita mengaku Islam, kenapa kita perlu tolak perpaduan?” katanya.

Sebelum itu semalam : Dua Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub menafikan pertemuan itu dengan menyifatkan kenyataan Harussani sebagai satu fitnah dan pembohongan. Pas menafikan kenyataan Harrussani bahawa terdapat wakil daripada parti itu menemuinya untuk menjadi orang tengah dan menganggapnya sebagai satu pembohongan.

Mahfuz berkata , Pas tidak pernah memutuskan untuk meminta Harussani menguruskan pertemuan Pas dan UMNO bagi membincangkan penyatuan orang Melayu dan Islam.

“Kenyataan Harussani itu satu fitnah dan pembohongan. Tidak ada, beliau cuba memburukkan dan menimbulkan keraguan di kalangan rakyat seolah-olah ada pemimpin Pas yang hendak membelakangkan parti dalam isu ini,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang turut serta dalam sidang media tersebut mengulangi pendirian Pas tidak pernah membincangkan isu kerjasama dengan UMNO. “Kami sudah memutuskan sudah tutup bab perbincangan mengenai kerjasama politik dengan UMNO. Kalau Pas ada membincangkan soal ini, sudah pasti saya dan Datuk Mahfuz sudah tahu,” katanya.

Sabtu lalu, Harussani mendedahkan bahawa beliau mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak yang tidak menyenangi usaha murni beliau ini.

Harussani berkata, terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.

Komen : Nak Tanya kepada kedua-dua Naib Presiden PAS ini, siapa yang sebenarnya berbuat fitnah atau pembohongan! Nampak sangat kumpulan ‘ Erdogan ‘ di dalam PAS yang dinaungi oleh Anwar Ibrahim teramat fobia dan takut kepada perpaduan umat. Kenapa ya? Wallahuallam.

Wasabi Oyabun..

Jumaat, 16 Julai 2010

Isu pasir : Khalid Ibrahim Menteri Besar yang gagal!

Agak pelik apabila Khalid Ibrahim tidak tahu akan bidang kuasa seorang Menteri Besar! Begitu juga dengan akta kanun tanah negeri. Khalid Ibrahim dilihat cuba mengalihkan ' beban ' yang ditanggung oleh beliau angkara kroni-kroni sendiri kepada orang lain! Dan apabila beliau gagal untuk mengalih ' beban ' tersebut kepada ' orang lain ', maka dikatakan orang tersebut sebagai angkuh.

Khalid Ibrahim menganggap kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai tidak bertanggungjawab apabila berkata Kerajaan Persekutuan tidak akan campur tangan dalam menangani isu perlombongan pasir secara haram di Selangor. Abdul Khalid berkata, kenyataan angkuh seperti itu tidak sepatutnya dikeluarkan kerana semua agensi penguatkuasaan dan kuasa pendakwaan bawah Kerajaan Persekutuan.

Adakah Khalid Ibrahim tahu akan bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan ( PBT )! Adakah beliau tahu yang kes kecurian pasir yang berlaku di negeri itu adalah bidang penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT). Tetapi mengapa tugas penguatkuasaan yang sebelum ini di jalankan oleh Task Force sudah tidak ada,apabila Kerajaan Selangor secara terancang telah membuang kerja 48 orang pegawai unit task force yang membuat pemantauan diseluruh Selangor.

Mengapa kerajaan Negeri Selangor mengarahkan agar tidak menyambung kontrak kerja kepada 48 orang anggota Task Force Tanah dari pejabat tanah Kuala Selangor,Puchong ,Kuala Langat dan Sepang. Kenapa Khalid melantik syarikat KSSB mengendali kerja-kerja perlombongan pasir di Selangor bagi mengambilalih tugas-tugas yang sepatutnya di jalankan oleh Pejabat Tanah Negeri!

Sedap sahaja mulut Khalid mengatakan “Saya amat kecewa dan terkejut apabila seorang menteri Persekutuan ‘cuci tangan’ dari menjaga keselamatan rakyat dan menguatkuasakan undang-undang yang berada bawah Kerajaan Persekutuan ".

“Sekurang-kurangnya beliau boleh memulakan perbincangan dengan polis dan pihak berkuasa lain bagi membanteras jenayah curi pasir ini. Kenyataan Timbalan Perdana Menteri sangat tidak wajar kerana ia menggambarkan TPM enggan menggunakan kuasa terhadap agensi penguatkuasaan, sebaliknya menyerahkan tugas itu sepenuhnya kepada Selangor,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Selasa lalu, Khalid menulis surat kepada Muhyiddin untuk memaklumkan tindakan Kerajaan Negeri membanteras kecurian pasir di Selangor yang menjadi tajuk utama akhbar arus perdana.

Surat itu sebagai respons kepada kenyataan menteri Persekutuan tersebut yang mendakwa masalah curi pasir ini mudah diatasi dengan cara menangkap dan menghukum mereka yang terbabit. Dalam surat yang dihantar itu, Menteri Besar juga memberi maklumat terperinci kawasan-kawasan curi pasir, suspek terlibat dan himpunan laporan polis sejak beberapa tahun lalu sambil meminta Timbalan Perdana Menteri itu memberi arahan yang berpatutan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu Ketua Polis negeri, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, siasatan kes kecurian pasir bukan di bawah bidang kuasa polis dan perkara itu telah dipersetujui sejak sekian lama. Beliau berkata, polis hanya akan membantu sekiranya ada permintaan daripada pihak PBT, itu pun jika kes yang dilaporkan berkait dengan jenayah.

"Dalam mesyuarat yang dijalankan bersama pihak Setiausaha Kerajaan Negeri minggu lalu, juga disebut bahawa siasatan kes curi pasir adalah di bawah PBT. "Jadi kita harap kerajaan negeri faham perkara ini dan mintalah pihak PBT melakukan siasatan atau tubuhkan sendiri pasukan khas dengan kerjasama PBT kerana itu memang bidang kuasa mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Maka dengan ini terserlah lah akan ' kebodohan ' Menteri Besar yang tidak tahu menari, tetapi menyalahkan lantai yang berjongkang jongkit! Kerajaan Selangor yang diterajui Khalid dilihat gagal menangani isu kecurian pasir di negeri itu, kini cuba menyeret Kerajaan Pusat dalam kontroversi tersebut. Kalau sudah rasa tak boleh buat kerja, eloklah letak jawatan sahaja! Wallahuallam.

Gambar ehsan : GAP blogspot

Wasabi Oyabun..

Selasa, 13 Julai 2010

Azmin mula tunjuk 'taring' : Bantah cadangan Hasan Ali selamatkan TALAM CORPORATION!!!

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, semalam berlangsung dengan suasana tegang dan panas selepas berlaku perang mulut membabitkan Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) dengan Datuk Dr Hasan Mohamad Ali (Pas-Gombak Setia). Pertikaman lidah itu berlaku apabila Mohamed Azmin mempertikai cadangan Dr Hasan untuk menubuhkan yayasan bagi menguruskan peruntukan pinjaman kredit mikro sebanyak RM50 juta hasil daripada pengambilalihan hutang Talam Corporation sebelum ini. Mohamed Azmin berpendapat penubuhan itu tidak perlu kerana ia akan menambahkan lagi birokrasi dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Terdahulu, Dr Hassan ketika sesi penggulungan bajet tambahan peruntukan pembangunan 2010, berkata penubuhan yayasan itu akan membolehkan kerajaan negeri menguruskan skim berkenaan dengan lebih berkesan, selain akan diuruskan oleh individu yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam pengurusan skim pinjaman.

Mohamed Azmin turut mempersoalkan kegagalan Alam Flora mengutip sampah mengikut jadual sehingga menyebabkan banyak kawasan di negeri Selangor kotor. Sebagai contoh di Ampang yang mana sampahnya tidak dikutip mengikut jadual. Mengambil contoh di Kuching, Sarawak tidak menggunakan Alam Flora dan bandar itu antara yang bersih di negara ini. Ratusan juta sudah diberikan kepada syarikat itu tetapi perkhidmatan masih lagi lemah.

Kenyataan Mohamed Azmin itu menimbulkan kemarahan Dr Hassan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Infrastruktur yang bangkit mempertahankan Alam Flora dan mendakwa kenyataan yang dibuat oleh Mohamed Azmin itu tidak tepat. Mengikut kajian, Alam Flora berjaya mengurangkan aduan orang ramai mengenai perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di negeri ini," katanya.

Pertanyaan kepada PR Selangor : Agak-agak siapa yang memonopoli tender cafeteria di bangunan SUK Negeri Selangor ya? Rakyat nak tahu juga...!!!

Wasabi Oyabun..

Jumaat, 9 Julai 2010

PAS tak serik-serik walaupun dah banyak kali di 'kencing' Anwar!

Patutkah penyokong Melayu-Islam UMNO bersimpati kepada penyokong-penyokong Melayu-Islam PAS? Kerana mereka terang-terang ditipu oleh pemimpin-pemimpin mereka dan si Penipu nombor wahid negara si Anwar Ibrahim. Mereka juga Melayu, mereka juga Islam sama seperti Melayu-UMNO.

Dilihat penyokong-penyokong PAS kini membabi-buta menyokong Anwar Ibrahim hingga sampai ke tahap yang boleh kita kata sebagai taksub. Segala-gala perkara yang dibuat Anwar Ibrahim benar, dan bagi mereka tak mungkin dia berbohong. TAHUKAH, DAHULU ANWARLAH YANG LANTANG MENGHINA PAS. Sama ada melalui media atau di dalam Parlimen, banyak kata-kata yang Anwar tujukan yang terang-terang menghina PAS.

* "Pas gagal hormati prinsip Islam."
* "Penyokong-penyokong Pas telah di brainwashed dan fanatik."
* "Pas gagal majukan umat Islam."
* "Pas suka gunakan slogan-slogan kosong."
* "Dakwah Pas bukan cara Islam."
* "Hujah Pas timbulkan fitnah."
* "Pas hanya tonjol imej Islam palsu."
* "Pas rela korbankan umat Islam."
* "Pas telah ketepikan prinsip dakwah."
* "Pas khianati orang Melayu".
* "Pas tak ada akhlak" .

Adakah para ahli dan penyokong PAS marah apabila dengar kata-kata sebegitu? Jika ya, maka ahli-ahli dan penyokong PAS patut marah kepada si penipu Anwar Ibrahim, KERANA ANWARLAH YANG MENGATA SEGALA PERKARA DI ATAS TERHADAP PAS.

Berikut adalah petikan-petikan daripada akhbar, semasa Anwar dalam kerajaan.

Pas gagal hormati prinsip Islam

KUALA LUMPUR, Jumaat - Pas tidak menghormati peraturan dan prinsip moral Islam kerana berdiam diri apabila kerajaan Iraq yang disokongnya, melakukan keganasan terhadap rakyat sendiri, khususnya kaum Kurdis. Naib Presiden Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Pas hanya mendewa-dewakan kepemimpinan Iraq tetapi menutup perkara sebenar mengenai keganasan dalam negeri yang dilakukan oleh kerajaan negara itu. (Berita Harian, 04/05/1991)

Anwar: Supporters of Pas brainwashed

KUALA TERENGGANU, Thurs. - Pas has succeeded in poisoning the minds of its supporters by not allowing them to question the credibility of statements made by party leaders in Harakah, its in-house newspaper, Finance Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim said today. He said Pas had used Harakah to criticise the Government's Islamisation effort to cover its own weaknesses. This was also why some of its supporters had become fanatics. (New Straits Times, 17/04/1992)

Pas gagal majukan umat Islam.

RAUB, Selasa - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pas masih gagal melaksanakan program memaju dan membangunkan umat Islam sekalipun sudah menguasai satu negeri di negara ini. "Tiada gunanya asyik bercakap mengenai Islam sedangkan rancangan untuk mengangkat martabat umat Islam ke tahap tinggi tidak ada," katanya. (Berita Harian, 25/08/1993)Kepada penyokong PAS, jangan percaya kepada pemimpin PAS, kerana Anwar kata mereka menipu rakyat.

Anwar bidas taktik kotor Pas

DUNGUN, Isnin - Datuk Seri Anwar Ibrahim, membidas taktik kotor pemimpin Pas yang sanggup berbohong dan menipu rakyat menggunakan ayat al-Quran semata-mata untuk memenangi kerusi dalam pilihan raya. Timbalan Perdana Menteri, berkata antara contoh penipuan ke atas rakyat berhubung cadangan kerajaan mahu membuang perkataan Islam daripada Pas, tetapi pemimpinnya membohongi rakyat dengan menyatakan kerajaan mahu membuang Islam. (Berita Harian, 24/01/1995)

Pas hanya tonjol imej Islam palsu

PASIR PUTEH, Isnin - Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Pas hanya menyubur dan menonjolkan imej Islam palsu kerana di kalangan kepimpinannya penuh perbuatan menyeleweng, jahil atau menyembunyikan fakta sejarah dan kebenaran. Timbalan Perdana Menteri berkata, pemimpin Pas juga mempersendakan ayat al-Quran dan hukum, suka memaki hamun tetapi tidak pernah mengemukakan cadangan bernas, tidak pernah serius memperjuangkan nasib rakyat, malah sebaliknya menindas serta memesongkan akidah mereka. (Berita Harian, 21/03/1995)

Pas rela korbankan umat Islam: Anwar

KUALA TERENGGANU, Ahad - Pas rela menggadaikan masa depan umat Islam di negara ini apabila parti itu sanggup bekerjasama dengan DAP dan Parti Bersatu Sabah (PBS), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. Menurut Timbalan Perdana Menteri, tindakan Pas meletakkan calonnya di kawasan majoriti bukan Islam di Pulau Pinang dan Sabah dalam pilihan raya sebelum ini sama dengan mengkhianati agama, maruah dan masa depan umat Islam di negara ini. (Berita Harian, 03/04/1995)Yang hairannya, Anwar sekongkol dengan DAP sekarang boleh pulak? Nampaknya demi kuasa, Anwar heran apa maruah dan masa depan orang Melayu..!

Anwar seru rakyat tolak Pas

HULU TERENGGANU, Selasa - Rakyat diminta menolak Pas kerana bersandiwara kononnya memperjuangkan kepentingan umat dan syiar Islam sedangkan pada masa sama membantu DAP melenyapkan kepentingan serta masa depan orang Melayu di Pulau Pinang, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. (Berita Harian, 19/04/1995)Tengok. Anwar pun mengaku DAP melenyapkan kepentingan orang Melayu.
Pas khianati orang Melayu.

CENDERING, Rabu - Tindakan Pas menggunakan perantaraan Parti Melayu Semangat 46 (S46) untuk bekerjasama dengan DAP mengkhianati dan mengorbankan masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerjasama itu membuktikan seluruh pegangan Pas terpesong dan sanggup menggadai prinsip parti itu sendiri. (Berita Harian, 20/04/1995)

Pas cemar ukhuwah Islam

BACHOK, Rabu - Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Pas menjalankan tarbiyah terhadap pemimpin dan ahlinya yang semakin ramai terpesong daripada ukhuwah atau persaudaraan Islam yang sebenar. Beliau berkata kebelakangan ini ramai pemimpin Pas mendakwa menjalankan prinsip dan perjuangan Islam, tetapi hakikatnya ia jauh menyeleweng. (Berita Harian, 20/04/1995)

Parti lawan tak ada akhlak

KUALA LANGAT: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Pas memburuk- burukkan pemimpin Barisan Nasional (BN) dengan gelaran menghina, sebagai tidak berakhlak dan menunjukkan kelemahan parti itu yang mendakwa memperjuangkan Islam. Timbalan Perdana Menteri berkata, BN tidak pernah mengamalkan prinsip memburuk-burukkan orang lain, terutama sesama Islam kerana amalan itu tidak ada kesudahannya. (Harian Metro, 21/04/1995).

Lihatlah perangai Anwar. Bukankah ini menunjukkan Anwar penipu terbesar Malaya? Bukankah pemimpin-pemimpin PAS dulu seangkatan dengan Anwar semasa zaman Anwar sebagai ahli politik mahasiswa? Namun bila Anwar berkuasa, rakan-rakan lamanya di PAS dihina. Semasa PAS tak diperlukan, Anwar mencaci PAS sebagai pengkhianat kepada umat Melayu. Anwar sendiri tahu apa agenda DAP, tapi demi kuasa sekarang ini dia sanggup biarkan DAP berleluasa. Wallahuallam.

Wasabi Oyabun..

Ahad, 4 Julai 2010

Wake up call to all UMNO leaders : Pengkhianat Bangsa - Anwar sebabkan perpecahan orang Melayu!

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan beberapa tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak akhir-akhir ini merupakan suatu pengkhianatan kepada bangsa kerana ia telah menyebabkan perpecahan di kalangan orang-orang Melayu.

Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno berkata, orang Melayu perlu sedar tentang tindakan ketua umum PKR itu kerana bukti mengenainya adalah amat jelas.

"Buktinya (tindakan Anwar) adalah amat jelas. Rakyat perlu sedar tentang sikap berdolak-dalik dan pembohongan yang dilakukan oleh beliau, yang telah menyebabkan perpecahan dan keretakan di kalangan orang Melayu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Batu Pahat.

Akhbar Washington Post melaporkan, dalam lawatannya ke Amerika Syarikat, Anwar bertemu dan meminta maaf dari rakan-rakannya di negara itu dan menyesal menggunakan istilah seperti 'pencerobohan Zionis '.

Muhyiddin berkata, bukti mengenai hubungan baik Anwar dengan pemimpin Zionis dan Yahudi di Amerika Syarikat juga adalah jelas untuk dinilai oleh rakyat dan orang Melayu.

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan di antara Datuk Zaid Ibrahim dan Raja Petra Kamaruddin di London baru-baru ini, Muhyiddin berkata, ia menunjukkan hubungan yang jelas di antara PKR dengan penulis portal berita "Malaysian Today" yang sedang diburu oleh polis.

Sebelum itu, dalam ucapan perasmiannya, Muhyiddin mengingatkan anggota Umno bahawa mereka mempunyai tempoh tidak lebih daripada dua tahun untuk melakukan perubahan dan persedian bagi menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

"Perubahan atau transformasi perlu dilakukan dengan cepat kerana kita tidak mempunyai masa yang mencukupi," katanya sambil menambah bahawa anggota Umno perlu bergerak dengan segera dalam melaksanakan perubahan yang dituntut.

Timbalan Presiden Umno itu juga berkata, anggota Umno perlu melakukan perubahan kerana lanskap serta senario politik negara pada ketika ini telah jauh berubah hasil daripada keputusan pilihan raya umum ke-12 pada 2008.

Katanya, perubahan itu perlu dilaksanakan untuk memulihkan perpaduan di kalangan orang Melayu yang berpecah kepada tiga golongan dan memastikan mereka kembali menyokong Umno serta perjuangannya.

Komen : Syabas kepada orang nombor dua kerajaan kita kerana menyahut seruan YAB Perdana Menteri bahawa kita seharusnya menggunakan kaedah menyerang sekiranya mahu tewaskan skuad Pembangkang yang diketuai oleh bekas banduan penjara Sungei Buloh yang sedang mendepani perbicaraan kes liwat kali kedua. Anggota Umno perlu bergerak dengan segera dalam melaksanakan perubahan yang dituntut. Bola tanggung yang sudah terhidang dalam kepincangan kerajaan rapuh DAP-PKR-PAS di Selangor. Apa tunggu lagi..wake up call to all UMNO leaders..Segeralah menyerang dan terus menyerang..!!!!

- Bernama
Wasabi Oyabun..